ANALITIC

Ahad, November 10, 1996

Arah berbeza dua legenda - Nasir dapat gelaran 'seniman jutawan'

 petikan Berita Harian 10 November 1996

TIDAK benar artis Singapura tidak mendapat tempat dalam industri hiburan Malaysia jika artis itu sememangnya berbakat besar dan mempunyai kelebihan tersendiri.

"Kalau anda sama saja macam kebanyakan penyanyi atau pelakon di sini, tentulah anda akan kecewa," kata seniman berasal Singapura yang sudah enam tahun menjadi rakyat Malaysia, M. Nasir.

"Buat apa mereka terima orang yang sama saja dengan mereka? Orang Malaysia pun sama dengan orang negeri lain... mereka nak lindungi artis-artis sendiri... mestilah nak beri keutamaan kepada bumiputera sendiri. Kemudian baru boleh fikirkan artis luar negeri.

"Tetapi kalau anda benar-benar bagus, tak siapa dapat menafikan anda. Tapi kenalah kerja keras dan banyak bersabar," kata Nasir yang telah melalui pelbagai getir dan pengalaman sejak berhijrah ke Kuala Lumpur dalam 1981.

Dalam satu interviu dengan Berita Minggu, isteri Nasir, Junainah Johari, 34 tahun berkata, ketika mereka baru tiba di sana, mereka "langsung tak ada apa-apa". Tetapi kini, Nasir dan telah disifatkan sebagai "seniman jutawan" oleh kalangan aktivisi hiburan Malaysia.

Selain menikmati royalti lagu sebagai penerbit, penggubah dan penyanyi setiap tahun, Nasir dan isterinya juga mempunyai dua bidang tanah dan rumah sendiri di Kampong Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor, dan memiliki bangunan pejabat Luncai Emas Sdn Bhd, di Bandar Baru Sungai Buloh.

"Nak beli rumah di KL, waktu itu manalah mampu. Sebab itu kami cari kawasan jauh sikit untuk dapatkan tanah yang lebih murah. Inilah tanah yang kami beli dengan harga M$41,000 ($22,960) dengan menggunakan nama orang lain semasa kami belum dapat kerakyatan Malaysia.

"Sedikit demi sedikit, daripada hasil cipta lagu dan terbitkan album penyanyi, kami bangunkan rumah sampailah ia menjadi milik kami sepenuhnya," kata Junainah, yang mempunyai empat anak lelaki bersama Nasir - Ilham, 11 tahun; Yassin, lapan tahun; Hidayat, tiga tahun dan Shafie, setahun setengah.

Selain tanah dan syarikat, mereka juga mempunyai tiga kenderaan BMW 5 Series, Proton Saga dan van Mazda untuk lapan penumpang.

Kata Nasir, beliau agak mudah bertapak di Kuala Lumpur kerana sumbangannya sebagai penggubah lagu, lebih daripada seorang penyanyi.

"Ketika itu, saya masih terikat dengan Polygram. Ada kumpulan Kembara. Hanya setelah memasuki BMG, baru album solo saya naik," kata Nasir.

Selain bakat, Nasir mengakui imej juga memainkan peranan yang cepat membantu mempopularkan artis.

"Kalau muka tak cantik, tak glamour majalah mana yang siarkan gambar awak besar-besar? Kalau tulis pun, ala kadar saja. Ini lumrah. Bisnes hiburan. Suka tak suka, ini hakikat," ujarnya.

Nasir berkata beliau tidak mempunyai sebarang "nasihat" kepada artis Singapura yang berhasrat mencuba nasib di negara jiran.

"Kalau mereka datang dan jumpa saya, baru saya cakap. Lain orang, lain caranya," ujarnya selamba.

---

RAMLI Sarip dan M.Nasir. Kedua-dua seniman kelahiran Singapura ini masing-masing telah mencipta nama dalam persada muzik Melayu. Mereka mencipta sejarah bukan setakat sebagai penyanyi yang berjaya, malah lebih penting, sebagai pembentuk muzik yang menentukan tren perkembangan muzik di Nusantara. Namun, sementara Nasir mengambil langkah untuk berhijrah dan kini menikmati kemewahan, Ramli tetap bertahan di sini kerana mahu menunaikan 'tanggungjawabnya' sebagai 'bapa' kepada penggiat seni muda Singapura.

Tiada ulasan: