ANALITIC

Rabu, April 03, 2013

Kembara masih membara

petikan cyberita 3 April 2013

Gabungan semula Kembara di Esplanade dijangka pencetus kepada banyak lagi persembahan pada masa akan datang

Oleh
HANIM MOHD SALEH

MEMANG benar kata pelukis dan penulis lirik S. Amin Sahab mengenai kumpulan Kembara - bahawa kumpulan ini lengkap ciri senimannya.

Sebagai sebuah kumpulan, Kembara berwarna bagai sebuah lukisan, nilai sasteranya terserlah menerusi keindahan dan makna mendalam akan lirik-liriknya, sementara lagu-lagunya mempunyai semangat perjuangan masyarakat yang tinggi pengaruhnya.

Kesemua ciri ini tergambar dalam konsert Kembara Ekspres Rakyat, yang pertama kali menggabungkan semula kesemua anggotanya selepas 20 tahun, berlangsung di pentas Dewan Konsert Esplanade pada Sabtu malam lalu.

Lagu-lagu yang dipersembahkan sepanjang konsert dua setengah jam itu mengingatkan kita betapa industri rakaman Melayu tanah air pada era '80-an dulu cukup tinggi dan kaya mutu seni, baik dari segi seni kata mahupun melodinya.

Kita lihat rakaman sejarah tanah air menerusi lagu Bas Nombor 13, Senandung Buruh Kasar dan Ekspres Rakyat.

Menilai sosial kehidupan menerusi lagu Duit dan Tarian Hidup dan meraikan kasih sayang dan ketuhanan menerusi Lagu Untuk Seorang Ibu dan Kepada Mu Kekasih.

Konsert itu mencatat sejarah kerana pertama kali mengumpulkan kesemua dalam satu pentas.

Ini termasuklah anggota pelopor, M. Nasir, A. Ali dan S. Sahlan, dan anggota generasi kedua termasuk pemain dram, Shahrum Basiron; pemain bes, Rahman Suri, penyanyi dan pemain gitar Zulkifli Mohamed (Zoul) dan pemain keyboard, Mohd Shah Othman.

Pengarah muzik yang selama ini bertanggungjawab menyusun banyak lagu Kembara, Ahmad Arkib, turut naik pentas sebagai pemain piano.

Konsert dibuka dengan lagu tema Ekspres Rakyat dan lagu-lagu 'pemanas' suasana seperti Khafilah dan Rupa Tanpa Wajah.

Biarpun M. Nasir tetap menjadi tumpuan sebagai penyanyi utama, penyanyi lain tetap mengekalkan peranan sebagai vokalis utama apabila membawa lagu-lagu yang pernah mereka dendangkan dulu.

S. Sahlan mendapat tepukan gemuruh kerana masih mampu menarik nada tinggi membawa lagu popularnya, Impian Seorang Nelayan dan Senandung Buruh Kasar.

Walaupun tidak banyak bercakap, Sahlan memikat penonton dengan aksinya yang cukup mengasyikkan - ayunan badan dan tangannya hampir tidak berhenti sepanjang persembahan. A. Ali yang bernostalgia dengan lagu Di Perhentian Pudu Raya juga minimal perbualannya tetapi asyik menjadi mangsa usikan, terutama daripada Rahman dan Nasir.

Zoul pula tetap tenang ketika menerajui lagu popular era '80-annya, Bunga Bakawali.

Walapun sudah lama tidak bergabung, semangat Kembara masih membara. Hentakan dram Shahrum seperti 'melepaskan geram' daripada awal hingga akhir konsert - cukup bertenaga dan garang bunyinya. Gentelan gitar Zoul juga masih menyengat dan alunan bes Rahman tetap terasa romantisnya.

Nasir sendiri masih kuat auranya sebagai penyanyi utama, bahkan memberikan persembahan terbaiknya ketika membawakan lagu Kepada Mu Kekasih.

Beliau tidak lupa memberi penghormatan kepada penulis lirik lagu tersebut, Eunosasah.

Gabungan semula Kembara di Esplanade dipercayai akan menjadi pencetus kepada banyak lagi persembahan mereka pada masa akan datang kerana sudah terdapat permintaan buat mereka beraksi di negara jiran.

Seperti kata Nasir selepas membawa lagu penutup, Gerhana, di akhir konsert: "Tahun depan kita buat konsert lagi di sini."

Tambahan : Berita Awani mengenai Konsert Kembara

Isnin, April 01, 2013

Perjuangan Kembara

Oleh Saudagar Mimpi… yang melaporkan dari ruang Dewan Konsert Esplanade Singapura.

REVIEW :
KONSERT EKSPRESS RAKYAT -KEMBARA
Sabtu : 30 Mac 2013
Concert Hall, Esplanade Singapura

"Bukan senang menjadi senang", itu antara lirik lagu Kembara. Begitulah keadaan aku yang nak pergi tengok Kembara Live di Esplanande Singapura. Bermula dari 17 Januari, aku telah mula menempah tiket secara online. Terima kasih pada bro Hamlau yang mewar-warkan di FB yang tiket sudah mula dijual, kalau tak memang lambat la nak beli tiket tu. Selesai urusan tiket, timbul pula masalah passport yang tamat pada bulan Februari. Terpaksa pula berdiri tercegat di pejabat imigresen membuat passport baru. Bukan senang sebenarnya nak masuk sempadan ni, bimbang sesat jadi bantuan google map digunakan sepenuhnya menentukan arah kembara yang dibuat nanti.

30 Mac 2013, kembaraan dibuat menuju ke kota singa menggunakan bas awam. Perancangan awal mahu naik kereta api macam Ekspress Rakyat tapi tak jadi. Setibanya di Singapura sempat juga meronda ke Marina Square, Bugis Street, Arab Street & makan briani & murtabak Singapura di Zam Zam.


Setlist Konsert Ekspress Rakyat 2013.

01) Ekspres Rakyat
02) Balada Osman Tikus
03) Kafilah
04) Rupa Tanpa Wajah
05) Sekuntum Bunga Plastik
06) Impian Seorang Nelayan
07) Di Perhentian Puduraya
08) Duit
09) Di Manakah Dikau
10) Bunga Bakawali
11) Lagu Untuk Seorang Ibu (Akustik)
12) Keroncong Untuk Ana I (Akustik)
13) Bus No. 13
14) Tarian Hidup
15) Nusantara
16) Kiambang
17) Empat Penjuru
18) Senandung Buruh Kasar
19) Impian Anak Jalanan
20) Hati Emas
21) Perjuangan

Encore:
22) Kepada Mu Kekasih (Akustik)
23) Gerhana


---------------

Jam 7.45 malam, Dewan konsert mula dibuka dan hadirin memenuhi ruang tempat duduk masing-masing. Sebagaimana dijangka, audien kali ini pukul ratanya dari mereka yang  membesar dan dewasa dengan lagu Kembara pada tahun 80an. Untuk konsert kali ini SM memilih untuk berada hampir dengan pentas dengan kesanggupan membayar tiket SG75 (tiket paling mahal seh...). Ianya sememangnya berbaloi untuk konsert yang penting dalam sejarah muzik melayu ini.

Konsert bermula dengan tayangan video pendek memaparkan S Amin Shahab. Apa yang aku dapat tangkap, S Amin Shahab menyatakan kembara itu umpama lukisan, dari satu titik ke satu titik membentuk garis yang merupakan satu perjalanan dan disitu adanya pelbagai rupa dan warna. Kalau tak silap, S Amin  Shahab menerangkan yang kumpulan Kembara mendapat namanya dari puisi "Kembara Malam" karya pelukis terkenal Latif Mohidin.

Video itu diikuti dengan temubual ringkas dengan A Ali dan S Sahlan yang menceritakan sejarah penubuhan Kembara. Pada masa yang sama ahli Kembara yang terdiri dari  Zoul, Shahrum Basiron, Rahman Suri, Md Shah Othman dan Rahman Akib bersama dua orang pemuzik undangan mengambil posisi masing masing.  Penonton sudah mula bersorak.

01) Ekspres Rakyat
Paling memeranjatkan adalah kehadiran A Ali dan S Shahlan yang berada bersama diatas pentas untuk konsert selama 2 jam setengah itu. Sorakan penonton terus menerus dan memuncak apabila sifu M Nasir turut serta di atas pentas mendendangkan lagu Ekspress rakyat bersama A Ali & S Shahlan.

02) Balada Osman Tikus
"Kau nak halang aku, halang mereka dulu, tiada undang-undang dalam hutan batu... ha..ha Haru!" Lagu yang sinonim dengan watak Osman Tikus dari filem Kembara Seniman Jalanan. Ia dinyanyikan oleh sifu dengan bertenaga sekali. Audien pula macam malu-malu kucing nak jerit "haru!" kuat-kuat. Malu tapi mahu agaknya.

03) Kafilah
Apa lagi boleh dikatakan pasal lagu berentak padang pasir ini. Sememangnya muzik Kembara bervariasi. Dari keroncong ke irama Cina semua ada.

04) Rupa Tanpa Wajah
Satu lagi lagu yang sinonim dengan filem Kembara Seniman Jalanan. Pada masa ini baru perasan bunyi drum abang Shahrum Basiron dan pemain percussion undangan agak kuat dan kadang kala menenggelamkan gitar solo yang dibawa oleh Zoul & a Ali.

05) Sekuntum Bunga Plastik
Lagu yang dicipta oleh A Ali ini dinyanyikan oleh M Nasir. Sempat M Nasir bertanya pada A Ali, siapa yang nak nyanyi lagu ini ,... dan M Nasir membawakan lagu ini dengan baik sekali.

06) Impian Seorang Nelayan
Lagu ini semestinya dinyanyikan oleh S Shahlan. Setiap kali abang S Shahlan tarik, penonton akan menjerit sebagai tanda sokongan. Abang S Shahlan masih boleh tarik suara tau, tak de nak acah-acah mikropon suruh penonton sambung lagu macam sesetengah rock star.

07) Di Perhentian Puduraya
Sebelum lagu ini mula M Nasir sempat usik A Ali, katanya A Ali dulu selalu naik bas di Puduraya. Lagu ini dinyanyikan sendiri oleh A Ali.

08) Duit
Kalau banyak duit nak buat apa? .. Khawin.. Itu antara jokes Rahman Suri (pemain bes) yang aku ingat sebelum lagu ni mula. Apa pun jerit Duit-Duit kuat kuat masa lagu ini memang puas hati. Ironinya duit dalam poket aku semakin nipis....

09) Di Manakah Dikau

10) Bunga Bakawali
Sebagaimana lagu asalnya, lagu ni dinyanyikan oleh Zoul (gitar utama) dengan bertenaga sekali.  Beliau juga memainkan solo dalam lagu ini, disamping dibantu jeritan oooo .. yang berulang-ulang dari penonton yang "duduk".

Selepas Bunga Bakawali, penonton ditayangkan dengan video S Amin Shahab yang menerangkan pentingnya seni halus dalam Kembara, Menurutnya Kembara adalah gabungan tiga unsur seni iaitu Seni Halus/Seni Lukis, Seni Kata (sastera) dan Seni Muzik. Video diteruskan dengan bual bicara ringkas dengan Eric Yeo, Penerbit Urusan Polygram, Zoul, Rahmat, Shahrom & Md Shah.

Set Akustik
A Ali & Zoul duduk disebelah kanan pentas memainkan gitar akustik untuk dua lagu

11) Lagu Untuk Seorang Ibu (Akustik)
Lagu mengenai anak yatim yang kehilangan bapa tempat bergantung. Sekuat semangat anak dalam lagu itu, sekuat itulah kehebatan lagu ini.

12) Keroncong Untuk Ana I (Akustik)
Ni lagu cinta mengenai orang lain, seloroh sifu sebelum memulakan lagu ini.

13) Bus No. 13
Lagu ni memang aku jangkakan dimain di Singapura sebab ia lebih dekat dengan penonton yang rata-ratanya warga Singapura. Lagu Sesat di Kuala Lumpur tidak dimainkan pada konsert ini.

14) Tarian Hidup
Sifu mula mula macam tertinggal nak masuk lagu ni tapi bila dah mula, jangan cakap apa apa lagi. Gerek seh!

15) Nusantara
"kulit warna sawo matang..
adat resam pegangannya..
gotong royong satu amalan..
indah budi bicara...

marilah bersatu padu..
dengan semangat nusantara..
hidup generasi baru..
kekal selamanya..."

Di akhir lagu M Nasir meminta penonton menyanyi beramai ramai part ni, tapi penonton tak terikut sangat. Agaknya berbelit belit atau tak hafal lirik kot.

16) Kiambang
Lagi lagu pasal bunga yang kesepian. Ada sesiapa kesepian? tanya sifu sebelum membawakan lagu ini.

17) Empat Penjuru
Lagu mengenai Penjara. Ya la, dulu masa muda - Jahat.. selorohnya diikuti ketawa penonton.

18) Senandung Buruh Kasar
Lagu ini dibawakan secara harmoni oleh Kembara.

19) Impian Anak Jalanan
Bagi aku ini lagu semangat! Best dengar lagu ni secara "live".

20) Hati Emas
Sebelum memulakan lagu ni, sifu berjenaka lagu ni boleh meruntuhkan dewan. Jadi penonton boleh pilih untuk bangun, menari atau tidur. Satu dewan bantai gelak.

21) Perjuangan
Lagu terakhir sebelum "encore", Penonton ramai yang tidak lagi hanya duduk dan menyanyi  larilalarila....bersama Kembara! Mengujakan!

Semua ahli Kembara meninggalkan dewan dan penonton sudah mula bising dan menjerit meminta lagu lain. ada juga yang mula menjerit "We Want More!" bersama-sama.

Encore:
Pentas digelapkan dan Kembara kembali ke pentas mendendangkan dua lagu lagi.

22) Kepada Mu Kekasih (Akustik)
Terus terang aku katakan ini adalah persembahan terbaik Kembara pada malam konsert itu. Lagu Kepada Mu Kekasih ini diberi nafas baru yang lebih dramatik dan dibawakan dengan penuh syahdu. Meremang bulu roma! kata isteri SM. Di akhir lagu M Nasir menyatakan lagu awet muda itu ditulis olehnya dan lirik oleh Eunosasah. Persembahan itu adalah satu "homage" (penghormatan) buat penulis lirik Eunosasah.

23) Gerhana
Lagu terakhir paling dahsyat. Masing masing dah berdiri dan menyanyikan "gerhana ooooh gerhana...ooo gerhana dalam jiwaku!
Konsert akhirnya tamat setelah berlangsung 2 jam 30 minit tanpa henti.

Kembara mengucapkan terima kasih kepada penonton yang telah hadir. Penonton di baris depan mengambil kesempatan bersalaman dengan anggota Kembara seperti A Ali dan S Shahlan.  Penonton  mula meninggalkan dewan dan menuju tempat bersembang pintu keluar.

Ada juga sudah siap sedia berbaris untuk mengambil autograf kumpulan Kembara. Ada  juga yang mengambil kesempatan bergambar dengan S Amin Shahab yang mempamerkan lukisannya sempena konset Ekspress Rakyat 2013.
Selepas berjumpa beberapa kenalan, di saat akhir sempat juga aku beratur dan mendapatkan autograf dari kesemua anggota Kembara. Autograf pada kulit cassette Kembara Duit aku yang berusia lebih sedekad itu akhirnya ditanda tangan semua anggota Kembara. Abang A Ali, S Shahlan, Shahrum Basiron (pemain dram) Mohd Shah Othman (pemain kibod)  Rahman Suri (pemain bes) Rahman Akib, Zoul (Gitar) & Datuk M. Nasir (penyanyi utama).

Abang semua memang Rock!

Terima Kasih atas persembahan hebat!

Tahniah atas usaha penganjur membawakan Kembara ke Esplanade.
Harapannya , moga konsert itu diterbitkan dalam bentuk DVD atau BluRay sebagai bukti kenangan dan khazanah sejarah industri muzik nusantara.

Isnin, Mac 25, 2013

Kembara fantasi M. Nasir


petikan Kosmo 25 Mac 2013
Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
M. NASIR bersama Bombay (dua dari kanan), Mohamed Juhari (tiga dari kiri) dan barisan penaja Konsert M. Nasir Sang Pencinta yang dijadualkan berlangsung di Istana Budaya dari 7 hingga 9 Jun ini.

BUKAN sekali, namun dua kali karyawan seni berwibawa Datuk M. Nasir diberi kepercayaan mengadakan konsert di pentas berprestij Istana Budaya.

Kali terakhir komposer, penulis lirik, penyanyi dan pelakon terkenal ini mengadakan konsert di Istana Budaya adalah empat tahun lalu yang diberi nama Konsert Alam Muzik.

Kali ini, dengan sambutan yang menggalakkan terhadap konsertnya yang lepas, M. Nasir kembali dengan konsert solo baharu pada tahun 2013 yang dikenali sebagai M. Nasir Sang Pencinta.

Konsert yang bakal diadakan selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Jun ini di Panggung Sari dibawakan oleh Bombay Worldwide.

Ia juga mendapat kerjasama dan sokongan Red On Black, Belbis dan pihak Istana Budaya sendiri.

Apa yang menariknya, tidak seperti konsert solonya yang lain, M. Nasir bakal menampilkan kelainan dengan dijadualkan membawa penonton konsert itu nanti ke alam maya M. Nasir yang menyentuh jiwa.

“Konsert M. Nasir kali ini akan digabungkan dengan elemen fantasi yang mana kami akan membawa peminat mengembara bersama M. Nasir selama beberapa dekad dia bergelar penyanyi.

“Ia juga akan menjadi seperti semi-muzikal yang mana kami akan gunakan elemen visual dan audio untuk menyelam dan menjiwai karya M. Nasir yang akan dipersembahkan olehnya kelak,” ujar peneraju Bombay Worldwide , Zamberi Shaari pada sidang akhbar di Restoran Istana Bambu, Jalan Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.

Sidang akhbar tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Selain itu, kumpulan muzik yang mengiringi konsert M. Nasir kelak ialah gabungan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), kumpulan muzik gamelan dari Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dengan Aznan Alias sebagai pengarah muzik.

Tutur M. Nasir pula, pada konsert kali ini, dia akan membuat persembahan solo sepenuhnya dan tidak turut menampilkan artis lain atau kumpulan yang dianggotainya suatu ketika dahulu iaitu Kembara.

"Konsert kali ini sememangnya akan membawa kelainan dan serta pembaharuan di mana saya boleh katakan ia sangat berbaloi untuk ditonton. Tentang lagu pula, saya akan gabungkan lagu lama dan baharu.

“Lagu-lagu yang dipilih juga akan mempunyai elemen pengembaraan,” jelas M. Nasir yang turut akan berlakon dalam persembahannya kelak.

Tambahnya, dia memilih judul pencinta kerana mahu orang faham dengan apa yang dipaparkan. Ia juga lebih kepada kerohanian tentang diri manusia.

Sebanyak lebih 20 buah lagu yang bakal didendangkan oleh komposer, penulis lirik dan penyanyi terkenal ini yang dianggarkan berdurasi selama lebih dua jam.

Dengan itu, M. Nasir sendiri berharap akan dapat memberi ilmu kepada golongan muda mudi yang hadir menonton konsert ini kerana katanya ia merupakan pengalaman yang tidak akan didapati di tempat lain.

Justeru, bagi peminat M. Nasir yang ingin mendapatkan tiket untuk menyaksikan persembahan Sang Pencinta, boleh layari laman www.ticket2u.biz atau hubungi ticket2u di talian 03- 4147 8600. Tiket-tiket dijual pada harga bermula RM65 hingga RM455.

Sabtu, Mac 23, 2013

M Nasir to cameo in Bruneian film


taken from Borneo Bulletin 23 March 2013
Aziz Idris  

ACCLAIMED actor and singer-songwriter, Dato’ Mohamad Nasir Mohamad or M Nasir is currently in the Sultanate to promote his involvement in the upcoming Bruneian film, “Yasmine – the Final Fist”, where the award-winning Singaporean-born Malaysian plays a fallen Silat warrior.

During a press conference held in conjunction with movie launch of film at i-Centre, Berakas yesterday, the multi-talented artiste announced to members of the media that he will make a cameo appearance in the film acting as a “dark character”, a role which he described as “very challenging”. He is also one of the first confirmed casts in the film.

Dato’ M Nasir speaking at the press conference. – AZROL AZMI

Dato’ M Nasir will play a fallen Silat Warrior, who practices dark Silat moves. According to the synopsis of the film, he lives alone and rumours state he still practices his dark arts and takes in apprentices to carry on his legacy.

He also expressed his appreciation to the director, Siti Kamaluddin for offering the role.

“I’m friends with Siti and when I heard that she will be directing a film, I was not surprised because I believe she is very talented,” adding that from the experienced technical team and talented international artistes, the film will be a “good production”.

Dato M Nasir also urged the public, especially from Brunei, to support the film as this is important for development of the fledging film industry in the country.

Viewed as a living legend by the industry, Dato’ M Nasir has an immense resume as a poet, singer-songwriter, composer, producer, actor and film director. Viewed as a living ledged by the industry, he has kept his Malay roots eminent in all of his works and has strung a profuse number of awards in each of his entertainment endeavours.

Khamis, Mac 21, 2013

M Nasir janji kelainan


petikan Berita Harian 21 Mac 2013
Serimah Mohd Sallehuddin

M Nasir bersama Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Muhd Juhari Shaarani (tiga dari kiri), Zamberi (dua dari kanan) dan penaja.

Konsert Sang Pencinta di IB Jun depan gabung elemen canggih audio, visual

Selepas empat tahun, penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir, kini bersedia untuk kembali beraksi dalam sebuah persembahan berskala mega di Istana Budaya.

Artis serba boleh yang turut digelar sifu muzik itu bakal muncul bersama Konsert M Nasir Sang Pencinta pada 7 hingga 9 Jun depan. Malah penganjur dan penyanyi itu sendiri berjanji, persembahan kali ini pasti berbeza dengan konsert Alam Muzik - M Nasir yang dipentaskan di dewan berprestij itu pada Februari 2009.

Penerbit dan penganjur dari Bombay Worldwide, Zamberi Shaari, yakin peminat juga akan berpuas hati dengan konsert berkenaan, walaupun harga tiket dirasakan agak tinggi berbanding persembahan sebelumnya.

“Konsert ini bakal memberikan kelainan dengan menggunakan kelengkapan canggih. Kita akan menggabungkan elemen audio dan visual untuk membawa penonton menyelami karya M Nasir, bukan sekadar mendengar lagunya.

“Pada konsert ini juga kami menggunakan kaedah ‘visual mapping’ di mana projektor akan diguna pakai dengan meluas. Imej daripada projektor akan dipancarkan ke pentas, juga pada prop dan belakang pantas. Ketiga-tiganya akan saling berkait dan diadunkan bersama dengan audio yang akan memberikan kesan lebih menarik lagi.

“Malah pada konsert yang mempunyai ciri teater muzikal itu, kita turut menyediakan papan cerita di mana M Nasir akan berlakon agar pengembaraan yang ingin kita sampaikan dapat dilihat penonton. Sebab itu saya katakan, penonton tidak akan berasa rugi dengan harga tiket yang mereka keluarkan,” katanya.

Nyanyi lagu kegemaran 
Konsert M Nasir Sang Pencinta bakal menghimpunkan lebih 20 lagu yang dipilih penyanyi itu sendiri. Bakal diarahkan oleh Nan, konsert terbabit akan diiringi pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan dan muzik gamelan oleh Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

Sementara itu M Nasir pada majlis sidang media mengumumkan penganjuran konsert itu di ibu kota, kelmarin, berkata persembahan berkenaan amat penting kerana ia menjadi kesinambungan kepada kerjaya seninya.

Jelasnya, lagu yang bakal disajikan nanti turut berbeza daripada apa yang pernah dipersembahkan olehnya sebelum ini.

“Ia ibarat satu kaset yang ada dua bahagian. Sebelum ini saya banyak menyanyikan lagu di bahagian A, tetapi untuk konsert kali ini, saya memilih untuk menyanyikan lagu daripada bahagian B pula.

“Lagu yang saya pilih ini ialah karya yang menjadi kegemaran saya, tetapi saya juga memastikan ia turut dikenali peminat. Saya cuma mengharapkan peminat faham apa yang cuba saya sampaikan dalam konsert itu nanti.

“Saya akan berlakon sedikit-sedikit, tetapi tidaklah membabitkan dialog. Apa yang ingin saya paparkan lebih kepada pengembaraan kerohanian seorang manusia,” katanya.

* Tiket menyaksikan konsert itu dijual dengan harga RM65 hingga RM455. Ia boleh didapati dengan melayari laman web ticket2u.biz, atau hubungi talian Hotline di 03-41478600 dan IB Box Office 03-21618134.

*Tambahan video : Berita Astro Awani mengenai Konsert Sang Pencinta

Sang Pencinta M Nasir

petikan Harian Metro 21 MaC 2013
Oleh Norhadiani Baharom

EMPAT tahun lalu, beliau menakluk Istana Budaya menerusi sebuah persembahan dinamakan Konsert Alam Muzik yang melakar sejarah tersendiri kepada pihak Istana Budaya, di mana ia diiktiraf antara produk terlaris dan paling berjaya pernah dipentaskan.

Kini, beliau kembali dan konsert yang diberi nama M Nasir Sang Pencinta bakal direncanakan pada 7 hingga 9 Jun nanti berkonsepkan semi muzikal. Ini sekali gus menawarkan kelainan yang belum pernah disaksikan dalam mana-mana persembahan Datuk M Nasir sebelum ini.
Semi Muzikal menurut M Nasir, konsep persembahan yang menuntut­nya melatih penghayatan bukan saja dalam bentuk nyanyian tetapi juga pergerakan bahasa tubuh yang bakal merangsang penonton menghayati lagu-lagunya.

“Konsert ini berbeza dari segi konsepnya kerana ia diselitkan unsur lakonan muzikal selain mengga­bungkan elemen audio dan visual menerusi visual mapping yang diadunkan.

“Saya akan berlakon tanpa dialog atau saya sebenarnya lebih senang menyifatkan ia sebagai satu pergerakan yang bersesuaian dengan visual bakal dipaparkan.

“Tidak banyak dapat dikongsi bersama kerana untuk mendapatkan penceritaan penuh konsert itu, perkara pertama harus dilakukan adalah menghimpunkan 20 seleksi lagu yang ingin disampaikan terlebih dulu. Setakat ini Kembara, Kupu Kupu, Demi Masa dan Ya Salam, sebahagian lagu dalam rencana persembahan saya.

“Apa yang boleh saya katakan di samping saya sendiri mempunyai idea bagaimana bentuk pergerakan bakal dilakukan nanti, tetapi bantuan beberapa koreografer turut memainkan peranan penting dalam pementasan konsert ini nanti.

“Harapan saya kalau boleh saya mahu menghi­dupkan suasana keterujaan penonton dalam mengembara bersama penyampaian lagu-lagu itu,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert M Nasir Sang Pencinta yang diadakan di restoran Bambu, kelmarin.

Turut hadir pada majlis penuh bermakna itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani dan Penerbit merangkap Pengarah Konsert dari Bombbay Worldwide, Zamberi Shaari termasuk Pengusaha Restoran Istana Bambu, Afandy Alias.

Penghibur terkenal dengan lagu Kembara itu menga­kui berbesar hati dapat kembali di pentas Istana Budaya yang disifatkannya antara pentas terbaik untuk persembahan konsert akustik di negara.

“Kita harus wujudkan lebih banyak pentas per­sembahan yang berprestij di negara ini kerana bilangan pentas yang bagus boleh dikira dengan jari dan keadaan itu membuatkan pe­nyanyi lebih senang meng­gunakan khidmat lokasi pentas yang sama setiap kali mengadakan konsert.

“Punca sesetengah persembahan gagal kerana mereka berada di pentas yang salah. Istana Budaya misalnya serba lengkap baik dari segi kepakaran dan teknologi menawarkan satu bentuk persembahan yang hebat,” katanya yang mempunyai perancangan menga­dakan konsert ber­skala besar tidak lama lagi.

Khazanah muzik M Nasir 

Konsert M Nasir Sang Pencinta ini adalah sebahagian daripada Program Istana Budaya 2013 yang bakal menampilkan khazanah muzik hasil gubahan M Nasir dengan menampilkan persembahan penuh gilang gemilang dan pasti dapat mencuri perhatian khalayak pencinta muzik tanah air melalui sentuhan elemen fantasi yang pasti akan membuat penonton terhibur secara audio dan visual.

Dibawakan Bombbay Worldwide dengan kerjasama Red on Black dan Belbis serta sokongan Istana Budaya menampilkan Aznan Alias sebagai Muzikal Di­rektor dan Mohd Rafi Shafie selaku ‘string arranger’.

Kehebatan konsert M Nasir Sang Pencinta akan terserlah dengan gabungan pemuzik handalan tahah air serta iringan string daripada OSK (Orkestra Simfoni Kebangsaan) dan cantuman hebat daripada gamelan OTM (Orkestra Tradisional Malaysia) pasti membawa satu pembaharuan yang lebih baik buat karya muzik M Nasir untuk peminat setianya.

Ciri-ciri mewah konsert ini turut mempengaruhi harga jualan tiket dengan kadar harga RM65, RM85, RM145, RM185, RM225, RM245, RM265, RM325 dan RM455, yang jauh lebih mahal jika dibanding­kan dengan Konsert Alam Muzik.

Penerbit merangkap Pengarah Konsert dari Bombbay Worldwide, Zamberi Shaari berkata, sekalipun harga tiket yang dijual agak mahal namun ia berbaloi dengan apa yang ingin ditonjolkan.

“Kami akui harga tiket agak mahal namun sebagai penganjur, kami memastikan apa yang ditawarkan dari segi kehebatan visual dan audio terbaik berbaloi dengan pelaburan penonton dan peminat Datuk M Nasir,” katanya.

Bagi yang ingin menempah tiket, layari www.ticket2u.biz atau hubungi talian Hotline di 03-41478600 atau IB Box Office iaitu 03-21618134.

Nasir hits comeback trail

taken from The Malay Mail  21 March  2013
by Gayathri Kunasegaran

Sang Pecinta brings sifu full circle

JUBILANT: Nasir (third, right) with the producers of the show

WITH so many kudos to his name, one has a hard time trying to decide how to address the charming and multi-talented Datuk M. Nasir, but the man is cool. We just call him Sifu (mandarin for ‘master’).

After a hiatus, and fortunately for us, since performing at Konsert Alam Musik, four years ago, the jovial Singaporeborn Malaysian poet, composer and producer — Datuk Mohamad Nasir Mohamad — will be rubbing his hands with glee, thanks to a collaboration with the producer and the director of Bombbay Worldwide — a new concert titled Sang Pencinta.


LOCAL POET PRINCE: Nasir will touch souls with Sang Pencinta

With this upcoming concert, the poet aims to touch souls even more. Sang Pecinta will be a two-hour spectacular to be staged from June 7-9 at Panggung Sari, Istana Budaya, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Speaking of a fantasy theme, Nasir said the show would be exciting, a blend of 3D lookalikes with a combination of audio and visual experience for his fans.

During a recent interview, Nasir said that Sang Pencinta inherently possesses a symphonic quality, one that will inspire the younger generation in a way that’s peculiar, compared to other local performances.

Sang Pecinta, however, is still a work in progress. With support from Red On Black & Belbis, Bombbay Worldwide has been organising concerts for mega artistes at the Istana Budaya and is involved in this to bring an amazing piece of work for fans of M. Nasir.

For Sang Pencinta, Nasir is collaborating with musicians from the National Symphony Orchestra (OSK) and National Traditional Orchestra (OTM).

“This concert will be a new experience for all,” said the singer-songwriter, whose most popular and evergreen hit songs have included Gong, Canggung, Akar and Andalusia.

Tickets to Sang Pencinta are priced at RM65, RM85, RM145, RM185, RM225, RM245, RM265, RM325 and RM 455 and are available at ticket2u.biz.

For more information, call 03 4147 8600 or 03 2161 8134

Selasa, Mac 19, 2013

Konsert Sang Pencinta - M Nasir di Istana Budaya

sumber : Utusan Malaysia

Petang tadi telah berlangsung sidang media Konsert Sang Pencinta - M Nasir di Istana Bambu, Jalan Ampang. Konsert yang akan berlangsung di Istana Budaya pada  7, 8 & 9 Jun 2013 ini dibawakan oleh Bombbay Worldwide bersama rakan setianya, Red On Black serta Belbis. Hadir sama pada sidang akhbar petang tadi ialah Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani.

Dalam sesi soal jawab, Bombbay menjelaskan konsert Sang Pencinta dijangka mengambil masa dua jam ke dua jam setengah dan ia adalah kembaraan dalam seni menggunakan visual mapping iaitu visual artistik. Visual mapping akan dibahagikan kepada tiga dimensi dan setiap satu berkaitan dengan muzik dan lagu yang akan disampaikan oleh M. Nasir kelak.

Tiket untuk menyaksikan Konsert M. Nasir Sang Pencinta sudah boleh didapati di www.ticket2u.biz atau boleh hubungi pihak IB Box Office di talian 03 21618134.

**Untuk membaca laporan penuh sidang media tadi bolehlah layari laman Utusan ini
*** Untuk melihat video pendek sidang media itu sila ikuti link ini . video 1 / video 2 / video 3/ video 4/ video 5 / video 6 / video 7
**** tambahan video : temubual Konsert Kembaraan M Nasir

Pentas Konsert Di Malaysia Kualiti Rendah - M. Nasir


petikan Mstar 19 Mac 2013
Oleh FERIDE HIKMET ATAK

AMPANG: Kemudahan pentas untuk tujuan persembahan di negara ini masih berkualiti rendah membuatkan penyanyi tempatan terpaksa menggunakan pentas yang sama jika ingin mengadakan konsert.

Karyawan Datuk M.Nasir berkata, jumlah pentas yang benar-benar berkualiti adalah terhad mengakibatkan para artis gagal memberikan persembahan terbaik kerana berada pada tempat yang salah.

“Bilangan pentas bagus boleh dikira dengan jari dan keadaan itu membuatkan para penyanyi lebih senang menggunakan khidmat lokasi pentas yang sama setiap kali mengadakan konsert.

"Ramai penyanyi gagal memberikan persembahan terbaik kerana mereka berada di pentas yang salah. Sebenarnya pemilihan pentas amatlah penting bagi yang ingin mengadakan konsert,” katanya. Beliau temui pada sidang media konsert ‘M.Nasir Sang Pencipta’ di restoran Istana Bambu, di sini, Selasa.

Tambah penyanyi lagu Mustika itu, keadaan tersebut juga membuatkan dia lebih senang beraksi di pentas Istana Budaya (IB) kerana mempunyai kelengkapan yang cukup.

Katanya, sesebuah pentas yang berprestij perlu meliputi beberapa perkara termasuklah daripada segi teknikal bagi konsert akustik atau elektrik selain reka bentuknya yang turut memainkan peranan bagi menarik perhatian penonton.

Sementara itu mengenai konsertnya, ia bakal diadakan pada 7 hingga 9 Jun 2013 di Panggung Sari IB anjuran Bombbay Worldwide.

Beritahu M.Nasir, konsert berkenaan adalah berbeza dari segi konsepnya kerana ia diselitkan dengan unsur-unsur lakonan muzikal selain menggabungkan elemen audio dan visual menerusi visual mapping yang diadunkan.

"Saya akan berlakon tanpa dialog tetapi hanya menerusi lagu-lagu yang saya bawakan.

"Kalau boleh saya mahu menghidupkan suasana keterujaan penonton dalam mengembara bersama penyampaian lagu-lagu itu.

"Ada juga beberapa koreografer yang ditampilkan dan semua itu masih lagi dalam persiapan. Insya-Allah para penonton akan terhibur dengan persembahan saya nanti," katanya.

Bagi yang ingin menempah tiket, layari www.ticket2u.biz atau hubungi talian Hotline di 03-41478600 atau IB Box Office iaitu 03-21618134.

Tiket-tiket dijual pada harga RM65, RM85, RM145, RM185, RM225, RM245, RM265, RM325 dan RM455.

Isnin, Mac 11, 2013

Kembara hasilkan single untuk peminat

petikan astroawani  11 Mac 2013

KUALA LUMPUR: Ekspres Rakyat, Gerhana, Hati Emas, Kolar Biru dan Duit merupakan antara lagu-lagu kumpulan Kembara yang menjadi siulan anak muda awal 80-an.

Hingga kini, setelah lebih 20 tahun, lagu-lagu dari kumpulan Kembara masih menjadi pilihan penggemar muzik tanah air.

Menyedari Kembara dan lagu-lagu senandung rakyat mereka yang masih mendapat tempat, anggota kumpulan tersebut berhasrat untuk menerbitkan single terbaru sebagai hadiah kepada peminat yang masih menyokong mereka.

Salah seorang pengasas kumpulan Kembara, Datuk M. Nasir yang masih aktif berkarya hingga hari ini berkata, selain single baru, kumpulan tersebut juga berhasrat untuk merakam semula semua lagu-lagu lama mereka dalam bentuk akustik.

"Berkemungkinan kami akan merakam semula semua lagu-lagu kami sebelum ini ataupun hanya fokus kepada penciptaan lagu baru sahaja," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan untuk Konsert Ekspres Rakyat Kembara di Muzium Toko, Yayasan warisan di Johor Bahru baru-baru ini.

Sementara itu, bagi A.Ali, perbincangan untuk menerbitkan sebuah single baru sedang berjalan bersama syarikat rakaman Luncai Emas.

Beliau menjelaskan ketiga-tiga anggota Kembara perlu duduk bersama-sama mencari melodi yang sesuai dan membuat susunan muzik yang beridentiti Kembara.

Katanya lirik pula akan diserahkan kepada S. Amin Shahab atau M.Nasir kerana Kembara lebih sinonim dengan lirik ciptaan mereka berdua.

"10 lagu atau 12 lagu lama sahaja tidak mencukupi. Oleh itu kami perlu ,membuat lagu baru untuk Kembara.

"Kami akan berusaha mencari melodi yang sesuai dengan konsep Kembara. Untuk memperoleh hasil ini, kami bertiga perlu berkumpul bagi mendapatkan lagu dengan identiti Kembara" kata A.Ali yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu tahun 1987 menerusi lagu Menaruh Harapan nyanyian Zaiton Sameon.

Sementara seorang lagi anggota Kembara, Sahlan berkata, Kembara  berkemungkinan bakal keluar dengan sebuah single baru kerana mereka bertiga benar-benar berjiwa muzik.

Dalam perkembangan yang sama, Kembara bakal mengadakan sebuah konsert di Esplanade Singapura pada 30 Mac nanti.

Ini merupakan konsert pertama mereka selepas 20 tahun tidak mengadakan persembahan bersama.

Konsert Ekspres Rakyat Kembara akan menampilkan kesemua anggota asal kumpulan tersebut dan ia menjadi salah satu konsert yang dinanti-nantikan oleh peminat di Singapura kerana Kembara merupakan ikon muzik negara tersebut.

Bagi penerbit bersekutu Konsert Ekpres Rakyat Kembara, Norhayati Yusuf, kumpulan ini dipilih kerana mereka membawa kelainan berbanding kumpulan muzik lain.

Selain itu Kembara dipilih kerana kualiti lagu dan muzik yang mereka bawakan yang masih tiada gantinya.

Perbincangan untuk mengadakan konsert ini sudah dilakukan sejak setahun yang lalu bersama beberapa pihak termasuk anggota kumpulan Kembara.

"Mereka membawa kelainan untuk pemuzik dan juga peminat di Singapura, Malaysia dan mungkin juga di Indonesia. Saya tahu ramai peminat di luar sana yang menanti-nantikan kepulangan mereka, dan semua ini disebabkan oleh kualiti yang akan dibawa oleh kumpulan Kembara," kata Norhayati.

Katanya Kembara mempunyai pengaruh yang besar dikalangan pemuzik tempatan termasuk pemuzik muda.

"Ramai yang merindukan lagu-lagu yang berkualiti seperti ini dan anda pasti dapat mendengar lagu-lagu seperti di konsert Kembara nanti," katanya yang turut merancang persembahan beberapa artis lain di Esplanade tahun ini.

Bagi M. Nasir, nostalgia ketika bersama Kembara masih aktif mungkin tidak dapat dirasakan semasa konsert di Esplanade nanti. Namun katanya, dengan semua anggota asal masih bersama, kerinduan peminat terhadap Kembara akan terubat.

Selepas konsert di Singapura, kumpulan Kembara berhasrat untuk mengadakan konsert di Kuala Lumpur dan beberapa tempat lain.

Untuk konsert selama lebih dua jam ini nanti, latihan telah diadakan sejak beberapa bulan yang lalu.

Ini kerana, mereka tidak mahu berada di atas pentas tanpa persediaan yang rapi hingga menghilangkan kualiti kumpulan Kembara yang pernah dikenali.

“Latihan amat penting dan kami perlu bersikap serius bagi menghadapi konsert ini," kata A.Ali yang menegaskan Kembara bukan hanya muzik tetapi perjalanan setiap individu dalam menempuh hidup.

Sementara Zoul Muhamad yang menggantikan A.Ali dalam Kembara berkata konsert ‘reunion’ ini memberi makna tersendiri. Beliau yang bersama Kembara pada tahun 1984 menyifatkan penyertaannya bersama kumpulan tersebut sesuatu yang tidak diduga.

"Menggantikan A.Ali dalam Kembara merupakan satu langkah yang besar dalam karier muzik saya," kata Zoul.

Mereka berharap konsert ini akan menjadi kenangan terindah buat semua peminat muzik terutama peminat kumpulan Kembara dan mampu mengubat kerinduan sebahagian besar mereka yang lama menantikannya.

*Untuk melihat petikan berita & temubual mengenai persiapan Kembara ke Espalanade layari video ini.  VIDEO BERITA 1 (1:21 minit) :  VIDEO BERITA 2 (3:19 minit) 

Video Latihan Kembara dari Youtube