ANALITIC

Ahad, Januari 01, 1995

Memang kurang ajar sikit'

petikan Berita Harian, 1 January 1995

AKHIRNYA, penat lelahnya dihargai. Akhirnya, sumbangannya dalam bidang seni mendapat ganjaran.

M. Nasir berjaya merebut hadiah Juara Lagu '94, acara kemuncak Muzik Muzik terbitan TV3. Lagunya "Tanya Sama Itu Hud Hud" menang kategori Rock yang menawarkan hadiah M$7,500 (kira-kira $4,275), "Bonda" untuk Irama Malaysia (M$7,500), Juara Lagu (M$12,000) dan Persembahan Terbaik.

Namun, setelah meraih kemenangan manis itu, beliau dikecam hebat oleh media massa dan karyawan muzik Malaysia berikutan komen yang dibuatnya mengenai mengapa penyanyi lain tewas dalam kategori Persembahan Terbaik. Katanya, mereka tewas kerana persembahan tidak kena dengan lagu yang mereka sampaikan. Ada yang berkata mulutnya celupar, ada yang menganggap beliau terlalu ghairah sehingga tidak memikirkan perasaan penyanyi lain.

Benarkah M. Nasir lupa diri? Berikut kami bawakan sedutan temu bual Berita Harian Malaysia dengan Nasir mengenai kekecohan itu.

Soalan: Pendapat saudara selalu menimbulkan kontroversi. Apakah saudara sering menimbulkan pertengkaran?

Nasir: Sebenarnya masyarakat kita mempunyai satu sikap iaitu suka menyimpan egonya sendiri. Mereka tidak bersikap terbuka terutama dalam bidang seni dan tidak tahan dengan kritikan.

Soalan: Sejauh mana saudara suka timbulkan kontroversi?

Nasir: Sebenarnya saya ada matlamat dengan apa yang saya katakan. Itu saja.

Soalan: Orang kata anda kata begitu sebab anda sendiri tak buat persediaan untuk Juara Lagu.

Nasir: Betul, saya tak buat persediaan. Maksud saya, saya buat secara sederhana, ala konsert. Tetapi ia masih ada kesinambungan. Cara saya menyanyi tak ikut seperti dalam rekod sebab idea datang pada masa itu juga.

Soalan: Ada juga yang kata cara saudara macam menyanyi di fun fair atau ekspo saja.

Nasir: Memang betul sebab nyanyian saya adalah nyanyian rakyat tetapi hari itu saya nyanyi di ekspo yang besar-besar (beliau merujuk kepada Malam Juara Lagu).

Soalan: Perlu ke buat persediaan dengan prop yang berat-berat?

Nasir: Itu bergantung kepada juri sebenarnya. Cita rasa juri juga berlainan. Mereka juga ada cita rasa sendiri dan perlu mengikut tren. Itu sebab saya kata ada artis buat persembahan yang tidak relevan dengan lagu mereka. Sepatutnya mereka mengkaji seni kata betul-betul dan pakaian sekali sebelum buat persembahan. Itu semua terpulang pada mereka sebab masa tu, saya sendiri tak harap untuk menang. Masing-masing punya pendirian. Selain daripada itu, saya rasa Juara Lagu banyak menaikkan nama artis, tidak kurang juga yang menjatuhkannya.

Soalan: Apa maksud anda menjatuhkan?

Nasir: Secara umum saya katakan, jika ada artis itu menang dan bersuara lebih sedikit maka dengan sendirinya dia akan jatuh.

Soalan: Berapa anda belanja untuk Juara Lagu?

Nasir: Langsung tak ada bajet. Saya pakai yang lama-lama saja. Kasihanlah merekalah yang susah-susah buat persediaan. Saya hanya mengikut kehendak lagu dengan susunan muzik yang harmoni. Kalau tidak, saya nyanyi seorang pun tak kisah.

Soalan: Apa komen anda bila saudara dikatakan seniman canggih?

Nasir: Saya tak suka. Dari segi konsepnya tak betul. Sebab bagi saya, benda ini tak ada apa-apa. Masyarakat Malaysia suka mencipta apa saja, termasuk papa rock, mama rock.

Soalan: Ramai yang tak faham apa pendirian anda sebenarnya. Bila kalah saudara seperti tidak puas hati dan menang, timbul pula kontroversi.

Nasir: Terpulanglah kepada mereka. Era 90-an ramai yang menyanjung tinggi lagu-lagu tradisi. Tetapi mereka tidak menggunakan unsur tradisi itu dengan cita rasa yang lebih tinggi, tak kiralah imej fun fair ke...

Soalan: Ada yang berpendapat kenyataan saudara itu dianggap biadap. Apa komen saudara sendiri?

Nasir: (Ketawa) Memang. Kurang ajar sikit.

Tiada ulasan: