Jumaat, November 27, 2009

PGL ke kaca TV

petikan Sinar Harian 27 November 2009

Filem epik unggul yang direkodkan sebagai filem tempatan dengan kos pembikinan termahal, Puteri Gunung Ledang (PGL) lakonan hebat primadona, Datin Seri Tiara Jacquelina bakal ditayangkan kepada umum menerusi kaca televisyen bermula Disember ini.

Selepas berjaya di layar perak dan pentas teater, PGL yang menelan belanja mencecah RM15 juta itu akan disiarkan secara ekslusif menerusi rangkaian TV berbayar ASTRO di dua saluran mereka iaitu Prima dan Citra.

Menerusi slot Suatu Ketika... di saluran Citra, Astro akan memaparkan filem lakonan Tiara, M. Nasir, Adlin Aman Ramlie dan Sofea Jane itu sebagai siri pendek yang dibahagikan kepada empat bahagian termasuk satu episod khas di sebalik tabir pembikinan filem PGL, sementara di saluran Prima, sebuah dokumentari yang akan menyingkap tentang legenda PGL akan ditayangkan.

Tiara yang juga Pengarah Urusan Enfiniti Production Sdn Bhd berkata, siri PGL yang bakal ditayangkan di saluran Astro ini mempunyai keistimewaannya tersendiri.

“Menerusi PGL di Astro nanti, penonton dapat menyaksikan beberapa babak yang sebelum ini tidak ditayangkan di pawagam. Antaranya ialah detik pertemuan Hang Tuah (M. Nasir) dengan Hang Jebat dan juga kisah silam Tun Teja (Sofea Jane),” katanya yang mendukung watak utama sebagai Puteri Gunung Ledang.

Beliau juga berterima kasih kepada pihak Astro kerana memberi penghormatan terhadapnya menerusi tayangan filem epik unggul itu menerusi kaca televisyen.

Menurutnya, pada tahun ini, ia adalah ulang tahun kelima penerbitan filem PGL arahan Saw Teong Hin itu dan tayangan khas di kaca televisyen adalah kesinambungan kepada filem PGL.

“Tayangan ekslusif ini bagaikan hadiah kepada krew penerbitan filem PGL dan juga untuk menghargai peminat setia PGL. Ianya juga memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang sebelum ini terlepas untuk menontonnya di layar perak,” katanya.

Beliau juga berharap penonton berpuas hati dengan adanya siri PGL yang ditampilkan di kaca TV nanti.

“Saya rasa, penonton memang ternanti-nantikan siarannya di kaca TV lebih daripada diri saya sendiri. Ditambah pula dengan penambahan babak-babak yang sebelum ini tidak pernah dipertontonkan kepada umum,” katanya yang juga penerbit filem yang pernah mendapat penghargaan untuk ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Venice dan Festival Filem Antarabangsa Stockholm itu.

Pada pendapat Tiara, perasaan yang berbeza akan dirasakan walaupun berulang kali menonton PGL. Jadi, kepada mereka yang pernah menonton filem PGL, beliau sarankan agar menonton lagi filem tersebut yang akan bersiaran tidak lama lagi.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Citra, Sharlyza Alis Sharkawi berkata, kerjasama antara Enfiniti dan Astro memang telah lama dibincangkan.

“Memandangkan dengan pelancaran slot Suatu Ketika... pada Jun lalu, kami ingin merealisasikan perbincangan tersebut dengan membawa PGL ke kaca TV, dan bermula bulan hadapan, ianya menjadi satu realiti,” katanya.

Sebelum ini slot Suatu Ketika... pernah memaparkan episod Suatu Ketika... Rosly Dhoby. Menerusi episod itu, ianya berjaya memenangi Anugerah Dokumentari Akademik Terbaik dalam Festival Dokumentari Malaysia baru-baru ini. Ianya turut tercalon untuk Kandungan Silang Platform Terbaik bagi Anugerah Televisyen Asia ke 14 yang bakal diketahui pemenangnya pada 3 Disember nanti.

Filem Malaysia pertama yang disenarai pendek dalam pencalonan Academy Awards ke 77 untuk kategori Filem Bahasa Asing Terbaik itu akan ke udara menerusi Astro Citra pada 2 Disember ini pada jam 9.00 malam manakala dokumentari mengenai lagenda PGL akan bersiaran pada 27 Disember pada jam 6.00 petang.

Tiada ulasan: