Ahad, Jun 12, 2022

Kembara ubat rindu lapan tahun

petikan Berita Harian 12 Jun 2022

Oleh Zaidi Mohamad  zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kali terakhir beraksi di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada Konsert Hati Emas Kembara pada 2014, kumpulan ikonik era 1980-an, Kembara bakal mengubat rindu peminat melalui Konsert Kembara Panorama Jingga : 1444 Hijrah di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bulan depan.

Diketuai sifu muzik iaitu Datuk M Nasir, kumpulan Kembara yang ditubuhkan pada 1981, bakal mendendangkan rangkaian lagu malar segar melalui persembahan yang cukup dinantikan peminat selepas lapan tahun band itu tidak beraksi di hadapan penonton secara 'live'.

Selain M Nasir, Konsert Kembara Panorama Jingga : 1444 Hijrah yang dibawa Shiraz Projects Sdn Bhd, disertai Zoul yang bermain gitar dan menyanyi; Rahman Suri (bes), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard).

Ketua Pengarah Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, pihaknya sudah lama mengimpikan hasrat bekerjasama dengan Kembara yang terkenal dengan lagu seperti Hati Emas dan Ekspres Rakyat itu.

"Sebenarnya, perbincangan dan perancangan konsert sudah bermula sebelum pandemik COVID-19. Namun, kami akur dengan keadaan melanda.

"Untuk tahun ini, kami sangat bersemangat membawa lagu Kembara berkumandang di Dewan Plenari KLCC khusus buat peminat setia kumpulan ini.

Selain M Nasir, Konsert Kembara Panorama Jingga : 1444 Hijrah yang dibawa Shiraz Projects Sdn Bhd, disertai Zoul yang bermain gitar dan menyanyi; , Rahman (bes), Shahrum (dram) dan Md Shah (keyboard).

"Pastinya Kembara akan memberi persembahan bertenaga dengan untaian lagu mereka yang cukup nostalgik dan ikonik. Konsert ini akan hanya dipentaskan satu malam," katanya.

Ditanya simbolik di sebalik judul lagu Panorama Jingga yang dipilih sebagai nama konsert, Shirazdeen mahu peminat menyaksikan persembahan Kembara bagi mendapat jawapan.

"Peminat setia Kembara pasti tahu kenapa judul konsert ini dipilih. Namun, untuk kepastian dan kejutan, peminat wajib datang ke konsert ini," katanya.

Konsert Kembara Panorama Jingga : 1444 Hijrah yang bakal menghangatkan KLCC pada 31 Julai depan direalisasikan atas sokongan MyCreative Ventures, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM).

Mengulas kerjasama diberikan kementerian dan agensi kerajaan, Shirazdeen berkata:

"Saya amat berterima kasih kepada K-KOMM, PENJANA dan MyCreative Ventures atas sokongan diberi.

"Tanpa sokongan mereka, sukar untuk melaksanakan konsert dalam skala besar ketika industri kreatif beransur pulih daripada pandemik," katanya.

Tiket pakej istimewa termasuk sesi ramah mesra dengan anggota Kembara berharga RM860; Diamond (RM460), Platinum (RM360), Gold (RM260), Silver (RM200) dan Bronze (RM160), mula dijual di www.myticket.asia, Jumaat lalu.

Peminat juga boleh mendapatkan kemeja-T eksklusif Kembara apabila membeli tiket.

Jumaat, Jun 03, 2022

M Nasir lepas gian

petikan Berita Harian 3 Jun 2022

Oleh Farihad Shalla Mahmud - farihad@bh.com.my

M Nasir mengubat rindu peminat pada Konsert Satu Hari Di Hari Raya di Dewan Merdeka, WTCKL, baru-baru ini. - NSTP/Hazreen Mohamad

KUALA LUMPUR: Berdurasi 90 minit dengan dendangan lebih sepuluh lagu hit yang mengiringi perjalanan seninya selama lebih empat dekad, Konsert Satu Hari Di Hari Raya dijayakan Datuk M Nasir di ibu negara, baru-baru ini, membuktikan 'otai' masih berbisa.

Walaupun bukan konsert berskala mega yang pernah dipentaskan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), tiga tahun lalu, persembahan sempena Aidilfitri itu cukup mengubat rindu peminat.

Tiga tahun tidak beraksi di pentas sambil disaksikan penonton, situasi itu sudah cukup membuatkan penyanyi yang digelar sifu ini menggunakan ruang yang diberi untuk 'lepas geram'.

Membuka tirai persembahan, M Nasir yang tampil mengenakan baju potongan kurta rona coklat berpadu suara dengan salah seorang penyanyi latar membawakan lagu Halaman Asmara dan Raya Sedondon, sebelum aksi diteruskan dengan dengan lagu Salam Dunia.

Meneruskan persembahan, M Nasir memilih lagu yang jarang dinyanyikan dalam persembahan seperti Melawan Arus, Di Jalan Sesak dan diikuti lagu Hijab Kekasih yang berjaya membuai emosi penonton dengan keasyikan melodinya.

Lebih menyentuh perasaan penonton adalah bunyi tiupan seruling Mohar yang mengiringi persembahan penyanyi kelahiran Kota Singa itu.

Puas melayan jiwa, M Nasir yang menginjak usia 64 tahun menghangatkan dewan dengan lagu berirama rancak yang mampu membuat penonton bergoyang.

Tidak puas beraksi di pentas, M Nasir turun dan menyanyi di celah meja penonton. Peluang keemasan itu tidak dilepaskan apabila ramai yang mengambil kesempatan merakamkan foto bersamanya.

Walaupun tangan erat menggenggam mikrofon dan mulut kumat-kamit mendendangkan lagu Bonda, permintaan penonton ditunaikan Nasir dengan rasa senang hati.

M Nasir memilih lagu yang jarang dinyanyikan dalam persembahan seperti Melawan Arus, Di Jalan Sesak dan diikuti lagu Hijab Kekasih yang berjaya membuai emosi penonton. - NSTP/Hazreen Mohamad

Walaupun serius, sempat seniman ini bergurau dengan mengatakan penonton lebih cepat 'panas' berbanding dirinya selepas melihat kebanyakan mereka cukup bertenaga, biarpun ada yang sudah mencecah separuh abad atau sebaya dengannya.

Melihat penonton mula naik 'sheikh', pemegang watak Hang Tuah dalam filem Puteri Gunung Ledang (PGL) The Movie ini tidak menunggu lama apabila menyeru semua penonton menuju ke hadapan pentas untuk berhibur bersamanya.

Tanpa perlu menunggu lama, sekejap sahaja penonton mula memenuhi ruang di hadapan sambil menunggu arahan yang diberi.

"Saya hendak anda semua menari di hadapan saya. Buat dua barisan dan cari pasangan masing-masing. Mari kita menyanyi dan berjoget bersama-sama," katanya sebelum mendendangkan lagu Raikan Cinta dan Ada.

Apabila 'lesen' sudah diberi, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTCKL) bertukar menjadi pentas joget lambak untuk penonton.

Tepat jam 11 malam, M Nasir menutup persembahan dengan lagu Satu Hari Di Hari Raya yang menjadi judul konsert berkenaan.

Konsert dianjurkan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) bersama rakan kongsi, Roman Abdi Sdn Bhd dan Luncai Emas Sdn Bhd.

Sebahagian hasil kutipan Konsert Satu Hari Di Hari Raya diagihkan kepada penggiat seni yang kurang bernasib baik termasuk mereka yang terkesan impak penularan pandemik COVID-19.

Selasa, Mei 31, 2022

Buka Kotak M.Nasir Crossing UK’ 97

Langka Bukan Pada Bilangan
Tapi Langka Pada Pengalaman
Yang Menjadikannya Kenyataan

Beberapa hari yang lalu SM berkesempatan untuk membuat sesi  "unboxing" ringkas  album langka M.Nasir  Crossing UK’ 97 yang dikeluarkan dalam edisi terhad. 

Album ini sememangnya lama ditunggu pengumpul muzik versi fizikal. Sepatutnya ia dirilis pada tahun 2021 tetapi atas beberapa faktor ia akhirnya berjaya dirilis pada bulan lalu. Album kembar ini mengandungi 2 CD rakaman audio 'live' yang dipersembahkan secara akustik di RNCM, Manchester, UK pada pada April 1997. 

Selain itu, album ini dipakej bersama buku memorabilia 54 mukasurat (saiz A5) dan disertakan bersama replika Cotton Canvas Banner (saiz A2). Terdapat juga T-Shirt bersempena rilisan album ini yang dijual berasingan.

Secara peribadi, album ini mengingatkan pada fenomena MTV Unplugged pada dekad 90an. Sebuah karya muzik yang baik tetap hebat walaupun hanya menggunakan alat muzik akustik seperti gendang, gitar, bass, seruling dan arkodian. Kemampuan dan kemahiran pemuzik handalan yang mengiringi M.Nasir dalam album ini membolehkan ia diletak sama tinggi dengan album penting dikeluarkan dalam versi unplugged pada dekad itu. Mungkin juga kerana audio yang berjaya dirakam dan dibaik pulih dalam keluaran ini berjaya mengembalikan nostalgia buat sang pendengar.

** Bagi yang berminat untuk membeli album edisi terhad ini boleh terus ke link https://bit.ly/3q1DZnD atau menghubungi FB Eida AidaDaut

Info lanjut berkenaan album boleh layari pautan Discogs ini.

Khamis, Mei 12, 2022

Diskaun tiket konsert M Nasir khas buat peminat

petikan Harian Metro 12 Mei 2022

Ridzuan Abdul Rahman

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Berita baik buat peminat Datuk M Nasir apabila harga tiket Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 27 Mei ini diberi diskaun sebanyak 40 peratus.

Penganjur, Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) memaklumkan ia bagi memberi peluang peminat penyanyi hebat ini hadir menyaksikan konsert terbabit.

Pengerusinya Ayob Abdul Majid berkata, peminat amat bertuah kerana syarikat Zubir Food Sdn Bhd bermurah hati sudi menjadi penaja konsert ini.

"Ia menjadikan jualan meja berharga RM5,000 sebelum ini diturunkan kepada RM3,000 dimana seorang individu hanya membayar RM300 termasuk menikmati makan malam yang disediakan.

"Kos selebihnya akan dibayar oleh penaja yang bersetuju untuk menaja 50 meja yang sebelum ini dikenali sebagai meja Silver, namun sekarang dikenali dengan Meja ZK.

"Bagaimanapun meja VVIP dan VIP kekal dengan harga biasa dan pihak kami menawarkan potongan 20 peratus," katanya.

Menurutnya, pembeli tiket sebelum ini akan menerima tiket baharu yang akan di naik taraf menerusi aplikasi Whatsapp atau email dari mereka.

Sebagai contoh jika mereka beli tiket Gold, kami 'upgrade' kepada Platinum," katanya.

Selain IRAMA, Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir ini turut dianjurkan bersama rakan kongsi, Roman Abdi Sdn Bhd dan Luncai Emas Sdn Bhd.

Sementara itu, M Nasir melahirkan kegembiraan dapat beraksi di depan peminat selepas kali terakhir melakukannya tiga tahun lalu.

"Sebagai penyanyi, saya sendiri sangat berbesar hati dengan tawaran yang diberikan. Saya anggap persembahan ini adalah sebagai hadiah untuk peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seni saya sejak empat dekad lalu," katanya.

Selain untuk berhibur, konsert ini juga bertujuan untuk mengutip dana IRAMA bagi membantu penggiat seni yang memerlukan.

Isnin, Mei 02, 2022

Rahsia di sebalik lagu Satu Hari Di Hari Raya

 petikan Berita Harian 2 Mei 2022

Oleh Farihad Shalla Mahmud 

farihad@bh.com.my

M Nasir mewarisi sifat arwah bapanya yang sangat berdisiplin dan tidak banyak bercakap.

KUALA LUMPUR: Ketika bapa tersayang menghembuskan nafas terakhir di Singapura, maestro muzik tersohor, Datuk M Nasir hanya mampu menitipkan doa daripada kejauhan, tahun lalu.

Walaupun hasrat menyempurnakan jenazah dan memberi penghormatan terakhir cukup menebal, namun reda hasratnya terpaksa dipendamkan berikutan sempadan negara masih ditutup disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, sebaik pintu sempadan negara dibuka pada 1 April lalu, M Nasir menggunakan peluang itu pulang ke Singapura untuk menziarah pusara arwah bapanya, Allahyarham Mohamed Sam yang menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada usia 96 tahun.

Tentunya, paling dirindui, ibunya yang sudah dua tahun tidak ditemui.

"Alhamdulillah, dapat juga saya menziarah pusara selepas setahun pemergian arwah. Saya juga berpeluang menemui ibu yang sudah semakin uzur.

"Dalam kalangan adik-beradik, hanya saya seorang sahaja yang menetap di Kuala Lumpur. Dalam fikiran saya, ada macam-macam perasaan," katanya kepada BH Online.

Berkongsi pengalaman dan memori manis bersama arwah bapanya, pemilik nama lengkap Mohamad Nasir Mohamed ini mengakui, dia cukup rapat dengan arwah bapa yang juga idolanya itu.

"Memori dengan arwah sangat banyak. Antara yang masih saya ingat adalah arwah suka bawa saya pergi berkebun disebabkan kediaman berdekatan landasan kereta api di Woodlands.

"Arwah juga seorang suka pergi ke masjid dan dari situlah, arwah dilantik menjadi imam. Bila Ramadan tiba, arwah akan bawa saya pergi ke masjid," imbas penyanyi Mentera Semerah Padi ini.

Sebagai anak, M Nasir turut mengakui, dia banyak mewarisi sifat bapanya itu.

"Arwah sangat berdisiplin dan tidak banyak cakap. Dan sifat itulah juga yang saya warisi.

"Walaupun arwah bukan seorang yang garang, tetapi saya tetap kena sebat jika buat salah.

"Tetapi, ia bukanlah bermakna saya seorang yang nakal jika kena sebat. Apapun saya tahu, arwah sangat menyayangi saya," ungkap anak keempat daripada sembilan beradik ini.

M Nasir menghangatkan suasana Syawal menerusi Konsert Satu Hari Di Hari Raya pada 27 Mei ini, jam 8 malam di Dewan Merdeka, WTCKL.

M Nasir menghangatkan suasana Syawal menerusi Konsert Satu Hari Di Hari Raya pada 27 Mei ini, jam 8 malam di Dewan Merdeka, WTCKL.

Beliau ditemui pada sidang media Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, penyanyi yang juga komposer tersohor ini turut membongkar rahsia di sebalik pembikinan lagu Satu Hari Di Hari Raya ciptaan empat dekad lalu.

"Lagu ini dirakamkan dalam dua versi. Kali pertama, lagu ini dirakamkan intro muzik ini menggunakan gitar. Masa itu, saya masih lagi bernaung di bawah syarikat rakaman, Polygram.

"Selepas menyertai label BMG, saya merakamkan semula lagu ini, tetapi ada sedikit perubahan. Saya menggantikan muzik gitar kepada seruling hasil tiupan Mohar.

"Apabila dibuat perubahan, saya dapat rasakan kelainan kepada lagu ini kerana bunyinya seperti 'berhantu' dan mudah untuk diingati. Kiranya, intro muzik menjadi tanda dagang untuk lagu ini," imbau M Nasir.

Mengulas liriknya yang puitis dan tidak klise seperti lagu raya lain, M Nasir memberitahu, dia sengaja menongkah arus sebagai menyuntik elemen kelainan.

"Saya memang peminat lagu raya, sejak kecil lagi. Apabila berpeluang menghasilkan lagu Satu Hari Di Hari Raya sekitar 1980-an, saya nak buat kelainan.

"Kebanyakan lagu raya pada masa itu liriknya berkisar kepada suasana hari raya. Maka, akan adalah lirik mengenai ketupat rendang, maaf zahir batin dan banyak lagi.

"Untuk lagu ini, saya memang tak tulis perkataan ini. Namun, liriknya masih lagi menterjemahkan semangat menyambut hari raya, muhibah dan ikatan kekeluargaan antara anak dan orang tua," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas konsep persembahan yang bakal diketengahkan, M Nasir memaklumkan, dia tetap akan menyanyikan lagu popularnya walaupun ramai yang menyangkakan tema konsert adalah lebaran.

"Nama konsert itu dipilih kerana kebetulan ia dianjurkan pada bulan Syawal. Ia juga adalah judul lagu raya popular saya.

"Walaupun konsert berkonsepkan makan malam, tetapi saya akan pastikan penonton akan terhibur dan auranya tetap sama seperti konsert yang pernah dijayakan di lokasi lain," ujarnya.

Konsert anjuran Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) itu bakal diadakan pada 27 Mei ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Putra Kuala Lumpur (WTCKL), jam 8 malam.

Persembahan durasi 90 minit itu bakal menyaksikan M Nasir mendendangkan 20 lagu popular.

Jumaat, April 29, 2022

‘Satu hari di hari raya’, M. Nasir terkenang saat manis dengan bapa

petikan KOSMO 29 April 2022

Oleh Haryati Karim

MENJELANG sambutan Aidilfitri yang tidak lama lagi, maestro muzik terkenal, Datuk M. Nasir tidak dapat menyembunyikan kerinduan di hati terhadap keluarga di Singapura terutama selepas arwah bapanya, Mohamed Sam meninggal dunia pada Januari tahun lalu.

Menurut M. Nasir, ketika pemergian arwah bapa, keadaan tidak mengizinkan untuk beliau pulang ke Singapura kerana pintu sempadan negara masih ditutup akibat pandemik Covid-19.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah bapa adalah dua tahun lalu, tetapi saya dapat balik ke Singapura baru-baru ini untuk melawat keluarga.

“Ibu saya juga sudah berusia 90-an dan semakin uzur. Banyak yang saya fikirkan kerana saya hanya mempunyai adik-beradik di sini, keluarga lain semua di Singapura,” ujar M. Nasir.

Sambung suami kepada pelakon Marlia Musa itu, tahun ini sambutan Aidilfitri lebih bermakna kerana beliau sekeluarga akan pulang beraya di Singapura selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian.

Tidak dapat menyembunyikan emosinya, M. Nasir mendedahkan beliau begitu rindu kenangan bersama arwah bapa dan suasana ketika membesar di Kota Singa itu.

“Begitu banyak memori bersama arwah bapa, saya memiliki perangainya. Arwah bapa tidak garang, tetapi seorang yang serius dan tidak banyak bercakap.

“Dia juga seorang yang sangat berdisiplin kerana kerja bomba. Paling diingat dia pernah sebat saya kerana nakal, tetapi saya tahu dia sayangkan saya.

“Arwah bapa orang yang rajin ke masjid dan dia akan jadi imam apabila bulan Ramadan, jadi saya selalu ikut dia ke masjid sewaktu kecil,” kongsi M. Nasir mengimbas kenangan di Singapura.

M. NASIR bakal menjayakan sebuah persembahan makan malam amal, Konsert Satu Hari Di Hari Raya pada 27 Mei nanti.

Konsert

Dalam perkembangan lain, M. Nasir bakal mengadakan Konsert Satu Hari Di Hari Raya yang akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 27 Mei ini pada pukul 8 malam.

Berkongsi tentang konsep persembahan yang bakal diketengahkan, penyanyi lagu Keroncong Untuk Ana itu menjelaskan, beliau akan mendendangkan lagu-lagu popularnya biarpun ramai menyangkakan konsert tersebut hanya bertemakan hari raya.

“Nama konsert itu dipilih kerana kebetulan dianjurkan pada bulan Syawal selain, Satu Hari Di Hari Raya juga judul lagu raya popular saya. Meskipun begitu, saya tetap menyanyikan rangkaian 20 lagu popular.

“Walaupun konsert ini berkonsepkan makan malam, saya tetap akan pastikan penonton terhibur. Auranya tetap sama dengan konsert yang pernah saya jayakan di lokasi lain sebelum ini,” katanya yang ditemui pada sidang media konsert Satu Hari Di Hari Raya baru-baru ini.

Lebih manis, konsert anjuran Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) tersebut juga adalah sebuah persembahan amal yang dianjurkan untuk membantu golongan penggiat seni kurang bernasib baik.

Presiden IRAMA, Ayob Abd. Majid berkata, pihaknya berbesar hati apabila penyanyi hebat seperti M. Nasir sudi bekerjasama selepas mengetahui konsert berkenaan dianjurkan atas tujuan amal.

“Sepanjang IRAMA beroperasi, kami memang tidak mendapat sebarang dana daripada mana-mana pihak atau kerajaan.

“Saya amat berterima kasih kepada penganjur dan M. Nasir yang sudi menjayakan konsert ini selepas mendapat tahu persembahan ini berkonsep amal.

“Sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada IRAMA untuk diagihkan kepada penggiat seni yang kurang bernasib baik,” katanya.

Buat peminat yang ingin mendapatkan tiket Konsert Satu Hari Di Hari Raya bersama Datuk M. Nasir pada 27 Mei ini, anda boleh hubungi talian, 019 3682 548 (Ayob), 011 5502 6994 (Sham Amir Hussain), 016 6720 370 (Salimey) dan 012 5342 713 (Vin).

Selasa, April 19, 2022

Sifu puji penganjur konsert

 petikan Berita Harian 19 April 2022

Oleh Farihad Shalla Mahmud 

farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M Nasir memuji penganjur konsert yang berani mementaskan acara itu walaupun terpaksa menanggung risiko berikutan kapasiti penonton terhad kepada 50 peratus dan pandemik COVID-19 belum berakhir.

M Nasir atau nama sebenar, Mohamad Nasir Mohamed berkata, inisiatif penganjur konsert wajar diberi sokongan kerana mereka cuba menggerak dan merancakkan kembali industri muzik yang sudah dua tahun 'sendu' daripada penganjuran konsert besar.

"Saya lihat usaha diambil penganjur sangat bagus dan wajar diberi pujian serta sokongan.

"Walaupun masih ada kekangan iaitu tidak boleh menganjurkan konsert di lokasi yang lebih besar kerana perlu patuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam aspek jumlah penonton terhad, namun, mereka beranikan diri menanggung risiko.

"Pada saya, tak kisahlah jika sebagai permulaan, mereka anjurkan konsert di lokasi yang agak kecil dan terhad daripada segi bilangan penonton.

"Dengan cara itu sahaja industri kita dapat bernafas kembali," katanya pada sidang media Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir di Tanjung Lounge, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini.

Konsert anjuran Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) itu bakal diadakan di Dewan Merdeka, WTCKL pada 27 Mei ini, jam 8 malam.

Berkongsi konsep persembahan yang bakal diketengahkan, M Nasir yang popular dengan lagu Mentera Semerah Padi memberitahu dia masih mendendangkan lagu popularnya biarpun ramai menyangkakan tema konsert itu adalah Hari Raya.

"Nama konsert itu dipilih kerana kebetulan dianjurkan pada Syawal. Ia juga judul lagu raya popular saya. Untuk konsert itu nanti, saya tetap menyanyikan rangkaian lagu popular kira-kira 20 lagu.

"Walaupun konsert ini berkonsepkan makan malam, namun, saya pastikan penonton akan terhibur. Auranya tetap sama dengan konsert yang pernah saya jayakan di lokasi lain sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid berkata, konsert itu juga adalah persembahan amal yang bertujuan membantu IRAMA menyantuni golongan penggiat seni yang kurang bernasib baik.

"Sepanjang IRAMA beroperasi, kami memang tidak mendapat sebarang dana daripada mana-mana pihak atau kerajaan.

"Justeru, saya amat berterima kasih kepada penganjur dan M Nasir yang sudi menjayakan konsert ini selepas mendapat tahu persembahan ini berkonsep amal.

"Sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada IRAMA untuk diagihkan kepada penggiat seni yang kurang bernasib baik," katanya.

Ayob turut memberi jaminan Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir bukan sahaja dapat menghiburkan peminat penyanyi berkaliber itu, malah, memberi kepuasan maksimum kepada mereka.

"Selagi pilihan lagu yang menarik dan menepati cita rasa peminat, konsert itu turut sempurna dari aspek teknikal apabila kami menggunakan khidmat penata cahaya dan sistem bunyi yang berkualiti sama seperti yang kita lihat dan dengar di konsert di stadium," katanya,

Maklumat berhubung pembelian tiket Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir boleh dibuat dengan menghubungi Ayob (019-3682548), Sham Amir Hussain (011-55026994), Salimey (016-6720370) dan Vin (012-5342713).

Ahad, April 17, 2022

Intronya berhantu – M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 17 April 2022

Oleh Mohammad Faizal Abdul Karim


KUALA LUMPUR: Penyanyi bertaraf legenda, Datuk M. Nasir, 64, tidak menafikan peranan alunan seruling dalam lagu Satu Hari Di Hari Raya menjadi kekuatan yang membuatkan lagu berkenaan masih didengari sehingga ke hari ini.

Kata empunya nama sebenar Mohamad Nasir Mohamed ini, elemen tersebut, yang menjadi intro kepada lagu itu bertukar sebagai identiti yang sinonim dengan masyarakat kita.

“Saya tak kaji sangat kekuatan lagu ini. Saya rasa lagu ini sedap, jadi saya buat. Ia ada versi lain, yang pertama saya rakam semasa bersama PolyGram dulu. Versi itu tidak ada intro seruling di awalnya.

“Kemudian ia dirakam semula apabila saya sertai syarikat rakaman BMG. Kami selitkan bunyi seruling yang dialunkan Mohardiman Ismail atau Moha. Intronya ‘berhantu’, senang orang ingat,” katanya.

M. Nasir berkata demikian usai sidang media Konsert Satu Hari Di Hari Raya bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Bercerita lanjut, M. Nasir memberitahu bahawa dia tidak pernah menjangkakan lagu tersebut akan menjadi fenomena yang masih hidup sehingga era kini.

“Saya ikuti perkembangan lagu hari raya sejak di usia kanak-kanak. Yang paling popular sekali adalah Selamat Hari Raya, dendangan Biduanita Negara, Saloma dan banyak lagi lagu-lagu yang lain.

“Saya dapati lagu-lagu itu semua menceritakan tentang kuih muih, ketupat rendang, maaf zahir dan batin. Di era 80 an, kami semua nak hasilkan lagu yang baru.

“Jadi saya usahakan sesuatu yang lain sedikit, sesuatu yang masih kekalkan ‘jiwa’ etnik kita ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri dan semangat di sebaliknya. Saya tulis dan nyanyi sahaja. Tidak pernah memikirkan ia akan jadi seperti ini,” katanya lagi.

Bercakap tentang konsert Satu Hari Di Hari Raya yang berlangsung pada 27 Mei depan, anak kelahiran Singapura ini memaklumkan sebanyak 20 lagu hits yang merupakan lagu-lagu yang sinonim dalam kalangan peminat-peminatnya akan dipersembahkan.

“Pemilihan lagu telah dibuat. Antara yang dipersembahkan nanti adalah lagu-lagu yang seingat saya, ingin didengari semula oleh pendengar. Antaranya seperti Satu Hari Di Raya dan banyak lagi.

“Kami akan kekalkan arrangement yang asal. Orang suka dengar seperti itu. Sedikit penambahan mungkin ada. Untuk buat arrangement baru makan masa yang lama,” ujarnya.

Konsert istimewa itu akan diadakan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Sebarang pertanyaan berkenaan pembelian tiket boleh diajukan kepada Ayob Abd. Majid di talian 0193682548, Sham Amir Hussain (01155026994), Salimey (0166720370) dan Vin (0125342713).

Khamis, April 14, 2022

Bawa aura, atmosfera sama

 petikan Harian Metro 14 April 2022

Najiy Jefri  najiy.jefri@hmetro.com.my

BARISAN tenaga kerja yang membolehkan konsert membabitkan 20 lagu popular M Nasir didendangkan nanti.

Kali terakhir Datuk M Nasir mengadakan konsert solo adalah tiga tahun lalu. Kini beliau bakal mengadakan konsert amal sempena Aidilfitri tahun ini iaitu Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 27 Mei ini.


Hampir dua tahun industri hiburan 'sepi' tanpa penganjuran konsert berskala besar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19, namun ia dilihat semakin rancak apabila terdapat beberapa konsert bakal dianjurkan penyanyi terkenal tanah air.

Mengakui teruja dengan tawaran yang diberikan, M Nasir menyifatkan konsert yang bertemakan sambutan Aidilfitri itu bakal menjadi penawar untuk kerinduan peminat.

"Selepas penganjuran konsert solo saya pada 2019, saya akui amat rindu untuk membuat persembahan di hadapan peminat.

"Justeru, apabila ditawarkan untuk menjayakan konsert ini, saya terus menerimanya kerana saya tahu peminat memang sudah lama menantikan saat ini.

"Sebagai penyanyi, saya sendiri sangat berbesar hati dengan tawaran yang diberikan. Saya anggap persembahan ini adalah sebagai hadiah untuk peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seni saya sejak empat dekad lalu," katanya.

Menurut penyanyi berusia 64 tahun itu, persembahan berdurasi 90 minit itu bakal menyaksikan dia mendendangkan 20 buah lagu popularnya.

"Untuk konsert selama satu jam setengah ini, persembahan saya bakal diiringi sembilan pemuzik termasuk penyanyi latar. Bersesuaian dengan konsep, saya juga akan menyampaikan lagu bertemakan Hari Raya termasuk lagu yang pernah hits sebelum ini.

"Dari segi persiapan, saya akan mula menjalani latihan selepas Aidilfitri. Lagipun kebanyakan lagu yang dipilih adalah lagu yang memang kerap saya nyanyikan dalam mana-mana persembahan, Jadi saya tak berdepan dengan masalah untuk menyanyikannya.

"Walaupun konsert ini berlangsung di dalam dewan tertutup dan bukannya di pentas terbuka, saya akan pastikan peminat bukan saja terhibur tetapi dapat bersama-sama menyanyi dan menari bersama saya.

"Saya akan bawa atmosfera dan aura konsert yang pernah saya jayakan di pentas terbuka ke dalam konsert itu," katanya.

Menyentuh mengenai keputusan penganjur yang mengadakan konsert di dewan tertutup walaupun mengetahui kapasiti penonton tidak seramai jika penganjuran di stadium, M Nasir memuji dan menyokong penuh usaha yang dijalankan penganjur.

"Apa yang mereka lakukan sangat bagus dan saya puji inisiatif serta keprihatinan mereka. Dalam situasi hari ini, kita memerlukan penganjur yang berani untuk menganjurkan konsert. Tak kisahlah dengan cara apa sekali pun kerana dengan usaha mereka itu, secara tidak langsung dapat merancakkan atau menggerakkan kembali industri muzik yang sebelum ini agak malap susulan pandemik Covid-19," katanya.

Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir ini dianjurkan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) bersama rakan kongsi, Roman Abdi Sdn Bhd dan Luncai Emas Sdn Bhd.

Sementara itu, Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid berkata, konsert itu juga adalah persembahan amal yang bertujuan untuk membantu IRAMA menyantuni golongan penggiat seni yang kurang bernasib baik.

"Sepanjang IRAMA beroperasi, kami memang tidak mendapat sebarang dana daripada mana-mana pihak atau kerajaan dalam menjalankan aktiviti kebajikan kami.

"Justeru, saya amat berterima kasih kepada seluruh warga kerja dan juga M Nasir yang sudi untuk menjayakan konsert ini selepas mendapat tahu persembahan ini juga berkonsepkan amal.

"Sebahagian daripada hasil jualan tiket nanti pihak IRAMA akan agihkan kepada penggiat seni yang kurang bernasib baik," katanya.

Menurut Ayob, pihaknya akan cuba memberi kepuasan maksimum kepada penonton yang hadir.

"Selain pilihan lagu yang menarik dan menepati cita rasa peminat, konsert itu tidak akan sempurna tanpa mengambil kira aspek teknikal.

"Jadi pada konsert ini kami menggunakan khidmat penata cahaya dan sistem bunyi yang berkualiti sama seperti yang kita lihat dan dengar di konsert yang dibuat di stadium," katanya.

Harga tiket Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir bermula RM3,800 hingga RM15,000 untuk lapan orang semeja.

Rabu, April 13, 2022

M Nasir warisi sikap arwah bapa

petikan Harian Metro 13 April 2022

Najiy Jefri

najiy.jefri@hmetro.com.my

Penyanyi, Datuk M Nasir pada sidang media Konsert Satu Hari Dihari Raya M Nasir yang akan diadakan pada 27 Mei 2022. FOTO Hazreen Mohamad

Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir memaklumkan sudah menziarahi pusara arwah bapanya, Mohamed Sam yang meninggal dunia di Singapura pada 28 Januari lalu.

M Nasir ketika ditemui berkata, kali terakhir dia bertemu dengan arwah bapanya adalah dua tahun lalu sebelum pandemik Covid-19.

"Saya dapat balik ke Singapura baru-baru ini tapi hanya dapat menziarahi kuburnya saja.

"Sekarang ini pun saya sudah boleh ke Singapura sebab keadaan mak saya pun uzur ketika ini.

"Jadi macam-macam perkara yang berada dalam fikiran kerana dalam keluarga hanya saya seorang yang menetap di Malaysia," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media konsert Satu Hari Di Hari Raya di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Terdahulu M Nasir dan sekeluarga tidak dapat pulang ke Singapura untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham berikutan pandemik Covid-19.

Menurut M Nasir, dia mengaku ada memiliki personaliti arwah bapanya selain banyak memori indah yang dilakukan bersama.

"Saya ada ikut sedikit perangainya iaitu seorang yang tegas dan tak banyak bercakap. Dia juga sangat disiplin memandangkan dia bekerja sebagai bomba sebelum ini.

"Kalau nak cerita fasal bulan Ramadan, ayah saya ini memang 'kaki masjid' hingga akhirnya dia menjadi imam.

"Jadi setiap kali Ramadan, dia memang akan ke masjid dan saya pun akan ikut serta. Jadi kebanyakan peristiwa dan kenangan berlaku di masjid," katanya.

Dalam perkembangan lain, M Nasir bakal mengadakan konsert amal bersempena sambutan Aidilfitri di Dewan Merdeka, WTCKL pada 27 Mei ini. Tiket dijual dengan harga RM3,800 hingga RM15,000 untuk lapan orang semeja.