Khamis, September 15, 1994

NASIHAT M.NASIR : ARTIS ARTIS KITA JANGAN MUDAH PERASAN.

Petikan URTV 15 September 1994
(sumber : Terima kasih Wiraaz Collezzione)

Seniman Berjanggut, M Nasir walaupun sibuk mencipta lagu album artis tempatan, berlakon filem dan kini pula konsert tidak pernah mengatakan “no” kepada wartawan yang ingin menemubualnya.  Walaupun terlalu sibuk. M. Nasir yang diuruskan isterinya Nana dari syarikat bersama LUNCAI  EMAS Sdn. Bhd tidak mengecewakan.

Caranya profesional.  Tidaklah kerana sibuk dijadikan alasan sukar menemui wartawan. Tidak dapat  melayani wartawan, sebagaimana ada artis kita yang kononnya tidak ada masa untuk wartawan.
Sehinggakan wartawan terpaksa mencari artis itu di studio di tengah malam demi untuk mendapatkannya. M Nasir bukan berlagak atau mudah bersikap begitu.

Dalam pertemuan baru-baru ini  saya sempat-lah  berbual agak panjang dengan M Nasir yang sudah lebih 13 tahun berkecimpung dalam arena seni muzik.


PENYANYI KITA PERLU UBAH SIKAP

Kata M Nasir penyanyi dan pemuzik kita hari ini perlulah mengubah sikap. Fikirkan masa depan dan kenali diri  serta bakat yang ada untuk pergi lebih jauh.

Bukannya dengan mudah perasan dan lupa diri.

Mereka tidak boleh malas. Kalau ada peluang untuk pergi jauh jangan dipersia siakan.
Ini tidak ada, baru jadi artis, tetapi lagaknya pula lebih.

Cuba selami bakat yang ada. Fikirkan sejauh  mana boleh diperkembangkan.  Jangan jadi pemuzik  atau artis yang sekali diketuk baru bergerak' katanya yang turut bertindak sebagai
Timbalan Presiden PAPITA.

Kata M.Nasir lagi “Kadang kala mereka yang malas belajar dan memperkayakan diri dengan ilmu seni hanya bijak berdebat kepada perkara yang tidak kena”

Begitulah M Nasir mahukan artis tidak tidur hanya kerana mempunyai pengurus. Bila menandatangani kontrak dia tidak faham apa yang dibaca, inilah yang salah.

"Pernah Papita bersama pihak  lain menganjurkan program motivasi kepada artis. Di situ banyak hal mereka boleh belajar mengenai undang undang kontrak, mengenai karear sebagai penyanyi.

“Tapi sayang hanya beberapa kerat saja yang datang? Kebanyakannya hanya tahu meluahkan masalah.   Kemudian bercakap lantang, tetapi banyak lagi yang mencari arah” katanya.

M.Nasir mengakui “Ada artis nasibnya memang baik. Bakatnya terserlah, buat album, syarikat tidak fikir panjang untuk buat promosi.

“Tidak kurang juga yang agak malang album dikeluarkan tak boleh jual. Sesungguhnya ada nama, ada popular...tetapi banyak mana wang yang syarikat keluarkan ..album tak laku juga.”

 “Dan di situ syarikat rakaman ini tidak mengira sangat soalan bayaran tinggi kepada artis tadi kerana memikirkan rugi dan untung. Mereka lebih pakar soal bisnes”

Kerana itu artis pun perlu tahu soal undang-undang, bisnes perlu belajar bukan memberontak”. Tapi yang peliknya artis kita ini masih ramai yang malas.”

Oleh itu M Nasir mahukan artis mengenali diri mereka, berapa lama menjadi penyanyi atau pemuzik, belum cukup mendabik dada dan hidung tinggi.

M.Nasir menyarankan artis terutama dibawah PAPITA untuk bangun dan memikirkan masa depan memperbaiki diri dari kelemahan.

Mengenai kesibukan artis kita mahu merakamkan album diluar negara , bagi M.Nasir bagi mendapatkan teknologi canggih dan pengalaman tidak salah tetapi biarlah sesuai untuk mendapatkan sesuatu.

“Bergantung dengan albumnya juga. Macam Zainal dan Shiela Majid mereka ada sebab kenapa mahu gunakan kombinasi pemuzik luar. Begitulah mengapa saya ke Australia untuk album Amy”.

“Saya perlukan beberapa pemuzik bagi biola dan violin kerana merasakan perlu bagi mendapatkan perkhidmatan mereka”.katanya

M.Nasir masih yakin dengan kebolehan  pemuzik tempatan kerana itulah dia mengutamakan kehadiran mereka. Dan kerana itulah dia mahu pemuzik tempatan celik, bangun dan berdiri bersama sama.

Jangan hanya diketuk baru terjaga. Itulah juga kepada semua penyanyi lain.masanya untuk serius harus bermula ketika diri menjejak langkah bukannya kerana popular dan glamor terus lupa diri.

RM12,000 SAHAJA UNTUK M. NASIR?

Saya tanyakan M Nasir benarkah hanya dibayar cuma RM12,000 untuk Konsert Canggung M.Nasir di Stadium Negara awal Ogos lalu?

Mana kau tahu? beliau bertanya sambil tersenyum.

"Sebenarnya pada aku bayaran itu diterima kerana sudah dibuat perjanjian kontrak. Sudah ditandatangani sebelum itu bayaran cuma sebanyak itu.”
"Kalau pun banyak mana diperolehi penganjur,  tetetapi aku sudah ikut perjanjian. Tidak boleh buat apa-apa. Tapi Box-Office berani untuk mencuba konsert untuk aku, katanya.

Kenapa?  Apakah penganjur lain tidak berani? tanya saya.

“Bukan tidak berani, tapi tak yakin. Dulu syarikat rokok tidak mahu aku. Mereka memikirkan soal aku dah berusia 30 tahun lebih. Biasanya orang seusia aku kurang merokok. Kemudian ada penganjur lain tak yakin untuk taja konsert aku. Mereka yakin dengan artis lain.
Kerana itulah konsert solo aku baru diadakan.

“Sebelum ini aku hanya  jadi penyanyi undangan sahaja.  Konsert solo aku di Stadium Negara itulah dianjurkan  oleh Box-Office.” katanya

Apa perasaannya melihat peminat-peminat konsert malam itu melebihi 14 ribu, catat sejarah  penyanyi  Malaysia mengadakan konsert di Stadium Negara.

“Sebenarnya waktu atas pentas aku tidak  begitu  memikirkan sangat soal penonton ramai sungguhpun pada mulanya aku langsung tidak menduga ramai yang akan datang.
" Sebabnya aku rasa di Lembah Klang ini sungguhpun album aku banyak  terjual, tetapi untuk  konsert mungkin ramai tidak datang. Tetapi ternyata sangkaan itu sebaliknya.

“Tapi waktu di atas pentas yang aku fikirkan ialah rancangan yang sudah diatur untuk konsert itu tidak terganggu.”

“Jangan diubah ...terus mengikut rancangan asal. Aku rasa menyanyi di konsert  bukannya untuk melayan peminat macam  penghibur di Kelab Malam atau eksklusif.”

"Tak boleh kita suruh mereka menyanyi atau menarik mereka naik ke pentas berjenaka. Zaman itu sudah berlalu.  Konsert sekarang kita utamakan persembahan,  muzik dan jalinan  cerita dalam konsert kita”.  katanya yang menceritakan caranya d atas pentas di malam konsert itu.

Bagaimana pun hatinya turut terusik gembira melihat sambutan yang  diberikan. Di Situ  juga dengan alunan muzik dan dan cerita yang mahu disampaikan  dalam konsertnya  diluahkan agar penonton berasa puas.

M Nasir bagaimanapun tidak  menolak masalah sistem bunyi  yang kurang baik. Pada masa akan datang dia akan berusaha mengelakkan masalah itu.

Malam itu M Nasir mengenakan pakaian yang dbeli di Australia sewaktu menyiapkan proses akhir album Amy.

KONSERT BESAR MENJELANG 95

Belum puas dengan konsert M.Nasir? M.Nasir akan bertemu lag kali ini berkemungkinan di Johor Bahru.

Saya juga dapat tahu M Nasir bersetuju untuk menyanyikan lagu-lagu hits di zaman dulunya yang paling diminati dan masih kekal sehingga hari ini menjadi “evergreen”.

“InsyaAllah akan diadakan dan mungkin aku akan menyanyikan lagu lama juga.” katanya
Tidakkah M.Nasir menyanyikan semula lagu cinta “Seperti  Dua Insan Bercinta bersama  Yosenesar Hussein,  lalu M.Nasir bertanyakan “Agak-agak siapakah yang layak berduet  semula dengan aku.?”
Saya tanyakan Nasir apakah tidak berminat merakamkan semula lagu-lagu hits olehnya mahupun yang dipopularkan oleh penyanyi lain dalam album koleksi terbarunya?  “Mungkin” kata M. Nasir ringkas

ALLEYCATS SILA BERBAHASA MELAYU DENGAN BAIK

M.Nasir memberitahu dia akan menulis dan mencipta lagu untuk Alleycats asalkan kumpulan itu  membuktikan mereka boleh bercakap bahasa Melayu dengan baik.

“Kenapa mereka tu tak boleh? Mereka asal dari mana? Tengok tu DJ Dave kenapa dia boleh bercakap bahasa Melayu dengan baik. Aku akan mencipta lagu mereka semula kalau mereka memperbaiki, bahasa Melayu mereka”

M Nasir pernah diminta oleh Alleycats akan memberikan sentuhan irama pada album mereka kerana ternyata lagu-lagu Nasir sebelum ini  serasi dengan mereka.

bersambung........................


Tiada ulasan: