Ahad, November 09, 2003

Kopratasa - uji sentuhan M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 9 November 2003

Oleh SITI ROHAYAH ATTAN

SATU-satunya kumpulan yang sering diingati sebagai pejuang lagu-lagu puisi secara konsisten ialah Kopratasa. Kumpulan yang mampu bertahan hampir 20 tahun dengan dianggotai Siso, Sani Sudin dan Usop ini mengakui mereka veteran dari segi usia jika dibandingkan dengan penyanyi atau kumpulan lain.

Namun, usia mereka yang melebihi 40 tahun ini sebenarnya bukan halangan untuk meneruskan perjuangan terhadap lagu-lagu puisi. Bara yang membakar itu dibuktikan dengan kemunculan album ketujuh berjudul Mulia yang diterbitkan oleh rakan baik mereka, M. Nasir.

Selepas enam album yang sinonim dengan konsep lagu-lagu puisi ternyata kumpulan ini masih mampu berada di hati peminat meskipun irama pop, rock dan dangdut mahupun R&B silih berganti.

Kopratasa yang dikenali dengan lagu Masihkah Kau Ingat ciptaan Sani Sudin pernah menerima sentuhan M. Nasir dalam album sulung mereka, Keringat Dalam Pasrah pada 1987. Kejayaan album itu membawa kepada kelahiran album lain iaitu Kunci (1988), Episod (1989), Sesetia Malam (1996), Nikmat (1997) dan Antologi (1998).

``Saya mengucapkan terima kasih kepada M. Nasir kerana masih sanggup menerbit dan mengeluarkan duit untuk album Kopratasa.

``Setelah lama tidak muncul dengan album baru, beliau merealitikan harapan kami. Orang lain mungkin sudah tidak mempedulikan lagi lagu-lagu puisi,'' kata Siso ketika pelancaran album tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis itu beberapa artis naungan FMC menerima anugerah platinum kerana kejayaan jualan album dan cakera padat video (VCD). Ini termasuklah Mamat dengan albumnya Mamat - Dulu... Sekarang yang terjual melebihi 20,000, album Nana & Achik - Istimewa Untukmu (25,000), Kumpulan Spin - Demi ((70,000 unit) dan VCD Prahara (50,000 unit).

Selepas lima tahun tanpa karya baru, Mulia yang diterbitkan oleh Matahari dan Luncai Emas menjadi sandaran untuk Kopratasa mengukur penerimaan masyarakat terhadap rentak lagu puisi.

Kali ini penglibatan M. Nasir bukan sekadar penerbit malah agak dominan dengan menyumbang secara bersama tujuh daripada 11 lagu. Apakah ini caranya bagi Kopratasa untuk mengembalikan kegemilangan mereka atau dalam erti kata lain Kopratasa menumpang populariti M. Nasir?

``Kopratasa dan M. Nasir adalah kawan. Dari segi pengalaman dalam muzik saya rasa antara Kopratasa dan M. Nasir adalah sama tetapi jika diukur populariti memang M. Nasir lebih popular. Tetapi, itu tidak bererti kami menumpang popularitinya.

``Sumbangan M. Nasir atas kehendak syarikat rakaman dan sebagai artis kami akur kepada kehendak itu. Dari satu sisi, kami juga mahu mencuba sama ada `resipi' atau sentuhan M. Nasir menjadi atau sebaliknya,'' kata Siso yang amat menghargai sumbangan M. Nasir memberi peluang Kopratasa kembali dengan album baru.

Lagu yang mendapat sentuhan M. Nasir termasuklah Mulia, Di Dalam Dalam, Dara dan Bulan, Pelita Kecil, Ke Pintu Asar, Adat Berkawan dan Alang-Alang.

Memandangkan album kali ini agak sedikit berubah dari segi lirik berbanding enam album terdahulu, Kopratasa mempertaruhkan tiga lagu yang akan mampu menarik perhatian peminat iaitu Mulia, Dara Dan Bulan serta Ketukan Di Pintu. Ini kerana ketiga-tiga lagu tersebut dihasilkan mengikut mood terkini.

``Kesemua lagu di dalam album ini mempunyai kelebihan masing-masing. Namun, tiga lagu tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri. Lagu Mulia adalah sambungan daripada lagu Permata (Buat Isteriku) yang dihasilkan dalam album keempat manakala Dara, Bunga Dan Bulan pula menampilkan irama Latin Arab. Ketukan Di Pintu pula mengembalikan rentak asal Kopratasa sebelum ini.

``Dari segi konsep memang agak berubah kerana kali ini kami memberi penekanan kepada puisi lagu. Dulu kami mengarah kepada puisi asli,'' tambahnya yang berharap album Mulia dapat memberi satu cahaya baru kepada muzik semasa.

Sebenarnya, kumpulan ini hampir dilupakan satu ketika dulu kerana setelah melahirkan album ketiga, ahli-ahlinya menyepikan diri hampir tujuh tahun tanpa sebarang album hingga ada yang menyangka kumpulan ini telah berkubur.

Hakikatnya, pada tempoh itu masing-masing mencari haluan sendiri bagi melahirkan album solo. Sani misalnya menghasilkan album solo berjudul Kopi dan Roti (1993) dan Dalam Rimba Karya (1997) manakala Usop pula menampilkan album Menuju Abadi (1990) yang diterbitkannya bersama Ramli Sarip.

Kemunculan kembali Kopratasa pada 1996 dengan album keempat, Sesetia Malam telah mengundang tuah apabila lagu Permata (Buat Isteriku) yang didasarkan daripada puisi karya Allahyarham Aziz HM mendapat tempat di hati pendengar. Selain itu,lagu ciptaan Siso, Dondang Mustika juga mencatat kejayaan tersendiri apabila lagu yang dipetik daripada album Antologi itu berjaya ke Juara Lagu kategori Irama Malaysia pada tahun 2000.

Lagu yang termuat dalam album ini Mulia (M. Nasir/Usop) manakala lagu lain ialah Di Dalam Dalam (M. Nasir/Sani Sudin), Ketukan Di Pintu (Sani Sudin/Che Din Osman), Dara, Bunga dan Bulan (M. Nasir/Loloq), Melayu Baru (Siso) dan Pelita Kecil (M. Nasir/S. Amin Sahab).

Ke Pintu Asar (M. Nasir/Keon), Bukan Apa-Apa (Usop/Khalid Salleh), Adat Berkawan (M. Nasir/Loloq) dan Alang-Alang (M. Nasir/Siso).

Menariknya, album yang berada di pasaran sejak 23 Oktober lalu menampilkan sebuah puisi karya penulis Seberang Takir, Kuala Terengganu, Allahyarham J.M. Aziz berjudul Berkolek Bersajak.

Tiada ulasan: