ANALITIC

Ahad, April 12, 1981

Bintang drama dan piring hitam yg punyai keanehan - Nasir ingin renangi lautan cinta

petikan Berita Harian, 12 April 1981

Oleh A. Kadir Pandi

MOHD NASIR bersama dengan Rozianna Baharuddin, pemenang ketiga pertandingan adubakat ‘Talentime 80’ 

SALAH seorang bintang dunia hiburan Melayu di rantau ini yang boleh dikatakan menjadi ‘jejaka idaman’ anak-anak gadis ialah Mohd Nasir Mohd atau M. Nasir.

Gadis-gadis peminatnya akan ternanti-nanti di depan kaca TV kalau mengetahui lebih awal bahawa ‘buah hati’ mereka itu akan muncul — sama ada berlakon dalam drama televisyen ataupun menyanyi dalam rancangan hiburan.

Bagaimanapun, anak muda yang kacak ini cukup aneh orangnya. Ramai yang cuba berbicara dengannya pernah tersinggung lantaran keanehan wataknya itu. Oleh itu, jika anda buat pertama kali ingin menyapa, menegur atau berbicara dengannya, berhati-hatilah.

Tabiat semulajadi

Mengapa? Sebab, Nasir selalu terlena. Khayal. Fikirannya sering mengelamun jauh. Apa yang kita cakapkan padanya seolah-olah tidak diambil peduli atau tidak diumpamakan olehnya. Sejurus kemudian, barulah dia akan tersentak dari lamunannya dan bertanya apa yang dibicarakan kepadanya.

Teman-teman yang rapat dengan Nasir memberitahu saya bahawa itulah tabiat semulajadi Nasir semula-jadi. Ada pula yang berpendapat, mungkin Nasir sangat memikirkan tentang perkara-perkara yang bersangkut paut dengan kerjayanya sebagai pelukis, pencipta lagu dan penulis lirik.

Nasir — seperti pelakon Mohd Din yang bergiat dalam bidang seni lakon, seni lukis, seni silat dan ubat-ubat Melayu — memiliki bakat dalam berbagai bidang seni iaitu lukisan, lakonan, mencipta lagu dan mencipta senikata.

Seperti juga Mohd Din, mata pencarian tetap Nasir, yang lulus dari Nanyang Academy Of Fine Arts, ialah seni lukis.

Nama timang-timangan Nasir ialah ‘Acil’. Sejak kecil lagi keluarga Nasir telah memanggilnya dengan nama itu, sehinggalah hari ini. Nasir sendiri mengakui dia lebih senang dipanggil Acil, kerana “nama Acil itu unik.”

Sebagai orang yang baru menceburkan diri dalam lapangan mencipta lagu, banyak juga lagu-lagu yang dihasilkan olehnya telah dirakamkan ke piringhitam.

Menyayat

Antaranya termasuklah ‘Kenangan Lalu’ persembahan Flybaits, ‘Senandung Semalam’ persembahan The Alleycats, ‘Dua Insan’ nyanyiannya sendiri bersama Yunizar Hussin, ‘Kabus’ dan ‘Patah-Patah Hati’ oleh Ideal Sisters dan beberapa yang lain.

Kebanyakan lagu-lagu ciptaan Nasir adalah berirama sentimental — sayup dan berupaya menyingkap kembali peristiwa-peristiwa lama yang menyayat hati, terutama bila bersendirian di waktu malam.

Lagu-lagu ciptaannya itu seolah-olah tidak lain dari curahan hati seorang anak muda yang patah cinta.

“Tidak, saya tidak pernah jatuh cinta atau bercinta dengan seseorang gadis, apatah lagi patah cinta. Apa yang dilukiskan dalam lagu-lagu ciptaan saya itu hanya cara kebetulan saja,” katanya bila ditanya.

Seronok

“Cinta saya hanyalah pada dunia seni, pada muzik, pada kerjaya saya sebagai seorang pelukis,” tambah Nasir.

Katanya, lagu-lagu ciptaannya cuma berdasarkan keadaan yang berlaku di sekelilingnya. “Sungguh seronok jika peristiwa itu saya sendiri yang alami,” ujar Nasir, berseloroh, sambil menambah, “lebih seronok lagi andaikata saya dapat renangi lautan cinta.”

Tiada ulasan: