Rabu, Mac 01, 2017

Banyak radio tenggelamkan artis lama, kata M Nasir

petikan MalayMail online 1 Mac 2017
OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

KUALA LUMPUR, 1 Mac — Bilangan stesen radio yang semakin bertambah dan memainkan genre muzik tertentu membuatkan generasi muda kini tidak lagi mengenali penyanyi lama, kata Datuk M Nasir.

Komposer terkenal itu berkata berbeza pada zaman 1980-an apabila stesen radio memainkan lagu bercampur membuatkan peminat mengenali lebih ramai penyanyi.

“Radio sekarang main peranan besar. Radio sekarang pula tidak memainkan lagu bercampur-campur. Jika dahulu zaman 1980-an hanya ada satu stesen radio.

“Jadi semua lagu bercampur. Bila dengar radio, selepas lagu rock, kita dengar lagu Tan Sri SM Salim dan Datuk M Daud Kilau. Jadi kita kenal penyanyi dahulu.

“Sekarang untuk dengar lagu artis lama, kena dengar radio Klasik dan orang tidak mendengar di situ kecuali orang yang minat lagu lama, mereka ke situ.

“Tetapi orang muda tidak akan dengar. Bila mereka tidak dengar, mereka tidak akan kenal lagi penyanyi lama,” katanya dalam satu wawancara bersama ProjekMMO.

Penyanyi Mustika mula berkecimpung dalam bidang muzik pada 1978 dengan menulis dan mencipta lagu untuk kumpulan Alleycats.

Beliau pernah menghasilkan enam album bersama Kembara dan mencatatkan jualan 25,000 unit sehinggalah kumpulan itu dibubarkan pada 1985.

Antara artis yang menggunakan khidmat Nasir termasuklah Rahim Maarof, Search, Wings, Ella, Ziana Zain dan Misha Omar.

Mengulas mengenai prospek muzik semasa, Nasir berkata walau industri dikatakan merudum namun permintaan terhadap lagu bertambah.

“Secara keseluruhannya industri muzik merudum tetapi penggunaan lagu tidak merudum sebab ramai yang masih mendengar muzik.

“Bila mudah streaming, orang tidak muat turun. Dengar di radio, penyanyi tiada pendapatan sebab pendengar tidak membeli.

“Tutup YouTube, sekat Spotify. Dengar radio saja macam di China tetapi mereka ada yang lain pula. Selagi ada benda ini, kita kena ikut gelombang muzik,” katanya.

Tiada ulasan: