Selasa, September 28, 2010

Magika tetap membanggakan

petikan Berita Harian 28 September 2010
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

EDRY (empat dari kiri) bersama barisan pelakon filem Magika.

Di sebalik ada kekurangan, ia juga keberanian pengarahnya merintis genre baru filem tempatan

MUNGKIN masih banyak kekurangan dan kelemahan dalam filem Magika tetapi keberanian Edry Abdul Halim ‘main belasah’ saja untuk menghasilkan sebuah karya yang menggabungkan muzikal dan sinematik wajar ada pujian.

Sekurang-kurangnya Edry sudah merintis jalan untuk menghasilkan filem yang membabitkan alam fantasi dan animasi. Dalam erti kata lain, dia mengangkat cerita dongeng Melayu dalam bentuk berwarna warni.

Tidak adil, bahkan tidak sepatutnya dibandingkan dengan filem dari Hollywood kerana untuk karya seperti ini membabitkan belanjawan puluhan malahan ratusan juta ringgit.

Oleh itu, kita mengharapkan ada pihak ada kemampuan untuk menghasilkan karya yang lebih baik daripada Edry selepas ini.

Begitupun, buah tangan pertama Edry dalam dunia perfileman bakal mengubah persepsi penonton tempatan yang selama ini mungkin beranggapan filem Melayu hanyalah filem kelas kedua setelah mereka menonton Magika.

Sebagai orang baru dalam pengarahan filem, sentuhan Edry diakui tidaklah sempurna. Namun keberanian kesungguhannya membawa genre yang berbeza sekali gus membawa perubahan kepada industri filem tempatan itulah yang sewajarnya dibanggakan.
Magika hanyalah sebuah kisah mudah tetapi corak penyampaian secara muzikal dengan hampir 50 peratus dari dialognya disampaikan menerusi lagu itulah yang menjadi keistimewaan kepada filem ini.

Tiada pengarah yang mampu menghasilkan filem sempurna hatta mereka yang pernah meraih anugerah sekalipun. Kelonggaran di sana sini adalah lumrah tetapi ia masih boleh diperbaiki sementelah Edry sendiri berhasrat menghasilkan lebih banyak filem muzikal di masa depan.

Edry tidak kisah berapa kutipan yang bakal diperolehi asalkan sentuhannya disukai penonton. Sebagai anak seni, berkarya menjadi keutamaannya dan keuntungan difikirkan kemudian.

“Saya tak pasti berapa yang disasarkan oleh KRU Studios. Itu kena tanya kepada Norman kerana soal kutipan adalah tanggungjawab dia. Bagi saya, kalau seringgit pun saya terima dan gembira.

“Kepuasan penonton keutamaan saya. Semangat untuk menghasilkan filem sebenarnya lebih kuat daripada memikirkan mengenai kutipan,” katanya yang tidak menafikan Magika memerlukan kos yang besar kerana menggunakan ramai pelakon ternama.

Edry tidak menafikan, pembabitan pelakon terkenal dalam filem ini adalah strategi untuk menarik penonton ke pawagam walaupun ia memaksa KRU mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkan mereka.

Bagaimanapun, katanya, wang bukan segala-galanya kerana hampir semua pelakon yang terbabit dalam Magika memiliki nama besar. Dia juga berpuas hati dengan kesungguhan setiap pelakon malah mengibaratkan mereka seperti magnet yang menjadikan Magika menjadi lebih menarik lagi.

“Semestinya penggunaan pelakon terkenal adalah strategi KRU untuk menarik penonton ke pawagam. Mereka menjadi pilihan kerana kami berasakan watak mitos yang diwujudkan dalam filem ini sesuai dibawakan oleh setiap mereka sejak proses penulisan skrip lagi. Faktor komersial juga sebenarnya tidak dapat dinafikan memainkan peranan juga.

“Alhamdulillah boleh dikatakan ke semua pelakon yang kami kehendaki setuju bekerja dengan KRU. Kami tak menghadapi kesukaran kerana ada di antara pelakonnya adalah teman baik dan juga orang lama yang kami kenali,” kata Edry yang mengarahkan Magika kerana mahu lari dari genre filem sama yang hanya membuatkan penonton berasa terkongkong.

RM1.3 juta selepas empat hari

EMPAT hari memasuki panggung, Magika sudah pun menunjukkan permulaan yang baik apabila berjaya memperoleh kutipan kasar sebanyak RM 1.3 juta bagi pawagam di Malaysia serta Brunei.

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim dalam kiriman khidmat pesanan ringkasnya (SMS) berkata, penerimaan positif daripada penonton tempatan membuktikan bahawa genre muzikal mempunyai tempat di kalangan masyarakat tempatan walaupun genre sedemikian masih baru untuk sebuah filem Melayu.

“Kami harap perolehan Magika terus meningkat berikutan maklum balas positif dari laman sosial facebook dan pengkritik filem. Kami juga menjangkakan jumlah ini terus bertambah pada minggu akan datang kerana faktor hujung bulan serta setelah selesainya musim perayaan,” katanya.

Walaupun mendapat ulasan positif, Norman hanya menyasarkan kutipan sebanyak RM 4 juta. Katanya, sasaran itu dianggap realistik kerana tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah.

Pengalaman indah, sukar dilupa

MEMBARISKAN 25 pelakon popular, Magika menggandingkan Mawi dan Diana Danielle sebagai watak peneraju.

Filem ini turut dibintangi Datuk Jalaluddin Hassan, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Ziana Zain, M Nasir, Ning Baizura, Vanidah Imran, Ruminah Sidek, Zaibo, Norman Hakim, Sabri Yunus, Maya Karin, Adibah Noor, Saiful Apek, Azlee dan Mazlan Senario, Aznil Nawawi, Raja Azura, Nabil, Marsha, pasangan beradik, Sharifah Amani dan Sharifah Aleya serta dua pelakon kanak-kanak iaitu Shafimie dan Muhamad Hadziq Mohd Hazem.

Bagi lima pelakon yang terbabit dalam filem ini, pengalaman yang diberikan oleh KRU adalah satu pengalaman menyeronokkan serta tidak dapat dilupakan sepanjang kerjaya lakonan mereka.

Ziana Zain yang memegang watak sebagai nenek kebayan, menggambarkan filem ini sebagai ‘sebuah filem suka hati’ kerana dia diberikan sepenuh kebebasan untuk mencorakkan karektornya asalkan mesejnya sampai kepada penonton.

“Walaupun sedang mengandung ketika menjalani penggambaran filem ini, saya seronok kerana Edry memberi sepenuh kebebasan kepada saya. Saya banyak bermain dengan memek muka untuk merealisasikan watak nenek kebayan. Bagi saya ini adalah watak yang paling menyeronokkan sepanjang kerjaya saya,” katanya.

Biarpun cuma muncul beberapa minit, watak M Nasir sebagai Penunggu Tasik Chini dan juga naga Tasik Chini berjaya meninggalkan kesan kepada penonton. Pelakon dan penyanyi itu agak malu apabila diminta mengulas mengenai wataknya kerana watak berkenaan terlalu sedikit, tetapi beliau masih bersedia memberi kerjasama.

Namun, M Nasir memuji kreativiti tiga beradik berkenaan kerana berani menghasilkan filem yang berbeza. “Watak saya kecil tetapi bagi saya watak itu tetap penting. Walaupun sekejap, saya puas hati dan menganggap babak itu memadai buat saya,” katanya.

Aznil juga turut memuji Edry bekerja kerana biarpun masih baru, komitmen pengarah itu hampir setaraf dengan pengarah berpengalaman.

“Meskipun tidak mengenali Pak Pandir yang sebenarnya, saya cuba membawakan watak ini dengan sebaiknya. Saya memang seronok dapat berlakon dalam filem ini walaupun melalui pengalaman sukar dilupakan apabila digigit ulat bulu,” katanya.

Sebagai penyandang watak utama, Mawi yang membawa watak Badang berkata filem ini dari lain kerana filem sebegini belum pernah dihasilkan. Bagi membawakan watak Badang kata Mawi, dia terpaksa membayangkan alam magis.

“Saya kena bayangkan dunia fantasi antara manusia dengan makhluk bunian. Tapi saya tidak berpuas hati dengan mutu lakonan begitu juga dengan sesi memasukkan suara untuk filem ini kerana saya rasa boleh lakukan lebih baik lagi,” katanya. Bagi Diana Danielle yang membawakan watak Ayu pula, dia mengakui janggal dan tidak berasa wujudnya keserasian antara dia dan Mawi.

Katanya kelainan watak Ayu dengan filem mahupun drama yang pernah dijayakan apabila dia terpaksa mencuba lakonan komedi. Cabaran utama pula, apabila dia terpaksa menyanyi dalam filem berkenaan.

“Saya tak anggap sebagai pelakon komedi menyebabkan timbul rasa janggal apabila membawakan watak Ayu. Selain itu, kami juga dikehendaki menyanyi sedangkan rakaman sudah dilakukan sebelum penggambaran dibuat lagi. Jadi saya perlu memastikan penghayatan ketika membawakan lagu sama seperti rakaman yang dibuat,” katanya.

Jumaat, September 24, 2010

Penunggu Tasik Chini & filem Magika

Kredit  untuk poster watak : Tupai.com

Seperti yang ditunggu-tunggu pengemar filem tanah air, Filem Magika arahan Edry Abdul Halim terbitan KRU studio telah mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 23 September 2010 (rujuk jadual tayangan di sini). Sifu M Nasir melakonkan  watak "Penunggu Tasik Chini" . Untuk menyaksikan apa yang boleh dilakukan oleh penunggu di atas,  kita perlulah menonton  filem muzikal ini. Filem Magika berdurasi 94 minit ini membariskan pelakon seperti Aznil Hj Nawawi, Diana Danielle,Fimie Don, M. Nasir, Mawi,Maya Karin, Nabil, Ning Baizura,  Sharifah Aleya, Sharifah Amani, Vanidah Imran, Ziana Zain dan ramai lagi. Jangan lupa menyaksikannya di pawagam berhampiran.

* nota : terima kasih sekali lagi kepada rakan Saudagar Mimpi, En Razlizam kerana berkongsi info dan mengingatkan SM tentang filem Magika yang sudah mula berada di pawagam,.... al-maklum la Saudagar sekarang tengah sibuk  raya sebagaimana pelajar sekolah sibuk menyediakan diri utk peperiksaan. :-)

Sumber bacaan lanjut :

Jumaat, September 03, 2010

Hey... Pening Raya (duet M Nasir & Salih Yaacob)

* Beberapa hari lepas rakan SM, En Raz ada bertanyakan lagu Pening Raya - duet M Nasir dan Salih Yaacob. Memandangkan SM jarang mendengar radio, tercari-cari juga lagu ini di internet dan FB tapi tak jumpa. Difahamkan lagi lagu ini adalah dari album kompilasi raya terbitan Luncai Emas & Warner Music. Ada 2 lagu baru termasuk lagu Pening Raya & satu lagu raya baru dari Aidit AF.  Untuk  membaca track listing Album "Hey...Pening Raya" sila lawati laman budiey.com
Kolabrasi ini mengingatkan aku pada Konsert Akar yang mana M Nasir selepas lagu Rindu buat lawak tergolek-golek, katanya "... Salih Yaacob, Kita minat dia, dia tak datang pulak konsert kita." Nampaknya Salih Yaacob kena datang konsert  M Nasir lepas ni.


sumber : Youtube

* terima kasih Siber1979 atas klip ini



Lirik 'Pening Raya' ( *dpt dr En Hamlau)

Salih: Eh Nasir tolong aku

Nasir: Tolong apa?

Salih: La Marilah tolong aku kejap..
Aku pening lah

Nasir: Pening?

Salih: Kau Boleh tolong tak?

Nasir: Apa yang kau nak?

Salih: Apa dia? Tak dengar..

Nasir: Eh Salih apa yang kau fikirkan
Kau macam orang tak keruan
Mahluk mana yang terlepas
Kacau kau di pagi Raya?
Tak mungkin semalam kau mimpi
Dipatuk ular lagi....

Salih: Hai Nasir ku tak mimpi apa
Cuma bila sampai Hari Raya
Hai pening aku runsing
Menghadapi semua
Kocek tak penuh betul-betul
Banyak ubi keledek
Biar aku cangkul

Nasir: Aku pohon kau terima
Hari ini Hari Raya
Bukan mesti

banyak belanja
Kita sederhana saja
Jangan pening, jangan runsing
Jangan 

pening (x3)

Salih: Macam mana ku tak pening
Hutang yang dulu masih lagi ada duduk keliling
Sedang menjeling
Mana kuih, mana baju
Mana langsir dan pinggan mangkuk
Dan juga kereta baru
Kantoi Aku

Nasir: Mana dulu didulukan
Yang mudah dipermudahkan
Baru semua berkenan

Salih: Kalau begitu carannya baru aku terima

Nasir & Salih: Semuanya dah sedia

Salih: Tiba sudah Hari Raya
Mari kita bergembira

Nasir & Salih: Jangan pening
Taknak pening
Buat pe pening
Usah pening
Pening (x2)
Jangan pening
Pening (x3)


**Memandangkan minggu depan dah nak raya....Saudagar mengambil kesempatan ini mengucapkan
"Selamat menyambut Hari Raya" buat semua  :)
Jangan Pening-pening...