petikan Harian Metro 21 Januari 2008
Oleh Rudy Imran Shamsudin
MUZIK tradisi tempatan seperti asli, ghazal dan joget kini terpinggir. Sebagai bukti tidak banyak penyanyi mahupun komposer berminat menghasilkan lagu sedemikian.
Perkara ini turut disedari penganjur Anugerah Juara Lagu Ke-22. Pada sidang akhbar diadakan sebelum ini, TV3 mengumumkan kemungkinan memansuhkan kategori Etnik Kreatif & Irama Malaysia apabila kurang penyertaan diterima.
Ketandusan penyertaan lagu dalam kategori itu secara tidak langsung menggambarkan kewujudan irama tradisional dalam industri muzik tempatan semakin tenat dan menyedihkan.
Memastikan perkembangan ini tidak berpanjangan Music Authors Copyright Protection (MACP) baru-baru ini, mengambil inisiatif menganjurkan bengkel menghasilkan lagu Berirama Malaysia, Cipta Ekspres 2008, yang berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Ia membabitkan komposer berpengalaman seperti M Nasir, Adnan Abu Hassan, Fauzi Marzuki, Johan Nawawi, S Atan, Johari Teh, Keon, Alfa Booty, Profesor Madya Khairil Johary Johar, Zubir Ali, Ad Samad, S Amin Shahab, Zul Mahat, Amran Omar, Ramlan Iman, Aidit Alfian dan Azam Dungun.
Ia dipengerusikan Presiden MACP, Habsah Hassan sementara penyanyi alternatif, Abot menjadi peserta wanita tunggal. Mereka berkampung selama empat hari bermula 14 Januari hingga 17 Januari lalu.
Tambah menarik apabila penyanyi popular, Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 29, bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa turut dijemput bagi mendengar dan memilih lagu yang dihasilkan untuk dimuatkan dalam album tradisionalnya yang dalam perancangan.
Selain hadiah daripada MACP sempena ulang tahun hari jadi Siti ke-29, penghormatan diberikan kepada penyanyi itu memilih lagu dihasilkan kerana sebelum ini penyanyi berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu berjaya mengangkat lagu Irama Malaysia sehingga diminati ramai.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perkembangan Seni Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan (KeKKWa), Mohd Adnan Hamzah.
Habsah ditemui selepas majlis selesai mengakui Cipta Ekspres 2008 yang diadakan buat kali keempat, memberikan penekanan terhadap lagu berirama Malaysia kerana ia semakin kurang dihasilkan.
“Siti sendiri sebelum ini menyatakan menghadapi masalah untuk mencari lagu sesuai bagi menerbitkan album tradisional sehingga dia terpaksa mendahulukan pembikinan album pop, Hadiah Daripada Hati.
“Kami menjemput Siti untuk mendengar sendiri dan memilih lagu mana yang dirasakan sesuai dimuatkan dalam album yang sedang diusahakan.
Sepanjang empat hari berkampung, MACP mensasarkan 10 lagu dapat dicipta. Bagaimanapun kami berjaya menghasilkan 13 lagu melebihi sasaran awal.
“Komposer yang hadir juga kami pilih mengikut kecenderungan. Kalau kita perhatikan kebanyakan mereka punya nama besar dalam industri muzik tempatan.
“Begitupun kita turut menjemput beberapa pencipta muda seperti Radhi daripada kumpulan OAG dan Abot bagi melihat bagaimana pencipta dari latar muzik berbeza dapat bergabung dan menghasilkan sesuatu yang menarik,” katanya.
Tidak dinafikan apabila orang lama dan baru bergabung pelbagai irama dan muzik tradisi dapat dihasilkan. Walaupun ia dibuat dalam masa singkat tetapi tetap menarik kerana pertukaran idea dan perbincangan dilakukan komposer terbabit berjaya melahirkan karya lebih terkini.
Siti sendiri mengakui karya dihasilkan semua komposer yang menyertai Cipta Ekspres 2008 menarik walaupun masa diperuntukkan untuk mereka berkarya terlalu singkat.
“Saya sendiri pernah mencipta lagu dan kerana itu saya tahu bukan mudah menghasilkan karya dalam masa cukup singkat. Hanya mereka yang benar-benar profesional mampu melakukannya dengan baik.
“Sebelum ini ada komposer memberikan lagu kepada saya hanya menyerahkan melodinya. Namun hari ini bayangkan dalam masa empat hari komposer terpilih mampu menghasilkan lagu hampir siap dengan susunan dan instrumen muziknya,” katanya.
Sementara itu Mohd Adnan berkata, sekiranya ada karya tidak digunakan Siti, pihak KeKKwa berminat mengambilnya dan merakamkan lagu terbabit dalam album khas seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
Lebih menggembirakan apabila penyanyi yang kini sedang popular dengan lagu Ku Mahu, akui akan memilih beberapa lagu dirasakan sesuai untuk dimuatkan dalam album tradisional. Kerja rakaman untuk album itu akan dimulakan sebaik urusan promosi Hadiah Daripada Hati selesai.
“Ia sesuatu yang amat mengkagumkan. Saya terharu apabila diberikan penghormatan untuk memilih semua lagu dihasilkan bagi dimuatkan dalam album yang bakal saya usahakan.
“Tidak dinafikan ada beberapa lagu pada pandangan saya cukup menarik. Mengambil contoh ada lagu kedengaran agak terkini tetapi berikan sentuhan nyanyian tradisional. Begitulah juga sebaliknya. Begitupun saya merasakan lagu ciptaan Radhi sangat unik.
“Mungkin kerana dia menghasilkan lagu alternatif dengan diberikan sedikit sentuhan irama tradisional, ia secara tidak langsung menjadikan karya dihasilkan kedengaran baru dan segar,” katanya.
Sementara itu Mohd Adnan berkata, sekiranya ada karya tidak digunakan Siti, pihak KeKKwa berminat mengambilnya dan merakamkan lagu terbabit dalam album khas seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Seperti apa yang pernah dilakukan duta lagu rakyat yang dilantik KeKKwa iaitu Zainal Abidin, lagu ini sayang sekiranya dibiarkan begitu saja.
“Kita akan mengambilnya dan menjadikan ia produk KeKKwa. Bagaimanapun lagu dipilih harus diberikan susunan baru dengan memberikan lebih penekanan kepada instrumen mahupun irama Melayu asli agar pengaruh tradisi lebih kuat,” katanya.
Bagi menjadikan sesi pra dengar lagu dihasilkan menghiburkan, beberapa artis muda seperti Zila Seeron, Rosma, Azfar dan Juara Bintang Klasik FM, Mohaizam Ahmad dijemput mendendangkan lagu dihasilkan.
Tidak ketinggalan ada antara komposer terbabit menyanyikan sendiri lagu dicipta.
Mengambil contoh Khairil Johari Johar bergabung dengan Zubir Ali menghasilkan lagu Bulan Yang Mesra tampil menyanyikan sendiri lagu dihasilkan. Sementara Radhi menghasilkan lagu Langit Masih Cerah tampil menyanyi lagu dicipta bersama Abot.
2 ulasan:
how to apply MACP???
im very good in producing song.
i have more than 50 writting songs.
i need somebody guide me on how to promote it.
pls email me at pachyin@yahoo.com
For more info on MACP, visit
http://www.macp.com.my/membership.html
Catat Ulasan