Khamis, September 14, 2006

Cipta Ekspres cari identiti muzik Malaysia

petikan Berita Harian 14 September 2006
Oleh Rozdan Mazalan

MUSIC Authors Copyright Protection (MACP) bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan (KeKKWa), akan mengenal pasti identiti sebenar lagu berwajah Malaysia melalui melalui bengkel yang akan diadakan mulai 16 hingga 19 September ini.

Bengkel yang diberi nama Cipta Ekspres akan diadakan di Residence Desa Lagoon Resort Port Dickson, Negeri Sembilan bersama 30 peserta iaitu komposer, penulis muzik, pemuzik, dan penyusun muzik yang bergabung tenaga melahirkan lagu beridentiti Malaysia.

Pengerusi MACP, Habsah Hassan berkata bengkel kali ketiga diadakan itu bertujuan mencungkil identiti muzik Malaysia sekali gus memperkenalkan muzik berwajah baru itu ke negara luar.

“Kita gembira kerana penganjuran bengkel kali ini mendapat kerjasama KeKKWa yang turut berminat berikutan matlamat murni kita untuk martabat muzik Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui lagu.

“Muzik Malaysia kita terlalu universal dan kita perlu mencari wajah sebenar yang mewakili seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan pelbagai budaya.

“Selain itu, skop muzik kita juga masih banyak yang belum diterokai dan muzik Malaysia sebenarnya tidak terikat pada irama Malaysia saja,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.

Katanya, tiga lagu terbaik yang dihasilkan akan dipilih untuk diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa dan akan diperdengarkan pada hari akhir bengkel berlangsung.

“Bengkel ini bukanlah pertandingan mencipta lagu, sebaliknya salah satu inisiatif untuk menghasilkan lagu yang mewakili wajah dan jiwa Malaysia,” katanya.

Antara 30 nama peserta daripada 2000 ahli MACP yang akan menyertai bengkel ini yang diumumkan pada sidang media itu ialah M Nasir, Aidit Alfiat, Adnan Abu Hassan, Arab, Azmeer, Bob Lokman, Johan Nawawi, Fauzi Marzuki, Bell, Azam Dungun, Andy (Flop Poppy), Amran Omar, Lan Laga, S Atan dan To’Ki.

Selain itu, tiga artis seperti Ziana Zain, Syura dan Nora diberi pengiktirafan untuk menyanyikan lagu terbaru yang dihasilkan melalui bengkel itu pada malam terakhir 19 September nanti.

Sehubungan itu, lagu hasil Cipta Ekspres ini diharap akan mencerminkan identiti Malaysia yang menjadi matlamat KeKKWa dan MACP untuk melahirkan lagu yang dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Tiada ulasan: