petikan Utusan Malaysia 15 Januari 1999
Setelah memperlihatkan penguasaan seni visual yang meyakinkan menerusi Merah, M. Nasir kini dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah filem tentang dunia mistik dan ghaib.
Buat masa ini pemilik syarikat Luncai Emas ini berkata, dia sedang giat mengumpul bahan untuk menerbitkan sebuah filem yang bercorak mistik selepas hari raya Aidilfitri ini.
Menurut M.Nasir, cerita tentang mistik yang berkaitan dengan dunia sihir dan ilmu hitam sememangnya lari daripada arus perdana filem Melayu tetapi ia adalah satu cabaran yang menyeronokkan baginya.
''Saya suka filem-filem bercorak mistik kerana saya menganggap pembikinannya amat istimewa. Mungkin banyak kesan khas yang akan digunakan nanti,'' jelasnya. Bagaimanapun M. Nasir enggan mengulas lanjut mengenai filem tersebut.
Tetapi dia menjelaskan, ''Yang pasti ia adalah sebuah filem yang akan memberi kupasan tentang kuasa-kuasa ghaib atau mistik.''
Mengenai kemungkinan cerita-cerita mistik dan ahli sihir seperti ini akan dijadikan kontroversi oleh pihak-pihak tertentu, M. Nasir menjelaskan, semua pihak harus menilai erti kesenian dari pelbagai sudut tanpa telahan yang boleh memberi akibat tidak baik.
''Untuk memahami apa itu seni, kita kena belajar. Kena pergi sekolah. Jadi untuk mengelakkan kekeliruan tentulah kita kena membuat banyak penyelidikan,'' jelasnya.
Menurut M. Nasir, sebagai karyawan dia bebas untuk menulis atau bercerita tentang apa juga selagi menggunakan bahasa yang betul dan tidak lari daripada undang-undang bahasa itu sendiri.
Sementara itu setelah menjadikan nama anak bongsunya, Nur Nilam Sari sebagai judul sebuah lagu nyanyian Awie bersama kumpulan Search, M. Nasir tidak menolak kemungkinan nama itu juga akan dijadikan judul filem arahannya selepas ini.
Nur Nilam Sari juga bukan sekadar satu nama wanita yang sering digunakan sebagai judul lagu-lagu Melayu sejak dulu lagi.
Nama Nur Nilam Sari bukan saja sedap diucap malah membawa makna yang tersendiri kepada M. Nasir. Setelah lengkapnya sebuah keluarga dengan memiliki anak lelaki dan perempuan, Nur Nilam Sari kehilangan ibu pada usianya tiga bulan.
''Ini satu idea yang baik. Ya, jika sesuai dengan ceritanya, saya mungkin akan menggunakan nama itu sebagai judul untuk filem-filem saya yang akan datang,'' jelasnya ketika ditanya mengenai perkara itu.
Kelahiran Nur Nilam Sari dianggap sebagai satu anugerah istimewa kepada M. Nasir dan keluarganya .Seperti empat anak lelakinya yang lain, M. Nasir turut membawa Nur Nilam Sari ke majlis-majlis yang disertainya.
Ketika ibunya Allahyarham Junainah meninggal dunia pada Ogos tahun lalu, banyak yang terasa hiba apabila usia semuda itu dia terpisah dengan ibunya.
Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan