ANALITIC

Isnin, Julai 15, 1985

3 Tahun Tak Pernah Gunting Rambut - JAGA RAMBUT PANJANG LEBIH SUSAH DARI JAGA ISTERI – M. Nasir

petikan Variapop 15 Julai 1985

Oleh: Nazam

Foto: Hassan & Shafie


 "Saya dah buat janji dengan Nana, simpan rambut panjang ni hanya sementara siap filem ini saja. Lepas filem habislah."

KEBELAKANGAN ini publisiti M. Nasir begitu menonjol sekali. Wartawan dan jurugambar sering mengejarnya. Tapi dia seorang seniman yang cerdik. M. Nasir tidak pernah menolak untuk dipublisitikan. Dia tahu, kerjasamanya perlu dihebohkan. Soal hasil dan mutu kerjanya akan dinilaikan kemudian.

Bagi M. Nasir, berlakon filem adalah satu kerja seni yang tak hanya bermatlamat mencari keuntungan saja. Sebab itu dia tidak menekankan sangat soal bayaran berapa yang diterimanya untuk berlakon pegang peranan utama dalam filem terbaru yang sedang rancak membuat penggambaran sekarang iaitu 'KEMBARA... Seniman Jalanan'. Jika mahu dikira, dia mungkin akan mendapat bayaran lumayan. Selain berlakon, dia juga terlibat dalam mencipta muzik latar dan disamping haknya sebagai pencipta asal filem ini.

"Soal bayaran adalah rahsia saya dengan Zarul Albakri, penerbit ini," beritahu Nasir.

Nasir lebih mementingkan matlamat utamanya, iaitu menyiapkan 'KEMBARA... Seniman Jalanan' sehingga dapat ditayangkan, dari mengira berapa jumlah wang yang akan diterimanya.

"Duit bukan tidak penting, tapi saya tidak mahu mengejarnya hingga melupakan yang lain-lain," kata seniman muda ini yang ada falsafahnya tentang 'duit' dan baru saja menerbitkan album bersama kumpulan KEMBARA dengan tema Ringgit.

Sewaktu dia didatangi ilham untuk menulis cerita KEMBARA... Seniman Jalanan beberapa tahun lalu, dia lebih mengutamakan aspek seni dan mesej yang mahu dilonjolkannya. Tapi dia juga mengakui, perlunya unsur-unsur komersial yang tidak ditinggalkan begitu saja.

Cerita

'KEMBARA... Seniman Jalanan' berkait rapat dengan kehidupan M. Nasir dua tiga tahun kebelakangan. Sewaktu terpetik ilham untuk menulis ceritanya, Nasir telah menggambarkan watak utamanya seorang pemuda yang menyimpan rambut panjang.

"Saya gambarkan watak itu adalah diri saya. Sejak itu saya mula menyimpan dan memelihara tapi rambut saya," kata Nasir sambil membelai hujung rambutnya yang panjang menjangkau bahagian tengah belakang dipeliharanya sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Nasir memberitahu, dia menyimpan rambut panjang sehingga selesai penggambaran filem yang dibintanginya itu. Besar kemungkinan, selepas itu dia akan memotong pendek seperti biasa.

"Itu pun jika tidak ada apa aral. Bila dah panjang begini, rasa sayang pula nak buang. Bukan senang nak jaga rambut macam ni. Setiap hari kena belai dan disisir rapi. Siapa kata senang nak jaga rambut? Jaga isteri lagi senang..." kata Nasir ketawa sambil menjeling isterinya Junainah yang berada di sebelah.

M. Nasir bukan sentiasa serius. Dia juga boleh berbual tentang sesuatu yang mungkin setengahnya menganggap remeh saja seperti bercakap tentang rambut panjangnya.

Kata Nasir, mulanya dia merasa rimas juga berambut panjang, terutamanya bila cuaca panas. Tapi setelah setahun berlalu, rambutnya semakin panjang, kerimasan sudah tak terasa.

"Tiap hari bila tengahhari saja, saya mula cari getah ikat rambut sebab tak tahan panas. Bila panas dah hilang, tolong getah, ada bekas ikat rambut. Tak cantik lagikan rambut saya. Saya mencuba pula hingga biasa tak mengikat rambut."

Sekarang Nasir merasa selesa berambut panjang tanpa menggunakan ikat rambut. Kecuali bila membantu isterinya Junainah atau lebih mesra dipanggil Nana waktu memasak. "Kena jaga kebersihan!" ujarnya sambil tersenyum.

Isterinya Nana, merasa rimas pula dengan rambut panjang suaminya. Siang malam terpaksa suruh Nasir potong rambut. Ada kalanya naik bengang telinga Nasir mendengarnya.

"Saya dah buat janji dengan Nana, simpan rambut panjang ni hanya sementara siap filem ini saja. Lepas filem habislah. Mulanya dia kurang yakin. Tapi kami dah lama duduk serumah, dia faham sangat dengan perangai saya," jelas Nasir. Isterinya cuma tersenyum.

Resah dari peminat pun ada pula. Ramai yang menulis dan bertanya apa rahsianya dia menyimpan rambut panjang.

"Membaca surat-surat dari peminat memang ada seronoknya. Saya merasa gembira kerana perkara kecil kecil macam simpan rambut panjang ini pun menjadi perhatian mereka. Itu tandanya peminat setia," ujarnya sambil tersenyum lagi.

Dalam pada itu, isterinya Nana tolong juga Nasir mendandan rambut. Nana suka juga rambut panjang. Tapi Nana sendiri rimas nak menyimpannya.

Begitulah M. Nasir hero 'KEMBARA... Seniman Jalanan' ini. Dengan berambut panjang begini, seolah melengkapkan lagi 'identitinya' sebagai seorang artis.

"Saya paling tak gemar berpakaian kemas atau memakai 'kot'. Rasa rimas tak menentu. Biarlah saya dianggap berpakaian selekeh. Sebab saya ada prinsip tersendiri," ujarnya.

Bagaimana dengan filem 'KEMBARA... Seniman Jalanan'? M. Nasir akan muncul dengan identitinya tersendiri. Dengan rambut panjang dan berpakaian selekeh. Watak 'Bujang' yang diperankannya mungkin gambaran hampir tepat watak sebenar M. Nasir.

Kemunculan Nasir mendapat sokongan sepenuhnya dari pelakon-pelakon muda, ragged dan agak gila-gila seperti Pyanhabib, Imuda, Khatijah Ibrahim, Dinsman Rasputin, Neerush dan Shah Rezza.

Mungkin harapan peminat terhadap 'KEMBARA... Seniman Jalanan' terlalu besar. Tapi sebenarnya lebih besar harapan Nasir sendiri. Berjaya nanti filem ini, akan membuka pintu lebih luas untuk Nasir menceburkan diri dalam dunia perfilman sepenuhnya.

Kejayaan filem ini, mungkin akan memulakan era baru dunia perfilman tempatan di mana akan muncul satu angkatan generasi muda mengambil alih usaha ke arah meningkatkan mutu perfilman di Malaysia. Diharap mereka akan berjaya!

---

Petikan Sisipan & Keterangan Gambar:

 "Ada masanya Nana tolong juga Nasir mendandan rambut. Nana suka juga rambut panjang. Tapi Nana sendiri rimas nak menyimpannya," ujar isteri M. Nasir.

 Nana, simpan rambut panjang ni hanya sementara siap filem ini saja. Lepas filem habislah. Mulanya dia kurang yakin. Tapi...


Tiada ulasan: