Sabtu, Mei 20, 2000

M. Nasir mahu globalkan muzik Melayu

petikan Utusan Malaysia 20 Mei 2000

M. NASIR bersama orang kuat Warner Music, Rudy Ramawy (kanan) dan Nasser Abu Kassim pada majlis menandatangani kontrak di ibu kota, baru-baru ini.

PENGHIJRAHAN komposer dan penyanyi terkenal M. Nasir ke syarikat rakaman Warner Music adalah satu usaha penyanyi itu untuk mengetengahkan muzik Melayu ke peringkat global.

Menurut M.Nasir, peluang itulah yang menjadi pendorong utama kepadanya untuk berhijrah setelah tuntutan itu tidak dapat disempurnakan oleh syarikat rakaman terdahulu.

Pada pandangannya, semua syarikat rakaman mempunyai keupayaan berbuat demikian dan dia nampak Warner Music mempunyai kesungguhan ke arah itu.

Sebagai langkah awal, M. Nasir kini sedang menyiapkan sebuah lagu yang akan dipasarkan dalam bentuk 'single' untuk pasaran luar negara.

''Untuk itu, saya akan menghasilkan lagu menggunakan elemen muzik Melayu yang dinyanyikan dalam bahasa Inggeris,'' katanya.

M. Nasir menyatakan demikian pada majlis menandatangani kontraknya bersama Warner Music selama tiga tahun di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kontrak itu ditandatangani oleh M. Nasir dan Pengarah Eksekutif Warner Music, Nasser Abu Kassim. Turut hadir ialah Pengarah Urusan Warner Music, Rudy Ramawy.

Malah, kata penyanyi itu lagi, pada masa ini dia mempunyai banyak lagu yang telah dihasilkan dan kini sedang memperkemaskannya.

Penghasilan lagu dalam lirik bahasa Inggeris adalah perlu memandangkan bahasa Melayu belum kuat kedudukannya di kalangan peminat muzik dunia.

M. Nasir juga mengulangi perpindahannya ke Warner Music bukan kerana tawaran lumayan, sebaliknya kerana selari dengan misinya untuk mengetengahkan lagu Melayu.

M. Nasir menyifatkan perpindahannya sebagai langkah profesional untuk menyambung kerjanya sebagai penyanyi dan pencipta lagu.

Justeru dia mahu semua pihak menerimanya sebagai sesuatu yang lumrah dalam dunia hiburan.

''Kontrak saya hanyalah sebagai artis dan lagu-lagu ciptaan saya masih hak milik Luncai Emas,'' kata penyanyi itu.

Penyanyi itu mengakui bukannya senang untuk mencapai apa yang diimpikannya untuk meletakkan muzik Melayu ke mata dunia.

Namun dia sanggup melalui liku-liku itu bersama Warner Music yang menyokongnya untuk merealisasikan matlamatnya.

Rudy pula berkata, M. Nasir menjadi aset syarikat itu yang paling berharga setelah menyertai Warner secara sah dan berharap dapat melihat hasil kreativiti penyanyi itu hujung tahun ini.

Antara yang terkandung di dalam kontrak itu ialah penerbitan album Melayu dan album untuk pasaran luar negara.

Menurut M. Nasir pula, tiga pasaran luar yang tidak menghadapi masalah cetak rompak ialah Jepun, Britain dan Amerika Syarikat.

Dia akan berusaha mencari tempat di pasaran yang dinyatakan dengan kerjasama rangkaian Warner Music antarabangsa.

Sementara itu, ditanya mengenai komitmennya dengan BMG untuk mempromosikan album Srikandi Cintaku ke Indonesia, M. Nasir berkata, dia tidak mempunyai sebarang halangan.

''Saya tidak bermasalah memenuhi promosi yang diatur untuk album yang telah menembusi pasaran Indonesia itu,'' katanya.

Oleh: ROSLI MANAH

Tiada ulasan: