Selasa, Februari 14, 2017

Cipta single harap popular cepat, biasanya tidak laku, kata M Nasir

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
Petikan MalayMail 14 Februari 2017

Lagu sekarang terlalu mengejar pendengar sehingga kurang kreatif dan tiada lagi eksperimen, kata penyanyi tersohor M Nasir — Foto oleh Saw Siow Feng - 

KUALA LUMPUR, 14 Feb — Empat dekad dalam arena seni tanah air, Datuk M Nasir merasakan lagu pada masa ini menyekat kreativiti kerana terlalu mengejar keuntungan.

Nasir, 59, berkata penciptaan lagu pada masa ini lebih tertumpu pada aspek komersial melalui single dan penyanyi tanah air semakin kurang menghasilkan album.

“Orang sekarang tidak buat album. Mereka buat single tetapi apabila buat single, mereka cipta lagu yang boleh cepat popular.

“Apabila buat album, kita buat apa yang kita suka; itu buat kita seronok dan lebih kreatif. Macam-macam kita boleh buat.

“Tidak mengapa kita buat satu atau dua lagu yang radio suka tetapi lapan lagu lagi kita eksperimen. Suasana muzik dahulu bagus sebab orang buat album dengan berkonsep.

“Bila single, semua untuk jual. Bila tidak jual, mereka kecewa. Orang tidak berani bereksperimen. Bila buat, mesti nak laku, [tetapi] selalunya tidak laku,” katanya kepada ProjekMMO.

Nasir mula berkecimpung dalam bidang muzik pada 1978 dengan menulis dan mencipta lagu untuk kumpulan Alleycats.

Beliau pernah menghasilkan enam album bersama Kembara dan mencatatkan jualan 25,000 unit sehinggalah kumpulan itu dibubarkan pada 1985.

Antara artis yang menggunakan khidmat Nasir termasuklah Rahim Maarof, Search, Wings, Ella, Ziana Zain dan Misha Omar.

Nasir berkata walaupun mampu hidup dengan sumbangan royalti hasil penciptaan lagu, namun kerjaya ini tidak boleh dipisahkan.

“Benda saya suka buat. Saya boleh berhenti tetapi benda ini saya suka nak buat. Belum ada benda lain yang saya dapat curahkan sebegini,” katanya.

Ditanya kriteria penyanyi yang layak mendapat sentuhan lagu hasil ciptaannya, Nasir berkata beliau mencari penyanyi tulen.

“Masalah sekarang mencari penyanyi yang bagus dan sesuai. Penyanyi yang kita cari. Biasanya orang akan mencari penyanyi bukan mencari lagu.

“Lagu bila ia sudah dikeluarkan, boleh dicipta lagi,” katanya.

2 ulasan:

deaf-angel berkata...

to be fair, aku tak rasa ada sapa2 company atau individu kaya yang boleh tanggung mana2 band rock ngan 10 lagu, dari start tulis lagu sampai rakam studio professional, rehearsal, cetak album dan distribute dan iklan Malaysia Singapore macam dulu.
Unless band tu sendiri anak orang kaya.

Saudagar Mimpi berkata...

Betul tu. lagipun medium utk artis pasarkan single makin mudah dgn adanya Spotify, Youtube semua tu.... Sykt rakaman skrg pun tak nak ambil risiko keluarkan album artis baru yang belum tentu berjaya.