petikan Utusan Malaysia 3 Jun 2002
Semua pihak terutamanya kalangan pengguna perlu didedahkan dengan masalah yang berlaku dalam industri hiburan tempatan.
Selain cetak rompak, banyak lagi masalah yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat.
Bukan sahaja artis, kalangan pencinta seni juga wajar diberi kesedaran tentang peranan ke arah mengangkat semula industri hiburan di negara ini.
Syarikat rakaman milik M. Nasir, Luncai Emas Sdn. Bhd akan menganjurkan satu bengkel seni dalam usaha untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai keadaan industri hiburan ketika ini.
Bengkel seni ini akan berlangsung pada 13 Jun ini di Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Menurut pengarah projeknya, Mohd. Khirin Omar, bengkel seni ini akan dibahagikan kepada dua sesi iaitu Forum Hak Cipta dan Bicara Karya.
Forum Hak Cipta bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan akan menampilkan panel yang terdiri daripada Badan Pelindung Hak Cipta (MACP) dengan topik peranan yang dimainkan oleh MACP.
``Wakil Public Performers Malaysia (PPM) pula akan membentangkan kertas kerja yang berkisar mengenai pengurusan kutipan royalti di negara ini,'' kata Mohd Khirin.
Gerakan Memelihara Khazanah Muzik Malaysia (GMKMM) juga akan mengambil bahagian dalam forum ini dengan kertas kerja mengenai kesan daripada pelanggaran hak cipta di negara ini.
Seminar ini akan dihadiri oleh golongan pelajar, pensyarah dan juga penganjur-penganjur persembahan.
Segmen Bicara Seni pula akan menampilkan M. Nasir yang akan membuat ulasan mengenai album terbarunya, Phoenix Bangkit.
``Walaupun album berkenaan sudah dipasarkan pada tahun 2001, pengisian tema yang terkandung dalamnya masih relevan untuk diperkatakan sampai bila-bila,'' jelas Mohd. Khirin lagi.
Di samping bengkel seni, USM dan Luncai Emas sebagai penganjur juga akan mengadakan konsert Malam Phoenix Bangkit pada 15 Jun di Dewan Tuanku Syed Putra, USM.
Konsert ini akan menampilkan M. Nasir yang akan beraksi selama dua jam dengan iringan pemuzik profesionalnya.
``Sebagai penghibur serba boleh, M. Nasir menjanjikan persembahan paling hebat di samping membawa penonton meneroka mesej-mesej yang ingin disampaikan melalui keunikan iramanya,'' kata Mohd Khirin.
``Kami yakin penantian para peminat untuk menyaksikan konsert M. Nasir akan berakhir dengan sebuah persembahan yang menghiburkan ini,'' jelasnya.
Selain M. Nasir, artis berkumpulan yang bernaung di bawah Luncai Emas, Spider juga akan membuat persembahan pembukaan.
Spider yang pernah muncul dengan album sulung berjudul Ngam Ho pada 1999 kini sedang popular dengan single terbaru mereka berjudul Aladin dan Kasih Latifah.
Tiket konsert ini akan dijual dengan harga RM35, RM30, RM20 dan RM15 bagi membolehkan pelajar universiti berkenaan menikmati persembahan muzik M. Nasir secara langsung.
Sebahagian daripada kutipan penjualan tiket akan disumbangkan kepada Tabung Kebajikan Pusat Pengajian Seni, USM.
Tiket konsert ini boleh didapati di pejabat Dewan Budaya USM, Pusat Pengajian Seni USM dan pintu masuk Dewan Tuanku Syed Putra pada hari persembahan atau hubungi talian 03- 6156 1357 atau 04- 65778888.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan