Khamis, Ogos 24, 2017

Karakter khas untuk M Nasir

petikan Sinar Harian 24 Ogos 2017
NORHIDAYYU ZAINAL, FOTO: ASTRO 24 OGOS 2017

BUKAN mudah melihat penyanyi legenda, Datuk M Nasir berlakon drama bersiri. Kali terakhir penyanyi berusia 60 tahun ini muncul di kaca televisyen (TV) sebagai pelakon menerusi Salam Taj Mahal pada 2000.

Mengakui bersikap selektif, pelantun lagu Mentera Semerah Padi ini bagaimanapun bersedia mempertimbangkan untuk berlakon drama bersiri sekiranya kena dengan jalan cerita dan skrip.

“Kalau ada peluang berlakon, saya tak akan menolak jika bersesuaian.

“Saya pernah dapat tawaran, tetapi belum ada naskhah benar-benar memikat hati saya.

“Apa yang penting, saya akan pilih skrip berbaloi untuk dilakonkan selain mampu beri pengajaran kepada penonton,” katanya kepada Media Hiburan.

Bahkan, penyanyi Tanya Sama Itu Hud-Hud ini mengakui selalu mengikuti perkembangan drama popular di kaca TV bagi mengisi waktu senggang bersama keluarga.

“Kita tak akan tahu apa yang kita suka jika tak mencubanya.

“Jadi, saya memang tiada masalah dengan apa saja drama bersiri, bahkan menontonnya jika ada kelapangan,” katanya.

Terbaru, M Nasir bakal muncul menerusi drama bersiri, Do[s]a selepas menerima tawaran daripada Ketua Unit Drama Premium & Filem Astro Saniboey Mohd Ismail pada Ramadan lalu.

“Saya ditawarkan dengan watak Latif dan difahamkan karakter ini memang khas untuk saya.

“Tapi, saya tak terus bersetuju menerimanya sebaliknya ambil masa dua bulan untuk fikirkan,” katanya.

Jelasnya, pelbagai aspek difikirkan termasuklah jadual kerja dan kelapangan masa sebelum bersetuju.

“Selepas baca skrip, saya dapati watak Latif itu bukan karakter kosong yang tiada visi. Saya sangat tertarik dengan watak Latif yang kompleks dan misteri.

“Hati saya juga kuat menyatakan karya ini bagus sekali gus membuatkan saya mahu terbabit dalam projek ini.

“Terus-terang, saya tiada sebab utama untuk bersetuju, cuma hati mahu melakukan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, Latif merupakan bekas ketua gengster di Indonesia yang sudah bertaubat dan kembali ke Malaysia untuk melarikan diri dari masa silamnya.

"Latif mempunyai empat anak iaitu Farid, Fuad, Fahad dan Fara serta melatih mereka dengan ilmu persilatan dan berharap ilmu itu digunakan oleh anak-anaknya ke arah kebaikan,” katanya.

Rentetan itu, penyanyi Sentuhan Listrikmu ini perlu menjalani latihan silat sekali gus mencabar fizikal dan mentalnya.

“Semua latihan aksi memerlukan stamina yang kuat.

“Tapi, saya tiada masalah bahkan semua pelakon pun memberi kerjasama yang sangat baik sekali gus memudahkan sisi watak dan jalan cerita.

“Kini, produksi juga berbeza kerana lebih profesional, teratur dan terancang,” katanya.

Selain M Nasir, Do[s]a turut dibintangi Remy Ishak, Daniella Sya, Ashraf Sinclair, Roy Marten, Maudy Koesnaedi, Hannah Al Rashid, Reuben Elishama, Tegar Satrya, Shenty Feliziana dan Hisyam Hamid.

Mini siri lapan episod ini diarahkan oleh Ifa Isfansyah dan sesi penggambaran dilakukan di Malaysia dan Jakarta sejak Julai lalu.

Khamis, Ogos 17, 2017

M. Nasir pertimbang berlakon drama bersiri

petikan KOSMO 17 Ogos 2017

Oleh ARINA AZLAN
Foto IHSAN ASTRO

M. Nasir tidak mempunyai masalah untuk terbabit dengan drama bersiri, namun naskhah tersebut harus memikat hatinya, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat.

Bukan seorang pelaku seni yang mengambil sesuatu kerja secara semberono, piawaian kredibiliti Datuk M.Nasir sentiasa terpelihara.

Hal itu merangkumi aspek sentuhannya pada gubahan sesebuah lagu atau penciptaan karya untuk dirinya, membawa kepada penglibatannya dalam naskhah di layar lebar atau kaca televisyen.

Kini, selepas Salam Taj Mahal yang pernah menjadi fenomena 17 tahun lalu di kaca televisyen, M.Nasir ‘meminjamkan’ auranya untuk terlibat dalam sebuah siri mini yang diberi judul Do(s)a.

Diterbitkan oleh Arie Zaharie Production Sdn. Bhd., Do(s)a yang dijangka tayangannya penghujung tahun ini di saluran Astro Citra dan Mustika menyaksikan figura yang diberi gelaran ‘sifu’ itu berkongsi fragmen dengan pelakon kelahiran Indonesia seperti Roy Marten dan bintang dari Malaysia, Remy Ishak. Turut terbabit sama adalah pelakon Ashraf Sinclair.

Disifatkan sebagai seorang yang selektif dan teliti dalam hal seni, lelaki berusia 60 tahun itu bagaimanapun mengaku bahawa beliau sebenarnya tiada masalah untuk berlakon drama bersiri biasa.

Pemilik nama sebenar, Mohammad Nasir Mohammad itu juga mengakui sering mengikuti perkembangan drama yang sedang popular dalam kalangan penonton masa kini bagi mengisi waktu senggang bersama keluarga.

Ketika ditemui pada sidang media mini siri Do(s)a di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, pelantun lagu Mentera Semerah Padi itu sedia mempertimbangkan tawaran untuk menerima watak bagi drama bersiri berkenaan andai kena dengan jalan cerita serta skripnya.

KOSMO!: Melihat pada pengaruh dan pencapaian Datuk sebelum ini, bagaimana anda boleh bersetuju serta tidak keberatan untuk berlakon dalam drama bersiri berkenaan?

M. NASIR: Bagi saya, kita tidak pernah tahu apa yang kita suka jika tidak cuba. Jadi, saya tiada masalah dengan apa jua drama bersiri, malah saya ada juga menontonnya dari semasa ke semasa. Ia sesuatu yang digemari oleh penonton masa kini dan kalau ada peluang untuk terlibat dalam drama bersiri seperti slot Akasia, saya tidak akan menolak jika bersesuaian.

Pernahkah anda menerima tawaran untuk drama bersiri sebelum ini?

Ya, memang ada tetapi belum ada yang dapat memikat hati saya. Saya memilih skrip yang berbaloi untuk dilakonkan dan sekurang-kurangnya mampu memberi pengajaran berguna buat penonton.

Berbalik kepada drama Do(s)a, boleh anda kongsikan tentang watak yang dijayakan?

Saya membawa watak Latif, seorang bekas ketua gengster di Indonesia yang bertaubat dan pulang ke Malaysia untuk melarikan diri dari masa silamnya.

Dia memiliki empat orang anak bernama Farid (Ashraf Sinclair), Fuad (Remy Ishak), Fahad (Hisyam Hamid) dan Fara (Shenty Feliziana) dan melatih mereka dengan ilmu persilatan.

Latif berharap ilmu tersebut digunakan oleh anak-anaknya ke arah jalan kebaikan.

Kali terakhir khalayak melihat anda di kaca televisyen sebagai pelakon drama adalah menerusi Salam Taj Mahal, manakala filem terakhir pula Magika sekitar tujuh tahun lalu?

Setelah sekian lama meninggalkan lapangan tersebut, apa yang mendorong anda menerima tawaran terbabit dalam mini siri ini?

Saya bersetuju kerana wataknya yang kompleks dan misteri. Bukan sekadar karakter kosong dan tiada visi.

Apabila saya membaca skrip yang diberikan, hati saya kuat mengatakan karya ini bagus dan membuatkan saya mahu terbabit sama dalam pembikinannya. Tiada sebab utama saya bersetuju, cuma hati mahu melakukannya, itu sahaja.

Berapa lama masa yang anda ambil untuk menerima tawaran ini?

Saya telah dirisik oleh pencipta karya asal, Saniboey Mohd. Ismail sejak awal bulan puasa lalu, namun saya tidak terus memberi jawapan ya kepadanya.

Saya mengambil masa dua bulan untuk memikirkan semua aspek yang perlu diambil kira seperti jadual kerja dan kelapangan masa sebelum bersetuju.

Apakah cabaran paling besar untuk mini siri ini?

Watak saya tidak mempunyai banyak babak dan hanya muncul sekitar suku bahagian sahaja untuk siri ini jadi tiada banyak cabaran besar. Namun begitu, seperti pelakon lain, saya perlu menjalani latihan silat yang agak serius dan mencabar fizikal serta mental.

Bagaimanakah situasi bekerja dengan barisan karyawan dari dua negara ini?

Saya hanya terlibat dengan penggambaran selama lima hari di Malaysia tetapi sepanjang kami bekerja, setiap pelakon memberikan yang terbaik.

Tidak kira sama ada mereka adalah senior atau junior, masing-masing memberikan komitmen terbaik.

Saya tidak berdepan sebarang masalah dan ia merupakan satu sesi penggambaran yang lancar.