Ahad, Mei 21, 2000

Marlia & M. Nasir hanya tunggu hari

petikan Utusan Malaysia 21 Mei 2000

M. NASIR tergelak besar apabila dikatakan wajahnya semakin berseri dan ceria kerana dia tahu itu adalah jambatan untuk bertanya mengenai perancangan perkahwinannya dengan pelakon Marlia Musa.

Dia sendiri menduga soalan sedemikian akan ditujukan kepadanya apabila segala persoalan mengenai penghijrahannya ke syarikat Warner Music terungkai.

Namun mencungkil rahsia M. Nasir bukan semudah mendapat perkembangan sensasi artis lain kerana sesuai dengan dirinya yang dikatakan berseni itu, M. Nasir menjawab semua soalan dengan seni juga.

Ditanya bilakah tarikh atau bulan dia dan Marlia akan bernikah, M. Nasir cuma menjawab, dalam masa terdekat.

''Kamu akan tahu juga kerana saya akan membuat sidang akhbar mengenainya,'' kata M. Nasir sambil tergelak besar.

M. Nasir dan Marlia bertunang dengan dihadiri oleh keluarga terdekat di rumah keluarga Marlia pada 7 Mei lalu.

''Saya akan kahwin dalam masa terdekat ini,'' katanya apabila ditanya tarikh pernikahannya.

Dia juga enggan memberitahu berapakah hantaran dan wang hantaran yang bakal dibawa apabila bernikah nanti kerana baginya itu adalah sesuatu yang sensitif.

''Kamu akan tahu juga nanti apabila menghadiri majlis pernikahan saya,'' kata M. Nasir ketika ditemui selepas majlis menandatangani kontrak menjadi artis rakaman Warner Music, Rabu lalu.

Penjelasannya membayangkan bahawa masa untuk M. Nasir dan Marlia disatukan semakin hampir. Malah persiapannya telah dibuat.

Mengenai perancangan perkahwinan di pihaknya, sekarang ini segala persiapan telah dilakukan oleh kakaknya di Singapura.

M. Nasir mengakui anak-anaknya rapat dengan Marlia dan mereka kini memanggilnya dengan panggilan Yaya.

''Sebenarnya panggilan nama itu dimulakan oleh Nilam (Nur Nilamsari) dan sehingga kini terus melekat,'' katanya.

Apabila bernikah nanti dia ingin anak-anaknya memanggil Marlia dengan panggilan 'Mak', ujar penyanyi itu lagi.

Ditanya mengapa dia memilih Marlia, kata M. Nasir ciri-ciri seorang wanita yang disukainya ada pada anak pelakon drama Allahyarham Musa Al-Bakri itu.

''Saya suka sesuatu perkara misalnya sejenis kain dan dia (Marlia) ada kain itu,'' katanya dengan kiasan tersendiri.

Ditanya warna kegemaran Marlia, M. Nasir memegang hujung baju warna kulit kayu yang sedang dipakainya.

''Dia suka warna ini,'' kata M. Nasir merujuk kepada warna baju yang dikenakannya hari itu.

Dia tidak menganggap keputusannya memilih Marlia sebagai pasangan hidup sebagai keputusan yang sukar untuk dilaksanakan.

''Bukan saya yang pilih dia tetapi kami sama-sama memilih antara satu sama lain,'' katanya lagi.

Ditanya sama ada sukar baginya membuat persiapan perkahwinan kali kedua itu, M. Nasir berkata dia ada banyak saudara yang membantu.

''Aku ada banyak kot dulu-dulu,'' katanya sambil tergelak apabila ditanya apakah pakaian yang akan dikenakan semasa bersanding nanti.

Oleh: ROSLI MANAH

Sabtu, Mei 20, 2000

M. Nasir mahu globalkan muzik Melayu

petikan Utusan Malaysia 20 Mei 2000

M. NASIR bersama orang kuat Warner Music, Rudy Ramawy (kanan) dan Nasser Abu Kassim pada majlis menandatangani kontrak di ibu kota, baru-baru ini.

PENGHIJRAHAN komposer dan penyanyi terkenal M. Nasir ke syarikat rakaman Warner Music adalah satu usaha penyanyi itu untuk mengetengahkan muzik Melayu ke peringkat global.

Menurut M.Nasir, peluang itulah yang menjadi pendorong utama kepadanya untuk berhijrah setelah tuntutan itu tidak dapat disempurnakan oleh syarikat rakaman terdahulu.

Pada pandangannya, semua syarikat rakaman mempunyai keupayaan berbuat demikian dan dia nampak Warner Music mempunyai kesungguhan ke arah itu.

Sebagai langkah awal, M. Nasir kini sedang menyiapkan sebuah lagu yang akan dipasarkan dalam bentuk 'single' untuk pasaran luar negara.

''Untuk itu, saya akan menghasilkan lagu menggunakan elemen muzik Melayu yang dinyanyikan dalam bahasa Inggeris,'' katanya.

M. Nasir menyatakan demikian pada majlis menandatangani kontraknya bersama Warner Music selama tiga tahun di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kontrak itu ditandatangani oleh M. Nasir dan Pengarah Eksekutif Warner Music, Nasser Abu Kassim. Turut hadir ialah Pengarah Urusan Warner Music, Rudy Ramawy.

Malah, kata penyanyi itu lagi, pada masa ini dia mempunyai banyak lagu yang telah dihasilkan dan kini sedang memperkemaskannya.

Penghasilan lagu dalam lirik bahasa Inggeris adalah perlu memandangkan bahasa Melayu belum kuat kedudukannya di kalangan peminat muzik dunia.

M. Nasir juga mengulangi perpindahannya ke Warner Music bukan kerana tawaran lumayan, sebaliknya kerana selari dengan misinya untuk mengetengahkan lagu Melayu.

M. Nasir menyifatkan perpindahannya sebagai langkah profesional untuk menyambung kerjanya sebagai penyanyi dan pencipta lagu.

Justeru dia mahu semua pihak menerimanya sebagai sesuatu yang lumrah dalam dunia hiburan.

''Kontrak saya hanyalah sebagai artis dan lagu-lagu ciptaan saya masih hak milik Luncai Emas,'' kata penyanyi itu.

Penyanyi itu mengakui bukannya senang untuk mencapai apa yang diimpikannya untuk meletakkan muzik Melayu ke mata dunia.

Namun dia sanggup melalui liku-liku itu bersama Warner Music yang menyokongnya untuk merealisasikan matlamatnya.

Rudy pula berkata, M. Nasir menjadi aset syarikat itu yang paling berharga setelah menyertai Warner secara sah dan berharap dapat melihat hasil kreativiti penyanyi itu hujung tahun ini.

Antara yang terkandung di dalam kontrak itu ialah penerbitan album Melayu dan album untuk pasaran luar negara.

Menurut M. Nasir pula, tiga pasaran luar yang tidak menghadapi masalah cetak rompak ialah Jepun, Britain dan Amerika Syarikat.

Dia akan berusaha mencari tempat di pasaran yang dinyatakan dengan kerjasama rangkaian Warner Music antarabangsa.

Sementara itu, ditanya mengenai komitmennya dengan BMG untuk mempromosikan album Srikandi Cintaku ke Indonesia, M. Nasir berkata, dia tidak mempunyai sebarang halangan.

''Saya tidak bermasalah memenuhi promosi yang diatur untuk album yang telah menembusi pasaran Indonesia itu,'' katanya.

Oleh: ROSLI MANAH