ANALITIC

Rabu, Julai 15, 2009

M. Nasir pilih pembaca bertuah Kosmo!

petikan KOSMO! 15 Julai 2009

M. NASIR bersama Baharom (dua dari kiri) dan Samirah (kanan) memilih pembaca bertuah untuk memenangi tiket konsert 1Wajah M. Nasir di Kuala Lumpur semalam. Kiri sekali Tengku Khalidah.

KUALA LUMPUR - Debaran konsert 1Wajah M. Nasir semakin terasa apabila penganjur konsert, Maya Axis Creative Sdn. Bhd., menerima ratusan penyertaan daripada pembaca Kosmo! di seluruh negara untuk memenangi 100 tiket percuma ke konsert tersebut.

Penyanyi yang turut digelar 'sifu' itu turun padang bersama Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin dan Pengarah Urusan Maya Axis Creative, Samirah Hambali bagi memilih sendiri pembaca bertuah untuk menonton konsertnya secara percuma di Stadium Negara pada 25 Julai ini.

Menurut Samirah, meskipun sekadar tiket percuma, ia menunjukkan sokongan padu oleh peminat M. Nasir.

"Penjualan tiket juga amat memberangsangkan tetapi masih ada ruang untuk peminat yang masih belum membeli tiket kerana Stadium Negara boleh memuatkan 6,000 orang pada satu masa," jelasnya ketika ditemui di ibu pejabat Kosmo! di sini semalam. Turut sama Pengarang Hiburan Kosmo!, Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Sementara itu, M. Nasir memberitahu, beliau tidak menyangka meskipun hanya 100 tiket percuma yang ditawarkan kepada pembaca Kosmo! tetapi penyertaan yang diterima begitu menggalakkan.

Buat pembaca yang telah menghantar penyertaan, nama mereka yang menerima sekeping tiket ke konsert 1Wajah M. Nasir akan disiarkan dalam akhbar ini pada 23 Julai ini.

Tiket-tiket masih dijual pada harga RM383, RM253, RM153, RM83 dan RM53 dan ia boleh didapati daripada Ticket Hotline di laman web www.tickethotline.com.my atau dengan menghubungi 03-77251177/1166 dan 03-80769872/73.

Ahad, Julai 12, 2009

Konsert M Nasir disabotaj?

petikan Bintang Popular 12 Julai 2009

M Nasir kecewa dengan penyebaran berita palsu mengenai konsertnya.

SIFU muzik, M Nasir dikhianati? Persoalan itu kini berlegar dalam fikiran M Nasir apabila Konsert Satu Wajah yang bakal berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 25 Julai ini, cuba disabotaj pihak tertentu.

Raja dengar M Nasir terkejut apabila orang beritahu konswert itu dibatalkan sedangkan dia sekarang tengah berpenat menguruskan persiapan menjayakan konsert keduanya di Stadium Negara. Dulu, lebih 13,000 peminat membanjiri Stadium Negara untuk menyaksikan Konsert Canggung Mendonan pada 1994.

Khabarnya, kini heboh dalam laman internet facebook, Konsert Satu Wajah M Nasir dibatalkan. Nampaknya ada manusia yang tak senang hati melihat kejayaan orang lain dengabn cuba menyebarkan cerita yang tak betul. Yalah, manusia ni rambut sama hitam, tapi hati lain-lain.

M Nasir bukan saja terkejut tapi jadi naik marah. Yalah... siapa tak bengang, persiapan sedang rancak dilakukan, malah khabarnya M Nasir bakal membuat kejutan dalam konsertnya. Raja tak sabar juga nak menantikan apa kejutan yang bakal dibuat. Manalah tahu M Nasir muncul dengan anak-anaknya, Raja dapat tahu anak-anak M Nasir turut mengikut jejak langkahnya yang cintakan muzik, malah anaknya yang bongsu, Suci Musalmah juga berbakat dalam bidang nyanyian.

Raja sempat menghubungi Pengarah Promosi Maya Axis Creative Sdn Bhd, Rohani Ismail apabila mendengar berita pembatalan konsert itu. Nyata, pihak penganjur turut terkejut dengan berita yang disebarkan.

"Saya nak menegaskan Konsert Satu Wajah M Nasir diteruskan, malah kini jualan tiketnya mencapai tahap membanggakan. Saya kesal dengan berita tak betul yang disebarkan. Saya akui ada ramai kenamaan dan ahli politik yang menghubungi saya untuk bertanya kesahihah berita yang tersebar.

"Tiada sebab untuk kami membatalkan konsert M Nasir, semua persiapan sudah dilakukan, malah M Nasir kini giat melakukan latihan bersama barisan pemuziknya. Mungkin juga ada pihak yang tidak senang hati dengan M Nasir dan cuba mahu memboikotnya. Apalah salah M Nasir?

"Kepada mereka yang cuba menyebarkan berita palsu itu, bawalah muhasabah diri. Mungkin kami tidak akan mengambil apa-apa tindakan, tetapi biarlah Tuhan saja membalas perbuatan dan pengkhianatan itu," katanya.

Jadi, kepada peminat M Nasir yang tidak sempat menyaksikan persembahannya di Istana Budaya tak lama dulu, bolehlah mendapatkan tiket berharga RM383, RM153, RM83 dan RM53. Tempahan juga boleh dibuat menerusi tiket hotline di www.tickethotline.com.my atau 603-7725 1177. Untuk keterangan lanjut berhubung persembahan dan penajaan bolehlah menghubungi Maya Axis Creative Sdn Bhd di talian 603-8076 9872.

RAJA: Sepanjang menjadi wartawan hiburan, diri ini juga pernah beberapa kali disabotaj...

Hadiah amat berharga untuk Darul Mawa Idol

* taken from Didifiers
Berita Minggu, dated 12th July 2009.
Oleh: Hanim Mohd Saleh
hanim@sph.com.sg

Hadiah yang dimenanginya tidaklah sebesar yang ditawarkan kepada pemenang Anugerah 2009.

Tetapi Taufik Abdul Rahman, 16 tahun, penghuni rumah tumpangan Darul Ma'wa yang memenangi pertandingan menyanyi Ma'wa Idol pada Disember tahun lalu, tidak menyangka kemenangan itu telah memberinya pelbagai pengalaman manis yang sangat berharga.

Beliau tidak saja dapat menaiki pesawat untuk julung-julung kalinya terbang ke Kuala Lumpur, bahkan telah merakam single di bawah penyeliaan penggubah terkenal, M. Nasir, di studio miliknya, Luncai Emas. Bahkan pergerakkannya di Kuala Lumpur selama empat hari mulai 3 Julai, dirakamkan kamera video untuk disunting sebagai bahan MTV!

"Saya rasa sangat bertuah keran kawan-kawan saya di luar Ma'wa pun tak dapat kesempatan seperti ini. Saya memang suka menyanyi dan saya tak sangka dapat bekerja dengan orang-orang popular dalam industri rakaman, terutama, M.Nasir," kata Taufik, pelajar Sekolah Menengah Telok Kurau itu. Taufik, yang telah menumpang di Darul Ma'wa sejak awal usia dua tahun, memenangi pertandingan nyanyian tahunanan yang dianjurkan rumah tersebut, yang secara kebetulan diadakan sempena pelancaran album Diari Cinta Didicazli.

Menurut Didicazli, beliau menawarkan hadiah berupa rakaman single sebagai hadiah untuk memberi pendedahan kepada bakat yang ada di rumah tumpangan tersebut kepada dunia hiburan, seandainya mereka berminat untuk menhadi penyanyi.

Hasil inisiatif Didicazli itu, ramai temannya dalam industri hiburan tampil untuk menaja projek rakaman single untuk Taufik. Ini termasuklah mendapatkan pengubah Syawalludin Kassim bekerjasama dengannya menghasilkan lagu Bukan Super Hero, sementara DJ KC (dari stesen Ria 89.7 FM) sebagai penulis liriknya. Ann Hussien pula tampil memberi kelas vokal secara percuma untuk persiapan Taufik memasuki studio.

Selain itu, jurukamera dan penata suara daripada Club Jazz Communications menaja MTV bagi single tersebut dengan mengeluarkan sendiri biaya acara rakaman di Kuala Lumpur.

Bahkan M. Nasir sendiri tidak mengenakan sebarang bayaran penyeliaan atau sewa studio bagi sesi rakaman yang berlangsung selama enam jam itu.

"Saya sengaja mahu Taufik melalui dan merasakan sendiri proses merakamkan suara profesional, seperti yang saya sendiri lalui. Memang saya sengaja mengatur penerbangan bajet Jetstar untuknya, kerana saya tahu Taufik tak pernah naik kapal terbang.

"Tetapi secara dasarnya, kami mahu menjadikan projek ini sebagai satu kerja amal, bukan saja untuk Taufik, tetapi untuk Darul Ma'wa juga," kata Didicazli.

Semua hasil penjualan single Super Hero yang akan dilancarkan secara komersial, akan disalurkan kepada Darul Ma'wa.

Taufik, yang begitu pemalu dan berat mulut berkata, beliau hanya mendapat pendedahan muzik dengan mendengar lagu-lagu yang diputarkan di radio. Kebanyakan masa beliau mendengar lagu-lagu dari stesen Melayu.

"Kalau ada masa terluang, saya memang suka menyanyi sendirian dalam bilik. Selagi saya tak ganggu orang lain, pegawai tidak marah. Yang penting, saya buat kerja sekolah saya juga," ujarnya.

Berkongsi pengalamanya berada di studio bersama M. Nasir, Taufik berkata dia sama sekali tidak tahu sikap penggubah tersebut yang dikatakan serius dan garang ketika bekerja, kecuali mengetahuinya sebagai seorang pengubah yang hebat.

"M. Nasir layan saya dengan baik.. tak garang pun," ujarnya.

Sabtu, Julai 11, 2009

M Nasir tidak gusar

petikan Harian Metro 11 Julai 2009
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

LEBIH 30 tahun dalam bidang seni, M Nasir, 52, berjaya menghasilkan lagu yang meninggalkan nostalgia kepada peminat. Rahsia kejayaannya terletak pada lirik lagunya yang begitu dekat di hati pendengar serta muzik santai yang menghiburkan.

Justeru, dalam keghairahan stesen televisyen mengadakan program realiti bertujuan mencari bakat baru bagi memeriahkan persada seni tanah air, Nasir terus dengan keunggulannya yang tersendiri. Bahkan kehadirannya dalam dunia hiburan tempatan terus mendapat perhatian masyarakat.

Justeru, dengan kekuatan yang ada pada Nasir sebagai anak seni yang tidak jemu berjuang, selepas kejayaan konsertnya di Istana Budaya (IB), Februari lalu, pada 25 Julai ini bertempat di Stadium Negara, Kuala Lumpur, sekali lagi dia diberi kepercayaan mengadakan konsert solo, Konsert Satu Wajah M Nasir. Konsert itu diadakan selama dua jam bermula 8.30 malam.

Nasir terharu apabila syarikat pengurusan acara, Maya Axis Creative Sdn Bhd, sudi menganjurkan konsert itu kerana kebetulan pada penghujung Jun dan Julai ini, beberapa artis ternama lain turut mengadakan konsert solo termasuk konsert Datuk Siti Nurhaliza yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Jun ini dan Anuar Zain juga akan mengadakan konsertnya pada 1 dan 2 Julai ini.

Kedua-dua konsert itu diadakan di IB. Jamal Abdillah turut mengadakan konsert di tempat sama pada 5 hingga 9 Ogos ini.

Menurut Nasir, dia sudah bersedia untuk menghiburkan peminat dengan lebih 20 lagu dipetik daripada semua albumnya termasuk ketika bersama kumpulan Kembara.

Antara lagunya, Lara, Serikandi Cintaku, Anak-Anak Kita, Andalusia, Seutuh Listrikmu, Kias Fansuri, Tanya Sama Hud Hud, Lambaian Sukma, Hati Emas, Masrani (dipetik dari filem Selubung), Mustika, Apokalips, Mencurah Janji Di Daun Keladi, Gerhana, Ada, Keroncong Untuk Ana, Langgam Pak Dogo, Di Balik Cermin Mimpi, Sang Pencinta, Pilihlah Aku, Mantera Semerah Padi, Phoenix Bangkit Dari Abu, Raikan Cinta, Padamu Kekasih, Satu Masa dan Bonda. Termasuk satu lagu baru yang digubahkan khas untuk konsert itu.

Menyentuh keadaan stadium yang boleh memuatkan 9,000 penonton, Nasir tidak gusar kerana dia yakin mereka yang tidak dapat menyaksikan konsert di IB akan datang untuk melihat persembahannya kali ini. Dia juga tidak berasakan jarak antara kedua-dua konsert itu agak dekat.

"Inilah peluang terbaik kepada peminat yang tidak berpeluang menyaksikan konsert saya di IB untuk datang ke Stadium Negara. Lagipun konsert yang dibuat di stadium menjanjikan kelainan dengan suasana lebih santai.

"Saya juga tahu ada dua tiga artis lain mengadakan konsert pada Jun dan Julai ini kerana mungkin mereka juga mengejar masa kerana tidak lama lagi puasa dan hari raya. Biasanya selepas Aidilfitri, kegiatan seni agak perlahan dan kembali rancak menjelang hujung tahun. Tetapi saya yakin masing-masing mempunyai khalayak peminat tersendiri.

"Kali terakhir saya buat konsert solo, Konsert Canggung M Nasir di Stadium Negara pada 1994 dan Konsert Akar Manifestasi Akustika M Nasir di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra), Kuala Lumpur pada 1995. Ketika itu sambutan sangat bagus. Yang lain itu, saya menjayakan konsert bersama artis lain.

"Konsert itu dihadiri ramai pelajar pusat pengajian tinggi dan sekarang mereka tentu sudah berkeluarga. Siapa tahu mereka akan kembali menyaksikan konsert ini untuk bersama berhibur dengan lagu yang pernah menjadi nostalgia kepada mereka suatu ketika dulu," katanya.

Untuk konsert kali ini juga, jelas Nasir dia belum bercadang menjemput mana-mana artis kerana mungkin tema yang bakal ditampilkan tidak memerlukan artis jemputan.

"Tidak dinafikan sepanjang perjalanan kerjaya seni ini, saya terbabit dengan ramai artis merakamkan suara dengan mereka seperti Siti, Jamal Abdillah, Yusnizar Hussein, Tan Sri S M Salim, Hattan dan Mallique (Too Phat).

"Bagaimanapun, saya tiada masalah membuat persembahan seorang kerana sebelum ini, saya biasa menyanyi selama tiga jam sendirian. Persembahan konsert juga tidak perlu banyak klimaks kerana penonton akan bosan.

"Saya memilih Stadium Negara kerana sudah lama tidak mengadakan konsert di sana dan bentuk konsert ini sesuai dengan kapasiti penonton yang lebih besar daripada di IB. Konsert ini akan memberikan tenaga yang berbeza dengan mengajak penonton menari bersama kerana saya mahu mereka bergembira pada malam itu.

"Jika kebanyakan bentuk konsert di negara ini memaparkan muzik moden, namun untuk kelainan konsert ini, saya pamerkan pelbagai corak dan konsep muzik yang akan diiringi 13 hingga 14 pemuzik," katanya.

Nasir juga percaya dia terus berada dalam arus perdana muzik tanah air kerana kebanyakan lirik lagu menyentuh kehidupan manusia.

"Waktu mula berkarya saya banyak menghasilkan lagu kerakyatan dan lagu cinta yang menjadi nostalgia sehingga kini. Misalnya pada setiap persembahan lagu yang wajib dinyanyikan, Satu Masa dan Hati Emas. Kedua-dua lagu itu juga banyak dimainkan pada majlis perkahwinan," katanya.

Selasa, Julai 07, 2009

Konsert retrospektif M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 7 Julai 2009
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

PADA suatu sidang media di Kuala Lumpur tidak lama dulu, M. Nasir pernah berkata: "Setiap penyanyi atau pemuzik yang tulen, mereka tentunya mengimpikan konsert sendiri. Begitu jugalah dengan saya".

Beliau melampiaskan ungkapan penuh makna itu sebagai menggambarkan betapa pentingnya konsert sebagai salah satu tanda kesinambungan serta kepuasan seseorang penyanyi atau pemuzik dalam kerjaya mereka.

Justeru, tidak hairanlah penyanyi berusia 52 tahun ini sentiasa berusaha mencari peluang mengadakan konsert biarpun dia adakalanya menghadapi kesulitan untuk mendapatkan penaja.

Konsert 1 Wajah M. Nasir merupakan interpretasi daripada hasrat beliau itu di mana konsert anjuran Maya Axis Creative Sdn. Bhd. (MACSB) itu akan diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur, pada 25 Julai ini pukul 8.45 malam.

Pengarah Promosi MACSB, Rohani Ismail berkata, konsert itu yang berkonsepkan retrospektif dijangka akan berlangsung selama dua jam 30 minit.

"Konsert terbaru M. Nasir itu akan mengetengahkan konsep retrospektif di mana ia menggabungkan lagu-lagu ciptaan beliau sejak dari mula berkecimpung dalam bidang muzik pada tahun 1970-an sehinggalah kini.

"M. Nasir dijangka mempersembahkan hampir 29 buah lagu terbaik daripada pelbagai genre muzik di mana kesemuanya merupakan lagu-lagu ciptaannya sendiri. Setakat ini beliau sudah mencipta hampir 500 buah lagu," katanya.

Tambah menarik kata Rohani, konsert itu bukan setakat menampilkan segmen nyanyian semata-mata, sebaliknya para penonton akan diimbau nostalgia mereka dengan paparan gambar-gambar peribadi daripada koleksi penyanyi terbabit.

Katanya, penambahan elemen itu termasuklah dengan membariskan para pemuzik profesional dan penyanyi latar di mana ia mampu untuk mencernakan lagi penghayatan konsert itu ke tahap yang lebih tinggi.

"Bukan setakat gambar, tetapi pada konsert itu nanti, para penonton juga akan ditayangkan dengan sedutan temuramah M. Nasir dengan stesen-stesen televisyen dan juga keratan-keratan akhbar tentang kerjaya beliau.

"Persembahan video yang akan dipersembahkan itu sedikit sebanyak dapat menggambarkan tentang sejarah perjalanan karier M. Nasir dalam bidang seni. Ia termasuklah pencapaian dan anugerah yang pernah diterimanya sepanjang 30 tahun pembabitannya itu," ujarnya.

Konsert 1 Wajah M. Nasir itu dianjurkan selepas penyanyi kelahiran Singapura itu berjaya menganjurkan konsertnya sendiri iaitu Konsert Alam di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, pada 27 Februari lalu.

Bagi merancakkan lagi promosi konsert itu, MACSB akan mengadakan beberapa sesi bertemu para peminat M. Nasir misalnya di Gloria Jean's Coffee, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada 11 Julai ini.

"Selain itu, promosi dan sesi bertemu peminat juga akan diadakan di Gloria Jean's Coffee, Sunway Pyramid pada 18 Julai ini pukul 5 petang. Peminat yang datang akan diberi diskaun pembelian tiket sebanyak 10 peratus.

"Potongan 10 peratus juga akan diberi kepada para pelajar kolej dan universiti dengan menunjukkan kad pelajar mereka sebagai bukti di premis-premis jualan tiket di Kompleks Pertama dan Istana Budaya. Semua lokasi ini terletak di Kuala Lumpur," katanya lagi.

Tiket-tiket untuk menyaksikan Konsert 1 Wajah M. Nasir berharga RM383, RM253, RM153, RM83 dan RM53. Sebarang pertanyaan, sila hubungi talian 03-77251177 dan 03-80769872 atau layari laman sesawang www.tickethotline.com.my

Isnin, Julai 06, 2009

MP3s going for a song

taken from The Star 6 July 2009

PETALING JAYA: Good news for music lovers. Sony Music Malaysia is offering 10 back-catalogue compilation CDs of 50 MP3s for just RM16.90 each.

Some of the titles are Best of Pop (includes Britney Spears, Backstreet Boys and Avril Lavigne), Best of Dance (includes Shakira and Dr. Alban) and Lagu Pop Terbaik (includes Misha Omar, Jaclyn Victor and M.Nasir)

Adrian Lim, managing director of Sony Music Malaysia, said the idea behind this campaign is to provide an affordable music price to the consumer. “At RM16.90 per disc, this works out to 35sen per song,” he said.

The MP3 compilations will be available at most pasar malam stalls in the Klang Valley and mynews.com outlets in shopping centres from this Friday.

“We are also working to have the CDs on sale at petrol kiosks and convenience stores,” Lim said.

“Our objective is to encourage more people to buy original music CDs. MP3 is a practical format; the music is easily transferable to portable music players and handphones, which is what most people like to do.”

Lim said Sony Music is mulling over selling compilations of MP3 songs on thumbdrives in the future.

Sony Music’s marketing campaign is a test for the local music industry. “In Thailand, it sold over 750,000 CDs (comprising more than 35 song titles) so far this year through 7-Eleven outlets, according to Lim.

He said the CDs contain songs that were between five and 10 years old, and that there are no plans to sell compilations of the latest songs at that price.

Ahad, Julai 05, 2009

Sesi bertemu peminat M.Nasir

sumber : KSMN Yahoo Group

~11 July,Gloria Jeans Coffee BB Plaza
2pm-6pm
Tiket tiket boleh dibeli di situ

~18 July,Gloria Jeans Sunway Pyramid

Skuad SinarFM akan membuat lintas langsung dan memberi pelbagai hadiah untuk kuiz dan sesiapa yang berminat untuk nyanyi lagu lagu M.Nasir pun akan dapat hadiah.Jumpa M.Nasir di sana!

b/p pengurusan Luncai Emas Sdn Bhd & Kelab Sahabat M.Nasir

Jumaat, Julai 03, 2009

Dengarnya...: Tiket VIP konsert Satu Wajah M Nasir laris

petikan Berita Harian 3 Julai 2009
Oleh Normah Becok

SEJUK hati Cik Normah apabila pentas tersohor Istana Budaya yang tersergam indah terus mengetengahkan artis tempatan. Hujung Jun lalu, penyanyi kesayangan Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza dan baru-baru ini pula penyanyi yang digilai wanita, Anuar Zain.

Cik Normah antara yang tidak melepaskan peluang menonton kedua-dua konsert terbabit. Sebagai rakyat Malaysia, Cik Normah berbangga melihat anak seni tempatan yang mempunyai bakat ulung dan disegani ramai. Kenapa perlu merenung jauh untuk mengukur kehebatan jalur muzik negara luar sedangkan di negara kita sendiri ada bakat yang boleh dipandang tinggi.

Yang Cik Normah tunggu lepas ini ialah persembahan daripada sifu kacak M Nasir. Kalau Februari lalu, IB menjadi saksi kehebatan dan aura suami Marlia Musa itu menghiburkan penggemarnya, 25 Julai ini pula diharap akan terus menjadi penerus kekuatan trek seni penyanyi itu.

Pada tarikh itu, M Nasir akan membuat persembahan di Stadium Negara, Kuala Lumpur mulai jam 8.30 malam. Konsert diberi nama Satu Wajah M Nasir itu adalah anjuran Maya Axis Creative Sdn Bhd.

Cik Normah sudah tak sabar mendengar M Nasir mengalunkan lagu Kepadamu Kekasih. Lagu itu antara lagu tema hubungan Cik Normah dan suami masa zaman bercinta dulu dan kekal hingga sekarang.

Cik Normah dapat tahu tiket VIP antara yang habis awal. Apa lagi, kepada peminat karya terbaik anak kelahiran Singapura itu, lekas dapatkan tiket sebelum kehabisan. Tiket dijual daripada skala harga RM383, RM153, RM83 dan RM53.

Tempahan juga boleh dibuat menerusi Ticket Hotline di www.tickethotline.com.my atau 03-7725 1177/1166. Nak tahu lanjut mengenai mengenai persembahan dan penajaan boleh menghubungi Maya Axis Creative di talian 03-80769872/9873 atau faksimile, 03-80707871. Kalau berkesempatan Cik Normah nak ajak suami tonton konsert ini.

Ahad, Jun 28, 2009

Satu wajah M. Nasir

petikan Kosmo! 28 Jun 2009




Sebuah konsert lagi dalam tempoh setahun. Jika pada Februari lalu, peminat menikmati konsert M. Nasir secara eksklusif di kerusi empuk di Istana Budaya, kini Stadium Negara bakal menjadi pentas untuk mereka melompat dan menari bersama-sama sifu nyanyian itu.

Konsert Satu Wajah M. Nasir bakal dilaksanakan pada 25 Julai ini bagi mengembalikan nostalgia 15 tahun lalu. Ketika itu, M. Nasir bercanggung mendonan di sana dengan disaksikan 7,000 penonton.

"Saya berikan nama konsert ini Satu Wajah dengan maksud dalam pelbagai hal pun, akhirnya kita kembali kepada Yang Satu terutama dalam aspek kehidupan," ujarnya.

Konsert itu dibawakan oleh Maya Axis Creative Sdn. Bhd. (MACSB) selaku pihak penganjur.

"Sekarang saya sedang menentukan hal-hal teknikal dan reka bentuk," sambungnya. Dia membayangkan lebih 25 lagu akan dinyanyikan pada malam itu.

Semarak muzik tempatan

petikan Utusan Malaysia 28 Jun 2009

SEPANJANG Jun, Julai dan Ogos ini memang banyak konsert berlangsung di Kuala Lumpur. Wanda bercakap tentang konsert-konsert besar yang berbayar ya! Bukan konsert promosi yang percuma.

Bermula dengan Konsert Satu oleh Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya selama tiga malam bermula 26 Jun hingga malam ini, diikuti konsert Lelaki Ini oleh Anuar Zain pada 1 Julai dan 2 Julai, juga di Istana Budaya.

Selepas itu pada 25 Julai, M. Nasir muncul buat kali kedua tahun ini menjayakan konsertnya yang dipanggil Konsert Satu Wajah M. Nasir. Konsert ini akan berlangsung di Stadium Negara. Wanda pasti sudah banyak yang menempah untuk menonton konsertnya itu.

Antara konsert yang ditunggu-tunggu khususnya peminat rock tentunya Konsert Search - Di Awan Biru yang dijangka berlangsung pada 1 Ogos depan selepas menjelajah ke beberapa negeri sebelum ini.

Raja Pop kita 'menutup' tirai persembahan musim ini sebelum kita meraikan kehadiran Ramadan dengan konsert Jamal... Kembara Seniman di Istana Budaya selama lima malam berturut-turut bermula 5 Ogos hingga 9 Ogos.

Melihat senarai artis, memang mereka semuanya mempunyai bukan sekadar vokal yang hebat tetapi juga sangat karismatik. Mereka muncul penuh dengan perancangan.

Sememangnya konsert-konsert di atas adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu sementelah konsert solo begini sudah lama hilang taringnya.

Banyak benar konsert percuma dianjurkan. Dan antara alasan mengapa tidak ramai yang sanggup menganjurkan konsert solo untuk artis tempatan adalah kerana tiada penajaan.

Ya, Wanda faham tentang keperluan penajaan dalam usaha untuk mengurangkan beban kos tapi bak kata M. Nasir, peminat yang sanggup membayar harga tiket yang ditawarkan untuk menonton konsertnya merupakan "penaja utama" yang menjayakan kemunculannya di pentas besar.

Itu semangat daripada orang yang tidak mengenal erti kalah. Dia, biarpun ada nama yang besar tapi bersusah payah untuk menjayakan Konsert Alam Muzik M. Nasir di Istana Budaya beberapa bulan lalu gara-gara tidak ada penaja yang sanggup melabur untuk yang digelar sifu itu.

Tetapi, konsert itu sekurang-kurangnya bukan sahaja satu kejayaan besar peribadi buat sifu itu malah memberi satu anjakan baru kepada ilham menghasilkan konsert untuk dijayakan oleh artis tempatan.

pengaruhBukan konsert daripada artis baru yang lahir daripada program realiti tetapi daripada artis bernama besar yang mungkin kurang 'laku' di majalah tetapi mempunyai pengaruh di kalangan mereka yang profesional dan bergelar.

Demikianlah karya seni yang akhirnya dinilai pada takah kualiti. Pengagum sebenar seni muzik memilih karya-karya yang meninggalkan satu kesan yang panjang kepada mereka.

Nostalgia? Ya, barangkali benar tetapi akhirnya mereka bernostalgia karya-karya lagu yang tinggi nilainya. Kepada kalangan kelas menengah khususnya Melayu, mereka mempunyai "kuasa membeli" yang lebih besar untuk sesuatu yang menepati jiwa mereka. Jadi, jangan takut untuk membuat yang terbaik biar pun banyak yang mahu mencari arus popular sebelum memilih kualiti.