ANALITIC

Khamis, Julai 22, 1999

'Gembala' bawa jelajah alam mistik

petikan Berita Harian, 22 Julai 1999

Konsert Gembala M. Nasir 

Rindukan persembahan M. Nasir di Singapura? Rasa rindu para peminat seniman kelahiran Singapura ini pasti terubat pada Ogos nanti. Selepas 20 tahun terlibat dalam dunia seni dan bertahun-tahun mencipta nama dalam bidang muzik, Nasir akhirnya akan mengadakan konsert solonya yang pertama di tanah tumpah darahnya sendiri.

Konsert Gembala M. Nasir – The M. Nasir Concert in Singapore yang bercorak teater yang hebat akan membawa penontonnya ke alam mistik pada 20 Ogos ini di Harbour Pavilion. Penonton akan dibawa menjelajahi dunia seni Nasir dan menyelami jiwa dan semangatnya. Semua ini dalam konsert *live* yang dianjurkan oleh Kawan Creative International Pte Ltd dan menelan belanja sekitar $140,000.

"Konsert ini bercorak mistik dan lagu-lagu yang akan saya bawakan pada malam itu akan mempunyai sentuhan mistiknya sendiri," ujar Nasir dalam sidang akhbar di Hard Rock Cafe kelmarin.

Sebanyak 20 lagu hits Nasir dari zaman Kembaranya hinggalah ke album solonya yang terkini, *Canggung Mendonan*, akan dipersembahkan kepada para penonton, termasuk lagu-lagunya seperti *Kias Fansuri*, *Bonda*, *Mentera Semerah Padi* dan *Mustika*. Beliau akan diiringi oleh tujuh orang pemuzik moden dan tradisional serta tiga orang penyanyi latar.

Mengapa konsert ini dinamakan Konsert Gembala? Menurut Nasir, peranan beliau yang menyerlah dalam dunia muzik Melayu seperti seorang "gembala" — mengetengahkan trend muzik bagi pelbagai artis. Muziknya pula unik. Gembala juga merupakan judul salah satu lagu Nasir.

Sebelum ini, beliau pernah mengadakan konsert bersama dengan Papa Rock, Ramli Sarip, di Singapura pada 1993.

Konsert-konsert solo Nasir sebelum ini semuanya telah diadakan di Malaysia, negara di mana namanya mula melonjak naik dan telah mendapat sambutan yang hangat. Konsert Canggung dan Konsert Akar yang telah diadakan pada pertengahan 1990-an merupakan antara konsert *sold-out* yang diadakannya. Malah beliau pernah mengadakan konsert hingga jauh ke Manchester di United Kingdom pada 1997 dalam konsert M. Nasir Crossing 97.

Jika anda bercadang untuk menghadiri sebuah sahaja konsert tahun ini, tontonilah Konsert Gembala M. Nasir. Tiket-tiket boleh didapatkan di kaunter-kaunter Sistic mulai Jumaat, 23 Julai ini. Hubungi Sistic di talian 348-5555. Untuk keterangan lanjut, hubungi Kawan Creative International di talian 323-2123.

Tempat: Harbour Pavilion, Pusat Dagangan Dunia

Harga tiket: $30, $40 dan $55

Hari/Masa: 20 Ogos, 8.30 malam

Tiada ulasan: