Jumaat, Ogos 13, 2004

Siti, M Nasir tarikan terbaru PGL

Oleh Akmal Abdullah
petikan Berita Harian 13 Ogos 2004


M NASIR bersama Siti Nurhaliza akan berganding menyanyikan lagu Bagai Sakti untuk Soundtrack PGL.

SELEPAS mendapat perhatian ramai untuk single pertama soundtrack filem Puteri Gunung Ledang (PGL), Asmaradana nyanyian Tiara Jacquelina, kini single kedua pula dihasilkan dengan judulnya, Bagai Sakti menerusi gabungan vokal sifu muzik, M Nasir dan penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Taruddin.

Asmaradana dijadikan sebagai lagu pengenalan untuk PGL, sementara Bagai Sakti akan dijadikan lagu tema untuk filem epik legenda itu. Filem yang bakal ditayangkan di seluruh negara bermula 31 Ogos ini juga menyaksikan buat pertama kalinya Nasir dan Siti bergabung tenaga di studio rakaman bagi membantu mempromosikan filem itu untuk lagu temanya.

Tidak pernah sifu dan artis nombor satu negara itu berpadu suara dalam bentuk rakaman, tetapi kini bagaikan ada kuasa sakti yang berjaya menyatukan mereka. PGL menjadi perantaranya. Yang pasti, ia akan membuatkan satu lagi kejutan terhadap imej lagu tema sesebuah filem tempatan sesudah Misha Omar tampil menerusi Pulangkan atas nama Pontianak Harum Sundal Malam.

Bagai Sakti juga memberi kegembiraan kepada M Nasir kerana akhirnya dia dapat berpadu suara dengan komposer berpengalaman itu, apatah lagi untuk satu projek yang cukup bermakna bagi menghiasi lagu latar sebuah filem yang termahal dalam sejarah industri perfileman di negara ini.

Lagu ciptaan Nasir sendiri itu sudah siap dirakam baru-baru ini, dan ia kini sedang dalam proses menyiapkan klip videonya. Muzik lagu berkenaan diambil daripada inti pati muzik Melayu dan Jawa. Untuk filem itu, melodinya saja digunakan sebagai lagu latar manakala vokal Siti dan M Nasir boleh dinikmati menerusi album yang akan dipasarkan.

“Lagu yang saya buat ini ini saya nyanyikan dengan Siti, elemen yang saya ambil daripada muzik Melayu dan Jawa dengan pertimbangannya dalam irama pop,” kata M Nasir pada sidang media di USJ Subang Jaya, Rabu lalu.

Hadir sama, Siti Nurhaliza serta Penerbit Eksekutif PGL, Datuk Shazalli Ramly.

Klip video lagu berkenaan dibuat di lokasi dalam panggung wayang GSC Summit USJ, Subang bagi menggambarkan pertemuan Siti dan M Nasir bersama penonton lain yang sedang menyaksikan PGL di pawagam. Klip video itu diarahkan Virginia Kennedy.

Siti pula berkata, berganding vokal dengan M Nasir untuk rakaman Bagaikan Sakti adalah peluang terbaik baginya dan ia juga adalah kali pertama mereka bekerjasama di studio.

“Sebelum ini, kami cuma dapat bergabung dalam persembahan pentas, jadi apabila dapat peluang untuk berduet dengan Abang Nasir, saya anggap ia satu peluang yang tidak boleh saya menolaknya. Ia menunjukkan saya juga bertanggungjawab untuk sama-sama mempromosikan filem ini, termasuk pasarannya di luar negara nanti.

“Masa mula bekerja dengannya di studio, saya rasa berdebar juga sebab kami tidak pernah merakam lagu bersama sebelum ini. Nasir ada ajar saya sewaktu menyampaikan lagu ciptaannya ini. Tetapi lama juga kami nak carikan kesesuaian tetapi saya dapat panduan vokal untuk melodinya.

“Kira-kira empat hingga lima jam juga untuk siapkan rakaman vokal saya untuk lagu ini. Masalah utamanya dari segi key. Saya dapat key yang tinggi tetapi untuk dia tiada masalah. Bagi saya Abang Nasir seorang peramah, pandai berjenaka dan banyak cakap,” katanya.

Kata Siti, Bagai Sakti adalah lagu kedua nyanyiannya untuk tema filem cereka selepas Paloh pada tahun lalu, selain satu lagu tema lain pernah dinyanyikannya untuk telemovie Air Mata Ibu.

Ditanya apakah dia sendiri tidak berminat untuk berlakon filem kerana hanya asyik menjadi penyanyi lagu tema filem, Siti dengan cepat menjawab, “Bukannya selalu... baru dua filem saja. Pasal lakonan, memang saya berminat dan tunggu masa sesuai. Untuk tahun ini, tidak mungkin sebab jadual saya penuh dengan konsert, kemudian konsert di Brunei dan Indonesia.

“Insya-Allah, jika bersedia nanti, saya akan umumkan. Saya berminat dalam lakonan dan masih menunggu cerita yang sesuai, watak yang sesuai dan diterbitkan menerusi syarikat sendiri, boleh juga saya bekerjasama dengan mana-mana pihak. Saya rasa lebih sesuai kalau dapat pegang watak wanita lasak, jadi budak nakal. Saya hendak bezakan karektor saya dengan realiti sebab orang kenal Siti di luar berlainan dengan dalam filem.

“Kalau hendak terbit sendiri filem, memang saya mahu tetapi tunggu masa yang sesuai,” kata Siti ketika ditemui di lokasi penggambaran klip video Bagai Sakti sebaik saja selepas sidang media.

Sementara itu, Shazalli menjelaskan, lagu tema itu akan dimuatkan dalam album khas untuk promosi PGL dan ia akan dipasarkan serentak pada tarikh permulaan tayangan filem berkenaan.

“Ia adalah salah satu strategi pemasaran kita selepas kita memperkenal lagu Asmaradana ciptaan KRU sebagai single pertama. M Nasir bukan saja sebagai Hang Tuah dalam PGL tetapi penggubah dan penyanyi lagu tema PGL, kita gandingkan dengan Siti.

“Kita harap gabungan yang terbaik akan hasilkan yang terbaik. Kita bangga dengan Nasir dan Siti kerana ini juga kali pertama kita buat filem dan belanja lebih RM20 juta, jadi kita harap dapat beri yang bermutu tinggi, sekali gus menaik taraf filem ini,” katanya.

Tiada ulasan: