ANALITIC

Ahad, November 01, 1987

'Search' kini pencabar utama 'Alleycats'

petikan Berita Harian, 1 November 1987

Oleh Kamsah Sirat


KUMPULAN Search dengan Amy selaku penyanyi utamanya nampaknya akan menjadi pencabar utama kepada kumpulan Alleycats dan beberapa kumpulan lain.

Ini adalah kerana albumnya yang ketiga — Mentari Merah Di Ufuk Timur — mencapai penjualan lebih 80,000 unit (termasuk pasaran Singapura) setelah lagu Fantasia Bulan Madu menjadi lagu hit hingga hari ini. Album itu diterbitkan oleh pencipta M. Nasir pada pertengahan tahun ini.

Oleh itu mereka akan dihadiahkan Ceper Platinum yang kedua, iaitu anugerah yang tertinggi bagi kejayaan sesebuah album.

Mereka juga telah layak menerima Ceper Platinum yang pertama kerana lagu Bumi Dan Langit dari album yang sama judul dan sebuah Ceper Emas kerana album pertama mereka, Cinta Buatan Malaysia.

Syarikat PolyGram Records akan memberikan kesemua tiga anugerah itu dalam Disember nanti, jelas Pengurus Pemajuan dan Publisiti, Encik Billy Tan.

Ketika ditemui di rumahnya di Taman Cuepacs, Kuala Lumpur, Amy atau Suhaimi Haji Abdul Rahman, berkata bahawa kumpulan Search tidak menduga mereka boleh mencapai kejayaan dalam masa yang singkat.

Beliau menambah: "Kami kagum dengan penjualan yang begitu tinggi. Ini semua adalah kerana M. Nasir, yang mencipta lagu dan menulis lirik di samping menerbitkan album itu.

"Kami sangat senang bekerja dengan Nasir. Dia seorang pencipta lagu dan penerbit yang kreatif. Lagu Fantasia Bulan Madu bukan saja unik tetapi liriknya juga puitis.

"Kami harap dapat bekerjasama lagi dengannya pada masa depan kalau syarikat PolyGram memanggil kami membuat rakaman bagi album keempat."

Amy, yang bercakap bagi pihak kawan-kawannya dalam kumpulan itu, tidak mahu membuat sebarang ulasan apabila ditanya apakah Search merupakan pencabar utama kepada kumpulan Alleycats dan beberapa kumpulan lain.

Tetapi dilihat dari segi jumlah penjualan, ternyata Search telah menewaskan kumpulan Alleycats, yang juga artis syarikat PolyGram Records, bagi sebuah album.

Encik Tan memberitahu, dalam pasaran Malaysia saja album Mentari Merah Di Ufuk Timur dari Search dengan lagu Fantasia Bulan Madu mencapai penjualan kira-kira 74,000 unit berbanding dengan 70,000 unit bagi album kumpulan Alleycats berjudul Suara Kekasih dengan lagu yang sama judul.

Dilihat dari segi jumlah anugerah, kumpulan Alleycats memang mengatasi Search.

Kumpulan Alleycats telah menerima enam buah ceper platinum bagi album Alleycats 4 (Hingga Akhir Nanti), Kuching (Andai Aku Pergi Dulu Darimu/Sekuntum Mawar Merah), 6 Kuching (Setahun Sudah Berlalu), Kerana (Kerana), Suara Kekasih (Suara Kekasih) dan Sampaikan Salam (Sampaikan Salam).

Tiga ceper emas pula adalah bagi album Alleycats 7 (Nota Bagi Cinta Ini), Drama Kehidupan dan Alleycats 12 (Sekeping Hati Yang Luka).

Dilihat dari segi jenis lagu memanglah kedua-dua buah kumpulan ini berlainan. Kumpulan Alleycats bercorak pop yang diminati oleh kanak-kanak, remaja dan juga orang-orang tua sementara kumpulan Search bercorak rok.

Namun begitu kumpulan Search, yang berumur jauh lebih muda, boleh dianggap sebagai penggugat utama bagi kumpulan Alleycats yang sekarang ini 'berumur' 18 tahun.

Search juga ternyata dapat mengatasi kumpulan-kumpulan lain seperti Sweet Charity, Kingdom In Rock, The Unwanted, Lefthanded dan Bumiputra Rockers.

Amy selanjutnya memberitahu, mereka telah mendapat tawaran untuk mengadakan beberapa pertunjukan dan membuat album Inggeris di Eropah dalam Disember nanti.

Peluang seperti itu memang dinanti-nantikan. Jika ini menjadi kenyataan, maka mereka akan merupakan kumpulan tempatan yang kedua membuat rakaman lagu-lagu Inggeris di luar negeri. Kumpulan pertama ialah Alleycats. Beliau, bagaimanapun, enggan pula bercakap tentang dua orang anggotanya — Nordin Mohd Taib, 24 tahun, dan Hillary Ang, 25 tahun — yang terlibat dalam kes dadah.

Tiada ulasan: