Selasa, Mei 17, 2005

Siapa kata saya tak mesra?

Oleh Zubir Mohd Yunus | Gambar oleh Rohanis Shukri
petikan Bintang Popular

PROGRAM realiti TV paling popular, Akademi Fantasi musim ke-3 (AF3) dijadualkan menemui peminatnya menerusi Astro Ria selewat-lewatnya akhir Mei ini bersama pengetuanya, sifu M Nasir. Reputasi Nasir sebagai komposer, penyanyi, penulis lirik, pelakon dan pengacara, diyakini mampu memikul tanggung jawab berkenaan. Pun begitu, seperti yang diketahui umum, sikap Nasir yang serius atau dalam erti kata lain, tidak mudah mesra dan kurang bercakap mungkin menyukarkan proses pembelajaran dalam AF3. Ada juga pendapat mendakwa Nasir sebenarnya tidak layak bergelar pengetua AF3! Dalam masa sama, Nasir juga berdepan dengan kemelut dengan anak didiknya, kumpulan Spider yang mengambil keputusan menamatkan kontrak dengan rekod label mereka, Luncai Emas selepas mendakwa publishing house milik Nasir itu tidak menunaikan janji. BINTANG POPULAR berusaha mendekati Nasir mencari kepastian.

“KENAPA tidak saya menerima tawaran ini? Saya sebenarnya tak berapa suka program realiti, tetapi ada di antaranya yang bagus. Mungkin bintang yang lahir dari program realiti ini ada bakat lain, bukan menyanyi (ketawa).

Tetapi tujuan utama program realiti ialah melahirkan penyanyi yang boleh perform dengan baik atau mempunyai karektor yang boleh kita ketengahkan.

Menerusi program realiti TV, cabarannya ada pada tenaga pengajar, pengetua mahupun penerbitnya untuk melahirkan apa yang masyarakat kita cita-citakan. Menerusi program realiti TV umpamanya AF3, ia mempunyai high profile, sekali gus masyarakat mahu melihat kami melahirkan penyanyi yang berkualiti. Bagi saya, ini satu cabaran yang besar. Kini, AF memasuki musim ketiganya dan saya rasa ia sudah mencapai satu tahap kesedaran.

Mereka yang masuk AF ni sebenarnya berani. AF adalah platform untuk komersial, kalau ada, kenapa tak boleh? Orang nak hidup, apa salahnya? Semua yang masuk AF mempunyai semangat untuk mencapai sesuatu, tapi apabila dah masuk, baru dia orang tahu. Tujuan AF simple, melahirkan penyanyi atau role model yang berkualiti, namun itu hanya penilaian kita, tapi penilaian orang lain berbeza.

Orang bercerita, saya serius, tak apalah... Kalau pelajar tak 'lepas' saya, mereka tak 'lepas' dunia (hiburan) kat luar sana. Itu yang saya cakap, mereka yang masuk AF ni berani. Dunia kat luar tu lagi zalim.

Bagi saya, bintang dilahirkan, bintang tak boleh dicipta.

Tapi, saya masih tak faham, macam mana orang cakap saya ni serius. Bergurau? Marilah bergurau (ketawa).



... orang bercerita, saya serius, tak apalah...
Kalau pelajar tak 'lepas' saya, mereka
tak 'lepas' dunia (hiburan) kat luar sana.



Siapa yang bagi peluang kepada saya jadi pengetua AF3? Astro menawarkan posisi pengetua kepada saya. Mula-mula tu saya tak berapa minat. Tapi, akhirnya saya nampak AF3 ni ada potential. Saya mendekati pelajar itu bersama kemampuan mereka.

Pelajar yang berada dalam AF tu, sebenarnya takut. Kita nak bagi mereka keyakinan. Bina keyakinan dulu, barulah nak cerita macam mana nak jadi penyanyi yang berkaliber.

Saya tak akan cakap, benda yang tak perlu saya cakap. Saya hanya sampaikan, apa yang perlu saya sampaikan saja. Jadi, itu yang orang nampak saya tak banyak cakap. Saya ni seorang yang kritikal.

Manusia dijadikan sama, tapi banyak perbezaannya. Persamaannya dari segi perasaan. Kat mana dia akan tersentuh, tergugat.

Mereka yang masuk AF ni hanya ada satu aspirasi iaitu menjadi bintang dan menjadikan nyanyian sebagai satu kerjaya. Tapi, siapa kata saya tak mesra? Saya mesra dengan orang yang saya nak mesra.

Perlukah saya mesra dengan semua orang kalau saya tak nak? Biarlah orang di luar sana nak cakap apa. Apabila saya didekati secara individu, anda akan rasa kelakar, tapi ada sempadannya.

Bagi saya, kata-kata didikan yang diberi kepada pelajar AF ni, hanya masuk lima peratus saja dalam kepala dia orang dan dipraktikkan.

Dalam tempoh pembelajaran selama tiga bulan, dia orang tak boleh dapat semua. Jadi, saya hairan kenapa harapan orang begitu tinggi terhadap saya? Tugas pengetua AF3 ini diberi kepada saya, saya terima bersama cabaran yang besar, jadi biarlah saya buat kerja dulu, baru komen.

Sementara itu, apa yang berlaku antara Luncai Emas dan Spider adalah suatu perkara biasa dalam dunia hiburan. Takkanlah sebagai sebuah syarikat rakaman, saya nak perkara ini berlaku? Apabila 'chemistry' tu dah tak ada, keserasian tak ada, inilah yang berlaku.

Sebenarnya kami dalam proses penyelesaian. Benda ni tak akan makan masa lama. Saya dalam proses untuk melepaskan mereka (Spider), tapi adalah syaratnya kerana kontrak masih ada. Namun, apa yang berlaku antara kami, tak perlulah saya ceritakan. Kisah rumah tangga tak perlu orang luar tahu.

Saya tak rasa Spider macam Si Tanggang atau kacang lupakan kulit kerana perkara itu biasa. Saya juga artis, saya tahu. Tapi, tak semua. Ada artis yang akan kekal bersama syarikat rakaman mereka dan taat kepada kesetiaan.

Saya harap selepas ini Spider lebih profesional dan matang dalam hidup. Mereka pergi saya sikit pun tak rasa ralat, mungkin saya berhati batu.

Saya ada pendirian. Tapi, suasana sentiasa berubah. Ada ketikanya pendirian boleh berubah mengikut situasi permainan, macam orang main bola. Apabila berubah, kita perlu ambil keputusan.

Kalau dia orang nak datang bekerja dengan saya semula dan jika situasi membenarkan, saya buat juga. Kerja kita akan membuktikan segalagalanya...”


Lokasi:
Warner Music (M) Sdn Bhd,
Plaza MUI, Kuala Lumpur


Terima kasih:
Pengurus M Nasir,
Hibat Ehsan (013 227 6366)

Tiada ulasan: