petikan Berita Harian, 26 May 1985
KALAU Junainah Johari dari kumpulan Ideal Sisters telah mula mencuba nasib mencipta lagu, suaminya, M. Nasir pula telah mula berjinak-jinak dengan dunia perfileman.
Penyanyi dan penggubah lagu berbakat dari Singapura itu telah menghasilkan sebuah skrip untuk filem 'Kembara...Seniman Jalanan' terbitan ZSA Productions di Kuala Lumpur.
Ia diterbitkan oleh seorang penerbit muda, Encik Zarul Albakri, yang pernah menerbitkan filem 'Matinya Seorang Patriot', yang pernah dicalonkan sebagai filem terbaik dalam Pesta Filem Malaysia pada tahun lalu.
Filem 'Kembara...Seniman Jalanan', sesuai dengan judulnya, mengisahkan tentang pahit-getir yang terpaksa dilalui oleh seorang pemuzik berbakat untuk mencapai cita-citanya yang tinggi dalam bidang seni. M. Nasir sendiri akan memegang watak utama dalam filem itu.
Selain daripada itu, ia akan mengemukakan beberapa buah lagu baru dan lama ciptaan Nasir.
Khatijah Ibrahim, Sam Rasputin (bukan nama betulnya) — penyanyi dikenali sebagai 'Raja Reggae' yang berwatak ganjil — dan seorang pendatang baru, Neeruam, juga akan membintangi filem ini yang penggambarannya dimulakan akhir bulan lalu.
Urusan mengarah filem itu diserahkan kepada seorang bekas lulusan Institut Teknologi Mara, Nasir Jani, yang baru pulang setelah mengikuti kursus perfileman di London.
Bagi M. Nasir, inilah pertama kali beliau berlakon dalam filem, meskipun beliau pernah berlakon dalam drama-drama televisyen di Singapura.
Sebenarnya beliau telah menghasilkan skrip 'Kembara... Seniman Jalanan' itu sejak tiga tahun lalu, tetapi hanya baru-baru ini mengemukakannya kepada Nasir dan Zarul, yang setelah menerimanya mengambil masa tujuh bulan untuk menulis skrip itu kembali.
Mereka semua sedar bahawa dengan bajet M$250,000 tidak banyak yang dapat dilakukan untuk filem itu, namun mereka semua sedang berusaha untuk menggunakan daya kreativiti masing-masing untuk mewujudkan hasil yang paling berkesan.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Malaysia juga membantu dengan menyediakan berbagai peralatan perfileman.
Zarul berharap filem itu dapat ditayangkan di berbagai pesta filem antarabangsa, terutama di Pesta Filem New Delhi yang diadakan dua tahun sekali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan