Isnin, Disember 07, 2009

Kaji semula Akta Hak Cipta 1987

petikan Harian Metro 7 Disember 2009
Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my

JUMAAT lalu, bertempat di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur, berlangsung majlis Anugerah Perlindungan Hak Cipta Penerbit Muzik (MACP) yang bertujuan menghargai pencapaian royalti tertinggi tahunan penerbit, komposer dan penulis lirik tempatan.
Bertemakan Bisnes Muzik Era Baru, ia bukan sekadar tertumpu pada majlis anugerah, tetapi membawa harapan besar agar satu revolusi diperkenalkan bagi meningkatkan kembali martabat industri muzik tempatan.

Kebimbangan ini dibangkitkan sendiri pengerusi MACP, Habsah Hassan selepas melihat fenomena industri dibelenggu dengan muat turun muzik secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab sejajar dengan peredaran teknologi. Sebelum itu, kekecewaan penggiat seni digambarkan menerusi video pendek hasil idea asal Johan Nawawi yang menceritakan realiti muzik tempatan masa kini.

Justeru, MACP memohon kerajaan mengkaji semula Akta Hakcipta 1987 supaya ia dipinda dan disesuaikan dengan fenomena masa kini agar karyawan dan pemilik harta intelek lain terjamin daripada segala bentuk penipuan dan eksploitasi.

"Ketika semua bercakap mengenai kecanggihan teknologi yang dilihat mampu memberi pendapatan lumayan kepada penggiat seni tempatan, berlainan pula dengan apa yang menimpa industri muzik. Keghairahan anak muda memuat turun lagu secara percuma dari Internet atau mendapatkannya daripada penjual muzik haram secara Bluetooth atau MP3, menyebabkan penjualan lagu, format fizikal terus merosot, sementara penjualan digital pula tidak meningkat.

"Disebabkan keadaan ini, royalti untuk pencipta muzik dan artis daripada penjualan lagu terus menjunam. Kalau keadaan ini berterusan dan tidak disahsiahkan di jiwa masyarakat mengenai nilai murni, menghormati harta intelek sudah pasti industri ini akan mati juga satu hari nanti.

"Kami tidak mahu keadaan ini berterusan dan atas alasan itu kami amat berharap Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri untuk menghapuskan secara total perompak muzik yang begitu lama menjadi lintah penghisap darah atas usaha dan keringat karyawan kita.

"Selain itu, kami harap kerajaan akan mempergiatkan lagi usaha dan program berbentuk apresiasi bagi menyemai rasa cinta dan bangga terhadap muzik kita di kalangan generasi muda. Ini secara tidak langsung, akan mewujudkan satu platform untuk memperbanyakkan pelapis dalam kalangan komposer dan penulis lirik berbakat," katanya.

MACP ditubuhkan pada 1989, adalah badan pelesenan yang mewakili karyawan muzik di Malaysia dan diiktiraf kerajaan sebagai satu-satunya badan pelesenan yang berjaya melindungi harta intelek muzik.

Pelancaran majlis Anugerah itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri KPKK, Datuk Joseph Salang. Majlis ini turut dihadiri pengarah daripada International Confederation of Societies of Authors and Composers (CISAC).

Sempena majlis anugerah itu, M Nasir berjaya membawa pulang Anugerah Komposer Terunggul kerana menjadi komposer yang menerima royalti tertinggi daripada MACP bagi pengagihan tahun ini. Sementara itu, Rosli Khamis atau lebih dikenali dengan nama penanya, Loloq menerima Anugerah Penulis Lirik Terunggul menerusi Lagu Jiwa Lagu Cinta.


Anugerah Nadi Cipta diberikan kepada komposer Omar Taib sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan beliau selama menceburi industri muzik. Selain itu, buat julung kalinya dalam sejarah penganugerahan MACP, dua pengiktirafan khas diberikan kepada dua pelopor utama yang bekerja keras dalam memaju serta meningkatkan martabat badan itu, Datuk Freddie Fernandez dan Beh Suat Pheng.

Keahlian MACP kini melebih 2,500 orang dan meningkat setiap tahun. Kutipan royalti MACP turut meningkat iaitu 30 juta setahun, tetapi ia perlu diagihkan kepada semua badan royalti seluruh dunia kerana MACP di bawah CISAC. Bagi agihan tempatan, ia berdasarkan kepada berapa banyak penggunaan karya mereka di stesen radio mahupun televisyen tempatan. Disebabkan itu, Habsah menyarankan lebih banyak karya tempatan di mainkan di stesen radio agar menjana pendapatan lumayan pada penulis lirik, komposer dan artis berkenaan itu sendiri. Namun, realitinya lebih banyak lagu luar menjadi pilihan stesen radio tempatan dan ini diakui sendiri oleh pengerusi MACP ini.

SENARAI PEMENANG MACP


Anugerah Nadi Cipta

- Omar Taib

Muzik Malaysia CISAC-MACP

- Datuk Freddie Fernandez dan Beh Suat Pheng

Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak

- M Nasir

Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak

- Rosli Khamis

Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak

- EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd

Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak

- Luncai Emas Sdn Bhd

Komposer Muda Berpotensi

- Hafiz Hamidun

Lagu: Kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi

- Tong Hua. Ciptaan: Michael Wong Kong Leong

Lagu Luar Negara: Kategori Persembahan Terbanyak

- Kekasih Gelapku. Ciptaan: Enda Ungu.

Lagu Melayu: Kategori Persembahan Terbanyak

- Aku Cinta Padamu. Ciptaan Rozman Shafie dan Norkhayati Mohd Hashim

Lagu Cina: Kategori Persembahan Terbanyak

- Kao An. Ciptaan: Lee Chee Cheng dan Teo Li Lian.

Lagu Inggeris: Kategori Persembahan Terbanyak

- Hey General. Ciptaan: Sasidharan Naidu A/L Chandran

Tahniah! Pemenang MACP 2009 : Komposer Muda berpotensi, Hafiz Hamidun dan Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak, M. Nasir.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ala..rindu kat arwah loloq. kalau ada dia pasti banyak lagu menarik akan wujud.

Tanpa Nama berkata...

Tahniah sifu!