Rabu, Mac 05, 2003

S.M Salim berduet dengan 10 penyanyi

petikan Utusan Malaysia 5 Mac 2003

POPULARITI lagu Pandang Pandang, Jeling Jeling yang didendangkan oleh Tan Sri S.M Salim dan Siti Nurhaliza secara tidak langsung telah membuka mata banyak pihak.

Ini menyebabkan ramai artis yang menyatakan hasrat mereka untuk berduet dengan penyanyi yang menerima anugerah Ijazah Kehormat Master Muzik (Persembahan) daripada Universiti Putera Malaysia, Serdang baru-baru ini.

Permintaan yang bertalu itu menyebabkan S.M Salim berada dalam keadaan serba salah. Beliau tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih.

Sebaliknya jika pihak syarikat rakaman artis tersebut memberi kelonggaran, beliau bersedia untuk bergandingan dengan siapa sahaja.

``Bukan saya sengaja mahu berduet dengan Siti Nurhaliza. Ini berlaku kerana cadangan penyanyi tersebut. Sebelum Siti tidak ada penyanyi yang menyuarakan hasrat mereka untuk berduet dengan saya.

``Alhamdulillah, lagu tersebut meletup pula. Sekarang ini untuk tidak menghampakan pelbagai pihak syarikat rakaman telah mengenal pasti beberapa penyanyi untuk berduet dengan saya,'' katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bergandingan

Untuk projek album duet itu, S.M Salim akan berpadu suara dengan 10 penyanyi popular masa kini. Penyanyi yang akan bergandingan dengannya ialah Ramli Sarip, Zainal Abidin, kumpulan Raihan, Rosiah Chik, Sharifah Aini, Siti Nurhaliza, Sheila Majid, Amy Search, kumpulan Ghazal Remaja Tebrau dan M.Nasir.

Menurutnya, kesemua penyanyi yang disenaraikan itu adalah hasil daripada perbincangannya dengan syarikat rakaman. Sementara lagu-lagu yang akan didendangkan kebanyakannya adalah lagu-lagu baru yang menampilkan rentak asli, world music, R & B dan rock.

Projek

Walaupun projek ini merupakan album S.M Salim namun beliau sebagai penyanyi utama terpaksa mengalah kepada artis jemputan.

Sebagai penyanyi yang sudah 57 tahun membabitkan diri dalam bidang seni, beliau terpaksa menyanyi mengikut konsep muzik setiap artis.

``Kalau menyanyi cara Zainal Abidin, saya tidak kisah sebab sebelum ini saya pernah berduet dengannya menerusi lagu Satu. Saya risau apabila berduet dengan M.Nasir.

``Saya sudah mendengar lagu-lagu dia, saya rasa susah. Entahlah mungkin dalam studio nanti dapat ilham,'' katanya.

Setakat ini antara lagu-lagu yang telah siap dirakam ialah Seiris Hati Sedulang Budi bersama Ramli Sarip, Melenggang Mak Inang dengan Rosiah Chik dan Assalamualaikum bersama Raihan.

Lagu Assalamualaikum yang pernah didendangkan oleh Raihan dalam album mereka telah dinyanyikan semula dengan susunan muzik baru.

Sementara lagu Bukit Kepong yang didendang bersama kumpulan Ghazal Remaja Tebrau adalah lagu pilihan S.M Salim sendiri.

``Saya memang minta lagu itu didendang semula, sebab lagu itu penuh makna pada saya.

``Waktu saya berada di Tangkak, saya melihat rakan-rakan saya ditahan komunis dan sewaktu peristiwa Bukit Kepong, saya sendiri melihat apa yang berlaku. Lagu tersebut saya tujukan khas pada rakan-rakan lama saya,'' katanya mengimbas semula sejarah silam.

Album yang diterbitkan oleh Arab, M.Nasir dan ramai lagi itu dijangka akan berada di pasaran Jun ini.

Tiada ulasan: