Selasa, Mei 31, 2022

Buka Kotak M.Nasir Crossing UK’ 97

Langka Bukan Pada Bilangan
Tapi Langka Pada Pengalaman
Yang Menjadikannya Kenyataan

Beberapa hari yang lalu SM berkesempatan untuk membuat sesi  "unboxing" ringkas  album langka M.Nasir  Crossing UK’ 97 yang dikeluarkan dalam edisi terhad. 

Album ini sememangnya lama ditunggu pengumpul muzik versi fizikal. Sepatutnya ia dirilis pada tahun 2021 tetapi atas beberapa faktor ia akhirnya berjaya dirilis pada bulan lalu. Album kembar ini mengandungi 2 CD rakaman audio 'live' yang dipersembahkan secara akustik di RNCM, Manchester, UK pada pada April 1997. 

Selain itu, album ini dipakej bersama buku memorabilia 54 mukasurat (saiz A5) dan disertakan bersama replika Cotton Canvas Banner (saiz A2). Terdapat juga T-Shirt bersempena rilisan album ini yang dijual berasingan.

Secara peribadi, album ini mengingatkan pada fenomena MTV Unplugged pada dekad 90an. Sebuah karya muzik yang baik tetap hebat walaupun hanya menggunakan alat muzik akustik seperti gendang, gitar, bass, seruling dan arkodian. Kemampuan dan kemahiran pemuzik handalan yang mengiringi M.Nasir dalam album ini membolehkan ia diletak sama tinggi dengan album penting dikeluarkan dalam versi unplugged pada dekad itu. Mungkin juga kerana audio yang berjaya dirakam dan dibaik pulih dalam keluaran ini berjaya mengembalikan nostalgia buat sang pendengar.

** Bagi yang berminat untuk membeli album edisi terhad ini boleh terus ke link https://bit.ly/3q1DZnD atau menghubungi FB Eida AidaDaut

Info lanjut berkenaan album boleh layari pautan Discogs ini.

Khamis, Mei 12, 2022

Diskaun tiket konsert M Nasir khas buat peminat

petikan Harian Metro 12 Mei 2022

Ridzuan Abdul Rahman

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Berita baik buat peminat Datuk M Nasir apabila harga tiket Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 27 Mei ini diberi diskaun sebanyak 40 peratus.

Penganjur, Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) memaklumkan ia bagi memberi peluang peminat penyanyi hebat ini hadir menyaksikan konsert terbabit.

Pengerusinya Ayob Abdul Majid berkata, peminat amat bertuah kerana syarikat Zubir Food Sdn Bhd bermurah hati sudi menjadi penaja konsert ini.

"Ia menjadikan jualan meja berharga RM5,000 sebelum ini diturunkan kepada RM3,000 dimana seorang individu hanya membayar RM300 termasuk menikmati makan malam yang disediakan.

"Kos selebihnya akan dibayar oleh penaja yang bersetuju untuk menaja 50 meja yang sebelum ini dikenali sebagai meja Silver, namun sekarang dikenali dengan Meja ZK.

"Bagaimanapun meja VVIP dan VIP kekal dengan harga biasa dan pihak kami menawarkan potongan 20 peratus," katanya.

Menurutnya, pembeli tiket sebelum ini akan menerima tiket baharu yang akan di naik taraf menerusi aplikasi Whatsapp atau email dari mereka.

Sebagai contoh jika mereka beli tiket Gold, kami 'upgrade' kepada Platinum," katanya.

Selain IRAMA, Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir ini turut dianjurkan bersama rakan kongsi, Roman Abdi Sdn Bhd dan Luncai Emas Sdn Bhd.

Sementara itu, M Nasir melahirkan kegembiraan dapat beraksi di depan peminat selepas kali terakhir melakukannya tiga tahun lalu.

"Sebagai penyanyi, saya sendiri sangat berbesar hati dengan tawaran yang diberikan. Saya anggap persembahan ini adalah sebagai hadiah untuk peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seni saya sejak empat dekad lalu," katanya.

Selain untuk berhibur, konsert ini juga bertujuan untuk mengutip dana IRAMA bagi membantu penggiat seni yang memerlukan.

Isnin, Mei 02, 2022

Rahsia di sebalik lagu Satu Hari Di Hari Raya

 petikan Berita Harian 2 Mei 2022

Oleh Farihad Shalla Mahmud 

farihad@bh.com.my

M Nasir mewarisi sifat arwah bapanya yang sangat berdisiplin dan tidak banyak bercakap.

KUALA LUMPUR: Ketika bapa tersayang menghembuskan nafas terakhir di Singapura, maestro muzik tersohor, Datuk M Nasir hanya mampu menitipkan doa daripada kejauhan, tahun lalu.

Walaupun hasrat menyempurnakan jenazah dan memberi penghormatan terakhir cukup menebal, namun reda hasratnya terpaksa dipendamkan berikutan sempadan negara masih ditutup disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, sebaik pintu sempadan negara dibuka pada 1 April lalu, M Nasir menggunakan peluang itu pulang ke Singapura untuk menziarah pusara arwah bapanya, Allahyarham Mohamed Sam yang menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada usia 96 tahun.

Tentunya, paling dirindui, ibunya yang sudah dua tahun tidak ditemui.

"Alhamdulillah, dapat juga saya menziarah pusara selepas setahun pemergian arwah. Saya juga berpeluang menemui ibu yang sudah semakin uzur.

"Dalam kalangan adik-beradik, hanya saya seorang sahaja yang menetap di Kuala Lumpur. Dalam fikiran saya, ada macam-macam perasaan," katanya kepada BH Online.

Berkongsi pengalaman dan memori manis bersama arwah bapanya, pemilik nama lengkap Mohamad Nasir Mohamed ini mengakui, dia cukup rapat dengan arwah bapa yang juga idolanya itu.

"Memori dengan arwah sangat banyak. Antara yang masih saya ingat adalah arwah suka bawa saya pergi berkebun disebabkan kediaman berdekatan landasan kereta api di Woodlands.

"Arwah juga seorang suka pergi ke masjid dan dari situlah, arwah dilantik menjadi imam. Bila Ramadan tiba, arwah akan bawa saya pergi ke masjid," imbas penyanyi Mentera Semerah Padi ini.

Sebagai anak, M Nasir turut mengakui, dia banyak mewarisi sifat bapanya itu.

"Arwah sangat berdisiplin dan tidak banyak cakap. Dan sifat itulah juga yang saya warisi.

"Walaupun arwah bukan seorang yang garang, tetapi saya tetap kena sebat jika buat salah.

"Tetapi, ia bukanlah bermakna saya seorang yang nakal jika kena sebat. Apapun saya tahu, arwah sangat menyayangi saya," ungkap anak keempat daripada sembilan beradik ini.

M Nasir menghangatkan suasana Syawal menerusi Konsert Satu Hari Di Hari Raya pada 27 Mei ini, jam 8 malam di Dewan Merdeka, WTCKL.

M Nasir menghangatkan suasana Syawal menerusi Konsert Satu Hari Di Hari Raya pada 27 Mei ini, jam 8 malam di Dewan Merdeka, WTCKL.

Beliau ditemui pada sidang media Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, penyanyi yang juga komposer tersohor ini turut membongkar rahsia di sebalik pembikinan lagu Satu Hari Di Hari Raya ciptaan empat dekad lalu.

"Lagu ini dirakamkan dalam dua versi. Kali pertama, lagu ini dirakamkan intro muzik ini menggunakan gitar. Masa itu, saya masih lagi bernaung di bawah syarikat rakaman, Polygram.

"Selepas menyertai label BMG, saya merakamkan semula lagu ini, tetapi ada sedikit perubahan. Saya menggantikan muzik gitar kepada seruling hasil tiupan Mohar.

"Apabila dibuat perubahan, saya dapat rasakan kelainan kepada lagu ini kerana bunyinya seperti 'berhantu' dan mudah untuk diingati. Kiranya, intro muzik menjadi tanda dagang untuk lagu ini," imbau M Nasir.

Mengulas liriknya yang puitis dan tidak klise seperti lagu raya lain, M Nasir memberitahu, dia sengaja menongkah arus sebagai menyuntik elemen kelainan.

"Saya memang peminat lagu raya, sejak kecil lagi. Apabila berpeluang menghasilkan lagu Satu Hari Di Hari Raya sekitar 1980-an, saya nak buat kelainan.

"Kebanyakan lagu raya pada masa itu liriknya berkisar kepada suasana hari raya. Maka, akan adalah lirik mengenai ketupat rendang, maaf zahir batin dan banyak lagi.

"Untuk lagu ini, saya memang tak tulis perkataan ini. Namun, liriknya masih lagi menterjemahkan semangat menyambut hari raya, muhibah dan ikatan kekeluargaan antara anak dan orang tua," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas konsep persembahan yang bakal diketengahkan, M Nasir memaklumkan, dia tetap akan menyanyikan lagu popularnya walaupun ramai yang menyangkakan tema konsert adalah lebaran.

"Nama konsert itu dipilih kerana kebetulan ia dianjurkan pada bulan Syawal. Ia juga adalah judul lagu raya popular saya.

"Walaupun konsert berkonsepkan makan malam, tetapi saya akan pastikan penonton akan terhibur dan auranya tetap sama seperti konsert yang pernah dijayakan di lokasi lain," ujarnya.

Konsert anjuran Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) itu bakal diadakan pada 27 Mei ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Putra Kuala Lumpur (WTCKL), jam 8 malam.

Persembahan durasi 90 minit itu bakal menyaksikan M Nasir mendendangkan 20 lagu popular.