Khamis, Disember 31, 2009

Bagaikan Sakti, Siti teruja.

dari petikan  mstar 31 Disember 2009 : Siti Harap Dikurniakan Anak Tahun 2010
oleh WAHIDA ASRANI

Bercerita lanjut tentang Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Datuk Siti Nurhaliza yang akan berlangsung malam esok, Siti akui teruja dapat berkongsi pentas dengan M.Nasir dalam sebuah konsert berskala besar seperti itu.

Malah, sambutan 'luar biasa' yang diterima daripada penonton-penonton Singapura apabila semua tiket habis dijual dalam masa seminggu juga menyemarakkan semangat Siti untuk menampilkan persembahan terbaik pada malam itu.

"Ini adalah kali kedua saya berpeluang buat persembahan di Esplanade. Apa yang saya lihat, kebanyakan warga Singapura memang gemarkan persembahan artis-artis Malaysia. Alhamdulillah, setakat ini, sokongan mereka terhadap saya tidak pernah berkurangan.

"Tentang gandingan saya dan M.Nasir dalam satu konsert yang sama, sebenarnya peluang ini memang sudah lama saya nantikan. Kami sering membuat persembahan bersama sebelum ini, tapi tidak pernah dalam sebuah konsert.

"Bagi saya, konsert ini ibarat persembahan '2 dalam 1'. Saya dan M.Nasir mempunyai muzik tersendiri dan ini akan memberi variasi kepada penonton," kata Siti yang baru saja tampil dengan album duet bersama Krisdayanti (KD) berjudul CTKD: Canda, Tangis, Ketawa, Duka.

Menariknya, bagi yang tidak berpeluang menyaksikan konsert itu secara langsung di Esplanade, ia masih boleh disaksikan juga secara langsung di saluran Astro Box Office Events (saluran 955) pada pukul 8 malam.

Pelanggan Astro boleh melanggan Astro Box Office Events (saluran 955) untuk menyaksikan konsert ini hanya dengan harga RM10.00. Siaran ulangan konsert berkenaan pula akan bermula pada 2 hingga 10 Januari 2009 di saluran yang sama.

Untuk melanggan pakej Astro Box Office Events, para pelanggan Astro boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 1300 82 3838 atau menerusi talian SMS dengan menghantar teks ABOM SAKTI No.IC dan hantarkan ke 32888.


Pengaktifan melalui SMS akan mengambil masa 24 jam. Tempoh untuk melanggan akan dibuka bermula 22 Disember 2009 dan akan ditutup pada 10 Januari 2010.

Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Datuk Siti Nurhaliza bakal menyaksikan gabungan dua figura hebat ini mengalunkan lagu-lagu popular mereka serta lagu-lagu klasik yang pernah didendangkan oleh seniman terkemuka sepanjang zaman seperti P. Ramlee, Saloma dan Sudirman sepanjang persembahan dua jam tanpa henti.

Konsert istimewa ini juga bakal memperlihatkan dua pengarah muzik terkemuka yang akan bekerjasama mengemudikan konsert ini di atas pentas iaitu M. Nasir di bawah pimpinan Aznan Alias dan Datuk Siti Nurhaliza di bawah pimpinan Aubrey Suwito serta diiringi oleh 30 orang pemuzik di bawah pimpinan mereka.

Ditanya tentang kelainan yang akan ditampilkannya di dalam konsert ini, kata Siti, tidak banyak perbezaan yang akan dilakukan seperti mana konsert-konsertnya sebelum ini. Selain menyanyikan kira-kira 14 buah lagu popularnya untuk segmen solo, Siti juga akan menyanyikan sebuah lagu baru ciptaan M.Nasir berjudul Ada Masa Mata.

Siti dan M.Nasir juga akan berduet sebuah lagu baru hasil ciptaan M.Nasir dan lirik oleh Siti sendiri.

Jumaat, Disember 18, 2009

M Nasir dalam trailer "Magika"

sumber Youtube

Saksikan trailer filem muzikal terbitan KRU studio "Magika" arahan Edry Abdul Halim yang menampilkan Mawi, Diana Danielle, Fimie Don, M Nasir, Ziana Zain, Ning Baizura, Saiful Apek, Scenario, KRU, Maya Karin, Vanidah Imran, Nabil dan Aznil Haji Nawawi. Magika dijangka ditayangkan pada Februari atau Mac 2010.

Konsert Bagaikan Sakti M Nasir & Dato’ Siti Nurhaliza (di Astro Box Office Events)

sumber :budiey.com

Gabungan Dato’ Siti Nurhaliza dan M. Nasir Cipta Sejarah Yang Menakjubkan Secara Eksklusif Di Astro Box Office Events!

Sempena membuka tirai menyambut tahun baru 2010, Astro dengan bangganya membawakan siaran langsung gabungan bersejarah dua gergasi seni buat pertama kali iaitu Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Dato’ Siti Nurhaliza dari Esplanade, Singapura secara eksklusif menerusi Astro Box Office Events (saluran 955).

Peminat penyanyi tersohor, M Nasir dan Dato’ Siti Nurhaliza berpeluang untuk menonton Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Dato’ Siti Nurhaliza secara langsung pada 1 Januari 2010, jam 8 malam. Pelanggan Astro boleh melanggan Astro Box Office Events (saluran 955) untuk menyaksikan konsert ini hanya dengan harga RM10.00.

Siaran ulangan konsert berkenaan pula akan bermula pada 2 hingga 10 Januari 2009 di saluran yang sama.

Menurut Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Encik Khairul Anwar Salleh, “Sebagai memenuhi janji kami kepada para pelanggan untuk terus membariskan program-program siaran Astro yang bermutu tinggi dan mempunyai pengisian yang padat, kami berbesar hati membawakan Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Dato’ Siti Nurhaliza yang menggabungkan dua nama besar iaitu M. Nasir dan Dato’ Siti Nurhaliza secara langsung dari Espanade, Singapura.

Kehebatan dua ikon seni, M. Nasir dan Dato’ Siti Nurhaliza sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Pencapaian dan kejayaan mereka dalam mengharumkan nama negara serta mengangkat martabat industri seni hiburan ke peringkat yang lebih tinggi adalah sesuatu yang amat membanggakan. Oleh itu, kami percaya konsert ini mampu membekaskan impak yang mendalam serta dapat memberikan pengalaman menonton yang mempersonakan.

Tiket Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Dato’ Siti Nurhaliza yang diadakan di Singapura ini telah habis dijual dalam masa seminggu sahaja dan kami faham yang tidak semua peminat berpeluang untuk menyaksikan konsert hebat gabungan dua gergasi seni negara ini berikutan faktor lokasi dan kapasiti tempat yang terhad serta harga tiket yang agak mahal.

Sehubungan dengan itu, kami di Astro ingin memberi peluang kepada orang ramai untuk turut sama menyaksikan konsert gabungan paling bersejarah dan menakjubkan ini terus di kaca televisyen dengan hanya RM10 sahaja. Kami percaya dengan harga serendah ini dan kelebihan untuk menikmati konsert bertaraf dunia di kediaman sendiri pada waktu yang fleksibel adalah suatu pengalaman menonton yang amat sempurna. Inilah tawaran istimewa buat para pelanggan Astro yang tidak pernah jemu memberikan sokongan kepada kami,” ujar Khairul lagi.

Khairul turut menambah, “Kami juga berharap dengan adanya paparan konsert ini menerusi pakej Astro Box Office Events (saluran 955), ia dapat memberi kesempatan kepada para peminat yang tidak berpeluang untuk menyaksikan pesona dua jiwa dan dua suara ini beraksi secara langsung di atas pentas merasai sendiri pengalaman menonton seolah-olah turut berada di Esplanade, Singapura.”

Untuk melanggan pakej Astro Box Office Events, para pelanggan Astro boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 1300 82 3838 atau menerusi talian SMS dengan menghantar teks ABOM<ruang>SAKTI <ruang>No. Kad Pengenalan dan hantarkan ke 32888. Pengaktifan melalui SMS akan mengambil masa 24 jam. Tempoh untuk melanggan akan dibuka bermula 22 Disember 2009 dan akan ditutup pada 10 Januari 2010.

Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Dato’ Siti Nurhaliza bakal menyaksikan gabungan hebat M.Nasir dan Dato’ Siti Nurhaliza mengalunkan lagu-lagu hebat mereka serta lagu-lagu klasik yang pernah didendangkan oleh seniman terkemuka sepanjang zaman seperti P. Ramlee, Saloma dan Sudirman sepanjang persembahan dua jam tanpa henti.

Konsert istimewa ini juga bakal memperlihatkan dua pengarah muzik terkemuka yang akan bekerjasama mengemudikan konsert ini di atas pentas iaitu M. Nasir di bawah pimpinan Aznan Alias dan Dato’ Siti Nurhaliza di bawah pimpinan Aubrey Suwito serta diiringi oleh 30 orang pemuzik di bawah pimpinan mereka.

Sila langgani pakej Astro Box Office Events (saluran 955) untuk menikmati Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Dato’ Siti Nurhaliza dengan hanya RM10 sahaja eksklusif buat pelanggan-pelanggan Astro!

Isnin, Disember 07, 2009

Kaji semula Akta Hak Cipta 1987

petikan Harian Metro 7 Disember 2009
Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my

JUMAAT lalu, bertempat di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur, berlangsung majlis Anugerah Perlindungan Hak Cipta Penerbit Muzik (MACP) yang bertujuan menghargai pencapaian royalti tertinggi tahunan penerbit, komposer dan penulis lirik tempatan.
Bertemakan Bisnes Muzik Era Baru, ia bukan sekadar tertumpu pada majlis anugerah, tetapi membawa harapan besar agar satu revolusi diperkenalkan bagi meningkatkan kembali martabat industri muzik tempatan.

Kebimbangan ini dibangkitkan sendiri pengerusi MACP, Habsah Hassan selepas melihat fenomena industri dibelenggu dengan muat turun muzik secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab sejajar dengan peredaran teknologi. Sebelum itu, kekecewaan penggiat seni digambarkan menerusi video pendek hasil idea asal Johan Nawawi yang menceritakan realiti muzik tempatan masa kini.

Justeru, MACP memohon kerajaan mengkaji semula Akta Hakcipta 1987 supaya ia dipinda dan disesuaikan dengan fenomena masa kini agar karyawan dan pemilik harta intelek lain terjamin daripada segala bentuk penipuan dan eksploitasi.

"Ketika semua bercakap mengenai kecanggihan teknologi yang dilihat mampu memberi pendapatan lumayan kepada penggiat seni tempatan, berlainan pula dengan apa yang menimpa industri muzik. Keghairahan anak muda memuat turun lagu secara percuma dari Internet atau mendapatkannya daripada penjual muzik haram secara Bluetooth atau MP3, menyebabkan penjualan lagu, format fizikal terus merosot, sementara penjualan digital pula tidak meningkat.

"Disebabkan keadaan ini, royalti untuk pencipta muzik dan artis daripada penjualan lagu terus menjunam. Kalau keadaan ini berterusan dan tidak disahsiahkan di jiwa masyarakat mengenai nilai murni, menghormati harta intelek sudah pasti industri ini akan mati juga satu hari nanti.

"Kami tidak mahu keadaan ini berterusan dan atas alasan itu kami amat berharap Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri untuk menghapuskan secara total perompak muzik yang begitu lama menjadi lintah penghisap darah atas usaha dan keringat karyawan kita.

"Selain itu, kami harap kerajaan akan mempergiatkan lagi usaha dan program berbentuk apresiasi bagi menyemai rasa cinta dan bangga terhadap muzik kita di kalangan generasi muda. Ini secara tidak langsung, akan mewujudkan satu platform untuk memperbanyakkan pelapis dalam kalangan komposer dan penulis lirik berbakat," katanya.

MACP ditubuhkan pada 1989, adalah badan pelesenan yang mewakili karyawan muzik di Malaysia dan diiktiraf kerajaan sebagai satu-satunya badan pelesenan yang berjaya melindungi harta intelek muzik.

Pelancaran majlis Anugerah itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri KPKK, Datuk Joseph Salang. Majlis ini turut dihadiri pengarah daripada International Confederation of Societies of Authors and Composers (CISAC).

Sempena majlis anugerah itu, M Nasir berjaya membawa pulang Anugerah Komposer Terunggul kerana menjadi komposer yang menerima royalti tertinggi daripada MACP bagi pengagihan tahun ini. Sementara itu, Rosli Khamis atau lebih dikenali dengan nama penanya, Loloq menerima Anugerah Penulis Lirik Terunggul menerusi Lagu Jiwa Lagu Cinta.


Anugerah Nadi Cipta diberikan kepada komposer Omar Taib sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan beliau selama menceburi industri muzik. Selain itu, buat julung kalinya dalam sejarah penganugerahan MACP, dua pengiktirafan khas diberikan kepada dua pelopor utama yang bekerja keras dalam memaju serta meningkatkan martabat badan itu, Datuk Freddie Fernandez dan Beh Suat Pheng.

Keahlian MACP kini melebih 2,500 orang dan meningkat setiap tahun. Kutipan royalti MACP turut meningkat iaitu 30 juta setahun, tetapi ia perlu diagihkan kepada semua badan royalti seluruh dunia kerana MACP di bawah CISAC. Bagi agihan tempatan, ia berdasarkan kepada berapa banyak penggunaan karya mereka di stesen radio mahupun televisyen tempatan. Disebabkan itu, Habsah menyarankan lebih banyak karya tempatan di mainkan di stesen radio agar menjana pendapatan lumayan pada penulis lirik, komposer dan artis berkenaan itu sendiri. Namun, realitinya lebih banyak lagu luar menjadi pilihan stesen radio tempatan dan ini diakui sendiri oleh pengerusi MACP ini.

SENARAI PEMENANG MACP


Anugerah Nadi Cipta

- Omar Taib

Muzik Malaysia CISAC-MACP

- Datuk Freddie Fernandez dan Beh Suat Pheng

Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak

- M Nasir

Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak

- Rosli Khamis

Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak

- EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd

Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak

- Luncai Emas Sdn Bhd

Komposer Muda Berpotensi

- Hafiz Hamidun

Lagu: Kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi

- Tong Hua. Ciptaan: Michael Wong Kong Leong

Lagu Luar Negara: Kategori Persembahan Terbanyak

- Kekasih Gelapku. Ciptaan: Enda Ungu.

Lagu Melayu: Kategori Persembahan Terbanyak

- Aku Cinta Padamu. Ciptaan Rozman Shafie dan Norkhayati Mohd Hashim

Lagu Cina: Kategori Persembahan Terbanyak

- Kao An. Ciptaan: Lee Chee Cheng dan Teo Li Lian.

Lagu Inggeris: Kategori Persembahan Terbanyak

- Hey General. Ciptaan: Sasidharan Naidu A/L Chandran

Tahniah! Pemenang MACP 2009 : Komposer Muda berpotensi, Hafiz Hamidun dan Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak, M. Nasir.