petikan Sinar Harian 23 November 2014
NINA FARZUIN MD SHAROM, FOTO SINAR HARIAN OLEH SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
TEPAT jam 9.05 malam, dewan Panggung Seri mulai riuh dengan sorakan penonton yang teruja menyaksikan kemunculan kumpulan Kembara yang menampilkan anggotanya Datuk Dr M Nasir, A Ali, S.Sahlan, Zoul, Cheman dan Md Shah.
Keriuhan dewan itu disambut dengan seleksi lagu Ekspres Rakyat, Impian Anak Jalanan dan Siapa Orang Kita sebagai pembuka tirai persembahan.
Selain terhibur dengan penyampaian lagu, keterujaan penonton turut diisi dengan kisah suka duka awal perjalanan Kembara yang dikongsi oleh M Nasir.
Persembahan diteruskan dengan lagu-lagu yang suatu ketika dahulu pernah menjadi siulan seperti Sesat Di Kuala Lumpur, Perjuangan, Kolar Biru, Nusantara dan Sekuntum Bunga Plastik.
Seperti yang dijangkakan, kelincahan dan vokal mantap yang dipersembahkan oleh M Nasir nyata tidak pernah berubah.
Nyanyian A Ali, S Sahlan dan Zoul yang turut menyampaikan beberapa lagu secara solo menerusi Ada Sepasang Mata, Senandung Buruh Kasar, Impian Seorang Nelayan, Bunga Bakawali, Di Hentian Puduraya serta Ayahku Dan Angkasawan juga tidak kurang hebatnya.
Perasaan penonton terus dibuai dengan persembahan beberapa lagu wajib seperti Malam, Oh Bulan, Kiambang, Keroncong Untuk Ana dan Kepadamu Kekasih.
Suasana dewan menjadi lebih menarik apabila penonton bukan sahaja menghayati lagu-lagu tersebut, malah turut menyanyikannya bersama.
Tidak terus membiarkan penonton di hanyut perasaan, Kembara kembali mendendangkan lagu-lagu yang lebih bertenaga seperti Empat Penjuru, Ayahku dan Angkasawan, Kupu-Kupu, Kutu serta Duit sebelum menyampaikan Hati Emas dan Gerhana sebagai persembahan penutup.
Konsert pada malam itu turut diiringi oleh 12 pemuzik dan empat penyanyi latar dan secara keseluruhannya Kembara menyampaikan 27 buah lagu pada malam itu.
Persembahan konsert ini masih lagi diteruskan sehingga 23 November ini dan buat peminat yang teringin menyaksikan sendiri kehebatan Kembara beraksi, jangan lepaskan peluang keemasan ini.
Konsert Hati Emas Kembara diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd dengan kerjasama Celcom Axiata Berhad.
Terus mengembara
Kemunculan semula Kembara kali ini bukan hanya tertumpu pada persembahan konsert tetapi mereka juga bakal menampilkan buah tangan terbaharu buat peminat.
Kata M Nasir, pelbagai perancangan telah diatur untuk meneruskan perjalanan Kembara selepas ini.
“Untuk album kali ini, terdapat beberapa lagu baharu yang kami rekodkan di mana ia masih mengekalkan identiti Kembara.
“Pada masa yang sama, ada juga lagu-lagu lama yang kami rakamkan semula tapi dengan susunan muzik yang sedikit berbeza.
“Kami berharap, dengan kemunculan album ini tidak lama lagi, ia akan mengubati rindu peminat yang mungkin sudah lama menantikannya,” ujarnya.
Selain itu, Kembara juga akan melancarkan buku biografi tentang sejarah dan perjalanan kumpulan itu untuk rujukan generasi akan datang.
Sebelum ini, Kembara pernah tampil dengan tujuh album iaitu Kembara pada 1981; Perjuangan (1982), Generasiku (1983), Seniman Jalanan (1984), 1404 Hijrah (1984), Duit (1985) dan Lagu-Lagu Dari Filem Kembara Seniman Jalanan (1986
Tiada ulasan:
Catat Ulasan