Isnin, Disember 08, 2003

‘Sifu’ & Spider bergabung dalam mentera semerah padi 04

Teks Haswari Ali
petikan emedia.com.my

SEJAK sibuk dengan penggambaran filem Puteri Gunung Ledang (PGL) dengan watak Hang Tuah, kerjaya nyanyian M Nasir agak sunyi buat seketika. Lalu, bagi mengubati kerinduan peminat setianya, sifu M Nasir kembali menerusi album khas, Mentera Semerah Padi terbitan Warner Music Malaysia.

Uniknya album itu ialah ia menonjolkan kombinasi vokal M Nasir bersama kumpulan pop rock, Spider, menerusi lagu Mentera Semerah Padi 04.

Jurucakap Warner Music, Aida Husin, berkata album kompilasi itu dijangka berada di kedai muzik seluruh negara mulai 18 November ini dengan memuatkan 22 buah lagu terhebat sepanjang pembabitan M Nasir dalam dunia hiburan.

“Malah kerjasama antara Warner Music dan Luncai Emas diyakini akan lebih berjaya kerana ada juga VCD karaoke selain CD dan kaset .

“Pemilihan lagu dalam album ini memang hebat kerana ia memuatkan seleksi terbaik termasuk Mentera Semerah Padi 04, duet M Nasir bersama Spider.

“Kalau dulu, versi asalnya lebih kepada semangat dan lagak kepahlawanan, kali ini kemunculan M Nasir dan Spider lebih bersifat kontemporari. Klip videonya dirakamkan di Times Square, KL dengan menunjukkan aksi santai M Nasir memakai kemeja-T hitam dan seluar denim biru,” kata Aida kepada i-Kon.

Turut ditampilkan dalam album itu ialah lagu duet bersama Yunizar Hoessin dalam lagu Dua Insan, Aisyah (Senandung Sayang), Tan Sri SM Salim (Seloka Cak Kun Cak) dan Jamal Abdillah (Ghazal Untuk Rabiah).

“Jangan ketinggalan mendapatkan album ini dengan harga berbaloi kerana setiap pembelian kaset, CD mahupun VCD Karaoke boleh didapati dalam dua salinan. Ini kerana koleksi lagunya banyak. Hadiah percuma berupa kalendar poket 2004, turut disediakan kepada pembeli dalam jumlah terhad.

“Kami juga merancang untuk mengadakan perlawanan futsal antara M Nasir, Spider dan peminat Disember ini,” katanya.

Lagu-lagu dalam album Mentera Semerah Padi

1. Mentera Semerah Padi 04
2. Bersama Berdua
3. Tinggalkan Satu Peluru
4. Senandung Sayang
5. Apokalips
6. Suatu Masa
7. Raikan Cinta
8. Andalusia
9. Seloka Cak Kun Cak
10. Meniti Titian Usang
11. Dedaun Masa
12. Dua Insan
13. Jikalau Berkasih
14. Masing-Masing
15. Ghazal Untuk Rabiah
16. Keroncong Untuk Ana
17. Pheonix Bangkit Dari Abu
18. Kias Fansuri
19. Kepadamu Kekasih
20. Nur Nilam Sari
21. Salam Dunia

Tiada ulasan: