Ahad, September 07, 2014

Kembara merentasi zaman

petikan Kosmo! 7 September 2014


DARI kiri Zoul, S. Sahlan, A. Ali dan M. Nasir (depan) teruja dengan kehadiran Konsert Hati Emas Kembara yang pertama dianjurkan di Malaysia.

MASA tidak akan pernah terhenti. Kadang kala, ia berlalu pergi begitu saja tanpa meninggalkan sebarang kesan mendalam pada sanubari setiap orang.

Sedar atau tidak, perbezaan kehendak dan cita rasa zaman juga sering terpisah oleh garis masa. Seandainya semalam meminati sesuatu unsur galur muzik berbeza, belum tentu skrip yang sama berulang hari ini.

Maka, tidak hairanlah liku-liku perjalanan seperti itu yang sedang diharungi Kumpulan Kembara sebaik diisytiharkan sebagai satu jenama ulung persada seni tanah air sejak awal 1980-an lagi.

Menyerap halwa telinga masyarakat dengan lagu-lagu kerakyatan yang malar segar sejak sekian lama, Kumpulan Kembara yang diasaskan Datuk M. Nasir bersama A. Ali dan S. Sahlan kini berdepan cabaran berbeza bagi menawan hati generasi muda.

Perjalanan Kembara kini semakin luas dan bukan sekadar muzik.

Jika dulu, seni kumpulan muzik terkenal itu merangkumi perjalanan setiap individu tatkala menempuh kehidupan penuh pancaroba, kini langkah mereka harus lebih panjang dan pantas.

Teras perjuangan Kembara kini perlu merentasi garis zaman berbeza.

Bukan apa, bagi yang membesar dengan lagu-lagu Kembara, ia bukan satu masalah besar.

Sebut saja lagu-lagu seperti Ekspres Rakyat, Hati Emas, Keroncong Untuk Ana, Kepadamu Kekasih, Impian Seorang Nelayan, Duit, Perhentian Pudu Raya mahupun Gerhana, lirik-lirik indah pastinya bermain di fikiran secara automatik.

Namun, bagi generasi terkini yang sekadar mengenali Kembara menerusi YouTube mahu pun lagu-lagu di corong radio, jenama di alam maya saja tidak mencukupi.

Itu juga bukan bermakna Kembara perlu bertukar sekelip mata. Identiti Kembara tetap seperti apa yang diterjemahkan mereka sejak sekian lama, tidak ada apa-apa yang perlu berubah sampai bila-bila.

Disebabkan itu, Konsert Hati Emas Kembara yang bakal berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 21 November ini pastinya dilihat sebagai medium terbaik buat peminat baharu menjiwai karya seni Kembara secara nyata di depan mata.

Sudah pasti, lagu-lagu indah dan lirik-lirik puitis milik Kembara dalam konsert berkenaan berupaya membuai perasaan peminat, sekali gus memastikan masa seolah-olah terhenti meski pun seketika.

Tidak dibayangi M. Nasir

Selepas lebih tiga dekad, perjuangan Kembara sendiri dibayangi populariti dimiliki M. Nasir yang meneruskan kembara seni secara solo hingga kini.

Ada yang menyangka lagu-lagu Kembara merupakan hasil tangan sepenuhnya anak jati Singapura itu, sedangkan ia turut mendapat sentuhan A. Ali atau nama sebenarnya Hamdan Atan dan S. Sahlan (Roslan Tajuddin).

"Saya tetap sebahagian daripada Kumpulan Kembara. Cuma, saya lebih kacak," seloroh M. Nasir ketika sidang akhbar mengenai konsert berkenaan di Istana Budaya baru-baru ini.

Menurutnya, ramai yang mungkin tidak tahu Kembara sebenarnya kumpulan vokal berharmoni sebelum muncul sebagai sebuah band sebaik ketiadaan A. Ali dan S. Sahlan yang membawa haluan masing-masing selepas merakam tiga album bersama kumpulan tersebut.

"Dalam anggota asal Kembara, saya memainkan peranan sebagai penyanyi utama. Terdapat juga vokal bernada tinggi dan universal sebelum diadun menjadi vokal harmoni.

"Ketika itu, anggota-anggota terkini juga bertindak sebagai sesionis sebelum menyertai Kembara selepas kami muncul sebagai satu kumpulan selepas dipengaruhi dengan genre southern rock dan progresif rock.

"Saya juga sedar, ada beberapa kumpulan vokal berharmoni muncul ketika itu tetapi Kembara berbeza kerana muzik kami lebih keras," kata suami Datin Marlia Musa itu.

M. Nasir berkata, konsert pertama di Malaysia kali ini juga menghimpunkan kesemua anggota Kumpulan Kembara seperti Zoul (Zulkipli Mohd.); Cheman Suri; Md. Shah Othman dan Shahrom atau nama sebenarnya Mohamed Shahrum Basiron.

Mereka juga dijangka menjalani latihan di Singapura sebelum meneruskan latihan di Kuala Lumpur menjelang konsert itu nanti.

"Selain itu, kami juga sedang giat menyiapkan album terkini yang menampilkan beberapa lagu baharu dan lagu lama yang dirakam semula dengan susunan masa kini.

"Diharapkan lagu-lagu baharu itu mampu memenuhi cita rasa sekarang, namun pada masa sama, masih mengekalkan identiti Kembara. Ia dijangka dilancarkan sebelum konsert bermula," jelasnya yang turut tidak menolak kemungkinan bakal mengeluarkan album khas sempena Konsert Hati Emas Kembara nanti.

Beliau juga memberikan jaminan konsert di Istana Budaya kali ini berbeza berbanding Konsert Ekspres Rakyat yang pernah diadakan di Esplanade, Singapura pada tahun lepas.

"Sudah tentu ia tidak sama, peminat boleh datang sendiri merasai kelainan kali ini termasuk seni visual dan kualiti persembahan.

"Saya harap, konsert ini dapat memupuk semula kemahuan peminat untuk kembali menyaksikan konsert secara langsung," katanya.

Konsert Hati Emas Kembara kali ini dianjurkan syarikat rakaman, Luncai Emas Sdn. Bhd. dan mendapat sokongan Celcom Axiata Berhad.

Kembara masih aktif

Di sebalik perjalanan seni M. Nasir yang bergerak aktif secara solo, tidak ramai yang tahu ahli-ahli kumpulan Kembara juga giat merencanakan kembara seni masing-masing sehingga kini.

Zoul misalannya, telah menghasilkan tiga album solo di Singapura, selain aktif bermain muzik sebagai sesionis.

"Peluang kembali bermain muzik bersama Kembara sememangnya dinanti-nantikan. Ia bagaikan mengubat kerinduan apabila kami telah lama tidak bermain bersama-sama dalam satu kumpulan," katanya.

S. Sahlan pula memberitahu, beliau sering diundang sebagai juri jemputan seperti Bintang Klasik dan Bintang P. Ramlee selain turut aktif bermain muzik.

"Muzik memang jiwa saya sejak dulu, sehingga kini saya masih bermain secara langsung," kata pelantun lagu Impian Seorang Nelayan itu.

A. Ali akui sukar

Sementara itu, A. Ali mengakui berdepan kesukaran untuk mencipta lagu berkualiti serta mampu bertahan selama lebih dua dekad.

"Hendak buat lagu memang mudah tetapi bagaimana untuk mencipta lagu yang bertahan lama sememangnya sukar.

"Studio diibaratkan rumah kedua kami ketika itu, bertekak tak usah cerita tetapi kami harus jujur dalam berkarya. Jika buat sambil lewa, saya akan menyalahkan diri sendiri.

"Hati memang sakit terutamanya jika M. Nasir kata lagu saya tidak sedap tetapi kami sentiasa bertolak ansur. Mungkin sebab itu lagu kami masih diminati sehingga kini," katanya yang menghasilkan lagu Hentian Pudu Raya.

Kata A. Ali, selain berkarya hasil suasana persekitaran sekeliling ketika itu, dia memang memerlukan idea M. Nasir ketika menghasilkan lagu-lagu buat Kembara.

"Jika saya seorang buat, lagu itu sesuai dinyanyikan oleh penyanyi wanita. Jadi, kami perlu bersama-sama ketika membuat lagu Kembara," ujarnya yang pernah mencipta lagu buat Rohana Jalil dan Zaiton Sameon suatu ketika dahulu.

M. Nasir pula menambah, kekuatan A. Ali lebih cenderung kepada genre pop melayu, sementara beliau lebih berorientasikan unsur-unsur folk (kerakyatan) bersama S. Sahlan.

"Hasil gabungan kami bertiga, maka terhasil lagu-lagu Kembara," kata M. Nasir.

Layak digelar artis

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Datuk Seri Shazzalli Ramly ketika ditemui pada sidang akhbar sama pula berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada Konsert Hati Emas Kembara kali ini.

Menurut beliau, Kembara layak digelar artis berdasarkan reputasi mereka selama ini.

"Lagu-lagu Kembara cukup dekat dengan pendengar dan masih lagi menjadi siulan sehingga sekarang.

"Ada artis yang merungut sukar mendapat sokongan kami, sedangkan kami sentiasa bersedia membantu dengan syarat artis itu harus layak bergelar artis.

"Buat masa ini, kami juga bercadang menganjurkan konsert berskala lebih besar selepas ini, bergantung kepada perbincangan dengan pihak Luncai Emas," katanya.

Menurut Shazzalli, beliau turut optimis populariti Kembara semakin bertambah jika ada artis-artis baharu menyanyikan semula lagu-lagu kumpulan itu di laman sosial seperti YouTube mengikut versi tersendiri.

"Sebagai contoh, Narmi pernah menyanyikan semula lagu Warisan yang kemudiannya dimuat naik di laman YouTube. Hasilnya, lebih 70 peratus terutamanya generasi sekarang menyangkakan lagu itu sebuah lagu baharu.

"Jadi, saya yakin Kembara boleh memikat hati generasi sekarang menerusi cara ini bukan saja di Malaysia malahan di Kemboja, Sri Lanka dan Bangladesh dengan bantuan Celcom Axiata," kata beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Produksi Luncai Emas, Mohd. Khirin Omar juga yakin Konsert Hati Emas Kembara dapat mengulangi kejayaan Konsert Ekspres Rakyat di Esplanade tahun lepas.

"Konsert ini akan dipentaskan di Istana Budaya selama tiga malam berturut-turut dan pastinya sarat dengan lagu-lagu hits Kembara yang telah lama bersarang di hati peminat.

"Justeru, kami yakin konsert kali ini dapat menarik kehadiran peminat, selain mengharapkan magis daripada Kembara demi memberikan suntikan segar kepada hala tuju industri muzik tanah air masa kini terutamanya untuk generasi muda," kata Mohd. Khirin.

Apa yang pasti, perjalanan Kembara tidak akan terhenti setakat ini.

Meminjam bait lirik Hati Emas iaitu Mana lain tujuanku, hati emas yang ku cari, kisahnya di hujung dunia, mengapa tak ku temui, sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya.

Tiada ulasan: