Ahad, Mei 27, 2001

Jiwa Melayu M. Nasir - Mencari akar dan merungkai polemik Melayu

petikan Utusan Malaysia 27 Mei 2001

Oleh: SAHARUDIN MUSTHAFA
PENTAFSIRAN makna Melayu membuka ruang perdebatan fakta dan pensejarahan yang bukan calang-calang.

Memperdebatkan susur-galur Melayu bakal mengundang pembongkaran pelbagai magna carta-magna carta di seluruh pelosok dunia yang melampaui jajahan Nusantara Melayu - Temasik, kepulauan Indonesia, Maluku, Borneo dan Tanah Melayu.

Barangkali pentafsiran makna Melayu yang paling ideal dirangkumkan dalam bait-bait sajak Melayu karya Seniman Agung Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 27 Oktober 1996.

Antara lain bait-bait sajak Melayu itu mendefinisikan syarat menjadi Melayu iaitu berkongsi fahaman agama yang serupa (jika kita merujuk kepada baris akhir petikan bait sajak Melayu:

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu

Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu,

Keturunan Acheh adalah Melayu, Jakun dan Sakai asli Melayu,

Arab dan Pakistani, semua Melayu

Mamak dan Malbari serap ke Melayu; malah mualaf bertakrif Melayu (setelah disunat anunya itu).

Pelbagai pertembungan definisi Melayu ini bagai mendesak seniman tersohor M. Nasir untuk turut menghalusi pengertian kamus Melayu melalui perspektif irama dan lagu.

Kesungguhan beliau dimanifestasikan melalui karya terbarunya, Phoenix Bangkit, yang lebih merupakan satu kesinambungan perjuangannya dalam arus muzik perdana.

``Pengkajian saya tentang Melayu lazimnya menemukan kepada satu titik persamaan iaitu agama Islam.

Bahkan seluruh amalan kehidupan bangsa Melayu tidak boleh lari daripada acuan budaya Arab,'' katanya memulakan perbualan mengenai album terbarunya di Studio Luncai Emas, Sungai Buloh baru-baru ini.

Mendalami maksudnya itu, Nasir menjelaskan, barangkali budaya lain yang paling hampir menyaingi pengaruh Arab dalam kehidupan Melayu hanyalah Hinduisme yang tiba di Tanah Melayu lebih awal.

``Sebab itu kalau kita lihat, pengaruh keduanya begitu kuat dalam kehidupan harian. Namun, pengaruh budaya Hinduisme telah disesuaikan dengan budaya Arab kerana agama yang kita anuti,'' tambahnya.

Pandangan Nasir ini sebenarnya seiring dengan apa yang pernah disuarakan oleh Profesor Komunikasi Massa dari Amsterdam, Cees Hamelink yang mengatakan budaya yang lemah akan pupus dijajahi budaya yang lebih kuat dan asertif.

``Pada hakikatnya wajah sebenar budaya tradisi Melayu itu lemah, mudah beralah dan terlalu sederhana - lantaran itu mudah dipengaruhi oleh anasir luar.

``Ini dapat dinilai melalui dua irama tradisional Melayu (asli) iaitu sewang dan berendoi,'' Nasir menyambung bicara.

Namun, kupasnya lagi, penjajahan itu hanya memberi impak kepada budaya Melayu dan tidak sesekali menjadikan bangsa Melayu itu menerima penjajahan sebagai satu norma hidup.

``Kita perlu menerima hakikat bahawa budaya bangsa Melayu merupakan himpunan warisan bangsa-bangsa yang pernah menjajah dan mengunjungi Tanah Melayu satu ketika dahulu.

``Justeru pertembungan tersebut telah mencetuskan satu adunan budaya unik yang global. Maka lahirlah konsep World Music yang diterjemahkan menerusi jiwa kemelayuan,'' tegasnya.

Konsep ini berbeza dengan konsep World Music yang diasaskan oleh Peter Gabriel sejak 1969 yang cenderung menggabungkan pelbagai irama rakyat dari pelbagai pelosok dunia dan diperjuangkan melalui pertubuhan World of Music, Arts & Dance (WOMAD) yang diasaskannya.

Gabriel yang pernah menjadi komposer muzik latar filem epik The Last Temptation of Christ tahun 1988 arahan sutradara agung Martin Scorcese, sebenarnya jauh berbeza dengan konsep World Music yang diketengahkan melalui album Nasir.

Nasir bukan sahaja membicarakan akar umbi bangsa Melayu dalam usaha merungkai polemiknya, bahkan juga cuba menemukan akar umbi manusia sejagat - kembali kepada pegangan agama.

``Namun, saya tidak menuturkan pengajaran budaya dan agama secara terang-terangan sepertimana lazimnya yang dapat dilihat pada lagu-lagu nasyid.

``Sebaliknya saya, Loloq dan Seth menyelitkan kias ibarat dalam penciptaan bait-bait lirik dalam album ini,'' katanya merujuk kepada kerjasama akrab tenaga di belakang penghasilan album sulungnya bersama Warner Music.

Justeru itu, tidak hairanlah Raikan Cinta (single pertama yang sedang hits) berkias tentang pancaroba Siti Hajar dan Nabi Ismail dikering pasir Jaziratul Arab.

Masirah pula menyingkap tribulasi perjuangan rakyat Palestin lantaran kerakusan rejim zionis. Lagu ini bermula dengan petikan puisi Perancis, kemudian dilatari muzik peribumi Palestin, dan diakhiri doa dan harapan dalam bahasa Arab.

Di sebalik ritma Timur Tengah yang rancak, Hijab Kekasih (single kedua), tampil dengan penuh susila Melayu. Keperkasaan lagu ini terletak pada iringan akordian dan bait lirik yang begitu menyentuh naluri kemelayuan - meskipun sekadar mendengar sekali lalu.

Sahabat Gua membicarakan tentang ranjau pengalaman Ashabul-Kahfi yang disebut dalam kesemua kitab agama samawi - Taurat, Zabur, Injil dan Furqan. Genre samrah dan joget yang digabungkan mampu mencuri perhatian generasi muda.

Teras album ini, bagaimanapun, terletak pada lagu keempat, Phoenix Bangkit Dari Abu (single ketiga) yang mengambil sempena nama unggas mitos Asia - Phoenix.

Unggas mitos yang mencuri minat penulis Barat, Hans Christian Anderson, melalui karyanya The Phoenix Bird pada tahun 1850 mengukuhkan perspektif Nasir bahawa akar Melayu berasal dari tanah Arab.

Meskipun Phoenix menurut Anderson bermula dengan mendiami buana Arab, namun unggas ini kemudian memberi inspirasi kepada setiap warga dunia.

``Hikayat peribumi melagukan tentang unggas ini yang menemui ajalnya setiap seratus tahun, terbakar dan sirna menjadi abu. Namun, kematian itu hanya sebagai metafora kepada kelangsungan hayat seterusnya - seekor phoenix baru akan bangkit dari abu tersebut,'' tegas Nasir.

Tambahnya lagi, bukan sahaja jiwa dan budaya kemelayuan berasal dari tanah Arab, namun bangsa-bangsa lain turut berakar dari sana.

Perspektif Nasir kali ini ternyata jauh lebih kukuh berbanding pandangan beliau sebelum ini kerana sejarah memaparkan fakta yang tidak boleh dipertikaikan.

Tamadun ulung dunia berpusat di Mesopotamia, tanah Arab oleh orang-orang Sumeria kira-kira 8,000 - 6,500 tahun Sebelum Masihi.

Tamadun di Lembah Nil hanya bermula kira-kira 6,000 - 2,000 tahun sebelum masihi.

Justeru, mereka yang intelektual akan menolak sebarang fakta yang merujuk kepada tamadun Eropah sebagai permulaan kebudayaan global.

Fakta merumuskan tamadun Eropah hanya bermula kira-kira 4,000 - 1,000 tahun Sebelum Masihi.

Namun, ketika ditanya sama ada album kali ini cuba memberi jawapan kepada konflik politik kontemporari, Nasir tangkas mengelak daripada memberi penterjemahan peribadi terhadap karya terbarunya itu yang bakal berada di pasaran menjelang 12 Jun ini.

``Saya hanya berkarya dengan langgam bahasa dan irama, ia terbuka untuk sebarang pentafsiran,'' katanya dalam nada serius.

Pendekatan tersebut begitu bijak kerana sebarang penterjemahan peribadi Nasir pasti memberi impak terhadap ruang pentafsiran karya besar ini.

Ini selaras dengan prinsip undang-undang dalam bahasa latin yang berbunyi: ``Argumentum ab auctoritate est fortiffimum in lege'' iaitu ``Pandangan mereka yang berautoriti dianggap kukuh dari segi perundangan.''

Dengan pantas beliau menambah, ``album ini mengajak kita merenungi hakikat hidup dan menerima bahawa setiap kita mempunyai peranan berbeza.

``Moga dengan itu kita akan akrab dan saling menghormati kewujudan masing-masing.''

Sabtu, Mei 19, 2001

M. Nasir ...beralih kepada irama Arab

petikan Utusan Malaysia 19 Mei 2001

Oleh ROSLI MANAH

Dalam keghairahan kebanyakan komposer tempatan meminjam dan mengulangi gaya muzik Barat dalam karya-karya lagu mereka, M. Nasir mencari hala tuju yang baru dalam penciptaan muziknya.

Gaya muzik Barat kelihatan begitu dominan dalam lagu-lagu tempatan. Sebagai produk dalam industri hiburan, muzik Barat dianggap mempunyai nilai komersial tanpa menghiraukan akar budaya muzik tempatan.

Setelah membuat kajian dan penyelidikan tentang sejarah dan arus muzik tempatan, M. Nasir mendapati irama Arab telah sekian lama menjadi akar kepada muzik tempatan di negara ini.

Ini diperkuatkan lagi dengan cara kehidupan dan beragama Islam (di kalangan orang Melayu) yang membuktikan hubungan rapat antara selera dan akar budaya muzik tempatan dengan muzik Arab.

Menyedari hakikat itu, M. Nasir yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu Andalusia tentang sejarah kejatuhan sebuah negara Islam, kini cenderung membawakan irama Arab dalam lagu-lagu ciptaannya.

Irama Arab menjadi teras kepada konsep muzik dunia yang dibawa menerusi album terbarunya, Phoenix Bangkit. Album ini akan dipasarkan 12 Jun depan oleh Warner Music.

``Saya bukan sekadar mahu lari dari muzik Barat sebaliknya kerana minat pada irama Arab,'' kata M. Nasir dalam temu bual dengan Utusan baru-baru ini.

Sebelum ini lagu-lagu ciptaan M. Nasir membawa elemen-elemen muzik adunan tradisional dan moden yang unik. Kebanyakan muzik ciptaan M. Nasir bebas daripada pengaruh Barat malah sangat ketara nilai-nilai tempatan seperti menyelitkan elemen muzik Cina dalam lagu Melayu.

Menurut M. Nasir, orang Melayu dekat dengan budaya Arab sejak dahulu melalui amalan cara kehidupan.

Di dalam menerbitkan lagu-lagu untuk album sulung di bawah label Warner Music itu, kata M. Nasir dia menyelitkan unsur kemelayuan.

``Untuk membuat album yang ingin dipasarkan kepada orang Malaysia, kita harus hasilkan apa yang dekat dengan mereka,'' tegas M. Nasir.

Album tersebut dianggap sebagai album muzik dunia kerana terkeluar dari konsep muzik pop dari Barat, kata M. Nasir lagi.

Kini lagu Raikan Cinta mula diperdengarkan di corong radio sebagai promosi awal sebelum album penuh penyanyi itu dipasarkan.

Lagu-lagu lain yang dijangka mendapat sambutan antaranya, Hijab Kekasih, Sahabat Gua, Masirah, Phoenix Bangkit Dari Abu dan beberapa lagi.

M. Nasir juga mendedahkan. dia memilih irama Arab kerana kedengaran hampir sama dengan irama joget yang cukup terkenal di kalangan peminat muzik Melayu. Irama joget dibawa oleh kedatangan Portugis di Melaka telah melalui proses asimilasi budaya dan kini joget menjadi sebahagian muzik Melayu.

Kata M. Nasir, joget yang dibawa ke rantau Melayu oleh penjajah Portugis itu juga menerima pengaruh muzik Arab.

Menerusi album ini, M. Nasir juga banyak memilih muzik yang segar dan rancak untuk menampakkan kesegaran dan sesuai untuk ditarikan apabila mengadakan persembahan.

Ditanya mengenai perancangan mengadakan konsert, kata Nasir, dia sedang berbincang dengan pihak-pihak berkaitan untuk pelaksanaan konsert itu.

Sekiranya tiada halangan dia akan muncul dalam konsert istimewa sempena kemunculan album itu pada September depan. Sesuai dengan pilihan muzik yang ingin kembali kepada akar umbi Melayu, dia juga memilih lirik yang menyentuh mengenai kisah dahulu kala.

``Saya tidak ceritakan mengenai kisahnya secara langsung sebaliknya perkara lain berkaitan sesuatu kejadian dahulu,'' katanya.

M.Nasir Bangkit

petikan Harian Metro 19 Mei 2001

Seniman M.Nasir memang dikenali dengan unsur-unsur perlambangan dalam karya-karyanya. Begitu juga dengan produk terbarunya, Phoenix Bangkit, yang meneruskan kesinambungan identiti falsafahnya itu.

Menerusi albumnya itu, dia mengambil cerita rakyat Timur Tengah dan China mengenai burung Phoenix yang mempunyai jangka hayat yang panjang.

Menurut mitos itu, slepeas mati burung berkenaan, dia dikatakan menjadi abu, lalu menjadi sejenis ulat, sebelum bangkit semula sebangai seekor baru yang lebih kuat dan gemilang.

Namun, Nasir lebih berminat mengambil falsafah kebangkitan itu sebagai satu simbol kekuatan. Mungkin seseorang yang pernah kecewa,tetapi bangkit semula dengan semangat baru yang lebih kaut. Dalam erti kata lain, gagal sekali bukan bermakna selamanya gagal.

"Itu adalah hasil renungan perbadi saya sendiri, tetapi mengenai tafsiran terhadap falsafah itu terpulang kepada semua pendengar untuk menilainya," katanya ketika ditemui di studionya di Sungai Buloh, kelmarin.

Bagaimanapun, dalam pertemuan setengah jam petang itu, suami kepada Marlia Musa itu lebih galak bercerita mengenai lagu-lagu dalam album barunya itu.

Malah, dia sempat memperdengarkan beberapa lagu kepada wartawan Harian Metro dan ternyata nukilannya makin hebat dengan 'dengusan' ketimuran.

"Album ini masih tidak lari dengan harapan dan cita-cita saya yang mahu membuat album berbentuk dance (tari) ketimuran. Album Phoenix Bangkit banyak mempunyai unsur-unsur Arab.

Sebenarnya Melayu kita sendiri adalah sebahagian dari Arab. Pengaruhnya amat banyak dalam persekitaran hidup kita. macam perkataan Mat Jenin, ia daripada perkataan Arab iaitu Majnun.

"Dalam pencarian saya sendiri terhadap lagu yang betul-betul boleh dipanggil Melayu, banyak saya ketemu elemen Arab di situ, berbanding pengaruh lain," katanya yang nampak lebih mudah 'berbicara kebelakangan ini.

Nasir mengambil contoh rentak joget yang kebanyakannya sebaga pengaruh Sepanyol atau Portugis. Katanya, kalau dikaji rentak itu sebenarnya berasal dari Islam kerana Islam juga pernah melebarkan jajahan takluknya ke atas negara Eropah itu.

"Sebelum ini mereka tidak pernah mempunyai instumen yang bertali seperti gitar atau gambus. Akhirnya budaya muzik itu dibawa ke Tanah Melayu oleh golongan penjajah Barat yang pernah dijajah oleh Islam," katanya yang turut memperdengarkan contoh rentak muzik joget dengan harming (mulut).

Katanya, pergerakan manusia dari satu tempat ke satu tempat, misalnya orang Eropah, India atau Timur Tengah dengan membawa bersama elemen muzik mereka.

"Bangsa yang tiba di Tanah Melayu seperti Arab, Hindu dan Parsi juga 'menjajah' budaya orang Melayu. Melayu tamadun yang terjajah oleh bangsa besar di segi budaya.

"Kita tak ada lagu asli sendiri ( yang betul-betul asli sebelum kemasukan pengaruh luar ), tetapi lagu-lagu kita dibentuk oleh pengaruh luar. bagaimanapun kita boleh terima pengaruh itu.

"Kita sudah bangunkan satu bentuk muzik, walaupun ia Jawa atau Arab, tetapi ia adalah muzik baru kita," katanya.

Dalam album sulungnya bersama Warner Music ini, Nasir memilih 10 lagu iaitu Raikan Cinta , Masirah, Sahabat Gua, Phoenix Bangkit, Bila Rumi Menari, Dah Lagu Tu, Melawan Arus, Langgam Pak Dogol, Oh Anak dan Hijab Kekasih.

Album ini berada di pasaran 12 Jun depan dengan single pertama, Raikan Cinta, mula dimainkan di beberapa stesen radio sejak dua minggu lalu.

Kebanyakan lagunya mempunyai cerita sendiri. Menurut Nasir, Hijab Kekasih, berkisar kepada penghabisan pandangan seorang kekasih terhadap kekasihnya supaya jangan cari yang lain kerana dia memang tercipta untuknya.

Sesetengah lagu dalam album ini sudah dirakamkan pada tahun 1997, seiring masa dengan lagu Kias Fansuri dan Andalusia. Bagaimanapun ia diberi suntikan untuk menjadikan lebih 'bermaya'.