petikan Berita Harian, 12 Ogos 1999
Oleh Hanim Mohd Saleh
Lagu penuh bermakna: 'Andainya Kau Pergi Dulu' kini digantikan dengan 'Keroncong Untuk Ana' bagi Konsert Gembala M. Nasir pada 20 Ogos ini di Harbour Pavilion.KEDUA-DUANYA begitu menyentuh hati dan mempunyai cerita tersendiri.
Namun antara lagu Andainya Kau Pergi Dulu dengan Keroncong Untuk Ana, yang mana satu akan menjadi pilihan seniman M. Nasir untuk konsert Gembala-nya nanti?
Andainya Kau Pergi Dulu ciptaan Nasir yang pernah dipopularkan oleh Alleycats dibimbangikan akan membuat penyanyi itu begitu emosi.
Sementara Keroncong Untuk Ana yang dipercayai digubah semasa Nasir bercinta dengan isterinya, Allahyarhamha Junainah Johari, juga pasti merobek hati pendengarnya.
Eksekutif Akaun Kawan Creative International, Sue Mohammed, memberitahu Berita Harian pihaknya telah dihujani ratusan pertanyaan daripada peminat yang mahu menonton konsert itu, sama ada Nasir akan membawakan salah satu lagu tersebut.
"Kalau berdasarkan senarai awal yang dikirimkan daripada pejabat Nasir, lagu Andainya Kau Pergi Dulu disertakan, tetapi senarai terkini yang baru difakskan menggantikan lagu tersebut dengan Keroncong Untuk Ana.
"Menurut Keon, pengurus Nasir, mereka mengambil keputusan untuk tukar lagu kerana bimbang kalau Nasir terlalu emosi bila menyanyi nanti. Tetapi kalau nak diikutkan, Keroncong Untuk Ana juga membawa erti yang mendalam.
"Kalau ikutkan permintaan peminat yang tak henti-henti telefon pejabat kami, kedua-dua lagu itu mereka mahu," kata Sue.
Apa pun senarai lagu yang ditetapkan nanti, tambah Sue, Nasir memang telah menetapkan segmen koleksi lagu-lagu paling popularnya sepanjang 20 tahun penglibatannya dalam persada seni.
Senarai lagu yang dijangka dibawa M. Nasir dalam konsert Gembala. Mungkin ditukar pada saat-saat akhir.
Kenangan Lalu
Hingga Akhir Nanti
Hati Emas
Nur Nilam Sari
Gerhana
Suatu Masa
Mentera Semerah Padi
Tanya Sama Itu Hud Hud
Bonda
Kias Fansuri
Keroncong Untuk Ana
Apokalips
Andalusia
Bas No. 13
Srikandi Cintaku
Boria
Dalam
Berikanku Nurbisa
Ekspres Rakyat
Kerana Kau
Sejauh ini, kata Sue, lebih 1,500 tiket telah terjual dengan tiket berharga $40 terjual bagai pisang goreng panas. Namun tiket lebih murah, $30, dan yang termahal, $55, masih banyak lagi.
Dewan konsert, Harbour Pavilion, boleh memuatkan sehingga 4,717 orang penonton.
"Kami menjangka penjualan tiket akan lebih rancak pada saat-saat terakhir. Ini biasa berlaku pada konsert Melayu," ujarnya. Sebelum ini, konsert Nasir di Kuala Lumpur seperti Konsert Canggung berjaya menarik lebih 12,000 penonton.
Walaupun konsert Gembala padat dengan lagu-lagu nostalgia yang menyentuh jiwa, kata Sue, suasana konsert akan tetap hangat dengan teknik pementasan yang menggunakan pelbagai peralatan dan kesan khas canggih.
Penonton boleh menjangkakan kesan-kesan khas seperti letupan serta pencahayaan yang menimbulkan suasana penuh mistik, sesuai dengan konsep konsert itu keseluruhannya. Visual seperti gambar-gambar hitam putih pula akan dipancarkan, mengiringi setiap nyanyian.
"Ia bukan setakat konsert nyanyian, tetapi satu pertunjukan yang penuh dengan bunyi-bunyian, suara, lampu dan pergerakan yang disusun rapi untuk menimbulkan suasana hebat," kata Sue lagi.
Sementara itu, tambah beliau, Nasir yang akan tiba awal untuk persiapan akhir konsert itu minggu depan, akan meluangkan masa muncul dalam rancangan televisyen Tonight With Gurmit. Rancangan itu dijangka disiarkan pada 19 Ogos, sehari sebelum konsert itu.
Tiket boleh didapatkan di kaunter Sistic (hotline 348-5555).

Tiada ulasan:
Catat Ulasan