Sabtu, Februari 13, 2016

Selepas lagu, filem dan lukisan, M.Nasir tulis buku pula

petikan Astro Awani 13 Februari 2016
Irwan Muhammad Zain, Astro Awani |  Diterbitkan pada Februari 13, 2016 10:52 MYT

M.Nasir merasakan ada keperluan untuk mendokumentasikan sebahagian hidupnya, perjalanan dalam menghasilkan album-album sebelum dan selepas Canggung Mendonan dan bagaimana album itu dihasilkan.

KUALA LUMPUR: Setelah sekian lama berkecimpung dalam bidang seni terutama dalam bidang nyanyian, Datuk M.Nasir berkongsi kisah hidupnya menerusi sebuah buku autobiografi.

Buku tersebut ditulis sendiri oleh seniman tersohor itu dan ia berkisar tentang perjalanan beliau menghasilkan album Canggung Mendonan yang memuatkan lagu Mentera Semerah Padi.

Bagi M.Nasir, beliau merasakan ada keperluan untuk mendokumentasikan sebahagian hidupnya, perjalanan dalam menghasilkan album-album sebelum dan selepas Canggung Mendonan dan bagaimana album itu dihasilkan.

"Buku yang saya tulis ini adalah tentang pemikiran saya dan perjalanan saya bagaimana terjadinya album Mentera Semerah Padi," katanya ketika ditemui Astro AWANI, baru-baru ini.

M.Nasir juga menganggap buku yang sedang ditulisnya itu merupakan satu sumbangan kepada masyarakat terutama peminat-peminat setia beliau.

"Mereka (peminat) boleh mengharapkan pemikiran kisah-kisah daripada beberapa album yang saya buat dan juga kisah-kisah perjalanan diantara album-album itu dan bagaimana album itu terjadi.

"Bagi saya yang penting pemikiran, apa-apa yang saya fikirkan waktu itu, bila saya buat satu kerja, buat lagu umpamanya, buat album dan apa yang telah saya alami, lihat dan merasakan," ujar seniman yang juga sedang menyiapkan album terbarunya.

Bercerita lanjut, anak seni yang berusia 59 tahun ini menjelaskan biarpun album Canggung Mendonan bukanlah klimaks dalam kerjayanya tetapi album itu mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Saya mengekspresikan perasan saya dalam album itu dan ia menyerlah dan saya kira ramai orang dapat membacanya dan menganggap ini m.nasir, ini adalah watak M.Nasir," jelas beliau.



Buku yang belum mempunyai judul itu akan diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), yang menganggap belum ada buku auotobiografi seniman yang ditulis secara serius.

"Adalah satu dua seperti buku yang ditulis Pekin Ibrahim dan Faizal Hussein," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron.

Mohd Khair juga menjelaskan ITBM memilih M.Nasir kerana pihaknya merasakan masyarakat terutama generasi muda perlu didedahkan dengan kisah hidup seniman tersohor itu.

"Kita merasakan bahawa M.Nasir patut berkongsi pengalaman beliau, pandangan hidup beliau kepada rakyat malaysia terutama generasi muda, bagaimana mahu menjadi penghibur sebenar, penghibur yang ada prinsip, penghibur yang tahu halatuju kerjayanya," ujar beliau.

Jelas Mohd Khair, ITBM berharap peminat-peminat M.Nasir dapat merasai pengalaman yang dilalui seniman itu dan generasi muda yang baru berkecimpung dalam dunia penerbitan lagu dapat mempelajari sesuatu dari kisah yang ditulis komposer digelar sifu itu.


Tiada ulasan: