petikan Utusan Malaysia 16 November 2003
Siapa ikon generasi muda yang paling menonjol selain Rahim Razali pada dekad 80-an? Ini adalah penunjuk waktu yang penting dalam profil filem Melayu yang berusia enam dekad ini.
Kehadiran orang teater sebenarnya telah memberikan satu corak dan galur pemikiran yang tersendiri kepada filem tahun 80-an. Biarpun mungkin ada benarnya mereka tidak ada pengalaman mengendalikan peralatan perfileman tetapi filem berpaksikan pemikiran.
Buktinya pemikiran generasi 80-an lebih besar daripada acuan sosiobudaya zamannya. Kehadiran mereka mengejutkan dengan stail yang berbeza dan isu yang dibawa bukan sekadar rambu ramba dekad 70-an. Maka tidak hairanlah kalau pada peringkat awalnya filem-filem angkatan 80-an ini ditolak kerana ada sedikit pertentangan dengan pemikiran dalam filem Melayu sebelumnya.
Suatu yang paling ketara generasi pembikin filem muda 80-an cuba menjauhkan diri daripada gaya melodrama. Filem mereka tidak membuai jiwa tetapi memagut rasa. Mereka kelihatan agresif dengan jiwa dan pemikiran muda.
Begitulah sikap orang muda yang mahu menongkah kebiasaan dan mencipta sesuatu yang segar biar dalam apa bidang sekalipun. Dalam konteks filem tempatan, kelantangan filem dekad 80-an hampir tidak ada pada filem abad baru.
Teknologi bertambah hebat sementara frasarana juga bertambah baik pada abad baru. Tetapi kenapa filem abad baru tidak berbisa dan diingati seperti dilontarkan oleh Matinya Seorang Patriot arahan Rahim Razali, Mekanik (Othman Hafsham), Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta 87 (Nasir Jani)?
Adakah benar bahawa kita telah kehilangan dekad yang sangat berharga bagi filem Melayu? Filem abad baru semakin meletihkan kerana berlaku terlalu banyak pengulangan idea yang lalu. Struktur pemikiran yang dituangkan juga sekadar mengisi keperluan sebuah filem tetapi bukan keperluan filem Melayu.
Pada dekad 80-an, salah seorang yang menjadi ikon segenerasi dengannya ialah Nasir Jani. Nasir pernah bekerja dengan Rahim Razali sebagai pengarah seni untuk filem Matinya Seorang Patriot. Nasir kemudian melakarkan nama sendiri dengan Kembara Seniman Jalanan. Filem ini dilakonkan oleh M. Nasir, Khaty Ibrahim dan Pyanhabib.
Kembara Seniman Jalanan adalah filem yang bernada protes terhadap sistem sosial itu sendiri. Nasir menyingkap idealisme remaja tentunya dekad 80-an yang menjadikan muzik sebagai wadah ekspresi. Dunia perfileman tempatan sebenarnya ketandusan filem yang bercita rasa remaja.
Pelakonnya terdiri daripada remaja, ceritanya kisah cinta atau dunia akademik di menara gading bukanlah kriteria filem remaja. Idealisme remaja misalnya berkait rapat dengan muzik dan budaya pop harus menjadi elemen penting dalam filem remaja. Jangan lupa remaja juga sinonim dengan sikap memprotes sistem yang ada.
Nasir Jani dianggap memberikan pengisian yang memuaskan dalam Kembara Seniman Jalanan sebagai filem remaja bercita rasa tempatan. Sambil bersandarkan kepada gelegak muzik rock, Kembara Seniman Jalanan membawa isu yang lebih besar daripada protes terhadap masalah cetak rompak.
Nasir menanggapi watak-watak remaja di jalanan yang terbius dengan muzik pop. Mereka mahu menjadi penyanyi dan tinggal di rumah setinggan demi menggapai cita-cita. Sistem yang licik mengaut untung ke atas warga yang lemah dan lurus.
Kerana itu Nasir sangat menyerlah biarpun hanya mengarah dua filem sebelum dia merentasi fragmen-fragmen hitam digam daripada menghasilkan karyanya di tv. Filem Rozana Cinta 87 lebih lembut berbanding Kembara Seniman Jalanan. Tetapi jangan salah anggap dengan ``cinta'' dalam judul filem ini.
Cintanya bukan cinta biasa. Filemnya juga bukan filem biasa. Ini filem remaja yang meletakkan semuanya anak muda beraksi tanpa orang tua di dalam layar ini. Daripada aspek ini Nasir telah menghantarkan mesej bahawa inilah filem remaja tanpa leteran orang tua yang sangat retorik itu.
Ini adalah filem anak muda yang tidak berbasa basi kelangsungan banyak filem Melayu yang lalu. Nasir mentafsir gejolak jiwa dan idealisme remaja di sebalik kelir cinta yang tulus. Dalam Rozana Cinta 87, kalau diteliti watak golongan dewasa hanya hadir dalam voice over telefon dari luar negara.
Nasir ternyata memberikan satu mercu tanda filem dekad 80-an dengan sedikit perubahan yang radikal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan