ANALITIC

Isnin, Mac 31, 1997

Dakwaan 'beri makan': M. Nasir diarah buat laporan bertulis

 petikan Berita Harian, 31 March 1997

KUALA LUMPUR — Kementerian Penerangan Malaysia mengarahkan komposer terkenal, M. Nasir, supaya membuat laporan bertulis mengenai dakwaannya baru-baru ini bahawa kononnya syarikat rakaman terpaksa "memberi makan" kepada juruhebah radio bagi memastikan lagu mereka disiarkan.

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Suleiman Mohamad, berkata laporan bertulis itu perlu mengandungi butir-butir terperinci jika kejadian tersebut benar-benar berlaku.

Laporan itu pula hendaklah diserahkan kepada kementerian tersebut atau Ketua Pengarah Siaran, tambahnya.

"Tuduhan Nasir itu berat dan menggambarkan juruhebah radio terbabit dengan gejala rasuah.

"Jika benar tuduhannya itu berasas, saya mahu Nasir menyerahkan laporan itu kepada saya supaya tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap juruhebah yang terbabit," kata Datuk Suleiman kepada para pemberita selepas majlis penutup sambutan ulang tahun ke-50 Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri kelmarin.

Ketika menjadi anggota panel dalam Seminar Media dan Industri Muzik sempena Minggu Muzik Malaysia minggu lalu, M. Nasir, yang sebelum ini telah mencetuskan beberapa kontroversi, mendakwa bahawa syarikat rakaman kadang-kadang terpaksa "memberi makan" kepada orang-orang tertentu supaya lagu mereka disiarkan di radio.

Ekoran kenyataan itu, juruhebah Radio 1, Encik Ainul Jamal Zainal, yang mendakwa mewakili rakan-rakan setugasnya, menyifatkan komposer itu sebagai celupar dan sengaja mahu mencari fasal dengan stesen radio.

Datuk Suleiman, yang turut kesal dengan kenyataan komposer itu, berkata Nasir tidak sepatutnya berkelakuan demikian kerana ia menjatuhkan imej dan maruah juruhebah radio. — BMM

Ahad, Mac 30, 1997

M Nasir tempelak juruhebah radio

petikan Bintang Popular, Berita Minggu 10 Februari 2008
oleh Hardi Effendi Yaacob

Selepas kontroversi dengan kenyataan 'Siapa Mahathir?' yang merujuk kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, M Nasir terus mencetuskan kontroversi dengan mendakwa juruhebah radio perlu dibayar untuk memutarkan lagu seseorang artis.

Berita Harian pada Mac 1997 melaporkan karyawan muzik itu dengan lancang mendakwa syarikat rakaman terpaksa 'memberi makan' kepada orang tertentu di stesen radio supaya lagu mereka boleh disiarkan. Kenyataan itu dibuat ketika Nasir menjadi saiah seorang ahli panel di seminar muzik berjudul Media dan Industri Muzik sempena Minggu Muzik Malaysia.

Akibat kenyataan itu, Juruhebah Kanan Radio 1, Ainul Jamal Zainal yang bertindak mewakili rakan setugas menyifatkan komposer itu bermulut celupar dan bagaikan hendak mencari pasal dengan stesen radio. Menurutnya, dakwaan itu seolah olah hendak memalukan semua juruhebah radio sekali gus merendahkan martabat mereka yang terbabit dalam tugas ini.

Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Seri Mohamed Rahmat (kini Tan Sri), berkata M Nasir akan menerima padah jika tidak memberikan penjelasan secara rasmi kepada Kementerian Penerangan berhubung dakwaannya.

Beliau berkata, dakwaan itu dianggap serius kerana mengeluarkan kenyataan secara terbuka iaitu pada satu seminar rasmi dan ini bukan pertama kali komposer itu bermulut celupar dan mencari pasal dengan RTM.

"Sama ada suka atau tidak, dia (M Nasir) perlu beri penjelasan atau laporan secara rasmi kepada kita. Saya menganggap dakwaannya itu serius dan berat. Saya juga perlu memelihara maruah kakitangan saya. Kalau laporan dia betul, kita boleh mengenakan tindakan tatatertib terhadap kakitangan terbabit. Tapi kalau laporan itu tidak betul, dia kena sedia menerima padahnya," katanya.

Pada masa sama, pihak media memaparkan terhadap apa yang disebut budaya payola, iaitu suatu kegiatan syarikat rakaman membayar dan memberi ganjaran tertentu kepada juruhebah untuk membolehkan lagu mereka mendapat perhatian dan kerap disiarkan. Payola dikatakan mula wujud di Amerika Syarikat dan ada pandangan mengatakan ia tidak mustahil boleh berlaku di mana saja, termasuk negara ini.

nota kaki: Petikan asal dari tahun 1997 berkenaan insiden ini tiada dalam simpanan, jadi petikan dari tahun 2008 ini sebagai gantinya.

Rabu, Januari 15, 1997

Konsert M. Nasir di Eropah April depan

petikan Berita Harian 15 Januari 1997
Oleh Hanim Mohd Saleh

PENYANYI M.Nasir menjadikan tahun baru 1997 sebagai permulaannya keluar dari rantau ini.

Beliau untuk pertama kali akan mengadakan konsert di Eropah. Pengarah Urusan Luncai Emas Sdn Bhd, Junainah Johari, memberitahu pihaknya sedang membuat persiapan untuk konsert M.Nasir di Manchester April depan.

"Kami sedang mengaturkan pesta tiga hari di Manchester dengan konsert unplugged Nasir menjadi acara kemuncaknya. Konsert itu akan diadakan selama dua malam.

“Dalam tempoh tiga hari di Manchester kami akan mengadakan majlis dialog dan apresiasi lagu-lagu Nasir dengan para pelajar Melayu yang sedang menuntut di sana” kata Junainah yang juga adalah isteri Nasir ketika ditemui Berita Harian baru-baru ini.

Idea mengadakan acara di Manchester itu kata Juninah lagi tercetus melalui seorang anggota Kelab Sahabat Kelab Peminat Nasir yang sedang belajar di Eropah.

“Melalui anggota kami di luar negeri itulah, kami mendapat maklum balas yang mereka sangat merindui persembahan Nasir. “Oleh itu, kami  memutuskan untuk menganjurkan konsert itu dan telah melantik salah seorang daripada mereka untuk menyelaraskan konsert Nasir di sana.

“Selain konsert, kami akan juga mengadakan sesi dialog dengan para peminat untuk membincangkan perkembangan lagu-lagu dengan Nasir agar kunjungan Nasir ke sang lebih bermakna kepada mereka yang mengenalinya.” Tambah Junainah lagi.

Filem Merah Akan Dijadikan Komik

Petikan Berita Harian 15 Januari 1997
Oleh Hanim Mohd Saleh

Pelancaran bakal dibuat selepas Hari Raya Puasa

SETELAH berjaya mencapai kutipan lebih RM1.5 juta (RM850,000)  filem Merah akan menemui peminatnya menerusi komik pula. Pengarah Urusan Luncai Emas yang menerbitkan filem itu, Junainah Johari. berkata komik setebal 80 muka surat itu akan dilancarkan selepas Hari Raya nanti.

Ilustrasi watak dan latar belakang Merah dibuat oleh pelukis bebas yang menyiapkan poster “Merah” Mohd Fuad. 

“Kami memang telah merancang mengeluarkan komik filem Merah jauh sebelum filem itu ditayangkan. Memang ada cadangan agar kami menghasilkan novel seperti Yusof Haslam mengeluarkan novel Maria Mariana tetapi kami memilih komik kerana ia lebih mudah dibaca dan berwarna warni. 

Secara kebetulan, kami sudah mempunyai pelukis ilustrasi yang berbakat untuk menguruskan komik ini, kata Junaidah.  

Selain cerita penuh filem, komik Merah juga menjawab beberapa persoalan yang timbul daripada kisah  di Іayar pеrаk.

Mengulas mengenai sambutan filem Merah yang sejak Disember lalu ditayangkan di pawagam-pawagam Malaysia dan Singapura, Junainah berkata pihaknya tidak menaruh harapan yang tinggi terhadap hasil kutipan filem itu.

"Kalau sudah melebihi RM 1 juta, kami rasa sudah merupakan satu pencapaian yang baik kerana selain filem Yusof Haslam “Maria Mariana tahun lalu, filem filem Malaysia yang lain gagal mencapai sebanyak itu, kata Junainah.

Kami akan menghasilkan filem kedua, tetapi bukan dalam tempoh yang terlalu cepat. Mungkin tahun depan. tambahnya.

Ahad, Disember 22, 1996

Review Filem : Nasir bawa penonton berfikir dalam ‘Merah’

 petikan Berita Harian, 22 December 1996

SEBAGAIMANA M. Nasir mengangkat isu-isu kehidupan yang tidak dilihat oleh mata kasar orang lain menerusi lagu-lagunya, begitulah juga beliau melakukannya menerusi filem pertamanya, Merah.

Nasir, pengarah, penulis lakon layar dan cerita asal Merah, membawa penonton berfikir dan nilaikan dilema warga hina yang hidup bergelandangan dan terpaksa memilih jalan seterusnya apabila tiba di persimpangan.

Merah, adalah filem realis yang mempunyai makna berlapis — daripada nama-nama wataknya hinggalah kepada dialog-dialognya yang kaya dengan falsafah. Ia membentangkan masalah kehidupan biasa — moral, kejujuran dan cinta — tetapi berjaya lari daripada pendekatan biasa dengan prasarana segar, mantap dan tajam pengertiannya.

Cerita ini bertambah segar dengan pendekatan naratif oleh watak utamanya, Merah, lakonan Awie.

Cerita bermula dengan pertemuan semula Merah dengan sahabat lamanya, Salleh (Hani Mohsen), sebaik saja dia dibebaskan dari penjara. Menerusi pertemuan itu, kita didedahkan bahawa Merah, Salleh dan seorang lagi rakan sekampung mereka, lima tahun lalu pernah merompak sebuah bank kerana terdesak dengan kesempitan hidup. Ketika melarikan diri, mereka terjebak dalam satu kepungan polis. Merah menyuruh Salleh dan Hassan melarikan diri sementara dia seorang menghadapi hukumannya.

Lima tahun kemudian, Merah mendapati Salleh masih hidup dalam kesusahan, dikelilingi tiga orang anak. Salleh menuduh Hassan melarikan wang rompakan mereka. Merah marah. Tetapi apa yang Merah tidak tahu bahawa kekayaan yang dinikmati Hassan hari ini adalah hasil kerja kerasnya sendiri — biarpun perniagaan yang diceburinya, begitu menyalahi undang-undang.

Merah cuba menjalani kehidupan lurus, tetapi hidup sebagai banduan sering menemukan beliau dengan kehidupan di lorong hitam. Akibatnya beliau juga rasa terhina apabila mendapat tahu kaunselor yang semakin rapat dengannya, Kasih (Ziana Zain), rupa-rupanya anak seorang hartawan.

Cerita ini bukan soal orang baik dibalas baik dan orang jahat akan mendapat hukumannya, sebaliknya mebongkar hati manusia yang begitu sukar memilih jalan yang lurus selepas sekali berbuat jahat.

Sebagai pengarah, Nasir telah menangani filem ini dengan baik, teratur dan tepat megena sasarannya.

Kejayaan terbesarnya ialah mengubah penampilan Awie sebagai pelakon. Awie langsung mengikis imej penyanyinya seperti yang ditonjolkan dalam kesemua filemnya bersama Yusoff Haslam. Beliau relaks, manja tetapi pada masa yang sama sukar ditumbangkan oleh lawannya — ciri watak hero yang mengingatkan saya kepada pelakon Patrick Swayze.

Sabtu, Disember 14, 1996

'Merah' jadi rebutan pemilik panggung

 petikan Berita Harian, 14 December 1996

GANDINGAN IDEAL: Dengan barisan pelakon utama yang mengemukakan Ziana Zain (kiri), Nasir (tengah) dan Awie (kanan) sebagai bintang utamanya, filem keluaran Nasir ini dikatakan bakal mendapat sambutan baik dari orang ramai.

FILEM pertama arahan M.Nasir, Merah menjadi rebutan pemilik panggung seluruh Malaysia.

Menurut Yusoff Haslam, pengarah urusan Skop Productions yang ditugaskan memasarkan filem tersebut, sejumlah 40 panggung telah membayar sebanyak M$100,000 ($65,000) sebagai cengkeram untuk mendapatkan hak tayangan Merah mulai Khamis depan.

Di Singapura, filem itu menemui penonton sejak kelmarin di Pavillion, Golden Village di Tampines.

Yusoff berkata, tempahan awal yang dibuat oleh para pemilik panggung tersebut menunjukkan mereka yakin dengan kemampuan M. Nasir menghasilkan filem bermutu tinggi dan bakal mendapat sambutan orang ramai.

Reaksi itu juga menunjukkan bahawa kemunculan Ziana Zain dan Awie, sebagai antara pelakon filem tersebut, tidak menjejas minat orang ramai biarpun sebelum ini kedua-dua penyanyi itu dilaporkan telah mendapat pendedahan yang berlebih-lebihan di layar perak sehingga menjemukan sesetengah pihak.

