Isnin, November 23, 2020

Kenangan bersama A. Ali akan dihargai sampai bila-bila - M. Nasir

sumber : petikan Astro Awani  23 November 2020 (Irwan Muhammad Zain)  & IG Rasmi DMN @mnasirmohamed

PEMERGIAN komposer terkenal A. Ali atau nama sebenarnya Hamdan Atan sedikit sebanyak memberi kesan kepada rakannya dalam kumpulan Kembara, Datuk M. Nasir.

Bagi komposer ternama itu, banyak kisah pahit manis yang dilalui beliau bersama Allahyarham sepanjang bersama Kembara yang akan dihargainya sampai bila-bila.

Menurut seniman itu, perkenalannya dengan A. Ali bermula sekitar tahun 70-an di Singapura ketika Allahyarham bermain muzik di majlis-majlis perkahwinan dan kelab-kelab malam sekitar Kota Singa itu.

Komposer yang digelar sifu itu mengakui meminati gaya permainan A. Ali yang tersendiri ketika sering menonton persembahan pemuzik itu di Singapura.

"Aku mengenali Ali di sekitar tahun 70-an di Singapura. Waktu itu dia bermain di majlis majlis perkahwinan dan kelab-kelab sekitar Singapura. Aku sering menonton persembahan dia pada waktu itu dan aku meminati gaya permainan dia yang tersendiri.

"Setelah dia keluar dari Sweet Charity, aku mengajaknya untuk menubuhkan Kembara bersama S. Sahlan, Eddy Ali dan Eddynor Ali. Banyak kisah pahit manis aku bersama dia sepanjang perjalanan kami yang akan aku hargai sampai bila bila," tulis M. Nasir menerusi akaun Twitter peribadinya.

Bagi M. Nasir juga, A. Ali bukan sekadar pemuzik, malah seorang komposer hebat yang telah mencipta banyak lagu popular.

"Salam takziah aku ucapkan pada keluarganya. Semoga rohnya diberkati, dirahmati dan berada di kalangan orang-orang beriman," katanya.

A. Ali, 71, meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Kajang pada Sabtu.

Pada pertengahan 70-an, A Ali pernah menganggotai kumpulan Sweet Charity, iaitu band rock yang diasaskan vokalisnya, Datuk Ramli Sarip dan teman-teman di Singapura.

Allahyarham meninggalkan kumpulan itu ketika dalam proses penerbitan album pertama.

Sebelum bersama Sweet Charitty, A. Ali juga pernah merakamkan gitar untuk rakaman kumpulan Mike Ibrahim and The Nite Walkers pada awal 70-an.

Selepas meninggalkan Sweet Charity, A. Ali banyak membuat persembahan di kelab-kelab malam sebelum menyertai M. Nasir menubuhkan Kembara bersama seorang lagi penyanyi S. Sahlan (Roslan Tajuddin).

Ketika bersama Kembara, A. Ali diingati dengan lagu Di Perhentian Pudu Raya, Penjual Surat Khabar, Oh Bulan dan Ada Sepasang Mata.

A. Ali kemudiannya meninggalkan Kembara dan menubuhkan kumpulan Pelangi bersama John Goh dan popular dengan lagu Biar Ku Menjadi Lilin, Lukisan Wajah Cinta dan beberapa lagu lain.

Kali terakhir A. Ali beraksi di pentas ialah ketika Konsert Hati Emas Kembara di Panggung Sari Istana Budaya pada November 2014.

Tahun sebelumnya A.Ali, M. Nasir dan S. Sahlan mengadakan konsert reunion kumpulan tersebut, Konsert Ekspres Rakyat yang diadakan di Esplanade Singapura

Ahad, November 22, 2020

Allahyarham A Ali berjiwa mulia

petikan Berita Harian 22 November 2020

Oleh Zaidi Mohamad zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR:  Pemergian komposer popular era 1980-an, A Ali atau nama sebenar, Hamdan Atan, 71, ketika tidur di kediamannya di Kajang, pagi tadi, mengejutkan teman seperjuangan.

Komposer dan penyanyi yang mencipta nama pada era 1980-an menyifatkan arwah sebagai insan kreatif berhati mulia dan komited dalam berkarya.

Sahabat lama, Datuk M Nasir yang digelar 'sifu', menyifatkan arwah sebagai mentornya ketika bertapak dalam dunia seni lebih 40 tahun lalu.

"Saya bermula dengan menjadi peminat arwah pada era 1970-an. Ketika itu, arwah bersama kumpulan Sweet Charity sebagai gitaris.

"Saya pula menuntut di sebuah kolej di Singapura. Pendek kata, arwah jadi mentor saya dalam dunia seni.

"Bermula daripada meminatinya, selepas tamat kolej, saya mengajak arwah menyertai Kembara. Ketika itu, arwah sudah tidak lagi bersama Sweet Charity," katanya kepada BH Online.

Pagi tadi, anak Allahyarham A Ali, Norhuda berkongsi berita pemergian komposer itu yang didapati tidak sedarkan diri oleh ibunya, Latifah Khamis, kira-kira jam 8.30 pagi.

Norhuda dilaporkan berkata, arwah bapanya tidak mempunyai masalah kesihatan kronik dan pemergiannya mengejutkan.

M Nasir menyifatkan arwah insan berbakat besar.

"Setiap sentuhan karya seninya ada magis tersendiri. Sebenarnya, arwah banyak cakap dan setiap tutur kata bagai ada makna besar," katanya.

Zaiton Sameon, penyanyi lagu ciptaan arwah, Menaruh Harapan, teringat jasa A Ali menjulang namanya dengan dendangan itu yang meraih Juara Lagu 1987.

"Gandingan arwah dengan Habsah Hassan sebagai penulis lirik lagu itu cukup menjadi. Arwah cipta lagu Menaruh Harapan dengan menyelami pahit getir hidup saya.

"Dengan lirik dihasilkan Habsah yang saya anggap kakak, arwah menyelami kisah duka saya seperti berkahwin, bercerai dan macam-macam lagi," katanya.

Zaiton juga terkenang lagu Masa Mengubah Segalanya ciptaan arwah yang juga menyentuh kisah pahit hidupnya.

"Seingat saya ada tiga lagu arwah cipta untuk saya. Sebuah lagi single, Rayuanku dendangan Rohana Jalil, pada mulanya diberikan kepada saya.

"Namun, saya tolak lagu itu dan sebabnya, biarlah rahsia," kata Zaiton.

Sementara itu, penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33, Francissca Peter cukup menyenangi sikap A Ali.

"Arwah berperibadi baik dan mulia. Bagi saya, arwah tidak cakap banyak. Arwah fokus dengan kerja dan sentuhan seninya cukup berbisa," katanya.

Tambah Francissca atau mesra disapa Fran, lagu Diriku Terbelenggu ciptaan arwah dengan lirik dihasilkan Habsah, melonjakkan popularitinya pada 1988.

"Lagu itu ada nilai sentimental kepada saya. Saat lagu itu diserahkan komposer Manan Ngah, saya sudah jatuh hati mendengar melodinya.

"Lagu ciptaan arwah bagai ada roh yang bagai boleh menyelami hati dan perasaan saya sebagai penyanyi.

"Saya pula jenis 'jiwang'.... Tidak dinafikan, lagu itu ada serba sedikit kaitan dengan pengalaman sendiri," katanya.

Sabtu, November 21, 2020

'Arwah pendiam, kelakar' – M Nasir

 petikan Harian Metro 21 November 2020

Syafil Syazwan Jefri syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer yang juga sahabat Allahyarham A Ali, Datuk M Nasir menyifatkan pemergian bekas pemain gitar kumpulan Kembara itu adalah kehilangan besar buat industri. 

M Nasir ketika dihubungi turut berkongsi kenangan ketika mula-mula mengenali arwah yang juga rakan seperjuangannya dalam kumpulan Kembara. 

"Pemergiannya satu kehilangan besar. Saya mengenali arwah sekitar tahun 1975 atau 1976, jauh sebelum kumpulan Kembara diwujudkan. Pada ketika itu, dia menjadi gitaris utama kumpulan Sweet Charity. 

"Bila dia dah keluar dari Sweet Charity dan saya berpeluang menjadi artis rakaman, saya ajak dia untuk tubuhkan Kembara," katanya kepada Harian Metro. 

M Nasir berkata, Ali atau nama sebenarnya Hamdan Atan adalah sahabat yang memiliki pelbagai karakter. 

"Ada masanya dia lebih gemar diam tapi pada masa sama, dia adalah orang yang sangat kelakar.

"Selepas beberapa tahun saya mengikutinya, saya tertarik dengan caranya yang ada identiti sendiri," katanya. 

Berkongsi mengenai berita pemergian Allahyarham, M Nasir berkata dia menerima khabar pilu itu pagi tadi dan akan menziarahi jenazah. 

"Saya dapat tahu mengenai pemergian arwah pukul 9 pagi tadi. Saya akan meziarahi jenazah bagi memberi penghormatan terakhir.

"Kalau mengenai sakit, saya sendiri pun tak pasti sebab saya sudah lama juga tak menghubungi arwah. Apa saya tahu, dia tak ada sebarang penyakit," katanya. 

M Nasir dan Ali adalah antara anggota asal yang menubuhkan kumpulan Kembara pada 1980 di samping seorang lagi anggota asal iaitu S Sahlan. 

Allahyarham A Ali meninggal di usia 71 tahun ketika sedang tidur dan perkara itu disahkan anaknya, Nur Huda Hamdan. 

A Ali meninggal dunia

petikan Harian Metro 21 November 2020

Syafil Syazwan Jefri syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pemain gitar kumpulan Kembara, A Ali, 71, atau nama sebenarnya Hamdan Atan disahkan meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Semenyih. 

Anak ketiganya, Nur Huda Hamdan, 34, ketika dihubungi berkata, ibunya, Latifah Khamis menyedari bapanya meninggal dunia selepas jasad kaku sekitar pukul 8 pagi, hari ini. 

"Pagi tadi, dalam pukul 5 pagi, ayah masih okay dan mak kejutkannya dan memintanya untuk buatkan air kerana mak saya pun tak sihat. 

"Selepas itu, ayah termenung seketika di tepi tingkap. Lepas Subuh, dia baring sekejap dan pagi tadi, lebih kurang pukul 8 pagi, mak saya kejutkannya dan dia sudah tidak ada," katanya kepada Harian Metro. 

Huda berkata, pemergian ayahnya adalah satu kehilangan besar buat keluarga kerana dia tidak pernah menghidap penyakit kronik. 

"Sekarang jenazah masih lagi berada di Hospital Kajang dan kami masih menantikan laporan penuh daripada pihak hospital," katanya. 

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediamannya di Semenyih. 

Allahyarham A Ali meninggalkan seorang balu, sembilan anak serta 10 cucu. 

A Ali pernah menganggotai kumpulan Kembara bersama Datuk M Nasir dan S Sahlan pada awal tahun 1980-an dan banyak menghasilkan lagu untuk kumpulan itu serta beberapa penyanyi hebat tanah air.


--------------------------------------------


AL-FATIHAH untuk  Hamdan Atan @ A.Ali  yang telah kembali Ke Rahmatullah pada 21 November 2020. 

Ya Allah, Ampunilah dia, berilah dia rahmat, berilah dia kesejahteraan, maafkanlah kesalahannya....

Rabu, November 18, 2020

Malaysia’s first big-budget film ‘Puteri Gunung Ledang’ to be available on Netflix from November 26

taken from Malay Mail 18 November 2020 

BY MELANIE CHALIL

The 2004 epic fantasy film, starring Datuk M. Nasir and Puan Sri Tiara Jacquelina, is based on the beloved Malaysian folklore of the same name. — Picture courtesy of Netflix

PETALING JAYA, Nov 18 — The epic fantasy film Puteri Gunung Ledang will be added to Netflix’s library from November 26 onwards.

The 2004 film, which stars Datuk M. Nasir, Puan Sri Tiara Jacquelina, Datuk Rahim Razali and Adlin Aman Ramlie, is based on the popular Malay legend about a Javanese princess caught in a love triangle with the Malaccan warrior Hang Tuah and Sultan Mahmud.

Made with a production cost of US$4 million, Puteri Gunung Ledang was the first big-budget Malaysian movie ever made.

The tale of duty, loyalty and forbidden love between the Javanese-Hindu princess Gusti Putri and the Muslim warrior Hang Tuah was a hit with audiences, winning five awards at the 2004 Malaysian Film Festival including best director and best screenplay.

The film was also the first Malaysian film to be submitted to the 2004 Academy Awards although it wasn’t long listed.

“Puteri Gunung Ledang was my first film, and very close to my heart,” director Saw Teong Hin said in a press release.

“The film is based on a legend that many Malaysians have grown up with and is an important part of our cultural heritage.

“I’m excited to share this film again with Malaysians and a regional audience, especially the younger generation who may not have had a chance to watch it yet.”

The film was adapted into a musical in 2006 by Tiara’s production company Enfiniti (M) Sdn Bhd and remains the company’s most requested musical.

The musical made it to the Malaysian Book of Records for the longest-running local production ever staged and was scheduled to be restaged in July but has been postponed to next year due to Covid-19.


Sambutan luar biasa

petikan Harian Metro 18 November 2020

oleh Ridzuan Abd Rahman  mohamadridzuan@hmetro.com.my

SELEPAS mendapat sambutan memberangsangkan apabila filem Puteri Gunung Ledang (PGL) ditayangkan di YouTube sempena ulang tahun ke-22, penerbitnya Enfiniti Productions menayangkan semula menerusi platform penstriman video EnfinitiV.Asia selama 10 hari mulai Jumaat lalu hingga Ahad ini.

Menerusi tayangan filem berdurasi 145 minit itu, peminat filem berkenaan berpeluang menonton versi yang tidak disunting selain dokumentari khas Di Sebalik Tabir Pembikinan Puteri Gunung Ledang.

Ketika PGL arahan Saw Teong Hin yang menampilkan gandingan Puan Sri Tiara Jacquelina dan Datuk M Nasir ditayangkan di YouTube, kira-kira 5,000 tontonan direkodkan dan banyak komen positif diterima daripada peminat.

Enfiniti Productions dalam satu kenyataan berkata, bagi memenuhi permintaan peminat, pihaknya menayangkan semula versi istimewa PGL yang boleh ditonton di rumah dengan kualiti definisi tinggi bagi tempoh 10 hari.

KEMANTAPAN lakonan Datuk M. Nasir sebagai Hang Tuah mendapat pujian ramai.

Sementara itu, pemilik Enfiniti Productions, Tiara berkata, dia sangat terharu apabila menonton PGL kembali.

"Terlalu banyak memori. Kami bertungkus-lumus selama sembilan bulan meredah gunung, laut, pantai, tasik, hutan, air terjun dan sebagainya. Waktu itu saya tak terfikir peminat filem di Malaysia masih mahu menonton filem itu 16 tahun kemudian. Lebih tersentuh apabila membaca komen di media sosial yang mengatakan PGL sebagai klasik dan tak jemu ditonton walaupun berkali-kali. Malah, ada yang melabelkan ia sebagai filem Melayu terbaik dan 'berhantu'," katanya.

TIARA melakonkan watak sebagai Puteri Gunung Ledang.

Dia juga mengakui tidak menjangka suatu hari nanti, penggemar filem, pelajar filem dan seni serta pengkritik menggelar PGL sebagai filem Malaysia yang paling indah pembikinannya.

"Sejak tayangan Jumaat lalu, kami sangat teruja bila mendapati filem ini ditonton dari pelbagai negara luar termasuk Jepun, Amerika Syarikat, Sweden, Singapura, New Zealand, Jordan, Kanada, Australia dan Indonesia.

"Alhamdulillah, impian untuk karya kami sampai ke seluruh dunia semakin nyata.

Saya bersyukur dengan dedikasi Teong Hin dan semua yang terbabit menjadikan filem itu suatu realiti," katanya.

Tiara berkata, ramai dalam kalangan peminat yang berkongsi detik-detik nostalgia mereka bersama PGL di media sosial.

PELAKON Christine Hakim turut diundang membintangi filem ini.

"Ada yang menonton filem itu sewaktu di alam percintaan dan hari ini sudah pun berkahwin dan berkeluarga. Ada juga penonton kalangan kanak-kanak, seusia anak saya, Dani yang kini lebih memahami konteks dan selok-belok peradaban Melayu. Ada di antara penonton yang menonton bersama ibu bapa mereka yang kini sudah pun kembali menemui pencipta-Nya," katanya.

Tiara berkata, mereka kini mahukan anak-anak mereka agar turut merasai pengalaman menonton filem Puteri Gunung Ledang. Sedihnya panggung wayang pun dah tutup. Jadi, ini mungkin antara peluang terakhir untuk peminat PGL dan sinema Melayu dapat merasai 'magis' cerita ini. Saya doakan filem ini akan jadi legasi saya untuk negara tercinta," katanya.

PGL menduduki tangga ke-49 senarai tapisan Kategori Filem Asing Terbaik pada Anugerah Akademi atau Oscar pada 2004.

Selain itu, PGL memenangi kategori Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Skor Muzik Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-18 pada 2005.