ANALITIC

Isnin, Februari 20, 1995

Search hati-hati pilih lagu untuk album terbaru

 petikan Berita Harian 20 Februari 1995

Oleh Faridah Hassan

Penulis sambilan

INGIN ULANG KEJAYAAN LAMA: Dengan album terbaru mereka, terutama menerusi lagu Cintaku Hilang Berbisa, Search berharap dapat menjulang kembali kegemilangan dahulu.

KURANGNYA sambutan terhadap album Rampage menjadikan kumpulan rok Search lebih berhati-hati dalam pemilihan lagu untuk album ketujuh mereka yang bakal menemui peminat bulan ini.

Menurut Amy, album terbaru terbitan bersama M.Nasir dan Search sendiri dijangka menjulang kembali kegemilangan Search seperti album-album mereka terdahulu. Kalau dulu mereka popular menerusi lagu Fantasia Bulan Madu dan Isabella, kini mereka dijangka menjadi tumpuan kembali menerusi lagu Cintaku Hilang Berbisa yang dikatakan seperti menggambarkan perasaan Amy setelah gagal dalam perkahwinan keduanya.

Apakah Search tidak yakin boleh menerbitkan album tanpa campur tangan daripada Nasir?

Kata Amy: "Daripada peringkat awal lagi pembabitan kami dalam bidang muzik, M.Nasir adalah orang yang paling sesuai dan memahami apa yang kami mahukan.

"Kami dah lama bekerja bersamanya dan beliau beri kami kebebasan untuk tentukan yang terbaik untuk album kami."

Album terbaru mereka telah dirakamkan di Studio Ronggeng milik Nasir sejak November lalu tetapi mastering atau pita utamanya telah dibuat di Sydney, Australia.

Selain Cintaku Hilang Berbisa, lagu-lagu lain ialah Menuju Puncak, Jeritan Rindu, Bersalah Atau Tidak, Mencari Pengganti dan Hongky Tong Kosong.

M.Nasir mencipta sembilan lagu sementara Search menghasilkan satu lagu bertajuk No Way.

Setelah hampir dua tahun kumpulan Search tiak muncul dengan album baru, tidakkah mereka rasa tergugat dengan kumpulan-kumpulan baru yang semakin popular?

Amy yang tidak teragak-agak memberi jawapan, berkata: "Tidak. Kami tidak pernah mahu bersaing dalam arena seni.

"Masing-masing ada haluan sendiri. Lagi pun, hal ini bukanlah peraduan nyanyi untuk meraih piala."

Amy yang telah 14 tahun bersama Search menjelaskan bahawa hubungan antara sesama anggota kumpulan itu sekarang semakin baik. Ini kerana Amy telah membuktikan bahawa beliau tetap setia dengan kumpulannya biarpun telah menghasilkan album solo, berjudul Magic tahun lalu.

Tiada ulasan: