ANALITIC

Sabtu, Julai 15, 1989

Nantikan Hadiah Istimewa M Nasir

Petikan VariaPop 15 Julai 1989
Oleh Rumizah Baki
(sumber : Terima kasih Wiraaz Collezzione)

Kebolehannya sebagai seorang penyanyi, pencipta lagu dan penerbit album memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Dia juga seorang pelakon dan seorang pelukis yang berbakat besar. Keanehan dan keunikan dirinya menjadi perhatian umum. Dia yang dimaksudkan ialah M.Nasir, penerbit paling sibuk dan paling popular masa kini.

Kejayaan yang dicapainya pada hari ini adalah hasil kerja keras. Dia juga pernah melalui kegagalan apabila album pertamanya dahulu kurang mendapat sambutan. Namun ianya tidak mematahkan semangatnya untuk terus  berusaha bagi memperbaiki kesilapan dan  kelemahan. Kebolehannya di dalam seni muzik disegani ramai. Banyak artis yang telah berjaya di mercu kejayaan kerana dia. Album-album mereka mendapat sambutan yang di luar dugaan. Diantaranya ialah kumpulan Alleycats, Wings, Search, Bloodshed, Rahim Maarof, Ruhil, Roy dan ramai lagi. Kejayaan mereka adalah di atas usaha kreatifnya.

Apabila kita imbas kembali, penerbit yang berusia awal tiga puluhan ini dahulunya mempunyai sikap aneh. Hal ini menimbulkan pelbagai keresahan terutama kepada mereka yang ingin membuat wawancara dengannya. Hanya orang-orang tertentu dan telah biasa bergaul dengannya sahaja yang mudah untuk berbual panjang.

Bagaimanapun perubahan yang berlaku kepada dirinya kebelakangan ini memberikan kesan yang positif. Dia menjadi semakin peramah dan senang diajak berbual di dalarn pelbagai hal terutama perkara yang ada sangkut paut dengan bidang seni muzik.

M.Nasir yang telahpun mendirikan rumahtangga dan mempunyai dua orang anak ini berpuas hati dengan pencapaiannya selama ini. Ini tidak bermakna dia akan terus tenggelam di dalam arus kagemilangan tanpa berusaha untuk mengekalkannya.

Sekurang-kurangnya dia mesti dapat bertahan dengan kedudukannya sekarang sehingga tahun yang akan datang. M.Nasir yang dibesar dan mendapat pendidikan di Singapura ini menganggap impiannya yang besar tercapai ialah apabila diiktiraf menjadi warganegara Malaysia baru-baru ini. Inilah hadiah yang sekian lama diidam-idamkannya.

Pastinya ini akan memberinya nafas baru untuk melahirkan ciptaan-ciptaan yang lebih bermutu kerana tidak ada sekatan yang menghalang dia daripada menyertai pertandingan muzik yang dianjurkan. Sebelum ini adakalanya dia terpaksa berlindung di sebalik nama orang lain kerana keadaan memaksa.

Kini setelah puas dia menaikkan dan mempopularkan album penyanyi lain dia bersengkang mata pula menyiapkan rakaman album solonya yang kedua keluaran PMC. Ini adalah beban paling berat yang terpaksa dipikulnya. Walaupun begitu dia tidak pernah menampakkan keresahan dan kesukarannya.
Dia tetap tenang menjalankan tugasnya untuk menyiapkan albumnya secepat yang boleh. Di samping itu dia juga menerbitkan album ramai penyanyi lain di dalam waktu yang sama.

Kesabaran, ketenangan dan sikap teliti yang diamalkannya itulah yang membolehkan dia mencapai kejayaan cemerlang selain hari ini. Dia amat serius ketika melakukan sebarang tugas. Tidak hairanlah kalau ada penyanyi yang ‘susah hati’ dan menitiskan air mata bukan kerana tengking herdik tetapi kerana sikap seriusnya semasa rakaman dijalankan.

Album terbarunya yang menerapkan konsep penerokaan ciri-ciri semasa dan tradisional awal awal lagi sudah menampakkan keunikannya. Apatah lagi jikalau peminat mendengar  lagu lagu yang akan didendangkannya. Inilah kelainan yang ingin ditonjolkan oleh M.Nasir melalui album solonya yang kedua ini. Sebagaimana penyanyi lain yang sudah berjaya hasil daya usahanya, dia tentunya mengharapkan agar album solonya ini demikian juga. Ini adalah satu penghargaan kepada dirinya dan hadiah kepada para peminat yang telah mernberikan sokongan terhadapnya selama ini.

Ahad, Jun 25, 1989

Isnin, Februari 20, 1989

SUMBER ILHAM : Bukan mengelamun di tepi sungai...Pemerhatian dan pengalaman lebih penting

oleh Kamisah Mustaffa
petikan JELITA Februari 1989

“Seni itu indah. Politik itu kotor” Demikian kata Seniman Agung P.Ramlee. Memang seni itu indah. Tidak dapat hendak dihuraikan keindahan itu kerana setiap insan menafsirkannya dari sudut berlainan. Namun, keindahan itu menimbulkan kesan sama pada setiap jiwa; tersentuh,kagum, tertawan, hiba atau ria.

Jiwa siapakah tidak bergetar membaca puisi indah dan syahdu? Apakah menyebabkan sesuatu lagu berjaya menitiskan air mata atau menghidupkan suasana riang ria? Mengapa sesuatu lukisan amat tinggi nilainya dan menjadi rebutan terutama selepas pelukisnya tiada lagi di dunia? Bagaimanakah seseorang pelakon mampu membuat penonton menangis dan ketawa bersamanya atau benci dan meludahinya di luar dunia lakonan? Apa pula menyebabkan seseorang penulis, penyanyi, pelukis atau pemuzik begitu diminati dan disanjung tinggi?


M Nasir
Penggubah lagu, penyanyi, pelakon

“Kalaulah ilham itu boleh diibaratkan sebagai satu benda, maka bagi saya, benda itu adalah diri saya sendiri. Ilham adalah diri saya dan diri saya adalah ilham. Susah hendak dimengertikan? Tetapi itulah tanggapan saya mengenai ilham.

“Ilham itu datang dua cara. Pertama, melalui pemerhatian dan pengalaman. Kedua berada dalam diri sendiri. Maksud saya, untuk buat lagu misalnya mesti ada sesuatu merangsang ilham itu tiba, ada peristiwa menyebabkan terbitannya ilham itu. Tetapi rangsangan dan peristiwa itu tidak akan menjadi ilham kalau kepekaan menjadikannya ilham tiada dalam diri.

“Seniman harus punya daya khayalan yang lebih kuat daripada orang lain (bukan saya menganggap diri saya seniman.). Dia mesti dapat membayangkan perkara yang tidak dilakukan atau dialaminya sendiri dan dapat pula menggunakan khayalan itu kepada satu bentuk seni. Mungkin dia tidak pernah bercinta tetapi dia mampu merasai bagaimana perasaan orang bercinta, ; debar, kecewa, hampa, hiba. Dan perasaan itu digubah menjadi lagu.

“Pada pendapat saya, pengalaman dan pelajaran lampau menentukan corak berkarya, tak kiralah muzik, penulisan, lukisan. Karya A Samad Said misalnya tercorak hasil pengalaman lampaunya melalui beberapa perubahan zaman. Kerana pengalamannya begitu, maka hasil karyanya bercorak begini. Dan begitulah juga dengan muzik.

“Saya menggubah lagu mengikut siapa bakal menyanyikannya. Setiap kali, saya bayangkan lagu itu untuk siapa, penyanyinya, bagaimana wataknya dan segala-gala berkaitan penyanyi itu. Mungkin penyanyi (atau kumpulan) itu lebih sesuai lagu bercorak hiburan semata mata dan penyanyi itu pula membawa mesej tertentu. Meneliti kesesuaian ini juga adalah sumber ilham bagi saya.

“Tiada kelainan antara seniman dan manusia lain. Jadi saya tak percaya kalau orang mengatakan manusia seni itu ganjil atau berkelakuan lain daripada orang lain. Itu semua itu tak betul bagi saya.”

“Saya tidak percaya mencari ilham di tepi sungai, laut, gunung, tasik macam sesetengah orang (ketawa). Itu bagi saya tanggapan salah mengenai ilham. Atau orang menyangka begitu kerana media selalu menggambarkan demikian. Bagi saya, cara itu hanya pada zaman “ Tok Kadok” . Kalau sekarang, cara begitu tak boleh pakai. Kalau menunggu termenung di tepi sungai, baru ilham muncul rasanya tiada kerja menjadi.

Apakah wanita (lebih-lebih lagi yang cantik) banyak mendatangkan ilham?
“ Tak adalah”, jawapannya perlahan tetapi tegas. “Melihat wanita bukan mendatangkan ilham, tetapi menaikkan nafsu...!”
Jawapan disusuli ketawa besar.

Waktu dan suasana bagaimana mendatangkan ilham mencipta lagu?
“Seni ada masa tak?” dia bertanya kembali. Saya hanya menggeleng dan dia menyambung semula. “Seni tidak ada masa. Jadi tidak ada waktu atau suasana tertentu mendatangkan lebih mood untuk berkarya. Bila-bila masa sahaja boleh berkerja.

“Juga kita tidak boleh terlalu mengikut mood. Kalau begitu mungkin hanya satu dapat disiapkan dalam sebulan. Sebagai penerbit saya tidak boleh begitu. Sekarang saya terpaksa terbitkan sebuah album sebulan.

Tidakkah penerbitan yang seolah-olah terburu-buru dan mengejar masa itu menjejaskan mutu lagu dicipta?
“Adakala kita terpaksa mengalah kepada kehendak komersil, mengatasi kehendak seni kita sendiri. Tetapi memang kita tidak pernah puas dengan apa yang ada. Walaupun katakan kita puas hati dengan sesuatu lagu itu, berapa lama rasa puas itu berkekalan? Tentu sampai masanya kita kembali merasa tidak puas hati dan ingin mencipta yang lebih baik lagi.

“Tinggi atau tidaknya nilai sesebuah lagu dan sama ada ia diminati atau tidak, bukan hak kita. Itu hak pendengar. Kadang kala lagu-lagu yang kita rasakan cukup baik dan bermutu tidak mendapat sambutan. Sebaliknya lagu-lagu 'penyendal' (diselitkan untuk memenuhi album) pula yang diminati.

“Mendapatkan ilham melalui penelitian ciptaan orang lain tidak salah asalkan bukan peniruan bulat-bulat. Persamaan yang sedikit tidak mengapa tetapi sentuhan peribadi kita mesti ada. Jelasnya, penentuan siapa yang lebih dikenali bergantung pada siapakah antara pencipta itu mempunyai daya kepekaan lebih kuat.”

Isnin, Mac 28, 1988

Di Pintu Sepi. M Nasir Ambil Tindakan Mahkamah

Petikan Media Hiburan 28 Mac 1988

Terima kasih Abang Azwira Yahya (Wirazz) atas sumbangan foto artikel ini :)

Artikel mengenai album Pintu Sepi yang telah ditahan pengedarannya melalui tindakan mahkamah yang dikemukakan oleh M Nasir selaku penerbit. Klik disini untuk membaca artikel tersebut.

Sabtu, November 28, 1987

Lagu Nasir dalam album Bloodshed

petikan Berita Harian Singapura 28 November 1987

oleh AZMAN SIRAJ (Penulis sambilan)

KOMPOSER M.Nasir sering melahirkan banyak lagu-lagu hit. Bakatnya sebagai pencipta lagu, memang tidak boleh dinafikan. Mentelah lagi banyak album penyanyi dan kumpulan yang menjadi popular hanya kerana lagu-lagunya mendapat sambutan.

Jadi, tidaklah menghairankan apabila Nasir menjadi rebutan banyak syarikat yang cuba mengeluarkan album. Baru-baru ini, EMI berjaya mendapatkan Nasir untuk menerbitkan album terbaru kumpulan Bloodshed.

Kalaulah album pertamanya dulu ilusi Sebuah Mimpi muziknya corak heavy metal, tetapi kini, Bioodshed reda sedikit.

Selera pendengar lebih diutamakan. Kerana itu, melalui kreativiti Nasir, Bloodshed dibentuk dengan wajah baru. Biarpun terdapat bau" Nasir dalam banyak lagu terbaru Bloodshed, tetapi kumpulan itu yakin mereka mampu mencabar Search dan Lefthanded – dua kumpulan popular dewasa ini.

Seperti kata Hamdan Ahmad: Album kami kali ini lebih meyakinkan. Beliau, yang dihubungi melalui panggilan jauh di pejabat EMI, Kuala Lumpur, turut bersetuju dengan pendapat yang menyatakan bahawa kebanyakan lagu terbaru mereka mirip muzik Search dan Kembara.

Tetapi, memandangkan lagu-lagu seperti itu laris di pasaran, jadi, adalah lebih baik buat kumpulan itu untuk membentuk muzik bercorak demikian.

Tambahan pula, petikan gitar ala klasik seperti yang terdapat dalam lagu Fantasia Bulan Madu persembahan Search digunakan juga dalam beberapa buah lagu Bloodshed.

Pokoknya, Hamdan menjelaskan: "Kami sesuaikan dengan keadaan dan selera pendengar.

Malah, kami beruntung kerana Nasir curahkan semua bentuk pengalamannya untuk kejayaan album ini.

"Memang, mulanya agak sulit untuk berkerja dengan Nasir. Tapi, setelah seminggu, barulah kami dapat fahami kehendaknya," kata Hamdan yang bermain deram.

Kami juga yakin, album kali ini akan boom. Lagu-lagu yang dicipta serta lirik yang ditulis hampir keseluruhannya, walau berbentuk patriotik, tapi ada nilai komersial.

"Dari itu, tak ada sebab mengapa album ini mesti gagal kerana semua lagu yang terkandung mempunyai kekuatan tersendiri," kata Hamdan sambil memberitahu bahawa Mohd Hamdan Yusof – pemain gitar utama mereka — telah digantikan dengan Sopie, bekas anggota kumpulan Skandal. M.Nasir, selaku penerbit album itu, telah menghasilkan lima  lagu, manakala, Bloodshed turut menyumbangkan lima lagu lain.

Hamdan menjelaskan: "Sebulan kami masuk studio. Ia bermula pada awal September dan kami sama-sama bekerja keras untuk mendapatkan melodi terbaik.

"Hasilnya, kami berpuas hati. Kini, terpulang kepada pendengar untuk menilainya. Mudah-mudahan kami beroleh kejayaan yang memberangsangkan," beliau berkata dengan nada yang agak bersemangat.

Album kedua Bloodshed diberi judul Samarkand. Perkataan Samarkand dipetik dari nama sebuah tempat yang terdapat di Rusia. Ilham itu lahir dari kacamata penulis lirik, Man Boron.

Lagu-lagu yang termuat dalam album itu terdiri daripada Srikandi Cintaku, Tanah Air Api

dan Angin, Marilah Berjuang. Sastria Mega, Samarkand, Tangisan Salju Di Khatulistiwa, Panah Arjuna, Carilah Wajahmu dan Kota Itu Ilusi.

Album Samarkand telah dilancarkan pada 13 November lalu. Ia diterbitkan oleh M.Nasir dan dikeluarkan oleh EMI.

Ahad, Mac 01, 1987

Sudirman menulis mengenai perkenalannya dengan M.Nasir

Petikan URTV 1 Mac 1987 (***tarikh mungkin kurang tepat)
Sudirman menulis mengenai perkenalannya dengan M Nasir dalam ruangannya di URTV
(sumber gambar: Terima kasih Wiraaz Collezzione)







Sabtu, November 15, 1986

KEMBARA...Seniman Jalanan

petikan sebuah majalah dari koleksi Wiraaz Collezzzione.  TQ bro!...

KEMBARA...Seniman Jalanan
berkisarkan perjalanan hidup seorang anak muda yang menghadapi lima persoalan hidup dalam usaha menempatkan dirinya sebaris dengan popular setempat.

M. NASIR selaku BUJANG.
Kini menapak di Kuala Lumpur. Berbagai-bagai peristiwa lucu, aneh, terasing, tekanan jiwa dan sedih berbaur geram dialaminya hasil dari kejutan budaya kota-desa.
Tapi anak desa ini yang berbekalkan semangat Melayu yang tidak mengenal erti jemu dan kekecewaan mampu berhadapan dalam semua kemungkinan, walaupun pada keadaan tertentu tindaklakunya tidak ubah seperti Hang Jebat berada di zaman Raja berjulang dan Bujang di zaman biadap!

Bob Dylan - semangat muzik rakyatnya meresap ke jiwa Bujang. Penerimaan negatif nasyarakat terhadap lagu-lagu rakyat benar-benar membingungkan. Keanehan mula berputik, Dengan memperjuangkan lagu-lagu rakyat inilah menyebabkan dia gagal dalam uji suara  pertamanya. Tapi aneh! Perjuangan ini jugalah membawa BUJANG berdepan dengan kancah cetak rompak.

Tuhan Maha Kaya - perjuangannya ini mendapat simpati dari seorang produser muda yang unik, Biarpun dia dipungut dari barisan-barisan seniman jalanan, namun konsep dan imej tetap terpelihara. Kejayaan mula terserlah. Bujang berdepan pula dengan persoalan cinta dan persahabatan.

Cinta-cinta ertinya kebenaran. Kembara dalam seni ertinya satu perjuangan mencari kebenaran. Tidak sesiapa dapat berbicara tentang kebenaran dan tidak sesiaa dapat memberikan cinta kepada seorang pejuang seni...kerana apa itu cinta,,.inilah yang dilalui oleh Bujang.

Persahabatan - Bujang juga tidak terlepas dari mencari dan mengenal erti persahabatan. Peristiwa-peristiwa yang dilaluinya menyedarkan tentang berbagai-bagai darjah perhubungan yang wujud sesama manusia.
Osman walaupun seorang kutu dari kaca mata manusia lain, dia juga seorang pejuang. Falsafahnya kita mesti terus hidup dalam apajua keadaan, kejayaan boleh dimiliki di atas hak milik orang lain. Dengan falsafah inilah dia mengenali Bujang hingga secara tidak langsung membantu Bujang ke mercu kejayaan...tapi dengan falsafah ini juga mambawa kerenggangan persahabatan mereka yang berakhir dengan suasana yang tragik. Berjayakah Bujang menukar imej Osman?

KEMBARA...SENIMAN JALANAN

PENERBIT PRODUSER : ZSA FILM PRODUCTION
PRODUSER EKSEKUTIF : SHAHARUDDIN ABD WAHAB
PENGARAH : NASIR BANI
CERITA ASAL : M NASIR
PENDUKUNG WATAK :
M.NASIR
KHATIJAH IBRAHIM
PYAN HABIB
DR. SAM
IMUDA
AZMI MOHAMMAD
NEERUAM
SHAH REZA

KUMPULAN UNDANGAN :
KEMBARA
BLUES GANG
KUMPUALAN THE SEARCH

* RAMLI SARIP & SWEET CAHRITY turut berlakon dalam filem ini
* Sila klik di sini utk membaca keratan sebenar dari laman http://wiraaz2.multiply.com/photos/album/4015/Kembara-....-Seniman-Jalanan-1984


berikut pula adalah keratan Variapop milik saudara Kamal Talib (klik gambar utk membacanya)

Lagi info mengenai filem Kembara Seniman Jalanan boleh diperolehi di :

Sabtu, April 12, 1986

“Kembara” Tonjol Budaya Kuning?

Petikan Berita Harian 12 April 1986
Oleh Raja Yusoff Ariffin

RANCANGAN Pentas Filem di rangkaian Nasional Radio Malaysia awal minggu lalu mengulas bahawa filem Kembara- Seniman Jalanan menerapkan unsur-unsur budaya kuning.

Jika difikirkan sepintas lalu diakui filem berkenaan seolah olah menerapkan unsur itu berdasarkan pakaian para pelakonnya dan bahasa kata bual yang digunakan.

Tetapi. Jika dihalusi serta dilihat dari satu segi lain yang lebih mendalam dan rasional filem arahan Nasir Jani ini mengandungi pelbagai bentuk sindiran kritikan dan pendedahan bahawa sebenarnya memang  terdapat unsur-unsur budaya kuning dalam masyarakat muda-mudi (juga masyarakat lain) di Malaysia hari ini .

Disebabkan penuh dengan kritikan yang dipaparkan menerusi adegan dan kata bual,  maka filem ini menyelitkan dua jenis kritikan iaitu kritikan ketara dan kritikan tidak ketara.

Apa yang disebutkan terdapat unsur budaya kuning dalam masyarakat muda mudi termasuk dalam apa  termasuk dalam apa yang disebutkan sebagai kritikan tidak ketara. Gejala yang dipaparkan dalam KSJ memang wujud benar benar berlaku. Tetapi untuk terus menuduh filem ini berunsur budaya kuning secara melulu adalah tidak wajar.

Terlebih dahulu kita harus memikirkan pakaian bagaimanakah yang sepatutnya dan bercorak Malaysia untuk digunakan dalam berlatarbelakang zaman moden sedangkan kita tidak mempunyai pakaian kebangsaan yang dengan sesuai dengan zaman moden ini.

Andainya pelakon pelakon KSJ memakai kemeja dan seluar (contoh pakaian) yang kemas sekalipun itu  belum mencukupi serta bersesuaian. Belum lagi menunjukkan itulah corak pakaian kebangsaan kita. Sebaliknya pakaian sedemikian sendiri diwariskan secara tidak langsung oleh penjajah Barat ( budaya kuning berkaitan dengan Barat) kemudian kita jadikan pakaian kita turun-temurun.

Sikap rasional

Tentu pula tidak sesuai sama sekali jika digunakan pakaian Melayu serta bersongkok dan kain samping atau berkain sarong. Pakaian sebegini lebih sesuai untuk filem filem purba.

KSJ  memaparkan kisah hidup seorang penyanyi jalanan (Bujang) dan penyelok saku (Osman) sebagai watak watak utama. Pakaian selekeh dan ‘rugged’ sedikit tentunya lebih sesuai. Jika kita lihat filem filem melayu sebelum ini ada juga menonjolkan watak watak yang memakai kot dan bertali leher. Memanglah nampak kemas tetapi harus disedari ini juga unsur budaya kuning.(ada juga berpakaian menjolok mata). Tetapi tidak dipertikaikan. Janganlah disebabkan nampak kemas walaupun itu pakaian barat, ia tidak dikatakan unsur budaya kuning.

Kita haruslah bersikap rasional. Jangan melihat dari satu segi yang ketara sahaja.- yang ketara itu dianggap buruk, maka keseluruhannya dianggap buruk belaka.

Filem KSJ sebenarnya cuba mengikis anggapan buruk masyarakat terhadap muda mudi yang berpakaian selekeh dan rugged. Masyarakat biasanya menganggap golongan berkenaan tidak berakhlak, tidak bermaruah dan sebagainya. Melalui KSJ masyarakat cuba disedarkan bahawa ada antara mereka (muda mudi) yang berfikiran baik, berakhlak tinggi, Intelek bersemangat untuk berjuang agar terus hidup, berpendirian teguh dan sebagainya. Kita tidak boleh menilai seseorang berdasarkan rupa paras semata mata.

Teliti watak  Bujang (M.Nasir) dan Osman (Pyanhabib) Memang pakaian dan rambut mereka tidak senonoh (dikatakan berumur budaya kuning tetapi sebaliknya mereka mempunyai pendirian dan keperibadian sendiri.

Bujang adalah seorang  pemuda berjiwa seni yang berfikiran intelek, sering memikirkan nasib bangsanya,  tidak suka berfoya-foya hidup mewah, tidak suka hidup berpura-pura, mempertahankan miliknya (menentang lanun-lanun cetak rompak) dan meminati lagu rakyat bertemakan perjuangan, kemasyarakatan dan sebagainya)

Golongan muda-mudi 

Osman pula seorang pemuda yang juga berjiwa seni dan bersemangat kuat dalam berjuang untuk terus  hidup meskipun caranya ke arah itu wajar tidak dicontohi.

Menyentuh soal kata bual yang digunakan pula, ia juga adalah sindiran, kritikan dan pendedahan terhadap beberapa golongan.

Apa yang dimaksudkan ialah pendedahan terhadap gejala yang memang wujud bahawa golongan muda-mudi tidak tahu atau tidak mahu menggunakan bahasa standard ketika berbual. Mereka menggunakan bahasa yang boleh disebut sebagai bahan rojak dengan istilah -istilah yang difahami, ringkas dan pendek. Istilah-istilah  seperti pun gua,  lu, Brader, lepak dan lain lain sebagaimana terdapat dalam KSJ sering digunakan di kalangan mereka.

Mereka menggunakan bahasa itu kerana menganggap Bahasa Malaysia standard standard agak sukar difahami memeningkan kepala dan melambatkan.

Bukan golongan muda-mudi, tetapi golongan dewasa dan di kalangan pemimpin sendiri juga sering menggunakan bahan yang bercampur aduk ketika berbual. Semasa berucap misalnya, ada pemimpin yang menyelit istilah-istilah Inggeris dalam teks ucapan mereka.

Mungkin ramai yang tidak mahu menyedari ini juga unsur budaya kuning. Jadi siapakah sebenarnya yang patut dipersalahkan?

Satu hal yang menarik dalam hubungan ini ialah secara tidak langsung ia adalah cabaran dan dorongan kepada pihak berkenaan supaya  berusaha menyediakan kata bual kata bual untuk filem dalam Bahasa Malaysia yang seratus peratus standard tetapi tetapi ringkas dan mudah difahami.

Kita sebagai penonton filem tentu tidak mahu kata bual yang dikatakan standard  tetapi panjang dan meleret leret dengan istilah bombastik yang sukar difahami. Ia juga adalah cabaran dan dorongan pihak berkenaan dapat merangka dan corak pakaian yang sesuai untuk filem berlatarbelakangkan moden. Sesuai dalam erti kata keMalaysiaan.

Kesimpulannya, filem KSJ tidak boleh terus dianggap sebagai filem yang tidak bercorak Malaysia dan berunsur budaya kuning. Harus disedari ia memaparkan (selain soal cetak rompak)  kehidupan sebenar masyarakat di Malaysia yang wujud hari ini. Masyarakat Malaysia hari ini hampir keseluruhannya masih tidak bercorak atau berperibadi Malaysia, baik dari segi pemikiran mahu pun pakaian, tutur kata dan sebagainya.

Ahad, Mac 02, 1986

M Nasir merayu dipendekkan masa pengharaman

petikan Berita Minggu, 2 March 1986

Oleh BUDIMAN A.R.

Penyanyi, pelakon dan pencipta lagu telah membuat rayuan kepada pihak berwajib Malaysia supaya mengurangkan tempoh pengharaman ke atasnya. 

Nasir telah diharamkan dari mengambil bahagian dalam pertunjukan-pertunjukan pentas di Malaysia selama dua tahun, selepas beliau didapati tidak mempunyai perrnit kerajaan ketika menyertai satu pertunjukan di Johor Bahru. 

Rayuan yang dikemukakan oleh Nasir itu, bagaimanapun, sehingga kini belum mendapat keputusan.

 Beliau mengharapkan agar rayuan itu dapat diterima oleh pihak yang berkenaan. kerana "seni adalah sumber mata pencarian saya". 

"Buat masa ini, kalau ada pihak penganjur atau produser filem yang mahukan khidmat saya, mereka terpaksa menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pengharaman itu, seperti mendapatkan permit khas, kata Nasir. 

Sementara itu, Nasir juga belum memutuskan sama ada hendak meninggalkan atau tidak syarikat piring hitam PolyGram apabila tempoh kontraknya berakhir dalam beberapa bulan lagi. 

Nasir menafikan khabar-khabar angin yang mengatakan kononnya beliau telah membuat keputusan untuk meninggalkan PolyGram. 

Nasir menegaskan bahawa PolyGram merupakan syarikat pertama memberinya peluang sebagai pencipta lagu dan penerbit album.

Semasa dengan syarikat itulah. katanya, beliau menimba dan meluaskan pengalaman. "Walaupun kontrak saya dengan PolyGram akan tamat tidak lama lagi, saya belum membuat sebarang keputusan. 

Banyak perkara yang harus saya fikirkan secara terperinci dan mendalam," katanya. 

Ramai dari kalangan dunia piring hitam merasakan bahawa Nasir tidak akan kerugian kalau beliau memutuskan untuk meninggalkan PolyGram. 

Menurut mereka, banyak syarikat piring hitam yang sedla mempelawanya untuk menjadi penerbit atau pencipta lagu sepenuh masa. 

Isnin, Julai 15, 1985