ANALITIC

Isnin, November 02, 1998

Nilai ketuhanan warnai lagu Nasir

petikan Berita Harian 2 November 1998 

Oleh Raja Yusoff Raja Ariffin


APABILA menyebut lagu dan muzik berunsur Islam atau dakwah, biasanya yang segera muncul dalam ingatan kebanyakan orang ialah kumpulan nasyid seperti al-Jawaher, al-Mizan, Rabbani dan sebagainya.

Sehingga kini dapat diperhatikan memang sukar mengaitkan lagu dan muzik berunsur Islam dengan penyanyi komersil, sedangkan ada antara penyanyi ini sudah lama memperjuangkan muzik sedemikian.

Sebagai contoh, M Nasir misalnya sejak kumpulan Kembara  (1981) hingga kini menjadi penyanyi solo, mengekalkan identiti muziknya.

Banyak lagu M Nasir yang berunsur Islam. Antaranya ialah Hati Emas, Perjuangan, Kalifah, Kepadamu Kekasih, Mustika, Lindungilah Kami, Gadis Berpurdah Hitam, Batu Kerana Cinta dan Sesat Di Kuala Lumpur.

Sementara menerusi album solo pula termasuklah Mustika, Demi Masa, Hidayah, Di Jalan Sesat, Wadi, Tanya Sama Itu Hud Hud, dan Lambaian Sukma.

Album solo terbaru beliau, Terbaik M Nasir (album kompilasi) yang mula dipasarkan pertengahan April lalu, mengandungi 14 lagu termasuk dua lagu baru, Kias Fansuri dan Andalusia.

Dua lagu baru ini memang berunsur Islam, malah tajuknya pula jelas menunjukkan unsur Islam yang ada didalamnya. Lagu lain adalah lagu-lagu lama yang popular juga berunsur Islam seperti Bonda, Menanti Semerah Padi, Tanya Sama Itu Hud Hud dan Mustika.

Bagaimanapun, mungkin disebabkan gaya dan penampilan M Nasir (sebagaimana Sani Sudin), kebanyakan menganggapnya tidak relevan... tidak bernada keislaman atau tidak Islamik.

Lirik Kias Fansuri ditulis oleh Loloq, manakala Andalusia. Melodi kedua-dua lagu ini dicipta M Nasir sendiri.

Kias Fansuri dan Andalusia mengungkapkan kecintaan kepada Islam. Cuma yang agak menyulitkan ialah kerana simbolik yang digunakan (seperti hampir semua lagu M Nasir), terutama Kias Fansuri.

Pada majlis pratonton klip video Kias Fansuri dan sidang akhbar di pejabat BMG Music, September lalu, Nasir mengatakan Kias Fansuri adalah kisah pencarian hidupnya menempuh segala macam dugaan.

Menurut Nasir lagi, beliau bertemu apa yang berlaku pada dirinya itu. Beliau reda dan menganggap hidup ini sebagai satu kabilah.

Pada penelitian saya pula, Kias Fansuri menggambarkan perjalanan seseorang dari jahil hingga mengenali Tuhan. Insan itu hampir terperosok ke lembah hina lantaran godaan syaitan.


 Tak sempat di papas

 hadanganku habis

 bila katerpandang

 dia... melangkah marak hendak

 menjamu selera

 Gelaran lamaku

 di belakang tabir

 bilang katerdengar

 namaku dipanggil

 dia... matanya merah menyala

 dia... hadiahkan tubuhku

 tujuh lucutan pedang saktinya


Namun, insan itu cepat sedar atas dorongan cinta dan kesedaran ketuhanan. Peristiwa Nabi Yusuf dan Siti Zulaikha dikaitkan sebagai iktibar simbolik.


 Jangan sesekali kau ceritakan

 pengalaman mu Yusuf

 takut-takut mengundang bencana


Dalam Perjalanan Hidup, kaitan persoalan cinta tidak dapat diketepikan begitu saja. Apabila dihubungkan dengan cinta, manusia sukar menolak godaannya. Bagaimanapun, bimbingan dan teladan perlu untuk menjadi benteng atau penyelamat.


Sehubungan itu, keinginan dan nafsu Zulaikha terhadap Nabi Yusuf ada hikmah daripadanya. Pendeknya, semua itu aturan Tuhan.


 Siapa tahu

 betapa berat cinta yang ditanggung

 sehingga dia sanggup lakukan

 biar apa saja demi mendapatkan

 restu sultan cahaya hatinya...

 Tak sia-sia azam Zulaikha

 bisa jadi cermin mengintai jiwa

 tak sia-sia mimpi Zulaikha

 bisa jadi lorong insan bercinta


Kesedaran itu terus hidup dan kuat dengan cara:


 Bisikan memujuk

 memupuk nurani

 lalu terbukalah

 pintu juga menghijab

 Dia... aku kenal dia lama dahulu

 dia... yang melamarku dalam mimpi


Andalusia pula memaparkan nostalgia dan impian terhadap kebesaran Islam. Sebagaimana dimaklumi, Andalusia adalah kerajaan Islam yang agung di Eropah sebelum ditakluki Sepanyol.

Memang tidak salah meneladani kebesaran silam yang dapat memberi kebaikan. Akan tetapi tidaklah wajar sekadar mengagumi. Apa yang lebih penting, hidupkan kembali dan teruskan kecemerlangan itu.

Itu memang sukar. Oleh yang demikian, wajar juga jika kebangkitan semula itu sekadar abstrak — andainya tidak dapat secara konkrit. Dalam kata lain, tidak mengapa jika hanya mampu diadaptasi jiwanya itu.


 Cahayamu bagai sabitah

 doaku kau sejahtera

 biar warna kubah-kubahmu kian pudar

 untukmu setanggi ini kubakar


Sabitah bermaksud bintang tetap. Sehubungan itu, kegemilangan Andalusia amat dikagumi hinggakan dianggap sebagai bintang bercahaya yang tetap dan utuh.


 Cahayamu sedia kala

 aku rindukan taman kebangkitan

 pabila nurani bersulamkan fikiran

 seganding dan bersatu

 lafaz niatku bertemu


Seterusnya, perhatikan lirik berikut untuk lebih jelas dengan apa yang saya maksudkan tadi:


 pohon salamku pada fakir-fakirmu

 Andalusia

 izinkanlah aku menyelami irama asyikmu

 pohonku dipinjamkan gambus dan ghazalmu

 jadi azimat

 supaya dapat aku teori menongkah arus

 sahutilah Andalusia


Nostalgia dan harapan itu dilanjutkan lagi dalam bentuk pertanyaan pula:


 Apakah sudah kering lautan darah

 yang tertimbus di bumi al-Hambra

 ataupun masih bergelora menanti saat

 melimpah mengikut mata air


Memang jelas bahawa lagu-lagu dakwah pada masa kini tidak sahaja lahir daripada hanya kumpulan nasyid, sebaliknya juga lahir dalam banyak lagu-lagu yang dikatakan lagu komersil. Sebelum ini sajak Chairil Anwar bertajuk Cinta dinyanyikan oleh Zubir Ali dan beliau bukan penyanyi lagu nasyid.

Dalam hal ini peminat seni harus celik dan banyak melihat kepada lirik lagu, bukan hanya melihat kepada bentuk fizikal sahaja, isi kandungan yang tersirat di dalamnya juga harus diperhatikan dengan saksama. Tambah lagi kalau ada lagu-lagu nasyid itu sebaliknya yang kurang betul dan kurang mantap hingga besar kemungkinannya boleh membawa makna yang jauh berbeza dari makna yang asalnya.

Tiada ulasan: