Khamis, November 18, 2004

M. Nasir - Buat filem lagi

petikan Utusan Malaysia 18 November 2004

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

M.NASIR akan mengarah dan menerbitkan sendiri sebuah filem bercorak pertarungan awal tahun depan. Filem tersebut yang dijangka menelan belanja sekitar RM1.2 juta itu akan diterbitkan di bawah syarikat miliknya dengan kerjasama sebuah syarikat lain.

``Buat masa ini skrip filem ini sedang dalam proses pengubahsuaian dan insya-Allah awal tahun depan saya akan mula mengarahkannya.

``Beberapa nama pelakon telah pun saya kenal pasti untuk membintangi filem ini,'' kata M.Nasir ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Nasir, walaupun sebelum ini filem arahannya, Merah gagal mencapai kutipan box-office tetapi itu sedikitpun tidak melemahkan semangatnya untuk terus mengarah.

``Merah adalah pengalaman pertama saya. Setiap yang pertama tentu banyak dugaannya. Tetapi saya tidak serik malah ia dijadikan tauladan dan panduan untuk saya mengarahkan filem kedua ini.

``Saya yakin dengan pengalaman lalu dan para pelakon berpengalaman yang akan membintangi filem ini, akan dapat membantu menjayakannya,'' kata Nasir.

Sebelum ini, M.Nasir sibuk dengan rancangan M. Nasir: Destinasi Dunia iaitu sebuah rancangan dokumentari yang menemuramah para pencipta lagu seluruh dunia.

Rancangan terbitan DDB Sdn. Bhd., dengan skrip dan penyelidikan Saniboey Ismail itu dijangka akan disiarkan di astro RIA tidak lama lagi.

Rancangan 26 episod itu telah pun menjalani penggambaran di Turki, London dan Sepanyol selama hampir dua bulan lalu. Penggambaran ini dijangka akan disambung semula selepas Hari Raya ini.

Menurut Nasir, rancangan yang menemuramah para pencipta lagu yang lahir di bandar-bandar terpencil di dunia itu dijangka akan dapat memberi manfaat kepada para pencipta tempatan.

M. Nasir: Destinasi Dunia diarahkan oleh Khairul Anwar Salleh.

Tiada ulasan: