Ahad, Februari 28, 2016

Peminat Puas Nyanyi, Joget Bersama

petikan kafebuzz.my 28 Februari 2016
gambar : Kafebuzz & FB SahabatMNasirOfficial


“Siapa yang tak datang rugilah,” kata Sifu, Datuk M Nasir selepas mendendangkan lagu Phoenix Bangkit.

Memang benar apa yang diperkatakan kerana persembahannya bersama Datuk Ramli Sarip pada acara jelajah sulung, Ramli Sarip & M Nasir University Tour 2016 di MITC, Melaka, malam tadi cukup hebat sehingga peminat puas hati menyanyi dan berjoget sama.

Sifu yang terlebih dulu membuka persembahan dengan lagu Suatu Masa dan Raikan, tidak perlu tunggu lama untuk panaskan suasana.

Begitu juga, ketika menyampaikan lagu Mustika, penonton makin teruja berkongsi ‘roh’ lagu itu sehingga bersorak menyanyi bersama.

Tidak kurang, ketika lagu Keroncong Untuk Ana didendangkan, melodi dan liriknya cukup terkesan pada peminat mengimbau nostalgia lebih-lebih lagi petikan gitar Aznan Alias cukup mengusik jiwa peminat.

“Saya berasa sangat bertuah membuat persembahan di sini, di tempat ini.
Pertama kali saya buat persembahan di Melaka pada tahun 1982 dan pada waktu itu saya buka persembahan untuk Alleycats,” sambung Sifu di atas pentas.

Bagaikan nasi lemak wajib ada sambal, begitu juga Sifu mengubat hati peminat dengan lagu Hati Emas disusuli Apokalips.

Memberi laluan kepada Papa Rock selepas itu bersama lagu Rindu Damai dan Sejuta Wajah, peminat terus dibuat nostalgia kegemilangan penyanyi legenda itu.

Kehebatan, keunikkan dan keaslian suara Papa Rock memang cukup memukau peminat apatah lagi ketika menyampaikan lagu wajib, Teratai, ia memberikan kepuasan yang paling maksima.

Bak kata Papa Rock, persembahan mereka kali ini yang dianjurkan Rasamusic bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menjadi satu sejarah buatnya dengan M Nasir apatah lagi ditonton Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang turut hadir pada malam tadi.

Tambah istimewa, penutup persembahan duet Papa Rock bersama Sifu menerusi lagu Mentera Semerah Padi dan Kamelia juga membuatkan peminat memberikan tepukan gemuruh ‘standing ovation’ pada kedua penghibur tersohor ini yang tiada tandingan.

Bagi mereka yang terlepas persembahan kali ini, nantikan lokasi seterusnya.

Sabtu, Februari 27, 2016

Kita Banyak Dengar Lagu Cetak Rompak

petikan Kafebuzz 27 February 2016

Peminat tegar perlu terus membeli album asli bukannya cetak rompak.

Itu nasihat penyanyi popular, Datuk Ramli Sarip kepada peminat muzik tempatan agar tidak sokong membeli album cetak rompak mahupun memuat turun lagu kesukaan mereka secara haram di Internet.

Menurut penyanyi digelar Papa Rock ini, masalah cetak rompak yang sekian lama merosak industri muzik tanah air terus berlaku apabila peminat tidak mengambil kisah soal kualiti muzik yang didengar.

“Ada penyanyi yang rasa nak berhenti kerana cetak rompak suatu yang menyakitkan tetapi perjalanan seni itu harus ada pengorbanan,” katanya pada acara Wacana Ramli Sarip & M Nasir University Tour 2016 di MITC, Melaka, hari ini.

Bagi Datuk M Nasir, muzik yang kebanyakkan didengar pada masa kini adalah hasil cetak rompak.

“Secara moral kita merasakan perbuatan itu tidak salah tetapi dia sebenarnya mengambil pendapatan artis meskipun ia menjadi bahan ketawa,” katanya.

Isnin, Februari 22, 2016

M Nasir teruja beraksi bersama Jay Jay, Ogy

petikan Sinar Harian 22 Februari 2016
MARINA SAHABUDIN•FOTO: IHSAN MENARA KL


PENYANYI yang banyak gelaran ini sememangnya tidak perlu disangkal lagi. Penglibatannya dalam industri seni sudah lama.

Tidak hanya penyanyi, beliau jugalah pelakon, pengarah, pencipta lagu, pelukis dan penulis lirik. Datuk M Nasir sekali lagi diberi penghormatan untuk membuat persembahan di Menara Kuala Lumpur bersempena minggu setiausaha.

Beliau yang mendapat gelaran sifu ini teruja dapat bergandingan bersama penyanyi Jay Jay dan Fauziah Ahmad Daud (Ogy) menerusi showcase Suatu Masa... Bersama Datuk M  Nasir, pada 28 April nanti.

Pembabitan rakan seperjuangannya itu sangat dinantikan sementelah sudah lama tidak beraksi bersama.

"Saya pernah bekerja dengan Jay Jay dan Ogy, tetapi bekerja bertiga ini kali pertama.

"Kerana itu saya mahu merancang kelainan bagi persembahan ini nanti. Mungkin saya berduet bersama Jay Jay. Ini kira bonus kepada penonton yang hadir," katanya pada sidang media showcase tersebut.

Kata pelantun lagu Mentera Semerah Padi ini, pertemuan tersebut menjadi pengalaman manis kepadanya.

"Walaupun hanya menyanyi bersama Jay Jay, manakala Ogy bertindak sebagai pengacara, saya yakin keletah Ogy membuatkan showcase tersebut lebih meriah.

"Saya harap gandingan kami memberi impak kepada penonton," katanya.

Mengenai lagu dinyanyikan nanti, M Nasir membawakan lagu popularnya seperti Tanya Sama Itu Hud Hud, Andalusia, Keroncong Untuk Ana serta tujuh lagu lain.

Selain lagu popular, beliau membawakan kelainan dengan menampilkan pemuzik iringan demi kepuasan penonton.

"Showcase ini mengambil durasi satu jam sahaja, tetapi saya mahu mereka puas hati dan gembira dengan persembahan tersebut.

"Kerana itu, saya enggan menggunakan minus one supaya mereka rasa seperti menonton konsert besar," katanya sentiasa berikan terbaik dalam setiap persembahannya.

Harga tiket yang bagi sebuah meja adalah RM6,880 (Platinum 10 orang), RM4,880 (Gold 10 orang) dan RM2,888 (Silver 10 orang).

Untuk tempahan atau maklumat lanjut hubungi 03-20205444 atau layari www.menarakl.com.my atau www.facebook.com/officialmenarakl.

Ahad, Februari 21, 2016

'Brader, kita mesti terus hidup...' 30 tahun kemudian

petikan MalaysiaKini 21 Februari 2016
oleh Rimanilzah


Waktu itu saya remaja berusia 18 tahun, masih belajar di tingkatan enam. Saya naik bas mini nombor 27 - dengan tambang 50 sen - ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, beli tiket kelas satu (RM2.50) di panggung Coliseum. Tonton filem Kembara Seniman Jalanan (KSJ).

Sekarang, 30 tahun telah berlalu.

KSJ mula ditayangkan di pawagam pada 22 Februari 1986. Pada waktu itu, saya menonton atas dua sebab. Pertama, Datuk M Nasir berlakon dalam filem tersebut. Kedua, konsert dalam filem tersebut menjadi tarikan untuk menontonnya di pawagam.

Beberapa bulan sebelum KSJ ditayangkan di pawagam, Radio Tiga Ibu Kota (atau RMIK. Generasi sekarang mungkin tidak pernah mendengar pun nama ini) menghebahkan maklumat tentang konsert untuk filem KSJ akan diadakan di Panggung Anniversary, Tasik Perdana. Hebahan tentang konsert percuma ini saja sudah mengujakan.

Petang konsert itu, mat-mat rock dari Kampung Sentosa Sepakat pun naik bas merah KL Klang. Kami turun di Brickfields dan 'menapak' ke Tasik Perdana melalui Jalan Sultan Hishamuddin.

Suasana konsert pada malam itu sangat meriah.

Kalau diamati konsert dalam KSJ, saya pasti boleh mengenali beberapa muka, termasuklah dua 'mamat' yang memanjat pokok ketika konsert berlangsung.

Begitupun, setelah dewasa, saya menonton filem arahan Nasir Jani itu lebih daripada sekadar minat kepada M Nasir dan keterujaan di Panggung Annivesary.

Dari budak sampai bapak budak

Setelah dewasa saya mula faham bahawa filem itu adalah tentang perjuangan menentang lanun cetak rompak, kritikan terhadap dunia hiburan tanah air, rasuah, persahabatan dan keresahan nasib orang Melayu.

Saya mula hadam beberapa dialog sinikal dalam filem itu. Antaranya termasuklah dialog Bujang: “Cuma satu yang tak heavy dalam dunia ni, filem heavy drama Melayu”.

Begitu juga dengan dialog Osman Tikus (lakonan Pyanhabib): “Macam orkestra RTM, tak berubah. Dari gua budak-budak sampai gua nak jadi bapak budak, dok macam tu jugak. Dari gua mendengar sampai gua tak mendengar, macam tu jugak”.

Saya juga mula faham bahawa KSJ berbicara tentang nasib orang Melayu. Dalam industri hiburan misalnya, KSJ meratapi nasib penyanyi, penggubah dan penerbit lagu yang terdiri daripada Melayu yang bersusah payah berkarya tetapi yang kaya raya “orang lain”.

Lagu Siapa Orang Kita yang melatari KSJ dengan nyata menyuarakan persoalan ini. Demikian juga sajak tulisan Pyanhabib Melayu vs Melayu yang menjadi latar adegan Osman Tikus yang dalam keadaan berlumuran darah setelah gagal dalam cubaan untuk “menjadi kaya dengan cepat”.

KSJ menyentuh masalah rasuah di negara ini secara halus. Johan - penerbit sebuah syarikat rakaman - cuba merasuah Ana (Datuk Khatijah Ibrahim) si wartawan hiburan agar menulis reputasi yang baik-baik saja tentang album baru Farez (Datuk Shah Reza) yang dikeluarkan syarikatnya.

Ada makna di sebalik 'Osman'

Osman Tikus si pencopet “sepenuh masa” juga menulis grafiti di tembok, “Ke mana $2.7 biliooon?” Grafiti itu mungkin berkaitan dengan skandal sebuah firma kewangan yang beritanya menghebohkan negara seputar 1980-an.

Osman Tikus dalam KSJ mungkin saja dipandang jelek kerana mencopet untuk meneruskan kelangsungan hidup. Namun demikian, apakah bezanya dengan pihak yang melesapkan RM2.7 billion dan terlepas begitu saja?

Menonton KSJ untuk menulis artikel ini dan membaca tulisan-tulisan tentang skandal firma kewangan itu di Internet membuat saya tertanya-tanya: Adakah apa-apa yang tersirat di sebalik penggunaan nama Osman Tikus?

Mungkinkah nama ini sebenarnya alegori kepada Osman 'yang lain'? Saya sekadar tertanya-tanya.

Ya, Osman Tikus menulis grafiti itu 30 tahun dulu. Dan kita mengetahui pula kisah dengan jumlah wang yang lebih kurang sama pada masa ini dalam situasi yang lain pula.

Sebenarnya, skandal kewangan yang besar telah wujud di negara ini bermula sekurang-kurangnya sejak 30 tahun dahulu lagi!

Selepas itu, kita membaca dan mendengar skandal-skandal kewangan lain yang turut melibatkan jumlah yang besar.

Pada 30 tahun yang dulu KSJ seakan-akan telah memberikan peringatan bahawa rasuah bakal menjadi petaka di negara ini jika tidak dibendung.

Menyentuh Osman Tikus, watak itu cukup diingati oleh penonton KSJ. Malahan pada saya, jika watak Osman Tikus ini dikembangkan, ia boleh menjadi watak utama bagi sebuah filem yang tersendiri.

Keroncong Untuk Ana

Meskipun telah mencopet Bujang (M Nasir), jauh di sudut hati Osman Tikus ada perasaan yang luhur dalam persahabatan. Dia telah mempelawa Bujang yang sebatang kara di Kuala Lumpur untuk menginap di “istana hinggap" miliknya.

Osman Tikus telah mencopet untuk menggantikan wang Bujang yang telah dicopetnya sewaktu Bujang mula-mula tiba di Pudu Raya. Nasir Jani (gambar) telah mengadun adegan ini dengan semiotika yang nakal. Dengan riak wajah bersalah, Osman Tikus telah melemparkan wang kertas sepuluh ringgit ke atas buku S H Alattas yang berjudul Perdana Menteri Yang Kelima? di gerai burger Joe.

Adegan Bujang mengajar Osman Tikus menyanyikan lagu Keroncong Untuk Ana pula menjadi adegan menggambarkan keakraban persahabatan yang cukup diingat.

Dialog Osman Tikus yang sangat popular ialah “Brader, kita mesti terus hidup”. Osman Tikus menuturkannya sebanyak tiga kali dalam filem KSJ. Dialog 'keramat' ini pernah diabadikan sebagai grafik kemeja T.

Semasa saya belajar di tingkatan enam, dialog ini menjadi kata-kata perangsang untuk saya melawan perasan malas belajar sewaktu seorang demi seorang kawan saya meninggalkan tingkatan enam dan melanjutkan pelajaran ke universiti atau politeknik.

Semasa menonton KSJ 30 tahun dahulu, saya beranggapan bahawa watak Bujang atau Jebat yang merantau ke ibu kota untuk menjadi penyanyi popular ialah kisah sebenar M Nasir.

Imbasan Bank Bumiputra

Saya juga percaya pada waktu itu, kisah lagu ciptaan Bujang semasa ujian suara telah diciplak oleh Johan (lakonan Majid Salleh) ialah kisah sebenar beliau.

Bagaimanapun, setelah lebih dewasa dan lebih mengenal erti fiksyen, saya beranggapan bahawa naratif KSJ mungkin saja kisah benar atau mungkin juga bukan kisah benar M Nasir.

Tarikan lain KSJ pada 30 dahulu ialah lagu-lagunya.

Saya sememangnya peminat M Nasir lewat lagu-lagunya dengan kumpulan Kembara. Semasa kami - pelajar tingkatan enam - membuat pementasan drama di sekolah, saya telah memilih lagu Rupa Tanpa Wajah sebagai lagu latar.

Lagu lain yang menarik dalam KSJ ialah Harapan Terakhir, Balada Osman Tikus, dan Sesat di Kuala Lumpur.

Adegan paling menarik dalam KSJ bagi saya ialah adegan Ana dan Bujang bertemu di Dayabumi. Adegan itu bermula dengan refleksi imej Bujang dan Ana di dinding cermin Bank Bumiputra Malaysia Berhad.

Paparan ini pada tafsiran saya mempunyai hubungan dengan imej grafiti “Ke mana $2.7 biliooon?” yang muncul pada akhir filem KSJ.

Dalam adegan ini, Bujang menyuarakan keresahannya tentang pemikiran penyanyi, peminat dan wartawan industri hiburan Melayu.

Dalam adegan itu, saya dapat menangkap makna di sebalik dialog Ana: “Apa boleh kita buat, bangsa mata sepet tu jadi lanun”.

Begitu juga dengan dialog Bujang: “Memanglah bangsa tu dah ajar kita korup. Kau tahu apa orang Barat cakap bila cakap fasal orang Asia? Cakap fasal korupsi, kemiskinan, kebuluran, hutang Bank Dunia tak terbayar, dan cetak rompak.

"Sebenarnya, kita malas nak fikir”.

Adegan lain yang menarik perhatian saya ialah semasa Bujang dan Ana di Balai Seni Lukis Negara, Jalan Sultan Hishamudin (sekarang terletak di Jalan Tun Razak dengan nama Balai Seni Visual Negara).

Pasangan itu digambarkan berada di depan lukisan Ayahku dan Angkasawan karya Ibrahim Hussein, berbual tentang jati diri.

Glamor tu apa benda

Di tempat yang sama, saya pernah melihat lukisan itu dan duduk di hadapannya selama lebih kurang 20 minit. Waktu itu saya hanya kagum akan figura angkasawan yang digandingkan dengan figura orang tua berkain pelikat tanpa baju. Saya tidak peduli pun tentang kritik sosial dalam lukisan itu.

Ayahku dan Angkasawan juga menjadi judul lagu dalam salah sebuah album Kembara dan dinyanyikan oleh S Sahlan.

KSJ telah 30 tahun berlalu. Namun persoalan yang diutarakan dalam filem tersebut masih relevan. Beberapa persoalan masih berlegar sebagai masalah yang tak berpenghujung di negara ini.

Masalah cetak rompak misalnya, tidak pernah selesai justeru bertambah ruwet. Cetak rompak pada masa ini bukan sahaja didalangi “bangsa mata sepet” malahan diterajui oleh para peminat hiburan itu sendiri.

Siapakah yang memuatnaikkan filem-filem Melayu di YouTube untuk ditonton secara percuma? Siapakah pula yang membolehkan lagu-lagu Melayu dimuatturunkan secara percuma melalui jaringan internet? Bukan “bangsa mata sepet” sahaja.

Yang untung syarikat-syarikat telekomunikasi yang menyediakan kemudahan jalur lebar dan data Internet. Siapakah pula pemilik syarikat-syarikat tersebut?

Bercakap tentang rasuah pula, adakah masalah ini bertambah pulih atau bertambah parah setelah 30 tahun? Tentang industri hiburan pula - bagaimana? Adakah kita telah punya banyak artis yang berkarisma atau masih tenggelam dalam dunia glamor?

“Joe, glamor tu apa benda?” tanya Osman Tikus.

“Glamor tu dari kamus kutu maknanya hidup berpura-pura, haa... hidup plastik, Mr Jefri,” jawab Brader Joe (Imuda).

RIMANILZAH lelaki dari 'kota basah' di utara semenanjung. Peminat filem, buku, sajak dan barang vintaj. Dulu dia lelaki urban sebelum kini berubah menjadi lelaki uban.

Teruja kongsi pengalaman

petikan Utusan Malaysia 21 Februari 2016
 
PERJALANAN yang mereka lalui begitu jauh dan pastinya pengalaman yang sudah ditempuh oleh Ramli Sarip dan M Nasir juga tidak terhitung banyaknya. Tidak pernah mendabik dada dengan apa yang telah dikecapi, kedua-dua leganda muzik tanah air ini bersependapat yang masih banyak perkara yang perlu diterokai.

Meski sudah masak benar dengan ‘politik’ industri muzik yang sentiasa dahagakan kelainan, mereka telah membuktikan yang peminat tetap akan mencari yang asli. Dan keaslian muzik yang telah mereka perjuangkan sejak dahulu membuktikan kedua-dua ikon ini masih mampu bertahan sehingga ke hari ini.

“Perjalanan yang saya lalui bukan sedikit. Kalau nak diikutkan sebaik sahaja memulakan kerjaya dalam bidang ini saya telah menetapkan kehendak apa yang harus dibuat. Pada akhirnya saya tahu perjuangan ini tidak pernah padam dan berada pada landasan yang benar.

“Bidang muzik cukup luas untuk diterokai. Cabaran yang dilalui orang lama seperti saya juga berbeza jika mahu dibandingkan dengan generasi sekarang. Tapi asasnya tetap sama iaitu memerlukan kesabaran untuk menjadi jenama yang kuat bila tiba masanya,” kata Ramli membuka cerita.

Tidak betah duduk diam, Ramli dan M Nasir bakal mengadakan persembahan eksklusif di beberapa buah universiti terpilih menggunakan jenama Ramli & Nasir University Tour 2016.

Bagi Ramli, segala pengalaman, pemerhatian dan peristiwa yang telah berlaku akan dikongsi bersama mahasiswa dan mahasiswi bagi memberikan gambaran sebenar dan menambahkan pengetahuan mereka tentang dunia nyanyian yang tidak pernah diketahui umum.

Tidak sekadar mengadakan persembahan semata-mata di setiap lokasi, kedua-dua mereka juga bakal terlibat dalam siri wacana yang akan diadakan di setiap persinggahan bagi berkongsi pengalaman dan cabaran kepada golongan muda khususnya.

“Saya melihat ini merupakan satu acara yang baik memandangkan kami boleh berkongsi kisah perjuangan, falsafah setiap lagu yang terpilih dan matlamat. Mereka yang hadir juga boleh bertanyakan apa juga soalan bagi memberikan gambaran yang tepat.

“Mereka mungkin dalam kalangan pelajar muzik yang bertuah dapat belajar secara formal. Dengan adanya wacana begini, ia akan memberikan input tambahan kepada peserta yang hadir untuk menempuh dunia sebenar,” tambahnya lagi.

Bagi Ramli, dia tidak pernah lokek untuk berkongsi kisah, falsafah dan juga hala tuju setiap lagu yang menjadi kesukaan peminat Sweet Charity khususnya. Dedah penyanyi yang popular dengan lagu Teratai ini lagi, dia masih ingat setiap kisah menerusi naskhah lagu yang dinyanyikan olehnya. Semuanya mempunyai falsafah dan sebab yang akhirnya menjadi sebuah lagu ‘berhantu’ hingga ke hari ini.

“Sebagai contoh, saya pernah merakamkan lagu Pelarian pada tahun 1980. Lagu tersebut dirakam disebabkan isu pelarian Vietnam yang hangat ketika itu. Tapi lagu itu kekal sehingga hari ini dan isu pelarian tidak pernah berakhir.

“Ini yang cuba kita kongsi bersama dengan mereka nanti di samping isu-isu muzik lain dan sebagainya,” kata Ramli lagi.

Teruja

TIDAK sekadar hebat menyanyi di atas pentas, kehebatan M Nasir dalam menaikkan ramai penyanyi popular tanah air tidak pernah dipertikai. Beberapa lagu ciptaanya juga menjadi masterpiece yang akan kekal bertahan sehingga bila-bila.

Antara karya yang kekal diingati sudah pasti lagu Isabella yang dinyanyikan oleh kumpulan Search dan lirik hasil tulisan Bob Lokman. Lagu tersebut kekal ‘berhantu’ dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana lagu selepas itu.

Mempunyai seribu satu pengalaman yang tidak diketahui umum, M Nasir menganggap platform untuk bertemu dengan mahasiswa di 10 buah universiti tempatan termasuklah sebuah Singapura yang akan ditetapkan sedikit masa lagi.

“Saya mahu berkongsi pengalaman, pemikiran, falsafah dan kehidupan dengan mereka. Bagi saya generasi baharu hari ini lebih mudah dalam segala hal berbanding dengan orang terdahulu.
“Sewaktu zaman saya dahulu cukup sukar untuk masuk televisyen memandangkan siaran tak banyak. Tapi orang zaman sekarang lebih mudah keluar televisyen memandangkan siaran sudah banyak dan ada platform yang mudah. Tapi untuk bertahan lama?” soal M Nasir lagi.

Bagi lelaki ini, pastinya dia telah bersedia untuk berkongsi rahsia, cerita dan juga tips berguna kepada mereka yang hadir nanti untuk menentukan hala tuju dalam bidang muzik khususnya.

Tidak hanya tertumpu kepada bidang nyanyian semata-mata, sudah dia dan Ramli akan berkongsi tentang pengalaman membikin album, tema, lirik, muzik, perjuangan dan budaya yang menjadi tunjang setiap karya.

Bakal ke Universiti Kuala Lumpur (Micet), Kampus Alor Gajah, Malaka pada 27 Februari ini sebagai lokasi pertama, kedua-dua legenda ini juga akan ke Universiti Utara Malaysia (UUM) Kedah; Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur dan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.
Turut dijelajahi, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu; Universiti Teknologi Mara (UiTM), Skudai, Johor; Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Sarawak dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Sabtu, Februari 20, 2016

THE JOURNEYMAN : Dato' M. Nasir

Podcast taken from http://www.bfm.my

Listen to an exclusive podcast with one of Malaysia and Singapore's most revered artiste, Dato M. Nasir. Ali Johan chats with the multi-disciplined seniman, uncovering his various musical endeavours throughout the years.

Jumaat, Februari 19, 2016

M. Nasir, Ogy and Jay Jay to perform at KL Tower

taken from Bernama  19 February 2016

M. Nasir, Ogy and Jay Jay to perform at KL Tower
(from left) Ogy, Meor, M. Nasir and Jay Jay at the press conference on Thursday

KUALA LUMPUR: Evergreen singer and composer, Datuk M. Nasir, together with Fauziah Ahmad Daud (Ogy) and Jay Jay, are set to exclusively entertain the patrons of KL Tower during the Secretaries' Week celebration on April 28.

"I am very excited and would like to thank the KL Tower management for choosing me to perform on top of the highest tower in South East Asia," said M. Nasir who would sing 10 of his popular songs.

Admitting that the event, dubbed 'Suatu Masa...Bersama Datuk M. Nasir' would be his first time sharing the stage with Ogy and Jay Jay for Secretaries' Week, M. Nasir promised his fans an extraordinary show.

"This will be far different from other shows in the past which were more open," he told a press conference here Thursday.

Meanwhile, KL Tower chief executive officer Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan said the exclusive show would be held at the Megaview Banquet Hall, KL Tower from noon to 3pm.

He said the event would give the opportunity to fans to enjoy live performance of the three evergreen singers and get up close and personal with them.

"Under the concept 'Suatu Masa...' (Once Upon A Time...), we seek to transport Datuk M. Nasir's fans to reflect back on his golden years over the past four decades, especially during the era of rock ballad in the 1980s," he
said.

Meor said seats for the exclusive show were limited to 256 and would be sold at between RM3,100 and RM7,600 per table depending on the packages, namely, VVIP, Platinum, Gold and Silver.

Sabtu, Februari 13, 2016

Selepas lagu, filem dan lukisan, M.Nasir tulis buku pula

petikan Astro Awani 13 Februari 2016
Irwan Muhammad Zain, Astro Awani |  Diterbitkan pada Februari 13, 2016 10:52 MYT

M.Nasir merasakan ada keperluan untuk mendokumentasikan sebahagian hidupnya, perjalanan dalam menghasilkan album-album sebelum dan selepas Canggung Mendonan dan bagaimana album itu dihasilkan.

KUALA LUMPUR: Setelah sekian lama berkecimpung dalam bidang seni terutama dalam bidang nyanyian, Datuk M.Nasir berkongsi kisah hidupnya menerusi sebuah buku autobiografi.

Buku tersebut ditulis sendiri oleh seniman tersohor itu dan ia berkisar tentang perjalanan beliau menghasilkan album Canggung Mendonan yang memuatkan lagu Mentera Semerah Padi.

Bagi M.Nasir, beliau merasakan ada keperluan untuk mendokumentasikan sebahagian hidupnya, perjalanan dalam menghasilkan album-album sebelum dan selepas Canggung Mendonan dan bagaimana album itu dihasilkan.

"Buku yang saya tulis ini adalah tentang pemikiran saya dan perjalanan saya bagaimana terjadinya album Mentera Semerah Padi," katanya ketika ditemui Astro AWANI, baru-baru ini.

M.Nasir juga menganggap buku yang sedang ditulisnya itu merupakan satu sumbangan kepada masyarakat terutama peminat-peminat setia beliau.

"Mereka (peminat) boleh mengharapkan pemikiran kisah-kisah daripada beberapa album yang saya buat dan juga kisah-kisah perjalanan diantara album-album itu dan bagaimana album itu terjadi.

"Bagi saya yang penting pemikiran, apa-apa yang saya fikirkan waktu itu, bila saya buat satu kerja, buat lagu umpamanya, buat album dan apa yang telah saya alami, lihat dan merasakan," ujar seniman yang juga sedang menyiapkan album terbarunya.

Bercerita lanjut, anak seni yang berusia 59 tahun ini menjelaskan biarpun album Canggung Mendonan bukanlah klimaks dalam kerjayanya tetapi album itu mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Saya mengekspresikan perasan saya dalam album itu dan ia menyerlah dan saya kira ramai orang dapat membacanya dan menganggap ini m.nasir, ini adalah watak M.Nasir," jelas beliau.



Buku yang belum mempunyai judul itu akan diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), yang menganggap belum ada buku auotobiografi seniman yang ditulis secara serius.

"Adalah satu dua seperti buku yang ditulis Pekin Ibrahim dan Faizal Hussein," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron.

Mohd Khair juga menjelaskan ITBM memilih M.Nasir kerana pihaknya merasakan masyarakat terutama generasi muda perlu didedahkan dengan kisah hidup seniman tersohor itu.

"Kita merasakan bahawa M.Nasir patut berkongsi pengalaman beliau, pandangan hidup beliau kepada rakyat malaysia terutama generasi muda, bagaimana mahu menjadi penghibur sebenar, penghibur yang ada prinsip, penghibur yang tahu halatuju kerjayanya," ujar beliau.

Jelas Mohd Khair, ITBM berharap peminat-peminat M.Nasir dapat merasai pengalaman yang dilalui seniman itu dan generasi muda yang baru berkecimpung dalam dunia penerbitan lagu dapat mempelajari sesuatu dari kisah yang ditulis komposer digelar sifu itu.