ANALITIC

Ahad, Ogos 27, 2000

Cabaran Marlia sebagai isteri M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 27 Ogos 2000


MARLIA berikrar memberikan kebahagiaan kepada M. Nasir dan anak-anaknya.

Dalam debaran itu, seperti juga bakal isteri lain, Marlia tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan kenyataan ini dirasakan sendiri oleh Mingguan Malaysia.

Seminggu sebelum Marlia bergelar isteri orang, Mingguan Malaysia sempat menemu bual Marlia dan pelakon yang berusia 30 tahun itu nyata sukar untuk menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya.

Bukan mengelak, tetapi lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata kerana pada ketika itu, fikiran Marlia melayang memikirkan pelbagai perkara dan persiapan yang perlu dilakukan.

"Seperti orang lain juga, selain gembira saya juga berdebar kerana tidak lama lagi akan bergelar isteri orang,'' kata Marlia yang merupakan pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan (ASK).

Perkahwinan mereka, pertama buat Marlia dan yang kedua buat M. Nasir (yang kematian isteri, Allahyarham Junainah Johari) pastinya satu cabaran baru yang perlu ditempuhi oleh Marlia khususnya.

Bagi Marlia tanggungjawabnya begitu besar apatah lagi dia perlu mengambil alih tanggungjawab memberikan kasih sayang kepada lima anak M. Nasir hasil perkahwinan terdahulu.

Berdasarkan jawapan yang diberikan oleh Marlia dalam temu bual eksklusif majalah URTV tidak lama dulu, Marlia menerangkan, sememangnya perkahwinan suatu cabaran baru buatnya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana sehingga hari ini kelima-lima anak bakal suaminya itu sudah boleh menerima kehadirannya.

"Saya impikan yang terbaik untuk saya dan Abang Nasir, apalagi Abang Nasir dah ada lima orang anak... saya mahu diterima bukan sahaja sebagai isteri malah kawan kepada anak-anaknya,'' jelas Marlia penuh makna.

Anak kepada pasangan Allahyarham Musa Al-Bakri (pelakon drama) dan Zaiton Shamsuddin (bekas juruhebah radio) ini turut mengakui, bukan suatu perkara yang mudah untuk anak-anak M. Nasir menerimanya sebagai ibu mereka.

"Saya tahu saya tidak dapat ganti ibu mereka kerana emak mereka adalah emak mereka, tapi saya harap saya dapat sama-sama dengan Abang Nasir mendidik mereka,'' ikrar Marlia.

Pun begitu jauh di sudut hatinya, Marlia yakin bahawa dia sudah mampu untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran barunya.

Seperkara yang membuatkan Marlia begitu optimis bahawa kehadirannya dapat diterima oleh kelima-lima cahaya mata itu ialah berdasarkan kemesraan yang ditunjukkan oleh mereka.

"Bila saya masuk dalam keluarga Abang Nasir, saya ingin memenuhi kekosongan yang diperlukan oleh anak-anak Abang Nasir.

"Saya faham bukan senang nak mengisi kekosongan mereka tetapi saya mencari apa yang mereka mahu, selain kasih sayang tentu perhatian. Mereka pun nampaknya menerima kehadiran saya dan mereka mesra terhadap saya,'' kata Marlia.

Janji Marlia lagi, dia ingin memberikan perhatian dan sepenuh kasih sayang kepada mereka dan kesemuanya itu dilakukan dengan seikhlas yang mungkin.

Ditanya apakah dia terkejut dengan jodoh yang telah ditentukan oleh Allah, Marlia mengakui hakikat tersebut.

"Bukan sahaja kawan-kawan saya, malah saya sendiri macam tidak percaya tapi inilah yang dikatakan takdir. Saya tidak pernah menyangka saya akan berkahwin dengan M. Nasir,'' katanya sambil menyimpul senyum penuh makna.

Marlia dan M. Nasir, 42, akan disatukan pada pagi 31 Ogos ini di kediaman keluarga Marlia di Subang Jaya, Selangor.

Selain wang hantaran yang difahamkan berjumlah RM20,000 (Marlia dan M. Nasir enggan memberitahu jumlahnya), Marlia juga akan menerima hantaran-hantaran lain termasuk mas kahwin berjumlah RM80 daripada M. Nasir.

Pasangan ini juga akan meraikan teman-teman rapat dan saudara-mara pada dua majlis persandingan yang berbeza.

Pertama di Grand Selangor Ballroom, Hotel Sheraton Subang, Subang Jaya pada 1 September, yang dianjurkan oleh keluarga Marlia.

Sementara bagi pihak M. Nasir pula, majlis kenduri dan persandingan akan diadakan pada 2 September di Taman Permainan Dewan Kemas 1B, Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor.

Kepada para pembaca yang ingin melihat gambar-gambar eksklusif Marlia, M. Nasir bersama lima orang anaknya jangan lupa mendapatkan majalah URTV keluaran 1 September yang mula berada di pasaran pada 30 Ogos ini

Sabtu, Julai 15, 2000

Belanja Salam Taj Mahal meningkat

petikan Utusan Malaysia 15 Julai 2000


M. NASIR dan Umie Aida dalam satu adegan drama Salam Taj Mahal.

Belanja untuk menerbitkan drama Salam Taj Mahal meningkat hingga RM725,000 dari anggaran asal hanya RM65,000 kerana menghadapi banyak masalah.

Pengarah urusan Kuasatek Pictures, Mohd. Noor Kadir memberitahu, belanja pembikinan drama tersebut meningkat kerana pihaknya terpaksa berdepan dengan pelbagai permintaan yang berlaku secara spontan.

''Walaupun kami sudah mendapat surat kebenaran dari pihak berkuasa tapi kami terpaksa berurusan dengan orang perseorangan pula untuk meneruskan penggambaran,'' ujar Mohd Noor.

Katanya, semasa di India dia terfikir untuk menukar lokasi ke negara lain tapi memikirkan skrip yang terpaksa dirombak, penggambaran di India diteruskan juga.

Tempat yang menjadi pilihan Kuasatek Pictures untuk dijadikan lokasi ialah New Delhi dan Agra yang merupakan lokasi penting untuk drama tersebut.

Jelas Mohd Noor, walaupun pihaknya menghadapi kesukaran tapi dia berpuas hati kerana semua yang dikehendaki sudah terlaksana.

Ujarnya, dia memilih India sebagai lokasi kerana bersesuaian dengan jalan cerita yang ditampilkan dan bukan sengaja hendak menonjolkan pemandangan negara tersebut.

Salam Taj Mahal yang diarah oleh Zek Zukry dijayakan oleh M.Nasir, Vanidah Imran, Umie Aida, Sharifah Eja, Erma Fatima dan Rashidi itu menjalani penggambaran selama 42 hari di sana.

Tegas Mohd Noor, setiap drama keluaran Kuasatek Pictures yang menjalani penggambaran di luar negara mempunyai jalan cerita tersendiri.

Sebelum ini drama Cinta Antara Benua menjalani penggambaran di London, Cinderella di New Zealand dan sebuah drama lain di Turki.

Menurut Mohd Noor, objektif Kuasatek Pictures untuk mengadakan penggambaran di luar negara kerana ingin melakukan sesuatu yang jarang dibuat oleh produksi lain.

Salam Taj Mahal yang skripnya dihasilkan oleh Mohd Noor lebih memfokas pada kasih sayang antara adik-beradik.

Ali yang berumur 10 tahun terpaksa berpisah dengan adiknya, Aisyah yang baru dilahir disebabkan ibu bapa mereka meninggal dunia. Ali telah dibawa ke India oleh kawan baik ayahnya sementara Aisyah pula membesar di Malaysia dan melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Drama bersiri ini disiarkan di TV3 menerusi slot Panorama pada pukul 5.30 petang setiap Isnin hingga Khamis.

Seperti drama bersiri terbitan Kuasatek Pictures yang lain, Salam Taj Mahal juga dihasilkan dalam bentuk novel yang ditulis oleh Sharifah Abu Salem.

Ahad, Mei 21, 2000

Marlia & M. Nasir hanya tunggu hari

petikan Utusan Malaysia 21 Mei 2000

M. NASIR tergelak besar apabila dikatakan wajahnya semakin berseri dan ceria kerana dia tahu itu adalah jambatan untuk bertanya mengenai perancangan perkahwinannya dengan pelakon Marlia Musa.

Dia sendiri menduga soalan sedemikian akan ditujukan kepadanya apabila segala persoalan mengenai penghijrahannya ke syarikat Warner Music terungkai.

Namun mencungkil rahsia M. Nasir bukan semudah mendapat perkembangan sensasi artis lain kerana sesuai dengan dirinya yang dikatakan berseni itu, M. Nasir menjawab semua soalan dengan seni juga.

Ditanya bilakah tarikh atau bulan dia dan Marlia akan bernikah, M. Nasir cuma menjawab, dalam masa terdekat.

''Kamu akan tahu juga kerana saya akan membuat sidang akhbar mengenainya,'' kata M. Nasir sambil tergelak besar.

M. Nasir dan Marlia bertunang dengan dihadiri oleh keluarga terdekat di rumah keluarga Marlia pada 7 Mei lalu.

''Saya akan kahwin dalam masa terdekat ini,'' katanya apabila ditanya tarikh pernikahannya.

Dia juga enggan memberitahu berapakah hantaran dan wang hantaran yang bakal dibawa apabila bernikah nanti kerana baginya itu adalah sesuatu yang sensitif.

''Kamu akan tahu juga nanti apabila menghadiri majlis pernikahan saya,'' kata M. Nasir ketika ditemui selepas majlis menandatangani kontrak menjadi artis rakaman Warner Music, Rabu lalu.

Penjelasannya membayangkan bahawa masa untuk M. Nasir dan Marlia disatukan semakin hampir. Malah persiapannya telah dibuat.

Mengenai perancangan perkahwinan di pihaknya, sekarang ini segala persiapan telah dilakukan oleh kakaknya di Singapura.

M. Nasir mengakui anak-anaknya rapat dengan Marlia dan mereka kini memanggilnya dengan panggilan Yaya.

''Sebenarnya panggilan nama itu dimulakan oleh Nilam (Nur Nilamsari) dan sehingga kini terus melekat,'' katanya.

Apabila bernikah nanti dia ingin anak-anaknya memanggil Marlia dengan panggilan 'Mak', ujar penyanyi itu lagi.

Ditanya mengapa dia memilih Marlia, kata M. Nasir ciri-ciri seorang wanita yang disukainya ada pada anak pelakon drama Allahyarham Musa Al-Bakri itu.

''Saya suka sesuatu perkara misalnya sejenis kain dan dia (Marlia) ada kain itu,'' katanya dengan kiasan tersendiri.

Ditanya warna kegemaran Marlia, M. Nasir memegang hujung baju warna kulit kayu yang sedang dipakainya.

''Dia suka warna ini,'' kata M. Nasir merujuk kepada warna baju yang dikenakannya hari itu.

Dia tidak menganggap keputusannya memilih Marlia sebagai pasangan hidup sebagai keputusan yang sukar untuk dilaksanakan.

''Bukan saya yang pilih dia tetapi kami sama-sama memilih antara satu sama lain,'' katanya lagi.

Ditanya sama ada sukar baginya membuat persiapan perkahwinan kali kedua itu, M. Nasir berkata dia ada banyak saudara yang membantu.

''Aku ada banyak kot dulu-dulu,'' katanya sambil tergelak apabila ditanya apakah pakaian yang akan dikenakan semasa bersanding nanti.

Oleh: ROSLI MANAH

Sabtu, Mei 20, 2000

M. Nasir mahu globalkan muzik Melayu

petikan Utusan Malaysia 20 Mei 2000

M. NASIR bersama orang kuat Warner Music, Rudy Ramawy (kanan) dan Nasser Abu Kassim pada majlis menandatangani kontrak di ibu kota, baru-baru ini.

PENGHIJRAHAN komposer dan penyanyi terkenal M. Nasir ke syarikat rakaman Warner Music adalah satu usaha penyanyi itu untuk mengetengahkan muzik Melayu ke peringkat global.

Menurut M.Nasir, peluang itulah yang menjadi pendorong utama kepadanya untuk berhijrah setelah tuntutan itu tidak dapat disempurnakan oleh syarikat rakaman terdahulu.

Pada pandangannya, semua syarikat rakaman mempunyai keupayaan berbuat demikian dan dia nampak Warner Music mempunyai kesungguhan ke arah itu.

Sebagai langkah awal, M. Nasir kini sedang menyiapkan sebuah lagu yang akan dipasarkan dalam bentuk 'single' untuk pasaran luar negara.

''Untuk itu, saya akan menghasilkan lagu menggunakan elemen muzik Melayu yang dinyanyikan dalam bahasa Inggeris,'' katanya.

M. Nasir menyatakan demikian pada majlis menandatangani kontraknya bersama Warner Music selama tiga tahun di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kontrak itu ditandatangani oleh M. Nasir dan Pengarah Eksekutif Warner Music, Nasser Abu Kassim. Turut hadir ialah Pengarah Urusan Warner Music, Rudy Ramawy.

Malah, kata penyanyi itu lagi, pada masa ini dia mempunyai banyak lagu yang telah dihasilkan dan kini sedang memperkemaskannya.

Penghasilan lagu dalam lirik bahasa Inggeris adalah perlu memandangkan bahasa Melayu belum kuat kedudukannya di kalangan peminat muzik dunia.

M. Nasir juga mengulangi perpindahannya ke Warner Music bukan kerana tawaran lumayan, sebaliknya kerana selari dengan misinya untuk mengetengahkan lagu Melayu.

M. Nasir menyifatkan perpindahannya sebagai langkah profesional untuk menyambung kerjanya sebagai penyanyi dan pencipta lagu.

Justeru dia mahu semua pihak menerimanya sebagai sesuatu yang lumrah dalam dunia hiburan.

''Kontrak saya hanyalah sebagai artis dan lagu-lagu ciptaan saya masih hak milik Luncai Emas,'' kata penyanyi itu.

Penyanyi itu mengakui bukannya senang untuk mencapai apa yang diimpikannya untuk meletakkan muzik Melayu ke mata dunia.

Namun dia sanggup melalui liku-liku itu bersama Warner Music yang menyokongnya untuk merealisasikan matlamatnya.

Rudy pula berkata, M. Nasir menjadi aset syarikat itu yang paling berharga setelah menyertai Warner secara sah dan berharap dapat melihat hasil kreativiti penyanyi itu hujung tahun ini.

Antara yang terkandung di dalam kontrak itu ialah penerbitan album Melayu dan album untuk pasaran luar negara.

Menurut M. Nasir pula, tiga pasaran luar yang tidak menghadapi masalah cetak rompak ialah Jepun, Britain dan Amerika Syarikat.

Dia akan berusaha mencari tempat di pasaran yang dinyatakan dengan kerjasama rangkaian Warner Music antarabangsa.

Sementara itu, ditanya mengenai komitmennya dengan BMG untuk mempromosikan album Srikandi Cintaku ke Indonesia, M. Nasir berkata, dia tidak mempunyai sebarang halangan.

''Saya tidak bermasalah memenuhi promosi yang diatur untuk album yang telah menembusi pasaran Indonesia itu,'' katanya.

Oleh: ROSLI MANAH

Jumaat, April 28, 2000

BMG nafi pinggirkan M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 28 April 2000

Syarikat BMG Music menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan syarikat itu kurang memberi perhatian terhadap karya M. Nasir untuk dipasarkan ke luar negara termasuk Indonesia.

Bagaimanapun album terbaru M. Nasir, Srikandi Cintaku yang memuatkan lagu-lagu popular ciptaannya telah dipasarkan buat pertama kali ke Indonesia pada 22 Mac lalu.

Kontrak M. Nasir dengan BMG Music telah tamat akhir tahun lalu dan difahamkan M. Nasir beralih syarikat rakaman Warner Music yang dipercayai dapat mengembangkan kariernya ke peringkat antarabangsa.

Pengurus A & R BMG Music, Rosmin Hashim menafikan mereka tidak memberi perhatian kepada karya-karya M. Nasir.

Menurutnya, beberapa album penyanyi dan komposer itu pernah dihantar untuk diteliti oleh pihak BMG Indonesia sebelum ini sepertimana yang dilakukan kepada album Slam dan Exist.

Bagaimanapun pasaran muzik Indonesia yang jauh ketinggalan menyebabkan muzik seperti diperjuangkan Nasir tidak mendapat perhatian.

''Kami sudah cuba membuat tawaran kepada BMG Music Indonesia tetapi tidak mendapat sambutan,'' jelas Rosmin.

Menurutnya, pihak di Indonesia mengakui muzik Indonesia yang jauh ketinggalan menyebabkan lagu-lagu melankolik dan lagu cinta yang dibawa oleh kumpulan Slam dan Exist mendapat perhatian.

Malah kata Rosmin, perkara yang sama terjadi kepada penyanyi popular naungan mereka seperti Awie dan Ziana Zain.

Hanya sebuah daripada empat album solo Awie dipasarkan di sana manakala album Ziana belum mencecah pasaran negara itu.

Rosmin memberitahu, BMG Music pernah merakamkan empat lagu Inggeris nyanyian M. Nasir dengan menggunakan khidmat komposer luar negara, Brad Parker beberapa tahun lalu.

Album mini yang menelan kos melebihi RM100,000 itu dijadikan sebagai percubaan untuk menembusi pasaran luar tetapi ia juga tidak mendapat sambutan.

''Album single tersebut telah dibawa ke BMG New York untuk diteliti. Namun atas sebab-sebab yang sama, kami tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga sekarang,'' katanya lagi.

Menurut Rosmin, daripada usaha yang telah dilakukan oleh syarikat rakaman itu memperlihatkan BMG Music sentiasa berusaha untuk membawa karya M. Nasir ke luar negara.

Sementara itu mengenai penghijrahan M. Nasir ke syarikat lain, Rosmin mengakui BMG Music kehilangan seorang artis yang berbakat besar. Ini kerana selama lebih 10 tahun bersama BMG Music, pelbagai sumbangan telah diberikan oleh M. Nasir di dalam penciptaan lagu-lagu artis mereka seperti Search, Wings, Exist dan banyak lagi.

Menurut Rosmin, M. Nasir mungkin mempunyai sebab-sebab tersendiri untuk beralih angin ke syarikat rakaman lain setelah kontraknya berakhir.

''Kami menghormati M. Nasir dan sentiasa berharap dia mampu meneruskan kerjaya di masa depan dengan cemerlang,'' jelas Rosmin lagi.

Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

Khamis, April 20, 2000

M. Nasir Srikandi Cintaku ke Indonesia

petikan Utusan Malaysia 20 April 2000

Sebelum ini banyak penyanyi baru yang mendapat peluang memasarkan album mereka ke Indonesia. Malah ada sesetengahnya tidak mampu mencatatkan populariti di negara ini juga mendapat peluang keemasan itu.

Bagaimanapun pihak syarikat rakaman BMG semacam tidak begitu berminat untuk membawa M. Nasir terbang jauh ke negara jiran yang mempunyai potensi pasaran yang baik.

Lantas usaha syarikat rakman BMG yang memasarkan album Srikandi Cintaku di Indonesia bermula 22 Mac lalu menjadi persoalan.

Apakah ini merupakan satu langkah susulan apabila tercetusnya kontroversi yang mengatakan Nasir akan meninggalkan BMG dan berhijrah ke syarikat rakaman antarabangsa yang lain?

Malangnya usaha BMG ini agak terlambat kerana M. Nasir khabarnya sudah memilih untuk bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music.

Selepas mencatat kejayaan cemerlang mengetengahkan Zainal Abidin dan Sheila Majid ke pasaran luar negara, Warner Music dilihat lebih bersungguh-sungguh di dalam meletakkan artis tempatan di peta dunia.

Menurut sumber, M. Nasir sudah bersedia beralih angin untuk bernaung dengan Warner Music.

Dalam dunia muzik tempatan, M. Nasir satu nama yang cukup besar dan mempunyai kekuatannya di dalam bidang penciptaan serta memenangi beberapa anugerah muzik di negara ini.

Dia bukan sahaja seniman yang popular dengan muzik-muzik sejagat malah turut memberi pengertian yang mendalam terhadap kesenian dan kesusasteraan dalam banyak karyanya.

Setiap karya yang dihasilkan mempunyai mesej tersendiri yang jarang terjangkau oleh kebanyakan karyawan lain.

Andalusia misalnya, mengangkat kisah kegemilangan dan kejatuhan Islam di Sepanyol suatu ketika dahulu.

Karya Nasir dilihat begitu serasi dengan pelbagai situasi terutamanya untuk sebuah negara yang mempunyai banyak persamaan seperti Indonesia. Tidak hairanlah apabila jualan album Srikandi Cintaku mencecah 25,000 unit dalam masa tidak sampai seminggu di pasaran Indonesia.

Ini membuktikan bahawa M. Nasir mempunyai peminat di negara jiran itu dan BMG agak terlewat meluaskan jangkauan pasaran album M. Nasir.

Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

Khamis, Januari 27, 2000

Konsert Andalusia semangat kegemilangan silam

petikan Utusan Malaysia 27 Januari 2000

Dalam sejarah dunia, Andalusia adalah simbol kegemila-ngan empayar pemerintahan Islam yang melahirkan banyak tokoh cendekiawan Islam. Tetapi pada masa yang sama Andalusia juga diingati sebagai runtuhnya sebuah empayar besar pada abad ke-14.

Selepas kejatuhannya Andalusia menjadi asing dan kegemilangannya semacam hilang tanpa dijadikan sebagai iktibar pada zaman-zaman selepasnya.

Bagaimanapun selepas lagu Andalusia ciptaan M. Nasir dan lirik oleh Loloq dipilih sebagai lagu terbaik Juara Lagu '99, sejarah Andalusia semacam terkuak kembali.

Andalusia selain daripada sejarah, ia juga suatu semangat yang boleh dimanfaatkan oleh generasi sekarang untuk mencapai kegemilangan.

Bagi M. Nasir, kegemilangan dan kejatuhan Andalusia terlalu unik dan kisah sejarah ini perlu dijadikan iktibar untuk generasi selepas peristiwa itu.

Untuk itu dia mengangkat semangat kegemilangan Andalusia dalam Konsert Andalusia M. Nasir yang akan diadakan pada Sabtu ini di Stadium Merdeka.

Dengan mengangkat semangat kegemilangan Andalusia pada kurun ke-12, konsert ini pastinya akan memberikan sesuatu yang lebih bermakna dan mendalam kepada mereka yang menonton.

''Ia sebagai gambaran tentang kejayaan sesuatu tamadun bangsa. Saya mengambil semangat itu untuk dikongsikan bersama penonton,'' kata M. Nasir dalam temubual dengan Utusan kelmarin.

Bagaimanapun ketika ditanya adakah dia juga mahu mengambil iktibar daripada kejatuhan empayar Islam itu pada abad ke-14, M. Nasir dengan ringkas berkata, ''Semua orang akan tewas tetapi kita kena ambil semangatnya.''

Konsert Andalusia M. Nasir ini ditaja Touch'n Go yang diterbitkan oleh Box Office dijangka merupakan konsert terbesar pernah diadakan di negara ini.

Sebelum ini M. Nasir pernah mengadakan konsert solo yang mempunyai tema tersendiri seperti Konsert Canggung Mendonan (1992), Konsert Akar Manifestasi Akustika (1995) dan yang terbaru Konsert Gembala (1999).

Menurut M. Nasir untuk menjelmakan semangat Andalusia dan boleh dihayati oleh penonton, dia menggunakan elemen visual (senireka pentas), pencahayaan dan pemilihan lagu-lagu yang sesuai dengan konsep persembahan ini.

''Saya tidak sahaja mahu muncul menyanyi tetapi mahu penonton menghayati elemen-elemen di pentas. Tetapi saya pastikan pentas tidak menenggelamkan nyanyian,'' ujarnya.

Dia mengakui kesukaran untuk menyampaikan semangat Andalusia seperti yang difahaminya tetapi yakin boleh berhubung dengan penonton dengan lagu-lagu yang digubah semula untuk persembahan di pentas terbuka ini.

Bagi M. Nasir, dia tidak mahu teknik pementasan sahaja yang kelihatan spektakular, cahaya melantun di sana sini tetapi menenggelamkan nyanyian penyanyi.

''Elemen hiburan memang penting tetapi tidaklah sampai tenggelamkan mesej,'' tegasnya.

Dia memberitahu, reka bentuk pentas dihasilkan oleh Jalil Ngah yang mengambil kira konsep Andalusia yang ada dalam 20 buah lagu yang akan dinyanyikan dalam konsert itu.

M. Nasir menekankan bahawa Konsert Andalusia ini adalah konsert akustik dan dia menggabungkan lebih 70 pemuzik termasuk penyanyi koir dan penyanyi latar di atas pentas sepanjang 100 kaki itu.

Tanpa sebarang kejutan, M. Nasir menjanjikan sesuatu yang terbaik untuk penonton pada konsert itu disamping mesej yang mahu disampaikan.

''Gimik? Itu stail zaman dulu. Saya tak ada gimik kerana yang penting mesej sampai kepada penonton,'' tegas M. Nasir.

Dia memberitahu, yang dimaksudkan dengan mesej ialah menyampaikan de-ngan elemen-elemen hiburan dan penuh artistik.

Konsert hampir empat jam ini turut menampilkan tiga artis lain iaitu Siti Nordiana, Erra Fazira dan kumpulan Senario sebagai pembuka tirai.

Sekalipun banyak pihak mempertikaikan pemilihan artis-artis tersebut kerana bimbang persembahan artis tersebut tidak menepati konsep Andalusia tetapi kata M. Nasir, mereka bukan dalam Konsert Andalusia.

Menurutnya, artis-artis berkenaan juga tidak akan mengganggu falsafah yang ingin disampaikan kerana kemunculan mereka di dalam segmen yang berlainan.

''Dengan set pentas dan penataan cahaya dan muzik yang berbeza, suasananya tidak akan sama. Andalusia tetap Andalusia,'' jelasnya lagi.

M.Nasir juga dijangka akan berduet dengan Erra Fazira dan seorang lagi artis lelaki popular yang diundang khas di dalam persembahannya kali ini.

Peminat yang ingin menyaksikan konsert ini hanya perlu membeli kad pintar Touch'n Go yang bernilai antara RM35 dan RM100 di mana-mana kaunter jualan kad berkenaan di seluruh negara.

Mereka juga boleh mendapatkan kad ini di pintu masuk stadium pada malam konsert ini berlangsung.

Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN