Sabtu, November 19, 2005

Singkat tapi bermutu

petikan Harian Metro 19 November 2005

Oleh Ellyna Ali
elly@hmetro.com.my

M Nasir, Fauzi Marzuki jamin album sulung Mawi hebat

SEKALIPUN Mawi...Yang Tercinta mengambil masa agak singkat untuk dihasilkan, namun ia bukanlah sebuah produk album yang dilakukan secara tergesa-tergesa.

Perkara ini ditegaskan M Nasir pada sidang media pelancaran album solo Juara Akademi Fantasia Musim Ketiga (AF3), Asmawi Ani atau Mawi, 24, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam kelmarin.

Selaku salah seorang penerbit album serta komposer paling banyak menyertakan lagu dalam Mawi...Yang Tercinta, Nasir berkata, proses penerbitan album solo Mawi itu sama dilakukan seperti penyanyi lain.

“Walaupun kerja ini diterima dalam waktu yang singkat tapi kita masih boleh ‘adjust’ masa yang ada untuk menyiapkan tugasan ini dengan teliti,” katanya.

Menjelaskan sejauh mana tahap vokal Mawi yang bertambah baik di dalam album ini berbanding persembahan di dalam konsert mingguan AF3 sebelum ini.

Menurutnya, memperkatakan mengenai kerja rakaman sebenarnya satu cerita yang sangat menarik.

“Apabila Maestro merancang menghasilkan album solo Mawi, sudah tentu ramai ingin menyumbangkan lagu kepada bintang AF ini.

“Semua bagi idea dan banyak lagu yang dihantar. Saya dan beberapa wakil dari Maestro diberi mandat untuk membuat pilihan serta memilih lagu yang dirasakan terbaik serta bersesuaian dengan Mawi.

“Hasilnya, lagu dipilih adalah dari kalangan komposer yang anda lihat pada hari ini iaitu Fauzi Marzuki, Yasin, Ajai serta saya sendiri.

“Walaupun tidak terbabit secara langsung di dalam produksi ini tetapi tugas saya untuk memerhati proses penerbitan album ini.

“Jadi, kalau ditanyakan apakah Mawi boleh menangani semua lagu yang dihasilkan komposer terbabit, jawapannya, Mawi menanganinya dengan begitu baik sekali.

“Kalau tidak percaya tanya komposer yang lain, Mawi ternyata mampu menghayati setiap lagu yang dibawakan itu dengan baik,” katanya.

Sesuatu agak menarik dalam album ini bila Nasir sendiri menyertakan lima daripada lapan lagu yang dihimpunkan dalam album ini iaitu Lagu Jiwa Lagu Cinta, Di Pintu, Perempuan, Yang Tercinta serta Aduh Saliha.

Bagaimana tercetusnya keadaan ini sedangkan Nasir seorang karyawan muzik yang sentiasa sibuk? Dek kerana kesibukan itu juga, segelintir penyanyi lain masih menantikan lagu daripadanya. Namun, kenapa untuk Mawi, Nasir punya waktu?

Jelas Nasir, dia berasakan seolah-olah mempunyai aliran yang sama sewaktu menghasilkan beberapa lagu dalam album Mawi. Idea yang tercetus juga seakan mudah mengalir menerusi aliran yang sama ini.

“Sekalipun dari segi tempoh masa, album saya sendiri mengambil masa empat tahun untuk dihasilkan berbanding Mawi, namun aliran yang sama inilah yang memudahkan saya menghasilkan lagu buat Mawi,” katanya.

Fauzi Marzuki pula berkata, dulu dia pernah berkata mahu bersara daripada bidang penciptaan lagu.

“Sebab saya buat lagu berdasarkan tiga perkara iaitu bajet, artis itu sendiri serta cabaran yang bakal saya hadapi.

“Namun dalam kes Mawi, saya mengetepikan niat untuk bersara kerana saya dapati Mawi seorang penyanyi yang mempunyai suara sangat istimewa serta imej yang berlainan sekali. Ia satu cabaran buat saya,” katanya.

Sementara Mawi pula berkata, dia berasa sangat bertuah dapat bekerjasama dengan keempat-empat komposer yang hebat itu.

“Walaupun album ini begitu singkat dihasilkan, pembikinannya tetap dilakukan secara hati-hati.

“Sebab itulah ada masanya saya terpaksa masuk ke studio sebanyak dua kali untuk merakamkan lagu yang sama.

“Maklumlah, kita ini bukannya sentiasa sihat. Ada kalanya kesihatan diri kurang baik dan boleh menjejaskan proses rakaman lagu yang sedang dilakukan.

“Sebagai contoh, saya terpaksa merakamkan semula Lagu Jiwa Lagu Cinta serta Yang Tercinta ciptaan M Nasir semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan rakaman pertama sebelum ini.

“Namun, di antara trek lagu yang paling susah dirakamkan ialah Aduh Saliha. Sebabnya, M Nasir mahukan yang benar-benar terbaik daripada saya menerusi lagu ini,” katanya.

Bintang AF kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini mengharapkan persembahan vokal serta lagu baru yang dibawanya dalam album solo pertama ini mampu memuaskan hati semua pihak.

“Saya masih baru dalam bidang ini. Masih banyak yang perlu saya pelajari. Tetapi saya akan cuba memberikan yang terbaik buat peminat kerana sebagai penyanyi saya punya peranan serta tanggungjawab besar sebagai penghubung masyarakat.

“Saya perlu bawakan mesej positif di dalam setiap lagu yang dibawakan,” katanya.

Sidang media pelancaran album solo Mawi itu diadakan bersempena persembahan malam amal & Fabriganza Islamic anjuran D’ Reka Batik Design Sdn Bhd.

Ia dilakukan sebagai tanda penghargaan Mawi terhadap penyokongnya selama ini khususnya di kalangan ahli kelab Sahabat Mawi FC yang turut sama memeriahkan majlis itu.

Dalam persembahan di malam amal itu, Mawi turut membuat kejutan apabila memperagakan salah satu pakaian rekaan butik berkenaan serta menyanyi rangkaian lagu baru di dalam album solonya itu.

Antaranya Cinta Hakiki, Perempuan serta Lagu Jiwa Lagu Cinta yang dipersembahkan secara duet bersama M Nasir. Nash daripada Lefhanded turut memeriahkan majlis sebagai penyanyi undangan.

Tiada ulasan: