petikan Mstar 10 November 2006
Radin Sri Ghazali
KUALA LUMPUR: Separuh akhir Muzik-Muzik 21 kini diubah siarannya dariapda petang kepada waktu perdana iaitu 9.30 malam.
Pengurus Besar Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan berkata perubahan waktu siaran itu dijangka menarik lebih ramai penonton.
"Pada tahun-tahun terdahulu separuh akhir Muzik-Muzik berjaya mendapat 1.5 penonton ketika ia disiarkan pada jam 5.30 petang. Jika siarannya ditunda ke waktu perdana, kami yakin dapat menggandakan angka tersebut," jelasnya pada sidang media semalam.
Selain waktu siaran, terdapat beberapa perubahan lain yang dibuat termasuk tempoh persembahan di antara kategori ditukar daripada selang sehari kepada selang seminggu.
30 lagu bakal berentap menerusi tiga buah kategori iaitu Balada, Etnik Kreatif serta Pop Rock.
Kategori Irama Etnik Kreatif bakal memulakan saringan separuh akhir pada 24 November, diikuti Balada pada 1 Disember dan kategori Pop Rock pada 8 Disember, bertempat di Sri Pentas 2, Shah Alam.
Daripada lagu-lagu yang dipertandingkan itu, 16 akan berentap pada peringkat akhir pada 7 Januari tahun depan.
Azhar juga menyuarakan kebimbangan pihak pengurusan terhadap penurunan drastik jumlah lagu daripada kategori Irama Etnik Kreatif yang masuk bertanding.
Katanya, kategori itu mungkin akan dimansuhkan di masa akan datang jika komposer terus enggan menghasilkan lagu dalam irama itu kerana kurang sambutan.
Mengenai sama ada Ajai dan Nurul akan tampil menyanyikan lagu mereka Serasi Bersama yang turut dicalonkan ke peringkat separuh akhir Azhar berkata:
"Kami sudahpun menghubungi Ajai. Dia berkata bahawa mereka akan bertanding walaupun mereka kini dalam proses penceraian.
"Harus diingatkan bahawa Muzik-Muzik merupakan sebuah pertandingan lagu dan bukannya artis," jelasnya.
Ini, katanya, bermakna jika penyanyi asal tidak dapat membuat persembahan, komposer harus mencari penyanyi yang lain untuk menggantikannya.
M.Nasir merupakan antara komposer serta penyanyi yang mendominasi Muzik-Muzik ke-21 ini.
Beliau mempertandingkan tiga buah lagu termasuk Nafas Cinta nyanyian Misha Omar, Lagu Jiwa Lagu Cinta, duet bersama Mawi serta lagu nyanyiannya sendiri, Juwita Citra Terindah.
"Semua lagu yang bertanding adalah sama kuat. Jadi saya tidak memilih sebarang lagu untuk dijadikan saingan pada pertandingan kali ini," kata M Nasir.
Lagu Jiwa Lagu Cinta yang merupakan siulan ramai peminat turut diletakkan sebagai calon lagu untuk meraih kejayaan.
"Kami ( bersama Mawi) akan duduk dan berbincang nanti. Sudah semestinya kami akan berlatih bersama-sama kelak," ujar bekas sifu Akademi Fantasia 3 itu lagi.
Bagi penyanyi bersuara lembut, Nora, Muzik-Muzik Separuh Akhir kali ini adalah satu petanda kebangkitan kepada kerjaya nyanyiannya yang hampir mencecah 14 tahun.
Nora akan berentap menerusi lagu tema slot Samarinda, Nuraishah iaitu Secebis Harapan hasil nukilan Zulkifli Mahat dan Noor.
"Saingan semuanya hebat tetapi saya akan merancang dengan teliti . Namun saya mahu beri lebih banyak penekanan pada kualiti vokal saya," ujarnya .
Neves ataupun nama sebenar Raizan Zainal Abidin daripada kumpulan Pretty Ugly, merupakan antara komposer pelapis yang mula menunjukkan taring pada pertandingan kali ini.
Bukan sahaja lagu nyanyian kumpulannya iaitu Diari Seorang Lelaki dicalonkan untuk kategori Pop Rock, lagu ciptaannya yang berjudul Menari Denganku (duet di antara Siti Sara dan Zahid AF2) turut dicalonkan.
Ketika ditanya persediaan untuk ke separuh akhir, Neves menjawab," Tiada persediaan yang gah kerana peringkat ini hanya menggunakan Minus One. Kalau sudah layak ke peringkat akhir, barulah kami akan memperhebatkan lagi showmanship kami."
Mengenai kesangsian ramai mengenai kemampuannya menyanyi live berikutan kelemahan persembahannya ketika Anugerah Era 2006, Neves berkata: "Saya mengakui bahawa vokal saya pada malam itu tidak bagus tetapi jika satu hari suntuk berlatih dan tidak rehat, sudah semestinya ini akan menjejaskan persembahan."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan