petikan mStar 15 Mei 2013
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
M.Nasir bergambar kenangan dengan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani (tiga dari kanan) dan Pengarah Konsert, Zamberi Shaari (empat dari kiri) bersama kumpulan pemuzik Gong Impian. - Foto BRIAN MOH.
KUALA LUMPUR: Pihak penganjur konsert M. Nasir Sang Pencinta menafikan kelembapan penjualan tiket menjadi penyebab tarikh asal persembahan itu iaitu pada pada 7 hingga 9 Jun diubah kepada 28 hingga 30 Jun 2013.
Pengarah konsertnya, Zamberi Shaari berkata, isu itu tidak pernah timbul sebaliknya memberitahu perubahan itu disebabkan oleh kehangatan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang masih belum reda dikalangan penduduk di negara ini.
"Walaupun PRU13 telah berakhir tetapi ia masih menjadi tumpuan dan perbualan hangat dikalangan rakyat Malaysia dan bukannya perkara lain termasuk muzik.
"Jadi perubahan ini dilakukan supaya situasi itu reda terlebih dahulu dan bukannya disebabkan oleh kelembapan penjualan tiket," jelasnya pada sidang media konsert M.Nasir Sang Pencinta di Istana Budaya, Selasa.
Tambah Zamberi, peminat yang telah mendapatkan tiket pada tarikh asal tidak perlu bimbang dengan penukaran tersebut kerana ia masih sah digunakan.
Dalam pada itu, Datuk M.Nasir ketika ditemui berkata, konsert itu nanti akan menampilkan kelainan kerana ia bakal menggabungkan audio dan visual bagi membawa penonton menyelam dan menjiwai lagu-lagu yang bakal dipersembahkan.
Jelas M.Nasir, konsert itu nanti akan mempunyai ciri-ciri teater muzikal yang mana akan memperlihatkan beliau berlakon agar pengembaraan muziknya dapat disampaikan kepada penonton.
M.Nasir bakal menyanyikan 20 buah lagu pada konsert itu nanti.
"Pada konsert ini juga kita akan menggunakan kaedah 'visual mapping' di mana beberapa projektor akan digunakan bagi memberi kesan kepada persembahan pada malam itu nanti," katanya.
Tambah M.Nasir, beliau akan menyampaikan lebih 20 buah lagu dan bakal diiringi oleh 30 pemuzik daripada kumpulan Gong Impian, Orkestra Simfoni Kebangsaan dan Orkestra Tradisional Malaysia.
"Malah pada malam itu nanti saya akan menyampaikan sebuah lagu terbaharu berjudul Sang Pencinta buat semua peminat dan penonton yang hadir," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, M.Nasir berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan perubahan tarikh konsert itu sebaliknya berpendapat ia dapat memberi ruang lebih kepadanya untuk membuat persediaan menjelang konsert itu.
"Apabila pihak penganjur menjelaskan sebab ia perlu ditunda kepada tarikh baru saya bersetuju dan persediaan lebih rapi dapat dilakukan untuk penonton yang hadir nanti," katanya.
Tiket konsert M.Nasir Sang Pencinta dijual pada harga RM65, RM85, RM145, RM185, RM225, RM245, RM265, RM325 dan RM455 dan untuk mendapatkan tiket boleh melayari www.ticket2u.biz atau menghubungi ticket2u di talian 03-41478600.
Peminat juga boleh mendapatkan tiket dengan menghubungi Istana Budaya Box Office di talian 03-20618134.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan