Selasa, Ogos 27, 2013

Pertarungan klimaks M. Nasir, Faizal Hussein

petikan Kosmo! 27 Ogos 2013
Oleh ZAKI SALLEH


M. NASIR dan Faizal Hussein (kanan) merupakan tarikan utama filem Rajawali: Aku Abang Long.

PERTEMBUNGAN antara dunia siber, kuasa mistik dan persilatan Melayu menjadi latar layar filem Rajawali: Aku Abang Long (RAAL).

Merujuk kepada sedutan yang ditayangkan kepada pihak media, RAAL yang diterbitkan oleh Muradijaya Sdn. Bhd. (Muradijaya) itu dijangka muncul sebagai filem Melayu yang cukup hebat serta luar biasa.

Ia ekoran daripada barisan nama-nama besar yang terbabit dalam filem ini.

Dari sisi kreativiti, RAAL merupakan kolaborasi sulung S. Amin Shahab selaku pengarah bersama Mamat Khalid sebagai penulis skrip.

Menampilkan pula pelakon-pelakon hebat seperti Datuk M. Nasir, Faizal Hussein, Wan Hanafi Su serta dua pelakon generasi baharu, Siti Saleha dan Razali Hussain, tenaga lakonan RAAL dimantapkan dengan barisan pelakon baharu yang mula mencipta nama seperti Bil Azali, Yaya Ma’embong, Hafiz Bahari dan Niena Baharun.

Tidak ketinggalan gitaris kumpulan Iklim, Umarul Mahdzar yang membuat penampilan istimewa.

Pemilik Muradijaya, Zaid Harisah Zakaria memberitahu, hampir 65 peratus pengambaran filem tersebut yang berlokasi di Pulau Pinang dan Kuala Kangsar, Perak telah disiapkan.

Selaku penerbitan sulung syarikatnya, Zaid mengakui, dia cukup teruja apabila berjaya mendapatkan khidmat Mamat Khalid untuk mencorakkan jalan cerita RAAL serta kesediaan nama-nama besar industri seni yang menyertai produksinya.

“Perspektif saya menerusi filem ini sudah tentu mahu mengetengahkan tradisi Melayu melalui seni persilatan yang disesuaikan dengan elemen-elemen moden di dalam sebuah filem cita rasa hari ini,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar RAAL di Hotel Vistana, Pulau Pinang baru-baru ini yang dianjurkan baru-baru ini.

Semi fantasi

RAAL mengisahkan sekumpulan remaja yang merupakan penceroboh atau hackers terhandal bertaraf dunia iaitu Maya (lakonan Siti Saleha), Harun (Razali Hussein), Shahrul (Bil Azali) dan Jimi (Hafiz Bahari).

Mereka mengucar-ngacirkan sistem ekonomi antarabangsa dengan menggodam akaun-akaun institusi kewangan demi mengejar kemewahan.

Selain diburu pihak berkuasa, mereka turut dijejaki oleh Komang (M. Nasir) yang menghabiskan usianya mencari hackers terhandal untuk melengkapkan satu perisian komputer unik bersifat mistik.

Ketika inilah munculnya Abang Long (Faizal), yang tinggal di desa dijaga oleh Tok Wan (Wan Hanafi) mendalami ilmu persilatan sejak kecil dan berlakulah pertembungan antara dunia siber, mistik dan persilatan Melayu.

Kehadiran Abang Long untuk menyelamatkan adik-adiknya (Maya dan Shahrul) bagaimanapun mempertaruhkan nyawanya sendiri.

Mengulas mengenai jalan cerita filem itu, ujar Mamat, RAAL merupakan sebuah filem separuh fantasi yang menggambarkan kuasa jahat melawan kuasa baik dengan gabungan unsur-unsur siber yang tidak keterlaluan.

“Skrip filem ini perlu segar, justeru saya kuatkan dengan aksi-aksi dan unsur suspens tanpa meminggirkan budaya tradisi Melayu yang menjadi tunjang kekuatan penceritaannya termasuk kekeluargaan.

“Klimaks filem ini ditonjolkan menerusi pertembungan Abang Long sebagai adi wira untuk berhadapan kuasa jahat Komang, dan di sinilah para pelakon diuji perwatakan masing-masing,” ujar Mamat.

Sarat aksi lasak

Dalam pada itu, S. Amin menegaskan, dia mempunyai sebab penting kenapa memilih Pulau Pinang sebagai lokasi utama RAAL.

Jelas S. Amin, dia memerlukan feri Pulau Pinang kerana banyak adegan pergaduhan telah difikirkan perlu berlokasi di kawasan lain daripada yang lain jika ingin menyajikan perspektif berbeza kepada audiens.

“Tinggalan arkitektur kolonial sekitar George Town masih ada dan masih tidak banyak diteroka dalam sesebuah filem, jadi mengapa tidak digunakan untuk RAAL,” ujarnya.

Ditebak soalan kenapa dia kembali mengarah selepas sekian lama tidak aktif mengarah drama, ujarnya: “Tidak banyak yang berubah (dari segi arahan).

“Cuma kali ini skrinnya besar, maka banyak yang perlu diisi (berbanding drama-drama arahannya sebelum ini). Sebagai pengarah, saya mengutamakan visual dan syot yang cantik.

“Dengan persediaan yang cepat, apa yang boleh saya buat adalah mencantikkan sahaja filem ini.

“Sebenarnya belum tiba masa untuk saya memuji diri sendiri sehinggalah RAAL dinilaikan sendiri oleh audiens,” tuturnya mengenai percubaan sulungnya sebagai pengarah filem.

NASKHAH Rajawali: Aku Abang Long merupakan kolaborasi sulung Mamat Khalid dan S. Amin Shahab (kanan).

Faizal lepas geram

Bukan senang untuk mendengar jawapan ‘ya’ daripada M. Nasir untuk diambil berlakon setelah menolak puluhan lamaran. Bukan memilih tetapi M. Nasir mengakui yang beliau punya sebab tersendiri jika membuat pilihan bersetuju.

“Saya bukan tidak mahu berlakon tapi bergantung kepada projek-projek yang menarik. Saya suka filem ini sebab watak yang diberi adalah dalam dimensi sungguh berbeza.

“RAAL sangat menarik bagi saya bukan sebab S. Amin Shahab itu sahabat baik saya tetapi cerita dan wataknya serta tidak ketinggalan ada (sentuhan skrip) Mamat Khalid.

“Watak saya ringkas iaitu daripada seorang yang baik bertukar menjadi jahat dan akhirnya diselamatkan oleh anaknya sendiri untuk menerima kebaikan,” ujar M. Nasir.

Sementara itu, Faizal Hussein melahirkan kesyukuran kerana dapat terlibat dalam produksi yang membariskan nama-nama besar termasuk kekaguman peribadinya terhadap gabungan S. Amin dan Mamat.

Setelah lebih 30 tahun membabitkan diri dalam industri lakonan, Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) melalui lakonannya dalam filem Bunohan itu menyifatkan RAAL umpama bulan jatuh ke riba.

Dia yang sememangnya peminat filem lasak dan pergaduhan mengakui mencurahkan sepenuh tumpuan terhadap pembikinan RAAL, termasuk melakonkan sendiri aksi stunt termasuk jatuh dari tempat tinggi.

“Cerita tentang Abang Long sendiri seolah-olah watak yang direka untuk saya oleh Mamat. Kemungkinan dalam filem yang lepas-lepas penonton kurang melihat aksi persilatan Faizal Hussein tetapi tidak dalam RAAL.

“Kali ini saya berpeluang ‘melepaskan geram’ untuk melakukan aksi-aksi silat termasuklah satu adegan yang memakan masa dua malam pengambaraan. Paling mencabar adalah untuk beraksi dalam becak sawah,” kata aktor yang mula berlakon pada tahun 1982 itu.

Tidak menafikan ada sedikit tekanan untuk melakonkan filem ini selepas kejayaan Bunohan, bagaimanapun Faizal menyifatkan ia merupakan perasaan biasa yang kerap dialaminya.