"Selain daripada itu, saya percaya ramai yang tak sabar untuk melihat kebolehan Nasir menangani filemnya sendiri kerana beliau telah diakui begitu unggul menghasilkan kerja seni," kata Yusoff.

Ditanya pendapat beliau sendiri mengenai filem itu, Yusoff berkata beliau menganggap Merah sebagai "cermin semangat Nasir".

"Filem ini ada gaya tersendiri. Tetapi kita tidak boleh meletakkan harapan yang terlalu tinggi mengenai kutipannya kerana ini merupakan filem pertama arahannya. Tetapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan ceritanya," kata Yusoff.

Yusoff juga menjelaskan bahawa biarpun Nasir masih menggunakan penyanyi dalam filem itu, beliau bijak menggarapnya dengan baik kerana kedua-dua Ziana dan Awie langsung tidak dihilangkan daripada imej glamour penyanyi.

Filem ini mengupas kisah masyarakat yang terpaksa melakukan kesalahan kerana terhimpit dengan pelbagai kesusahan.

Ia menjejak kehidupan bekas banduan, Merah (Awie) yang cuba meneruskan kehidupannya selepas dibebaskan daripada penjara kerana kesalahan merompak.

Dia mendapati kawan yang pernah merompak bersamanya dulu, Salleh, sudahpun berkahwin dan hidup dalam keadaan serba sederhana. Seorang lagi kawan mereka, Hassan, pula menikmati kemewahan hasil wang rompakan yang dilarikan.

Dalam pada itu, Merah menjalin hubungan dengan kaunselornya, Kasih (Ziana) yang sentiasa mengekori langkahnya untuk memastikan dia tidak terjebak kembali dalam jenayah.

Ahad, November 10, 1996

Arah berbeza dua legenda - Nasir dapat gelaran 'seniman jutawan'

 petikan Berita Harian 10 November 1996

TIDAK benar artis Singapura tidak mendapat tempat dalam industri hiburan Malaysia jika artis itu sememangnya berbakat besar dan mempunyai kelebihan tersendiri.

"Kalau anda sama saja macam kebanyakan penyanyi atau pelakon di sini, tentulah anda akan kecewa," kata seniman berasal Singapura yang sudah enam tahun menjadi rakyat Malaysia, M. Nasir.

"Buat apa mereka terima orang yang sama saja dengan mereka? Orang Malaysia pun sama dengan orang negeri lain... mereka nak lindungi artis-artis sendiri... mestilah nak beri keutamaan kepada bumiputera sendiri. Kemudian baru boleh fikirkan artis luar negeri.

"Tetapi kalau anda benar-benar bagus, tak siapa dapat menafikan anda. Tapi kenalah kerja keras dan banyak bersabar," kata Nasir yang telah melalui pelbagai getir dan pengalaman sejak berhijrah ke Kuala Lumpur dalam 1981.

Dalam satu interviu dengan Berita Minggu, isteri Nasir, Junainah Johari, 34 tahun berkata, ketika mereka baru tiba di sana, mereka "langsung tak ada apa-apa". Tetapi kini, Nasir dan telah disifatkan sebagai "seniman jutawan" oleh kalangan aktivisi hiburan Malaysia.

Selain menikmati royalti lagu sebagai penerbit, penggubah dan penyanyi setiap tahun, Nasir dan isterinya juga mempunyai dua bidang tanah dan rumah sendiri di Kampong Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor, dan memiliki bangunan pejabat Luncai Emas Sdn Bhd, di Bandar Baru Sungai Buloh.

"Nak beli rumah di KL, waktu itu manalah mampu. Sebab itu kami cari kawasan jauh sikit untuk dapatkan tanah yang lebih murah. Inilah tanah yang kami beli dengan harga M$41,000 ($22,960) dengan menggunakan nama orang lain semasa kami belum dapat kerakyatan Malaysia.

"Sedikit demi sedikit, daripada hasil cipta lagu dan terbitkan album penyanyi, kami bangunkan rumah sampailah ia menjadi milik kami sepenuhnya," kata Junainah, yang mempunyai empat anak lelaki bersama Nasir - Ilham, 11 tahun; Yassin, lapan tahun; Hidayat, tiga tahun dan Shafie, setahun setengah.

Selain tanah dan syarikat, mereka juga mempunyai tiga kenderaan BMW 5 Series, Proton Saga dan van Mazda untuk lapan penumpang.

Kata Nasir, beliau agak mudah bertapak di Kuala Lumpur kerana sumbangannya sebagai penggubah lagu, lebih daripada seorang penyanyi.

"Ketika itu, saya masih terikat dengan Polygram. Ada kumpulan Kembara. Hanya setelah memasuki BMG, baru album solo saya naik," kata Nasir.

Selain bakat, Nasir mengakui imej juga memainkan peranan yang cepat membantu mempopularkan artis.

"Kalau muka tak cantik, tak glamour majalah mana yang siarkan gambar awak besar-besar? Kalau tulis pun, ala kadar saja. Ini lumrah. Bisnes hiburan. Suka tak suka, ini hakikat," ujarnya.

Nasir berkata beliau tidak mempunyai sebarang "nasihat" kepada artis Singapura yang berhasrat mencuba nasib di negara jiran.

"Kalau mereka datang dan jumpa saya, baru saya cakap. Lain orang, lain caranya," ujarnya selamba.

---

RAMLI Sarip dan M.Nasir. Kedua-dua seniman kelahiran Singapura ini masing-masing telah mencipta nama dalam persada muzik Melayu. Mereka mencipta sejarah bukan setakat sebagai penyanyi yang berjaya, malah lebih penting, sebagai pembentuk muzik yang menentukan tren perkembangan muzik di Nusantara. Namun, sementara Nasir mengambil langkah untuk berhijrah dan kini menikmati kemewahan, Ramli tetap bertahan di sini kerana mahu menunaikan 'tanggungjawabnya' sebagai 'bapa' kepada penggiat seni muda Singapura.

Ahad, November 03, 1996

Dalam diam, M. Nasir terus 'digam'

petikan Berita Harian, 3 November 1996

Laporan Hanim Mohd Saleh dari Kuala Lumpur.

Gambar-gambar oleh Mazlan Badron.

Ringkasan Utama:

  • Biar pun M.Nasir sudah tidak lagi digam secara rasmi, yang amat ketara ialah penyanyi asal Singapura itu digam secara senyap-senyap.
  •  Deejay stesen radio popular 'segan' menyebut namanya, wartawan hiburan media cetak pula 'berat hati' memberikan publisiti dan rakan-rakan artis yang sedar tentang perkara itu turut menjauhkan diri.
  •  Memang ramai yang menganggapnya sebagai 'celupar'. Justeru itu, apabila beliau digam pada 15 Jun lalu gara-gara didakwa berkata "Siapa Mahathir" kepada wartawan akhbar Utusan Malaysia, mereka yang selama ini tidak menyenanginya, terutama yang pernah terkena sindirannya, tersenyum lebar.
  •  Namun, selepas tindakan pengharaman ke atas semua karya Nasir ditarik balik 1 Julai lalu, ada yang tidak berpuas hati. Ada yang mengakui lebih senang jika Nasir terus dikenakan hukuman... baru dia rasa, kata mereka.

Ramai masih marah, mahu seniman asal S'pura dihukum terus-terusan

 "Memori yang terkumpul itu menentukan sikap saya. Satu persatu tersimpan di dalam dan ia terkeluar melalui sikap. Saya cuba keluarkan apa yang terakam itu melalui karya-karya saya. Tetapi, kalau berkarya, saya boleh atur perkataannya dengan baik-baik. Kalau terlepas cakap dengan orang yang bertanya, kebetulan jawapannya memang dah lama bertenggek dalam kepala, sering jawapan itu tidak teratur. Bunyinya jadi lain. Sebab itu, biasanya saya tak kuasa nak cakap. Apa saja yang saya cakap akan dianggap sinis."

SEORANG deejay sebuah stesen radio popular di Kuala Lumpur tersenyum sinis apabila ditanya setakat mana lagu-lagu M. Nasir kini dimainkan di udara.

"Jangan kata lagunya. Nak sebut namanya saja, dah malas.

"Kawan saya sendiri daripada stesen lain setakat sebut lagu ciptaan penggubah tempatan saja bila mainkan lagu Nasir yang dinyanyikan orang lain," kata deejay bersuara garau yang enggan ditemu ramah, tetapi hanya berani bercakap kalau diajak 'berbual kosong'.

Bukan mereka saja yang berbuat demikian, malah senario yang serupa berlaku di beberapa stesen rangkaian radio dan televisyen utama dan media cetak di Seberang Tambak.

Seorang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Imran Mohd Tahir, 19 tahun, beliau kini jarang lagi mendengar lagu Nasir di radio Lembah Klang, kecuali jika ada permintaan pendengar.

Pengakuan itu, biarpun ringkas, cukup memberi gambaran bahawa dalam senyap-senyap, Nasir sebenarnya masih 'digam' oleh sesetengah pihak atau individu.

Biarpun tindakan pengharaman ke atas semua karyanya gara-gara isu yang mendakwa beliau berkata "Siapa Mahathir" pada 15 Jun lalu ditarik balik, ada yang masih marah terhadapnya.

Malah, ada kalangan wartawan hiburan di sana, antaranya daripada kumpulan syarikat Utusan Malaysia yang berada di tengah-tengah isu tersebut, mengakui kini 'berat hati' memberi sebarang publisiti kepada seniman asal Singapura itu, kecuali benar-benar perlu.

Seorang pemandu teksi merah putih di KL, Ahmad Sulaiman, antara mereka yang begitu marah dengan insiden lalu juga mengesahkan.

"Dah tak banyak lagi kisah Nasir di surat khabar, kecuali Berita Harian. Radio? Ala, penyanyi Bumiputera yang bagus-bagus banyak lagi yang belum terlayan. Biar dia tahu. Nasib baik Perdana Menteri kita baik orangnya. Kalau negeri lain?" katanya penuh emosi.

Nasir, dalam wawancara khas Berita Minggu di pejabatnya, Luncai Emas, di Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini, mengakui sedar perkara itu berlaku.

"Bukan setakat rasa-rasa. Ini dah hakikat," nadanya rendah bila bercakap. Suasana sepi seketika.

Ketika itu, Anugerah Bintang Popular '95 anjuran Berita Harian Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru dua malam berlalu. Terkilas rasanya.

Baru setahun lalu, Nasir, dalam anugerah yang sama, diangkat sebagai Artis Paling Popular dan Penyanyi Lelaki Popular, menikmati hadiah wang tunai berjumlah M$12,000 ($6,840).

Tetapi kali ini, biarpun masuk pencalonan akhir, menurut sumber, undi yang memilih kemenangan Nasir hanya setakat "ratusan" saja — jauh berbeza daripada undi yang melebihi 50,000 yang diterimanya tahun lalu.

Untung beliau diundang untuk membuat persembahan satu lagu demi kejayaannya tahun lalu, kata seorang wartawan Utusan Malaysia yang mengakui "hampir tidak lagi menulis kisah Nasir" dalam ruangan hiburannya.

Itupun, sesetengah penonton, termasuk beberapa artis, begitu lemah memberi tepukan sedangkan persembahan Nasir cukup bersemangat apabila mendendangkan lagu Akar dalam pelbagai irama.

Nasir, 39 tahun, tidak mahu mengeluh. Biarpun setelah terdengar bisikan sesetengah individu dalam industri hiburan, terutama mereka yang tidak pernah menggunakan khidmatnya sebagai penggubah, apa lagi pernah 'terkena' sindirannya, bahawa mereka lebih senang kalau Nasir terus-terusan digam. Padan muka, kata mereka.

"Biarkanlah," kata Nasir apabila ditanya mengenai perkembangan ini. "Nak kata periuk nasi saya terjejas, rasanya tidak. Saya bekerja macam biasa. Sibuk.

"Isi macam ini akan berulang... lima tahun? 10 tahun? Saya jangka cerita ini tak akan selesai," ujarnya.

Apakah insiden lalu merubah sikap seniman yang sering dianggap "suka diajak berbual" itu?

"Dia macam biasa saja. Kerjanya tak terjejas" kata isterinya, Junainah Johari, yang menjadi pengarah eksekutif syarikat Luncai Emas.

Ketua Meja Hiburan BHM, Saodah Ismail, yang memang sering menulis mengenai penyanyi itu, mengesahkan.

"Dia sebenarnya okay. Dari dulu pun okay. Cuma orang tak faham dia. Tengok persembahannya tadi! Hebat bukan," kata Saodah selepas majlis anugerah di Angkasapuri itu.

Betul kata wartawan tersebut. Ramai yang tidak memahami seniman asal Jalan Teck Whye, Singapura itu. Kalau duduk bersamanya, sama ada Nasir langsung tak bercakap biarpun selama setengah jam atau apabila membuka mulut, cakapnya sering juga membuat orang merah telinga.

Jadi, macam mana nak kenal Nasir?

Beliau tertawa apabila ditanya begitu. Hampir seminit beliau termenung. Tenggelam di atas kerusi empuk hijau, satu-satunya kerusi berkesyen yang terdapat dalam bilik tempat beliau mencari ilham.

"Ini soal pendedahan," beliau memecah kesunyian. "Apa yang saya tengok, semua masuk dalam kepala otak. Semua yang terakam di mata masuk dalam bebenang. Orang lain pun buat rakaman apa yang dilihat, tetapi mereka mungkin lebih beri perhatian kepada benda lain.

Dari segi pendapatan, mungkin Nasir belum merasakan kesannya kerana sejak pengharaman ke atasnya ditarik balik Julai lalu, beliau terlalu sibuk menguruskan pembikinan filem pertama arahannya, Merah, serta rakaman album terbaru Amuk, Cermin, di mana beliau bertindak sebagai penerbit dan penggubah lagu.

Tetapi, bagaimana dengan album atau konsertnya sendiri nanti? Mampukah Nasir mengulangi kejayaannya seperti tahun lalu yang disifatkan oleh ramai karyawan seni sebagai 'Tahun M.Nasir' kerana pelbagai pencapaiannya, termasuk kejayaan konsert Merah di Pusat Dagangan Dunia?

"Soal boleh berjaya atau tidak bukan saya yang tentukan.

"Dah lebih 15 tahun saya dalam industri ini. Dari dulu pun orang anggap saya orang luar. Fahaman macam ni biasa. Jangan salahkan orang Melayu. Kaum lain pun sama. Di mana-mana pun sama.

"Saya hanya kerjakan apa yang perlu saya buat sebagai orang seni," katanya.

Tidakkah beliau melihat masa depannya lebih jauh daripada Malaysia? Di peringkat Asia, sekurang-kurangnya?

"Buat apa? Buang masa," cepat beliau menjawab.

"Kita semua, orang Asia, termasuk yang tinggal di ceruk kampung, dah dIAmerikakan atau diBritishkan.

"Orang Jepun nak dengar lagu Malaysia? Orang Thailand nak beli album Melayu? Dia orang cari lagu Michael Jackson, bukan lagu kita," kata Nasir.

Bagaimana dengan tanggapan ramai karyawan muzik yang sering menggunakan istilah "muzik itu bersifat sejagat"?

"Bullst (merepek)!" kata Nasir.

"Kenyataannya ialah kalau disebut lagu pop... pop itu kan singkatan popular song... di festival pop antarabangsa, lagu dari India tidak disifatkan sebagai pop, tetapi lagu India. Lagu pop Malaysia dikatakan lagu Melayu. Tapi kalau lagu Inggeris, itulah lagu pop.

"Soalnya, orang Asia boleh hargai lagu Asia, tapi mereka tidak membeli. Kita mahu orang beli album kita, tapi kita tak mahu hasilkan satu lagi album R&B atau lagu country.

"Kecuali kita jual identiti dan lupakan akar kita dan ikut budaya Amerika, baru boleh."

Bagaimanapun, Nasir tidak menolak apabila diusulkan kemungkinan beliau menghasilkan lagu Melayu dengan lirik Inggeris sebagai percubaan menguji pasaran antarabangsa.

"Mungkin juga. Dan kita tidak perlu malu dengan lidah Melayu kita bila menyanyi dalam medium Inggeris.

"Yang penting, daya tarikan itu mesti ada," ujarnya.



Isnin, September 30, 1996

M. Nasir guna kepakaran '$6m Man' untuk edar 'Merah'

 petikan Berita Harian, 30 September 1996

SENIMAN M. Nasir akan menggunakan kepakaran penerbit 'Six Million Dollar Man' iaitu Yusof Haslam, untuk mengedarkan filem pertama arahannya, Merah.

Beliau juga menyerahkan kepada syarikat Yusof, Skop Productions, untuk menentukan tarikh baru yang paling sesuai selepas tarikh asal penayangan filem itu, November ini, ditarik balik.

Nasir bagaimanapun tidak mengulas lebih lanjut kemungkinan Merah terpaksa menunggu agak lama kerana membatalkan tayangan pada tarikh yang sudah ditetapkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Yusoff mendapat gelaran 'six million dollar man' kerana kejayaannya mengutip lebih MS6 juta menerusi filem Sembilu II.

Hampir kesemua filem Yusoff dalam dekad ini berjaya mencapai kutipan lebih M$1 juta.

"Keputusan menarik balik tayangan filem Merah bukan dibuat secara mengejut. Sekarang kami melantik Yusof Haslam. Kami memilihnya kerana keupayaannya dari segi pemasaran filem.

"Saya fikir beliau lebih berpengalaman. Dan kini terserahlah kepada pihak Skop untuk mencari tarikh yang difikirkan paling sesuai untuk penayangan filem ini.

"Saya harap tarikh baru penayangannya nanti tidaklah terlalu lama," kata Nasir, sebagaimana yang dilaporkan oleh Berita Harian Malaysia.

Menurut Nasir, syarikatnya, Luncai Emas, masih belum mempunyai kepakaran untuk mengatur strategi pemasaran filem, tetapi mereka akan tetap membantu dari segi penyusunan promosi filem itu.

"Kami belum ada pengalaman. Harapkan nama saya saja belum dapat memasarkan filem ini dengan baik. Sebab itulah kita perlukan pengedar bebas. Bagaimanapun, kami tetap akan membantu dari segi promosi," katanya.

Bagaimanapun, Nasir mengaku terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan penayangan filem Merah ditangguhkan daripada tarikh asalnya.

Ini termasuk penglibatan Awie, pelakon utamanya, dalam promosi filem Tragedi Oktober yang dikhuatiri "akan terlalu mendedahkan" penyanyi tersebut kepada peminatnya.

Selain itu, Nasir juga berpendapat November bukan musim yang sesuai kerana secara umum, waktu itu ramai yang mengambil cuti hujung tahun.

"Secara umum, mereka yang bercuti panjang ini tidak akan menonton filem, kerana tumpuan mereka ialah menghabiskan cuti saja," jelasnya.

Sementara itu, Yusof mengesahkan syarikatnya menjadi pengedar filem Merah.

Kata Yusof, Skop Productions akan mengadakan pertemuan dengan Luncai Emas dan BMG Music untuk memutuskan tarikh baru penayangan filem itu.

"Buat masa ini, saya tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai soal tarikh penayangan baru filem itu. Hak mengedar itu belum sepenuhnya.

"Lagipun, kami belum ada perbincangan secara rasmi (mengenai tarikh tayangan). Bagaimanapun, kami akan mengadakan perbincangan dengan BMG dan Luncai Emas untuk menentukan tarikh yang sesuai.

"Walaupun hanya sekadar pengedar, saya juga perlu mengambil kira persetujuan daripada penerbitnya," katanya sambil mengharapkan tarikh tayangan tidak dijadikan isu besar.

Rabu, Ogos 07, 1996

Nasir lega 'Merah' dilulus

 petikan Berita Harian, 7 August 1996


M NASIR: Filem pertama arahannya dijadual temui penonton November ini.

FILEM pertama arahan M.Nasir, Merah mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem Malaysia dengan sedikit potongan membabitkan dialog yang tidak sesuai.

Bagaimanapun, potongan itu langsung tidak menjejas keseluruhan cerita tersebut.

"Merah mengalami beberapa potongan tetapi tidak banyak. Cuma ada adegan yang mempunyai dialog yang dianggap tidak sesuai.

"Yang penting, cerita tidak terjejas dan ini amat melegakan. Sudah tentu saya lega dengan keputusan ini," katanya.

Nasir yang baru pulang dari Sydney, Australia, untuk menguruskan proses mastering dan pengadunan album terbaru Awie, berkata filem Merah telah pun dihantar kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan berharap ia dapat ditayangkan menjelang November ini.

Filem Merah, yang memulakan penggambaran Oktober lalu membariskan ramai pelakon popular antaranya Hani Mohsin, Awie, Ziana Zain, Jalaluddin Hassan, Razzi Rahman, kumpulan rap Nico dan Nasir sendiri.

Sementara itu, pengarah urusan Luncai Emas, Junainah Johari, berkata sebelum filem Merah menemui penonton, pihaknya dengan kerjasama BMG Music akan melancarkan album soundtrack filem tersebut.

"Kita akan memulakan promosi filem ini secara berperingkat-peringkat. Ia akan dimulakan tidak lama lagi apabila kita sudah dimaklumkan mengenai tarikh penayangan filem itu," kata Junainah.

Album tersebut memuatkan lagu-lagu terbaru termasuk lagu tema Merah yang dinyanyikan Awie, M.Nasir, Ziana Zain dan Joey.

"Kecuali sebuah lagi daripada Nico, yang lain belum pernah diperdengarkan kepada umum," kata Junainah.

Beliau menambah, album itu diharap dapat dilancarkan sekurang-kurangnya tiga minggu sebelum filem Merah ditayangkan kepada orang ramai. — BHM.