Selasa, Februari 05, 2002

MTV Asia pendedahan ke peringkat antarabangsa

petikan Utusan Malaysia 5 Februari 2002

Anugerah MTV Asia 2002 yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura baru-baru ini mengiktiraf dan menghargai bakat artis rantau Asia.

Acara itu juga berjaya mengeratkan lagi hubungan antara artis Asia dan antarabangsa.

Bukan itu sahaja, MTV Asia yang dihadiri oleh kira-kira 7,000 peminat muzik telah dirakam dan ditayangkan di saluran MTV yang ditonton oleh 150 juta penonton di Asia.

Acara itu mempertandingkan 20 anugerah termasuk anugerah Artis Popular Asia, enam anugerah Artis Popular Antarabangsa, Anugerah Fesyen, Filem dan Inspirasi.

Acara yang berlangsung dalam suasana ceria itu memberi pendedahan di samping membuka ruang kepada artis Asia ke peringkat antarabangsa.

Setiap pencalonan dibuat berdasarkan undian daripada peminat-peminat muzik, filem dan fesyen di rantau Asia.

Pencalonan itu mula dibuat sejak 12 November tahun lalu sehingga 18 Januari tahun ini menerusi laman web MTV Asia.

Pada acara anugerah itu juga, beberapa artis tempatan turut mencipta nama apabila dipilih memenangi anugerah seperti Siti Nurhaliza dipilih sebagai Artis Popular Malaysia.

Turut dipertandingkan dalam kategori Artis Popular Malaysia ialah M.Nasir, Ziana Zain, Tan Sri S.M Salim dan kumpulan Too Phat.

Menurut Siti, kejayaan yang diraih merupakan pendorong dan semangat untuk dirinya bergerak ke peringkat antara-bangsa.

Siti sebelum itu telah memenangi Anugerah Artis Paling Popular dan Artis Wanita Terbaik dalam Anugerah Planet Muzik yang juga berlangsung di negara itu.

Majlis anugerah yang diacarakan oleh penyanyi Ronan Keating dan Mandy Moore itu juga turut memilih Ricky Martin dan Britney Spears sebagai Penyanyi Lelaki dan Wanita Popular di peringkat antarabangsa.

Artis negara jiran seperti Regine Velasquez ditabal sebagai Artis Popular Filipina, manakala Artis Popular Indonesia ialah kumpulan Padi.

Sementara itu, kumpulan Bond yang berganding tenaga dengan Safri Duo dari Denmark telah diberi penghormatan untuk mengadakan persembahan pada acara pembukaan.

Lain-lain artis yang turut mengadakan persembahan pada majlis tersebut ialah Inrique Iglesias, Padi, M2M, P.O.D, Westlife, Blue dan Ronan Keating.

Kumpulan Too Phat juga diberi peluang mengadakan persembahan tetapi di luar stadium.

Biarpun di luar, Too Phat tetap rasa bangga kerana persembahan mereka ditonton oleh penduduk Asia.

Selain itu, Too Phat juga diberi penghormatan menyampaikan anugerah Artis Baru Popular Antarabangsa bersama ahli gusti wanita terkenal iaitu Lita.

Tiada ulasan: