ANALITIC

Sabtu, Disember 04, 2010

M.Nasir Menang Anugerah Nadi Cipta MACP 2010

petikan mstar 4 Disember 2010
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

M.Nasir memenangi tiga anugerah di Malam Mesra MACP 2010

KUALA LUMPUR: Komposer tersohor, M.Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed memenangi tiga anugerah di Malam Mesra Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2010 di Hotel Crown Plaza, di sini, Jumaat.

Buat kali ke-10, penyanyi dan penerbit lagu ini mengungguli anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak.

Paling membanggakan, buat pertama kalinya, dia memenangi anugerah Nadi Cipta. Selain itu, syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd memenangi anugerah Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak.

Seiring dengan kejayaan M. Nasir, MACP turut mengiktiraf kejayaan sahabat karib dan gandingannya dalam membuat lagu baru iaitu penulis lirik Allahyarham Rosli Khamis (Loloq) apabila lelaki itu memenangi anugerah Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak berturut-turut.

Sementara itu, Noh Hujan atau nama sebenarnya Mohd Noh Salleh memenangi anugerah Komposer Muda Berpotensi (25 tahun ke bawah), anugerah Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak dimenangi oleh EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd, Lagu Luar Negara: Kategori Persembahan Terbanyak (Hanya Kau Yang Mampu/ Aizat/ Yusni Hamid).

Turut memenangi anugerah pada malam itu adalah Lagu Melayu: Kategori Persembahan Terbanyak (Buronan Cinta/The Lima/Edry Abdul Halim), Lagu:Kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi (Freak/Sandy Rivera & Haze), Lagu Inggeris:Kategori Persembahan Terbanyak (You/Too Phat & Sharifah Aini/Haze & Malique & Joe Flizzow) dan Lagu Cina:Kategori Persembahan Terbanyak (Xian Zai Hen Xiang Jian Ni/Daniel Lee/Zhang Jue Long).

Setiap pemenang membawa pulang hadiah berbentuk trofi.

Majlis yang diacarakan oleh Bob Lokman itu turut dihadiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Pengerusi MACP, Habsah Hassan

Khamis, November 18, 2010

Konsert Alam DVD9???


Kelmarin ketika SM pulang berhari raya di kampung, sempat la singgah dkt kedai  yg menjual pelbagai jenis DVD  ni. Belek punya belek, terjumpa DVD9 ini. Nampaknya seperti biasa, kalau DVD tu dapat sambutan, pastinya ia akan dicetak rompak. DVD M Nasir Konsert Alam Muzik ini tidak terkecuali.

Bagi peminat sifu di luar sana, beli la yang Ori.

Rabu, November 17, 2010

Music Aid 2010

Pelbagai masalah dan musibah menimpa para pemuzik tempatan sejak kebelakangan ini. Nama-nama besar sebelum ini seperti Yazid Search, Booty Boy, Zainal Rampa dan ramai lagi kini sedang terlantar sakit mahupun dilanda pelbagai kesulitan. Terbaru adalah kehilangan penyanyi Shamrin Fotograf.

Menyedari hakikat ini, Karyawan bakal merangka satu acara bagi membantu para pemuzik tanahair iaitu program Music Aid 2010 : Dari Pemuzik untuk Pemuzik” dengan tujuan pengumpulan dana Tabung Kebajikan dan Kecemasan Pemuzik , dibawah Biro Pemuzik Professional Karyawan yang diketuai oleh Aznan Alias. Turut menyokong dan membantu ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya, serta tajaan sistem PA dari Mubari Sound & Light dan Heaven Studio.

Ianya satu acara persembahan yang menampilkan kepelbagaian genre yang akan diadakan pada Ahad , 21 haribulan November 2010, bertempat di Dewan Sivik Petaling Jaya , bermula jam 3.00 petang sehingga jam 12.00 malam. Diantara para artis yang sudah mengesahkan penglibatan mereka ialah M.Nasir, Ramli Sarip, Spider, Faizal Tahir, Ana Rafali & Marhean, Suhu dan kepelbagaian artis seperti Satira, Fieldplayer, Maharajah, Naizel, Transformasi DS, Loudspeaker, Sharinband, Dezmelon, Genskii, Mercyside, Roundrobin dari label seperti 2crank.com, Sonic Velocity, PAVA, Jazzcomn dan sebagainya. Pengilang peralatan muzik Soundline juga bakal membuka ruangan pameran dan jualan mereka disana dimana 5% dari setiap pembelian akan disalurkan kepada tabung kebajikan ini.

Bagi yang berminat untuk hadir , sistem sumbangannya ialah dengan kos minimum RM 30 bagi durasi persembahan yang bermula sejak jam 3.00 petang sehingga 12.00 malam.

Jadi, jangan lupa untuk hadir, berhibur sambil menderma . Kehadiran anda adalah manfaat dan rahmat yang besar bagi mereka yang sedang memerlukan bantuan ini.

Selasa, November 16, 2010

Pertama, terakhir daripada Marlia Musa

Pertama, terakhir daripada Marlia Musa
petikan Utusan Malaysia 16 November 2010
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar ZAKARIA IDRIS

MANIS bertudung Merah turut membabitkan penyertaan para pelakonnya yang terdiri daripada penonton di panggung tersebut.

SELAIN bergelar pelakon dan pensyarah di Fakulti Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Marlia Musa juga merupakan pengarah dan aktivis teater tanah air sejak lebih dua dekad lalu.

Sepanjang bergelar pengarah, isteri penyanyi M. Nasir ini telah mengarahkan pelbagai jenis teater termasuklah teater kanak-kanak berjudul Manis Bertudung Merah di Panggung Eksperimen, Aswara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurut Marlia, naskhah itu merupakan teater kanak-kanak pertama dan terakhir yang diarahkannya selepas dia menyedari bukan mudah untuk mengarahkan teater genre tersebut.

“Ini adalah teater kanak-kanak pertama yang saya arahkan dan ini juga kali terakhir saya mengarahkan teater kanak-kanak. Saya dapati amat sukar untuk mengarahkan genre ini berbanding genre-genre lain.

“Mengarahkan teater untuk tontonan orang dewasa lebih mudah kerana gaya bahasa, jalan cerita, mesej dan arahannya dihalakan secara terus. Sementara teater kanak-kanak memerlukan masa dan penelitian.

“Saya tidak mahu memperendah-rendahkan nilai pemikiran kanak-kanak. Banyak aspek misalnya, daripada segi psikologi yang harus ditekankan dalam pementasan teater kanak.

“Sebab itu saya harap para penonton yang 80 peratus penonton Manis Bertudung Merah pada malam ini yang terdiri daripada kanak-kanak faham tentang teater arahan saya ini,” ujarnya.

Para pertemuan dengan Hits selepas berakhirnya pementasan teater yang dipersembahkan oleh para pelajar peringkat diploma Aswara itu, Marlia berkata, dia tidak serik atau tersalah genre sewaktu mengarahkan teater kanak-kanak.

Sebaliknya, kata Marlia, dia terbabit dalam pementasan itu sebagai salah satu aktiviti dan ujian buat para pelajar fakulti terbabit dalam menterjemahkan teori subjek yang mereka pelajari di Aswara.

“Seramai 20 pelajar Fakulti Teater Aswara terbabit dalam pementasan ini di mana mereka dipecahkan kepada dua kumpulan. Pemarkahan pengajian mereka akan dikira daripada aktiviti-aktiviti seperti ini.

“Antara cabaran kami mementaskan teater ini ialah memastikan durasi pementasannya tidak terlalu lama iaitu sekitar satu jam. Maklumlah penonton taeter ini kanak-kanak berusia empat tahun hingga 12 tahun. Kalau terlalu lama takut nanti mereka akan cepat bosan dan mengantuk,” jelasnya.

Menerusi teater yang mengenakan tiket berharga RM10 untuk orang dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak itu, kesemua tenaga kerja di sebalik tabirnya dijayakan oleh para pelajar Aswara.

Manis Bertudung Merah antaranya dilakonkan oleh Atiqah Abu Bakar sebagai watak Manis, Yusmar Affendi (serigala), Erween Nezam (ayah), Nur Azila (emak), Fathanah Amirah (Repunzel), Hazrul Aswad (Hansel), Nur Nazliah Norazman (Gratel), Amirul Hakim (Putera) dan Nurhanisah Jaffar (nenek).

Naskhah yang diadaptasi daripada cerita dongeng Barat berjudul Little Red Riding Hood itu memaparkan jalan cerita yang mudah untuk difahami golongan kanak-kanak.

Biarpun jalan ceritanya berdasarkan kisah dongeng di Barat tetapi intipati mesejnya sesuai diserapkan dalam diri mana-mana juga kanak-kanak tanpa mengira bangsa.

Tambah Marlia, antaranya isu kehilangan kanak-kanak yang menjadi mangsa culik yang banyak berlaku dalam masyarakat hari ini jelas ditonjolkan menerusi teater arahannya itu.

“Dalam teater ini kami mahu mendidik kanak-kanak supaya menjadi lebih cerdik dalam menilai tipu helah pihak-pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan ke atas mereka.

“Misalnya, bagaimana mahu mengenal pasti kata-kata manis atau pujuk rayu seseorang yang berniat jahat bagi mengelakkan kanak-kanak menjadi mangsa dalam kes-kes jenayah seperti itu.

“Sebab itu, kami tidak paparkan adegan kanak-kanak dilayan dengan buruk sebelum perlakuan jahat dilakukan ke atas mereka.

“Ini kerana, cara itu memang sudah diketahui oleh golongan kanak-kanak. Sebaliknya cara-cara halus ini lebih merbahaya dan patut disedari oleh golongan tersebut,” jelasnya.

Tambah Marlia, suaminya M. Nasir turut memberi kerjasama dengan mencipta tiga buah lagu khusus dipersembahkan sebagai muzik latar pada pementasan yang diadakan tiga hari berturut-turut itu.

Tiga lagu itu ialah Di Taman Manis, Renggo Pujangga dan Hutan Tiga di mana liriknya pula ditulis oleh pelakon Che Kem yang juga salah seorang pensyarah di Aswara.

“Ketiga-tiga lagu itu adalah lagu-lagu baru yang dicipta oleh suami saya untuk pementasan ini. Muzik dan melodinya sesuai untuk pementasan teater kanak-kanak. Dia (M. Nasir) cipta lagu itu pun selepas saya pujuknya berbuat demikian,” katanya lagi.

Selasa, November 02, 2010

Hanya ‘Jauhari’ kenal lagu Spider

petikan Utusan Malaysia 2 November 2010

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar MOHD FARIZWAN HASBULLAH

TIGA tahun sepi tanpa album baru, Spider berharap KitaSatu mampu mengembalikan ingatan para peminat terhadap mereka.

SPIDER bolehlah dianggap bertuah kerana berjaya menambat hati Luncai Emas Sdn. Bhd., pada suatu sesi uji bakat yang dianjurkan oleh syarikat rakaman milik M. Nasir itu pada 1997.

Kumpulan berasal dari Johor Bahru itu juga mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga mereka kemudiannya diambil bernaung di bawah syarikat rakaman tersebut.

M. Nasir mengakui, Spider bukan sahaja berbakat tetapi hanya ‘jauhari’ yang faham bidang muzik sahaja yang mengenali konsep lagu-lagu yang mereka persembahkan.

“Bagi orang yang ‘jauhari’ dalam dunia muzik, mereka boleh kenal konsep muzik dalam lagu-lagu Spider,” katanya pada sesi pradengar album terbaru Spider berjudul KitaSatu baru-baru ini.

Pada majlis yang diadakan di pejabat syarikat rakaman Universal Music (M) Sdn. Bhd. di Petaling Jaya, Selangor itu, beliau mengulas genre muzik yang dimuatkan dalam album itu.

Semasa mengulas ‘jauhari’ yang merujuk kepada pepatah Melayu berbunyi ‘hanya jauhari yang mengenal manikam’, dia menjelaskan kepelbagaian muzik Spider.

Menerusi album kelima Spider itu, mereka menampilkan pelbagai konsep muzik termasuklah pop, balada, ska, rock dan country yang diadunkan dalam gaya yang tersendiri.

“Walaupun ada pelbagai konsep muzik tetapi pada dasarnya irama ska menjadi teras dalam lagu-lagu Spider. Contohnya, ada lagu balada dalam album ini seperti yang berjudul KitaSatu.

“Tetapi elemen ska tetap ada dalam lagu itu. Malah, kalau ada yang kata lagu itu ada pengaruh atau persamaannya dengan lagu lama Spider, Relaku Pujuk, ia tidak menghairankan.

“Ini kerana, ‘tangan’ yang membuat lagu itu adalah orang yang sama juga. Cuma kali ini lagu itu (KitaSatu) adalah sebuah lagu baru yang ada kepelbagaian tersendiri,” ujarnya.

KitaSatu yang mengandungi tujuh lagu terbitan Luncai Emas Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Universal Music (M) Sdn. Bhd. itu akan berada di pasaran mulai 9 November ini.

Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album itu berjudul Ajaib, KitaSatu, Rasakan Resapkan, Bukan Salah Aku, Tapi Bagaimana, KitaSatu (Akustika) dan Tapi Bagaimana (Akustika).

Selain M. Nasir yang juga merupakan Pengarah Urusan Luncai Emas Sdn. Bhd. turut menulis lirik lagu-lagu yang berjudul Rasakan Resapkan, Bukan Salah Aku dan Tapi Bagaimana.

Presiden Universal Asia Pasifik, Sandy Monteiro yang turut serta pada majlis itu turut mengakui, Spider merupakan kumpulan rock yang mempunyai ramai peminat ketika ini.

Menurut Sandy, dia yakin Spider melalui album itu mampu menarik perhatian para peminat, sambil menyifatkan mereka sebaris dengan kumpulan rock legenda tanah air yang lain.

“Kami sudah lama ingin bekerjasama dengan Luncai Emas dan Spider. Saya dapati selepas era tahun 1980-an dan 1990-an Spider adalah kumpulan rock tempatan paling berpotensi.

“Biasanya dalam sebulan saya ada dua atau tiga hari sahaja di Malaysia, tetapi apabila dapat tahu Spider akan mengadakan majlis pradengar album ini, saya tidak mahu ketinggalan menghadirinya,” ujarnya.

Disebabkan kualiti dan kepelbagaian muzik, Sandy juga yakin album terbaru Spider itu mampu mencatat jualan yang memberangsangkan sama seperti album-album terdahulu mereka.

Apatah lagi katanya, jualan album itu juga boleh dirangsang menerusi format digital atau muat turun yang kini menjadi salah satu trend terbaru dalam jualan album di negara ini.

“Album ini boleh capai jualan tahap platinum menepati sasaran kita sehingga 30,000 unit termasuk format fizikal (cakera padat dan kaset) dan muat turun secara digital.

“Kami juga akan kembangkan populariti Spider, contohnya dengan mengadakan kolaborasi lagu-lagu dalam album ini dengan artis-artis lain. Ia akan membantu penjualan album ini.

“Sasaran kami juga ialah untuk mencalonkan album ini dalam Anugerah Industri Muzik Malaysia pada tahun depan dengan menepati syarat harus ada lima lagu dalam sebuah album,” jelasnya.

Isnin, Oktober 25, 2010

Review Konsert Tribute P Ramlee

sumber berita:  OHBULAN.COM 25 Oktober 2010

Bermula pukul 9:30 malam bertempat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Raja Chulan, sebuah konsert Tribute P Ramlee diadakan oleh pihak Astro & History bagi memperingati jasa & sumbangan Tan Sri P Ramlee dalam menghasilkan karya-karya agungnya sama ada filem mahu pun lagu.

OHBULAN! dijemput bagi memeriahkan konsert tersebut, kebetulan kami duduk bersebelahan dengan Director Content Management Astro, Dr Rajamani. Kesempatan ini kami ambil untuk suai kenal bersama beliau, sangat friendly orangnya. Konsert dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah kepada P Ramlee dan diikuti dengan alunan puitis oleh M.Nasir, dan kami mulakan tugas dengan mengambil gambar sebagai tatapan anda selepas ini.

Secara keseluruhan, konsert ini memang grand, sebab dibarisi oleh selebriti terkenal & diiringi oleh kumpulan orkestra DBKL. Bayangkan, lagu-lagu P Ramlee diolah semula dalam nafas yang baru, tetapi masih mengekalkan ciri-ciri aslinya. Contohnya, lagu Azizah di-cover oleh Amy Search telah diolah dalam bentuk rock, sesuai dengan jiwa beliau sebagai seorang rockers sejati.

Sebelum kami cerita lanjut, two thumbs up buat M Nasir, Dato Sharifah Aini, Misha Omar, Yuna, Hujan, Altimet, Haziq & Jacklyn Victor yang memberikan persembahan secara all-out untuk konsert tersebut. Lagu Gelora Jiwa nyanyian Yuna boleh dikatakan FTW, masih mengekalkan keaslian melodi lagu, namun secara vokal, memang ke-Yuna-an habis!

Kalau tiada rap, boleh buang nama Altimet tu. Lagu Maafkan Kami gabungan Altimet & Haziq dimuatkan selingan rapping, pada kami cukup extraordinary. Bukan itu sahaja, setiap bait-bait daripada Altimet mempunyai nasihat dan ceritanya, world class beb! Vokal Haziq pula? Tak perlu sangkalkan lagi, lagu-lagu berunsurkan irama Malaysia memang kena dengan vokalnya.

Setiap konsert rakaman mesti ada slack-nya. Walaupun suara Ella sedap didengar ketika mengalunkan lagu Bunga Melur, namun beliau tampak tidak serius. Bukan apa, rakaman terpaksa diulang sebanyak 3 kali walaupun umum sudah mengetahui, bukan sekejap Ella dalam industri hiburan. Lagu yang seindah Bunga Melur sepatutnya disebatikan dengan jiwa & perasaan, namun Ella kami lihat, banyak bermain-main.

Amy Search pula, total turn-off. Namun masih boleh dimaafkan kerana menurutnya, beliau baru sahaja pulang dari Singapura dan tidak sempat rehearsal sepenuhnya. Lawak selingan, beliau sudah biasa dengan Isabela.

Konsert dipecahkan jenaka oleh Salih Yaacob, terutamanya ketika beliau mempersembahkan lagu Madu Tiga dengan didampingi oleh Rozita Che Wan, Nora Danish & kami-lupa-namanya. Ironi, Salih Yaacob memang mempunyai 3 isteri, dan lagu Madu Tiga sangat sesuai dengan karekternya.

Konsert diakhiri dengan persembahan oleh Dato’ Sharifah Aini, tiada kata dapat kami ungkapkan, suara lunak beliau berjaya meremangkan bulu roma kami. Ketika Dato Sharifah Aini mendendangkan lagu Dimana Kan Kucari Ganti dengan hanya diiringi piano, lontaran suaranya sangat jelas dan lunak – mengetarkan jiwa kami.

Rakaman konsert ini kami difahamkan akan ke udara dalam siri-siri Astro tidak lama lagi. Manakala Yuna mesej kami di Twitter berkenaan lagu, akan ke udara di radio XFresh.

Anda akan dihidangkan sebuah saluran istimewa; PRAMLEE HD (saluran 188) yang akan memaparkan Konsert Penghargaan P Ramlee Di Mana Kan Kucari Ganti dalam definisi tinggi yang boleh dinikmati oleh semua pelanggan Astro B.yond tanpa sebarang kos tambahan dari 29 Oktober 2010; jam 21:00 sehingga 31 Oktober 2010; jam 23:59 (3 hari tanpa henti).

Selain dari bersiaran dalam definisi tinggi di saluran 188, Konsert P Ramlee Di Mana Kan Ku Cari Ganti juga akan bersiaran serentak di dua buah saluran lain iaitu Astro Ria (saluran 104) dan HISTORY HD (saluran 575) pada 29 Oktober 2010 kelak serta ulangannya di HISTORY (saluran 555) pada 30 Oktober 2010.

Kitasatu Spider

petikan Harian Metro
Oleh MURSHID EUNOS

TIGA tahun terperuk, senyap tanpa berita. Pun begitu senario itu tidak sekali mengundang bimbang akan kehilangan publisiti, sebaliknya Spider masih bernafas dan baru kini sedia ke depan dengan isi baru.

Peluang bertemu mereka ketika proses rakaman album terbaru mereka di Studio Luncai Emas petang Isnin lalu merungkai segala-galanya. Kehilangan pemikir cerita dalam melodi terkenal, Rosli Khamis (Loloq) lebih dua tahun lalu memang memberi impak kepada mereka. Bukan saja kerana hilangnya seorang teman, malah tulang belakang Spider bagai dicabut hingga menyebabkan kumpulan yang dianggotai oleh empat anak seni ini hilang arah. Loloq insan istimewa yang sering menyumbang sentuhan magisnya untuk kesemua empat album mereka terdahulu. Kekuatan itu yang memberikan Spider untuk terus melebarkan empayarnya sekali gus meraih pelbagai pengiktirafan. Kini, siapa lagi yang mampu menggantikannya? Hilangnya Loloq, Spider yang sebelum ini sudah selesa dengan pencapaian album Ngam Ho pada 1999, Aladin (2002), Nazraku (2004) dan Bintang 12 (2007), bersedia untuk berjuang dengan seorang lagi insan tersohor dalam pentas muzik tempatan, M Nasir. Rancak bercerita mengenai album kelima mereka yang bakal dipasarkan penghujung bulan depan berjudul Kitasatu, tiba-tiba Rustam Mustafah (Tam) mula menyusun bicara, meluahkan rasa kosong mereka saat ingin mencorak bahagia melancarkan album terbaru. “Kitasatu kami sifatkan sebagai sebuah biografi istimewa. Album ini mengandungi lima lagu dan dua lagi versi akustik. Single pertama, Ajaib sudah lebih tujuh bulan diputarkan di radio namun masih tidak begitu kuat. Ajaib ibarat pemanas kepada peminat yang mungkin merindui kami. Insya-Allah penghujung bulan ini, kami akan menghantar lagu kedua pula, Kitasatu ciptaan saya sendiri dan liriknya oleh Keon.

“Memang lama kami berdiam, namun itu tidak bermakna kami mati sebaliknya gigih mencari kekuatan baru dalam menghasilkan album ini. Bukan mudah menerima hakikat untuk masuk ke studio, mendengar melodi baru tanpa Loloq. Memang janggal.

“Kami pemuzik yang sangat mementingkan kesemua elemen dalam sesebuah pembikinan album. Baik melodinya yang bisa menangkap perhatian pendengar mahupun liriknya yang bermakna, kesemua lagu Spider punya ceritera sendiri. Justeru hilangnya Loloq, memang kami patah kaki. Itu yang membuatkan kami terperuk lama, mencari dan memujuk insan istimewa lain pula yang sudi menyumbang kreativiti mereka. “Alhamdulillah, M Nasir datang mengubat rasa hilang itu. Kami percaya dengan sentuhannya yang akan mengekalkan impak seperti mana album terdahulu. Setidak-tidaknya, perginya satu permata meninggalkan kami, emas pula datang berkilau,” katanya dipersetujui tiga anggota yang lain termasuk Mohd Hanafi Hamdan (Nafie), Tony |skandar (Tony) dan Azhri Nasir (Ayie).

Tempoh tiga tahun ini, Spider mengumpulkan kesemua melodi terbaik selain meningkatkan kualiti rakaman bagi memberi kepuasan kepada peminat kelak. Menafikan meletak sasaran mengejar anugerah, Spider sepakat berkali-kali menceritakan soal keikhlasan mereka dalam menggarap keseluruhan naskhah indah ini. Kitasatu turut menampilkan tiga lagu lain seperti Rasakan Resapkan, Bukan Salah Aku dan Tapi Bagaimana. Kesemua melodinya ciptaan Tam kecuali Bukan Salah Aku yang hasil daripada gabungan idea mereka. Liriknya oleh M Nasir.

Tidak takut dengan pelbagai wajah baru yang muncul mengendong muzik sendiri, Spider yang mempunyai rangkaian lagu-lagu popular termasuk Bila Nak Saksi, Mabuk, Telinga Ke Tulang, Dunia Batinku, Relaku Pujuk, Laukku Cukup Masin, Gosok dan Kasih Latifah menyifatkan generasi baru ini sebagai satu saingan sihat yang menguntungkan industri muzik. Pemain bass Spider, Tony pula memandang tinggi Kitasatu kerana karya ini bukan sekadar album untuk menjadi hiburan kepada peminat sebaliknya naskhah ini mencerminkan perjalanan Spider sepanjang tiga tahun ini. Kemelut yang pernah menghempas mereka, kenangan yang manis dan pahit yang mematangkan kesemuanya diterjemah melalui album ini. “Kitasatu adalah biografi Spider daripada pelbagai penjuru. Hayati sedalam-dalamnya. Tidak kira sama ada muzik itu lahir daripada gitar, dram ataupun bass, setiap satunya penuh makna yang indah mengenai perjalanan kami. Malah lirik sentuhan M Nasir dan Keon juga banyak membantu dalam menyuntik emosi dan jiwa melodi itu. Jujurnya, lima lagu ini adalah terbaik yang pernah kami lakukan dan terus diangkat menjadi karya paling indah,” katanya yang mengakui Spider bakal terbang ke Jakarta, November depan untuk pembikinan klip video Kitasatu.

Peluang menjadi yang pertama mendengar kesemua lagu-lagu dalam Kitasatu memberikan satu pengalaman berbeza selain membuka dimensi baru mengenai siapa Spider sekarang selepas lebih sedekad berjuang sebagai penyanyi berkumpulan. Kitasatu umpamanya jelas menyuntik rasa balada yang disulam dengan identiti Spider yang mengangkat genre rock. Lengkap dengan alunan vokal Tam yang tidak perlu dipertikai, lagu ini punya karisma tersendiri yang tidak perlu dipandang enteng pihak stesen radio dan peminatnya.

Khamis, Oktober 07, 2010

DVD - Konsert Alam Muzik - M.Nasir Di Istana Budaya

Telah ada di pasaran!!! Seperti kata rakan SM, Portdy ini adalah item panas khusus untuk peminat M  Nasir. Rasanya tak perlu SM mengulas panjang mengenai konsert ini kerana DVD konsert yang telah mengegarkan Istana Budaya ini merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan khususnya peminat terutamanya yang bersama-sama menghadiri konsert Alam yang telah berlangsung pada 27, 28 Februari dan 1 Mac 2009. Pada pemerhatian Saudagar,  DVD terbitan Boxoffice dan edaran Sony Music Malaysia ini merupakan rakaman konsert live pada malam kedua iaitu pada 28 Februari. Ini boleh  dilihat dimana respon penonton pada malam itu sememangnya "happening" habis!!! Yang menariknya, encore dengan teriakan We Want More! juga terakam sebagai kenangan dalam DVD ini. Sudah tentunya aku juga sedikit teruja kerana dicelah-celah penonton, lensa kamera terakam gelagat Saudagar Mimpi pada malam itu.  Mungkin lebih menarik jika DVD ini turut menyediakan bonus disc yang menyediakan dokumentari disebalik konsert.



Konsert Alam Muzik - M.Nasir Di Istana Budaya
RM26.90
Format : DVD
Barcode : 886977954290
Edaran : Sony Music
Bahasa : Malay
Subtitle : none
Region : PAL
Jumlah disc : 1

Track list
1. Gong Impian
2. Ekspress Rakyat / Hati Emas
3. Rajawali Terbang Tinggi
4. Falsafah Cinta
5. Masirah
6. Keroncong Untuk Ana
7. Dah Lagu Tu
8. Bukalah Hatimu
9. Balada Seorang Teman
10. Suatu Masa
11. Langgam Pak Dogo
12. Getaran Jiwa
13. Keroncong Nostradamus
14. Mentera Semerah Padi
15. Raikan Cinta
16. Phoenic Bangkit
17. Sahabat Gua
18. Ada
19. Apokalips
20. Hijab Kekasih
21. Sentuhan Listrik Mu
22. Andalusia
23. Juwita Citra Terindah

Sabtu, Oktober 02, 2010

Then and now: Music maestro

taken from NST 2 October 2010
Dennis chua
dchua@nst.com.my

M. Nasir then and now

To many Malaysian singers and musicians, Mohamad Nasir Mohamad, better known as M. Nasir, is a no-nonsense mentor and a kindly father figure. He is known as the sifu of Malaysian music for his leadership qualities, musical brilliance and perfectionism.

Born on July 4, 1957 in Singapore, the singer, songwriter, composer, producer, actor and film director began his career after graduating with an art diploma from the Nanyang Academy of Fine Arts in Singapore in 1978.

Active in theatre and songwriting during his teenage years, he had always wanted to excel in music and create truly Malaysian songs with profound lyrics and multi-cultural melodies. Through sheer hard work and a highly disciplined lifestyle, the productive Nasir has over the years, created some of the country’s best Malay songs, for many recording artistes such as the Alleycats, Search, Wings, Ella, Ziana Zain, Hattan, Spider, Misha Omar and Asmawi (Mawi) Ani.

Nasir is the man behind the hit songs Hingga Akhir Nanti, Sekuntum Mawar Merah (Alleycats), Fantasia Bulan Madu, Nur Nilam Sari (Search), Sejati (Wings), Aku Dah Bosan (Amy), Istana Menanti (Rahim Maarof), Mahligai Syahdu (Hattan), Senja Nan Merah (Awie and Ziana Zain), Kekasih Awal Dan Akhir, Ghazal Untuk Rabiah, Sandarkan Pada Kenangan (Jamal Abdillah), Cinta Sakti (Def Gab C), Cinta Dewa Dewi (Spider), Aduh Saliha, Angan Dan Sedar (Mawi) and Nafas Cahaya (Misha Omar).

The notable compositions he has performed include Mustika, Mentera Semerah Padi, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Satu Hari Di Hari Raya, Andalusia and Srikandi Cintaku.

One of his closest collaborators in music was the late lyricist Rosli Khamis or Loloq.

Nasir’s debut film was Kembara Seniman Jalanan. He also acted in Fenomena, Selubung, Simfoni Duniaku, Merah (which he directed), Perempuan Melayu Terakhir, Puteri Gunung Ledang and most recently Magika.

In 2001, he did voiceover work for the animated film Putih with top actress Erra Fazira. His notable television dramas include Hambali Seorang Jeneral and Salam Taj Mahal.

Nasir, who has close to 30 albums, was the principal of Akademi Fantasia’s third season in 2005 and discovered its champion Mawi.

He has won numerous music awards which include Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik and MACP Top Composer (2002-2007).

Nasir is the owner of music production house Luncai Emas Sdn Bhd.

Selasa, September 28, 2010

Magika tetap membanggakan

petikan Berita Harian 28 September 2010
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

EDRY (empat dari kiri) bersama barisan pelakon filem Magika.

Di sebalik ada kekurangan, ia juga keberanian pengarahnya merintis genre baru filem tempatan

MUNGKIN masih banyak kekurangan dan kelemahan dalam filem Magika tetapi keberanian Edry Abdul Halim ‘main belasah’ saja untuk menghasilkan sebuah karya yang menggabungkan muzikal dan sinematik wajar ada pujian.

Sekurang-kurangnya Edry sudah merintis jalan untuk menghasilkan filem yang membabitkan alam fantasi dan animasi. Dalam erti kata lain, dia mengangkat cerita dongeng Melayu dalam bentuk berwarna warni.

Tidak adil, bahkan tidak sepatutnya dibandingkan dengan filem dari Hollywood kerana untuk karya seperti ini membabitkan belanjawan puluhan malahan ratusan juta ringgit.

Oleh itu, kita mengharapkan ada pihak ada kemampuan untuk menghasilkan karya yang lebih baik daripada Edry selepas ini.

Begitupun, buah tangan pertama Edry dalam dunia perfileman bakal mengubah persepsi penonton tempatan yang selama ini mungkin beranggapan filem Melayu hanyalah filem kelas kedua setelah mereka menonton Magika.

Sebagai orang baru dalam pengarahan filem, sentuhan Edry diakui tidaklah sempurna. Namun keberanian kesungguhannya membawa genre yang berbeza sekali gus membawa perubahan kepada industri filem tempatan itulah yang sewajarnya dibanggakan.
Magika hanyalah sebuah kisah mudah tetapi corak penyampaian secara muzikal dengan hampir 50 peratus dari dialognya disampaikan menerusi lagu itulah yang menjadi keistimewaan kepada filem ini.

Tiada pengarah yang mampu menghasilkan filem sempurna hatta mereka yang pernah meraih anugerah sekalipun. Kelonggaran di sana sini adalah lumrah tetapi ia masih boleh diperbaiki sementelah Edry sendiri berhasrat menghasilkan lebih banyak filem muzikal di masa depan.

Edry tidak kisah berapa kutipan yang bakal diperolehi asalkan sentuhannya disukai penonton. Sebagai anak seni, berkarya menjadi keutamaannya dan keuntungan difikirkan kemudian.

“Saya tak pasti berapa yang disasarkan oleh KRU Studios. Itu kena tanya kepada Norman kerana soal kutipan adalah tanggungjawab dia. Bagi saya, kalau seringgit pun saya terima dan gembira.

“Kepuasan penonton keutamaan saya. Semangat untuk menghasilkan filem sebenarnya lebih kuat daripada memikirkan mengenai kutipan,” katanya yang tidak menafikan Magika memerlukan kos yang besar kerana menggunakan ramai pelakon ternama.

Edry tidak menafikan, pembabitan pelakon terkenal dalam filem ini adalah strategi untuk menarik penonton ke pawagam walaupun ia memaksa KRU mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkan mereka.

Bagaimanapun, katanya, wang bukan segala-galanya kerana hampir semua pelakon yang terbabit dalam Magika memiliki nama besar. Dia juga berpuas hati dengan kesungguhan setiap pelakon malah mengibaratkan mereka seperti magnet yang menjadikan Magika menjadi lebih menarik lagi.

“Semestinya penggunaan pelakon terkenal adalah strategi KRU untuk menarik penonton ke pawagam. Mereka menjadi pilihan kerana kami berasakan watak mitos yang diwujudkan dalam filem ini sesuai dibawakan oleh setiap mereka sejak proses penulisan skrip lagi. Faktor komersial juga sebenarnya tidak dapat dinafikan memainkan peranan juga.

“Alhamdulillah boleh dikatakan ke semua pelakon yang kami kehendaki setuju bekerja dengan KRU. Kami tak menghadapi kesukaran kerana ada di antara pelakonnya adalah teman baik dan juga orang lama yang kami kenali,” kata Edry yang mengarahkan Magika kerana mahu lari dari genre filem sama yang hanya membuatkan penonton berasa terkongkong.

RM1.3 juta selepas empat hari

EMPAT hari memasuki panggung, Magika sudah pun menunjukkan permulaan yang baik apabila berjaya memperoleh kutipan kasar sebanyak RM 1.3 juta bagi pawagam di Malaysia serta Brunei.

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim dalam kiriman khidmat pesanan ringkasnya (SMS) berkata, penerimaan positif daripada penonton tempatan membuktikan bahawa genre muzikal mempunyai tempat di kalangan masyarakat tempatan walaupun genre sedemikian masih baru untuk sebuah filem Melayu.

“Kami harap perolehan Magika terus meningkat berikutan maklum balas positif dari laman sosial facebook dan pengkritik filem. Kami juga menjangkakan jumlah ini terus bertambah pada minggu akan datang kerana faktor hujung bulan serta setelah selesainya musim perayaan,” katanya.

Walaupun mendapat ulasan positif, Norman hanya menyasarkan kutipan sebanyak RM 4 juta. Katanya, sasaran itu dianggap realistik kerana tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah.

Pengalaman indah, sukar dilupa

MEMBARISKAN 25 pelakon popular, Magika menggandingkan Mawi dan Diana Danielle sebagai watak peneraju.

Filem ini turut dibintangi Datuk Jalaluddin Hassan, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Ziana Zain, M Nasir, Ning Baizura, Vanidah Imran, Ruminah Sidek, Zaibo, Norman Hakim, Sabri Yunus, Maya Karin, Adibah Noor, Saiful Apek, Azlee dan Mazlan Senario, Aznil Nawawi, Raja Azura, Nabil, Marsha, pasangan beradik, Sharifah Amani dan Sharifah Aleya serta dua pelakon kanak-kanak iaitu Shafimie dan Muhamad Hadziq Mohd Hazem.

Bagi lima pelakon yang terbabit dalam filem ini, pengalaman yang diberikan oleh KRU adalah satu pengalaman menyeronokkan serta tidak dapat dilupakan sepanjang kerjaya lakonan mereka.

Ziana Zain yang memegang watak sebagai nenek kebayan, menggambarkan filem ini sebagai ‘sebuah filem suka hati’ kerana dia diberikan sepenuh kebebasan untuk mencorakkan karektornya asalkan mesejnya sampai kepada penonton.

“Walaupun sedang mengandung ketika menjalani penggambaran filem ini, saya seronok kerana Edry memberi sepenuh kebebasan kepada saya. Saya banyak bermain dengan memek muka untuk merealisasikan watak nenek kebayan. Bagi saya ini adalah watak yang paling menyeronokkan sepanjang kerjaya saya,” katanya.

Biarpun cuma muncul beberapa minit, watak M Nasir sebagai Penunggu Tasik Chini dan juga naga Tasik Chini berjaya meninggalkan kesan kepada penonton. Pelakon dan penyanyi itu agak malu apabila diminta mengulas mengenai wataknya kerana watak berkenaan terlalu sedikit, tetapi beliau masih bersedia memberi kerjasama.

Namun, M Nasir memuji kreativiti tiga beradik berkenaan kerana berani menghasilkan filem yang berbeza. “Watak saya kecil tetapi bagi saya watak itu tetap penting. Walaupun sekejap, saya puas hati dan menganggap babak itu memadai buat saya,” katanya.

Aznil juga turut memuji Edry bekerja kerana biarpun masih baru, komitmen pengarah itu hampir setaraf dengan pengarah berpengalaman.

“Meskipun tidak mengenali Pak Pandir yang sebenarnya, saya cuba membawakan watak ini dengan sebaiknya. Saya memang seronok dapat berlakon dalam filem ini walaupun melalui pengalaman sukar dilupakan apabila digigit ulat bulu,” katanya.

Sebagai penyandang watak utama, Mawi yang membawa watak Badang berkata filem ini dari lain kerana filem sebegini belum pernah dihasilkan. Bagi membawakan watak Badang kata Mawi, dia terpaksa membayangkan alam magis.

“Saya kena bayangkan dunia fantasi antara manusia dengan makhluk bunian. Tapi saya tidak berpuas hati dengan mutu lakonan begitu juga dengan sesi memasukkan suara untuk filem ini kerana saya rasa boleh lakukan lebih baik lagi,” katanya. Bagi Diana Danielle yang membawakan watak Ayu pula, dia mengakui janggal dan tidak berasa wujudnya keserasian antara dia dan Mawi.

Katanya kelainan watak Ayu dengan filem mahupun drama yang pernah dijayakan apabila dia terpaksa mencuba lakonan komedi. Cabaran utama pula, apabila dia terpaksa menyanyi dalam filem berkenaan.

“Saya tak anggap sebagai pelakon komedi menyebabkan timbul rasa janggal apabila membawakan watak Ayu. Selain itu, kami juga dikehendaki menyanyi sedangkan rakaman sudah dilakukan sebelum penggambaran dibuat lagi. Jadi saya perlu memastikan penghayatan ketika membawakan lagu sama seperti rakaman yang dibuat,” katanya.